Enjin Wankel
From Wikipedia, the free encyclopedia
Enjin Wankel adalah sejenis enjin pembakaran dalaman yang menggunakan rekabentuk putaran bagi menukarkan tekanan hasil pembakaran campuran udara-bahan api terus kepada gerakan putaran, berbeza dengan enjin omboh biasa yang menghasilkan gerakan salingan sebelum ditukarkan kepada gerakan putaran oleh aci engkol. Kitar empat lejang di dalam enjin tersebut dijana di dalam ruang antara perumah berbentuk epitrokoid seakan bujur dengan rotor berbentuk segi tiga. Reka bentuk ini menghasilkan kuasa rpm tinggi yang lancar daripada enjin yang padat dan ringan.
Enjin ini dicipta oleh jurutera Jerman, Felix Wankel. Beliau memulakan pembangunan enjin tersebut pada awal 1950-an di NSU Motorenwerke AG (NSU) sebelum menyiapkan prototaip yang boleh berfungsi dengan sempurna pada tahun 1957. NSU kemudian melesenkan konsep tersebut kepada beberapa syarikat kereta lain di serata dunia, yang seterusnya menambah baik enjin tersebut antara tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.
Disebabkan rekabentuknya yang padat dan ringan, enjin rotari Wankel digunakan pada pelbagai kenderaan dan peralatan seperti kereta dan kereta lumba, kapal terbang, go-kart, bot laju peribadi serta unit kuasa sampingan.