Daode Jing
From Wikipedia, the free encyclopedia
Daode Jing (bahasa Cina: 道德經 [Listen (bantuan·maklumat)] ) ialah sebuah buku teks klasik Cina yang, menurut tradisi, ditulis di sekitar 600 SM oleh Laozi, seorang penyimpan rekod di dalam Istana Maharaja Dinasti Zhou. Buku ini merupakan sebuah susunan pepatah yang mempunyai tema yang serupa. Ramai orang telah menganggap bahawa Daode Jing mengandungi beberapa kebenaran sejagat yang telah disedari secara berasingan oleh falsafah-falsafah yang lain, baik agama mahupun duniawi. Ketulenan tarikh penulisan ataupun penyusunan serta pengarangnya masih diperdebatkan.
"Daode Jing" | |
---|---|
Tulisan Cina Tradisional | 道德經 |
Tulisan Cina Mudah | 道德经 |
Pinyin | Dào Dé Jīng |
Wade-Giles | Tao Te Ching |
Terjemahan tajuk Wade-Giles menjadi paling berpengaruh pada akhir abad ke-19, dan masih amat biasa digunakan di Taiwan serta dalam bidang akademik antarabangsa, tetapi Republik Rakyat China telah menyebarluaskan skim transliterasi pinyin yang menyebabkan perumian tajuk sebagai Daode Jing. Oleh sebab edisi-edisi bahasa Inggeris untuk buku itu menjadi terkenal sebelum perkembangan pinyin, transliterasi tajuk Wade-Giles telah menjadi kekal, dan hampir kesemua edisi-edisi buku bahasa Inggeris terkini menggunakan tajuk Tao Te Ching. |
Versi bahasa Cina yang asal ditulis dengan tulisan Zhuan Shu dalam format skrol (kertas ataupun buluh), sedangkan versi-versi kemudian ditulis dengan tulisan Li Shu atau Kai Shu. Dalam bentuk terkini, Daode Jing mengandungi dua bahagian (Dao, yang terdiri daripada bab 1–37; dan Te, bab 38–81), dan menggunakan kira-kira 5,000 aksara Cina. Setiap bab agak pendek, dan menggunakan tidak banyak aksara untuk menggambarkan gagasan-gagasan yang seringnya amat rumit dalam gaya puisi.