Orang Minangkabau (Bahasa Minangkabau: Urang Minangkabau atau Minang;[2][3] Jawi: ميناڠكاباو atau ميناڠ) merupakan kumpulan etnik Nusantara yang berasal dari Tanah Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Wilayah penganut kebudayaan Minangkabau tersebar di separuh darat Riau, bahagian utara Bengkulu, bahagian barat Jambi, bahagian selatan Sumatera Utara, barat daya Aceh, dan juga Negeri Sembilan di Malaysia sebagai daerah rantau luar Indonesia.[4] Kebudayaan mereka adalah bersifat keibuan (matrilineal), dengan harta dan tanah yang diwariskan oleh anak perempuan daripada ibu, sementara urusan agama dan politik merupakan urusan kaum lelaki (walaupun sesetengah wanita turut memainkan peranan penting dalam bidang ini). Kini sekitar separuh orang Minangkabau tinggal di rantau, majoriti di bandar dan pekan besar Indonesia dan Malaysia. Orang Melayu di Malaysia banyak yang berasal dari Minangkabau, kebanyakan mereka tinggal di Negeri Sembilan serta juga Selangor dan Johor.

Quick facts: Kawasan ramai penduduk,  Indonesia (2000...
Minangkabau
ميناڠكاباو / ميناڠ

Tokoh Minangkabau; dari atas ke bawah:

Atas: Adityawarman, Rohana Kuddus, Imam Bonjol, Rasuna Said, Agus Salim.

Bawah: Sutan Syahrir, Abdul Muis, Mohammad Hatta, Tan Malaka, Chairil Anwar.
Kawasan ramai penduduk
 Indonesia (2000 census)5,475,000[1]
        Sumatera Barat3,747,000
        Riau535,000
        Sumatera Utara307,000
        Jakarta265,000
        Jawa Barat169,000
        Jambi132,000
 Malaysia538,826
Bahasa
Bahasa Minangkabau
Bahasa Melayu (termasuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia)
Agama
Majoriti Islam bermazhab Syafi'i
Close

Walaupun suku Minangkabau kuat dalam pegangan agama Islam, mereka juga kuat dalam mengamalkan amalan turun-temurun yang digelar adat. Beberapa unsur adat Minangkabau berasal dari fahaman animisme dan agama Hindu yang telah lama bertapak sebelum kedatangan Islam. Walau bagaimanapun, pengaruh agama Islam masih kuat di dalam adat Minangkabau, seperti yang tercatat di dalam pepatah mereka, Adat basandi syara', syara' basandi Kitabullah, yang bermaksud, adat (Minangkabau) bersendi hukum Islam dan hukum Islam bersendi Al Qur'an.[petikan diperlukan]

Orang Minangkabau sangat menonjol di bidang perniagaan, sebagai profesional dan intelektual. Mereka merupakan pewaris terhormat dari tradisi tua Kerajaan Melayu dan Sriwijaya yang gemar berdagang dan dinamik.[5] Suku Minang mempunyai masakan khas yang popular dengan sebutan Masakan Padang, yang sangat digemari di Negaranya Iaitu Indonesia, Bahkan sampai ke banyak negara luara[6] termasuk Malaysia dan Singapura.