Troubadour
From Wikipedia, the free encyclopedia
Troubadour (IPA: [tɾuβaˈðuɾ], pada asalnya [tɾuβaˈðoɾ]) ialah penggubah dan penghibur puisi lirik bahasa Occitan semasa Zaman Pertengahan(1100–1350).
Aliran atau tradisi troubadour bermula pada kurun ke-11 di Occitania, dan kemudiannya tersebar ke Itali, Sepanyol malahan Greece. Di bawah pengaruh para troubadour, gerakan-gerakan berkaitan muncul di seluruh Eropah: Minnesang di Jerman, trovadorismo di Galicia dan Portugal serta trouvère di utara Perancis. Dante Alighieri dalam De vulgari eloquentia mentakrifkan lirik troubadour sebagai fictio rethorica musicaque poita: fiksyen yang retorik, bermuzik dan berpuisi. Selepas satu zaman "klasik" yang berlaku pada pertukaran kurun ke-13 dan kemunculan kurun pertengahan, seni troubadour merosot pada kurun ke-14 dan akhirnya luput pada masa Maut Hitam (1348).
Teks lagu-lagu troubadour sebahagian besarnya memperkatakan tema-tema kesateriaan dan percintaan sopan-santun. Kebanyakannya adalah bersifat metafizik, intelektual dan berungkapan tetap. Banyak yang merupakan satira lucu atau lucah. Hasil karya dapat digolongkan kepada tiga gaya: trobar leu (terang), trobar ric (kaya), dan trobar clus (tertutup). Begitu juga terdapat banyak genre, yang paling popular ialah canso, tetapi sirventes dan tenso khususnya popular pada zaman post-klasik di Itali dan di kalangan troubadour wanita, trobairitz.