Simanggang
bandar di Sarawak, Malaysia / From Wikipedia, the free encyclopedia
Simanggang merupakan sebuah bandar pelabuhan dan daerah yang terletak di Sarawak, Malaysia. Dahulunya dikenali sebagai Bandar Sri Aman, daerah ini merupakan pintu gerbang bagi pelawat untuk menuju ke Taman Negara Batang Ai dan melawat rumah panjang tadisional kaum Iban yang terdapat di sepanjang sungai tersebut. Selain Taman Negara, daerah ini juga terkandungnya Sungai Batang Lupar yang terkenal dengan kisah legenda Bujang Senang dan merupakan salah satu daripada kira-kira 400 sungai dan muara di dunia yang mengalami fenomena benak yang berlaku beberapa kali setahun[2]. Fenomena ini berlaku apabila benak sering kali muncul dari kuala dan memenuhi sungai dengan cepat dalam jangka masa kira-kira 10 minit, serta puncaknya boleh mencapai ketinggian 2-3 meter. Disebabkan ini, Pesta Benak sering diadakan setiap tahun.
Simanggang (Daerah) | |
---|---|
Daerah Sarawak | |
Nama panggilan: Bandar Benak | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Bahagian Simanggang |
Daerah | Simanggang |
Pentadbiran | |
• Pentadbiran | Majlis Daerah Sri Aman |
• Walikota | Anthony Abel ak Chendan |
Keluasan | |
• Jumlah | 3,845.7 km2 (1,484.8 batu persegi) |
Penduduk (2010[1]) | |
• Jumlah | 64,500 |
• Kepadatan | 17/km2 (43/batu persegi) |
Poskod | 95xxx |
Kawalan Kod Panggilan Antarabangsa | +6083 (Talian tetap) |
Laman sesawang | Laman web rasmi MDSA |
Pada asalnya, Simanggang merupakan nama asal daerah ini, sebelum ditukar dengan nama Sri Aman yang diilhamkan sejak dari tahun 1974 sempena peristiwa Deklarasi Sri Aman, apabila anggota Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang dipimpin oleh Bong Kee Chok menyerah diri kepada pegawai kerajaan Sarawak dan dimeterai oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakub pada 21 Oktober 1973. Namun demikian, penduduk daerah ini sudah lama mesra dengan nama Simanggang, sehingga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg menerima semula nama Simanggang pada 25 Oktober 2019.[3]
Simanggang juga terkenal dengan sejenis ikan yang begitu popular dalam kalangan penduduk tempatan, Ikan Bulu. Ikan ini ialah sejenis ikan sungai yang sering dipansuh (masak di dalam buluh) atau dipais (ikan dibalut dengan daun pisang atau daun apong dan dibakar). Terdapat juga ikan-ikan yang disalai seperti ikan jan salai & ikan lumek salai.