Asya'irah

From Wikipedia, the free encyclopedia

Asya'irah
Remove ads

Asya'irah atau Asy'ariyah (Arab: أشعرية al-ʾAšʿarīyah atau ٱلْأَشَاعِرَة al-ʾAšāʿirah) merupakan satu aliran utama dalam pengajian aqidah Ahli Sunah Waljamaah[1][2]. Aliran ini digagaskan oleh Imam Abu al-Hasan Ali al-Asyari,[3] seorang faqih mazhab Syafii dari abad ke-3 Hijrah/ke-9–ke-10 Masihi.[7] Ia merupakan aliran rasionalis aqli-naqli[13] yang bergandingan dengan kelompok Maturidiyah[6][14] dan Athariyah.[15][16]

Alirah Asy'ariyah mengasaskan jalan tengah antara aqidah aliran Athariyah dan Muktazilah dalam teologi Islam, yang bergantung pada kitab suci Islam dan juga rasionalisme teologi berkenaan dengan kuasa dan sifat-sifat Allah.[4] Asy'ariyah akhirnya menjadi aliran dominan dalam Ahli Sunah Waljamaah[5][17] dan dianggap aliran teologi paling penting dalam sejarah Islam.[5]

Antara tokoh Asy'ariyah yang terkenal ialah Imam Abu Hamid al-Ghazali, Sultan al-Ulama' Syeikh 'Izzuddin Abdul Salam, Imam Jalaluddin al-Suyuti, Ibnu al-Jauzi, al-Nawawi, Fakhr al-Din al-Razi, Ibnu Asakir, al-Subki, al-Taftazani, al-Baqillani dan al-Baihaqi.[18] Ulama dan ilmuwan yang mengikuti Asy'ariyah termasuk al-Biruni, Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis, Ibnu Battutah dan Ibnu Khaldun.[19][20]

Remove ads

Sejarah

Pengasas

Abu al-Ḥasan al-Asy'ari dilahirkan di Basra,[21] Iraq, dan merupakan keturunan Abu Musa al-Asy'ari, generasi pertama sahabat terdekat Nabi Muhammad.[22] Semasa muda beliau belajar dengan al-Jubba'i, seorang guru teologi Muktazilah dan falsafah yang terkenal.[23][24] Beliau terkenal dengan ajarannya tentang atomisme atau zarriyah,[25] antara falsafah Islam yang terawal, dan bagi al-Asy'ari inilah asas untuk menyebarkan pandangan bahawa Allah mencipta setiap saat dalam masa dan setiap zarah jirim. Walau bagaimanapun, beliau percaya kepada kebebasan memilih dan takdir, menghuraikan pemikiran Dirar bin 'Amr dan Abu Hanifah menjadi teori "dua ejen" atau "pemerolehan" (iktisab) kebebasan memilih.[26][halaman diperlukan]

Walaupun al-Asy'ari menentang pandangan aliran Muktazilah, beliau juga menentang pandangan yang menolak semua perdebatan (Arab: بلا كيف, lit.'tidak ada "bagaimana"'), yang dipegang oleh mazhab tertentu seperti mazhab Zahiri ("ahli literal"), Mujassimiyah (yang percaya Allah bertubuh badan), kerana terlalu menekankan. tentang meniru buta (taqlid) dalam karya beliau Istihsan al-Khaud:[25] Namun sebaliknya, Imam al-Asy'ari mengiyakan ayat-ayat yang samar-samar dalam Al-Quran (seperti tentang tangan dan mata) tanpa bertanya "bagaimana" dan tanpa makna (yakni, beliau menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah), yang disebut tafwid. Beliau juga membenarkan cara lain untuk menangani ayat-ayat yang samar-samar dalam al-Quran yang dipanggil ta'wil (tafsir berdasarkan bahasa Arab dan wahyu):

Terdapat satu golongan dalam kalangan masyarakat (iaitu, golongan Zahiriyah dan lain-lain) yang mempergunakan kejahilan mereka; perbincangan dan pemikiran rasional tentang hal-hal keimanan menjadi beban berat bagi mereka. Oleh itu, mereka cenderung kepada kepercayaan membuta tuli (taqlid) tanpa soalan. Mereka mengecam golongan yang cuba menaqlikan prinsip-prinsip agama sebagai "pembawa bidaah". Bagi mereka, perbincangan tentang pergerakan, pegun, jasad, kemalangan, warna, ruang, atom, pergerakan atom, dan sifat-sifat Allah adalah bidaah dan dosa. Mereka berkata bahawa jika perbincangan seperti itu benar, sudah pasti Rasulullah dan para Sahabat akan melakukannya. Mereka juga menekankan bahawa Rasulullah, sebelum kewafatan baginda, telah membincangkan dan menjelaskan sepenuhnya segala perkara yang penting dari segi agama dan tidak meninggalkan sebarang isu untuk dibahaskan oleh pengikutnya. Oleh sebab itu, perbincangan mengenai isu-isu ini dianggap sebagai bidaah.

Perkembangan

Asy'ariyah berkembang menjadi mazhab utama dalam falsafah Islam awal, dengan asasnya diasaskan oleh al-Asy'ari pada abad ke-3 Hijrah/ke-10 Masihi, berdasarkan metodologi yang diajarkan oleh gerakan Kullabi yang menggunakan hujah rasional untuk mempertahankan aqidah Ahli Sunah. Namun, mazhab Asy'ariyah telah berkembang banyak dalam sejarah, menyebabkan istilah Asy'ari menjadi luas dalam penggunaan moden (contohnya, perbezaan antara Ibnu Furak (m. 406 H) dan al-Baihaqi (m. 384 H)).[27][28]

Sebagai contoh, Asy'ariyah berpandangan memahami sifat dan ciri Allah adalah di luar kemampuan manusia. Penyelesaian yang dicadangkan oleh al-Asy'ari untuk menyelesaikan masalah tasybih (Arab: تشبيه, membandingkan Allah dengan ciptaan) dan taktil (Arab: تَعْطِيل‎, melucutkan sifat Allah) mengakui bahawa Zat Yang Maha Esa benar-benar memiliki sifat-sifat dan nama-nama yang disebutkan dalam al-Quran. Sifat-sifat dan nama-nama ini tersendiri daripada Zat Yang Maha Esa, tetapi ia tidak boleh wujud atau nyata tanpanya.

Idea al-Asy'ari dalam hal ini adalah untuk membezakan antara zat dan sifat sebagai konsep, serta memahami perbezaan antara zat dan sifat perlu dilihat pada tahap kualitatif, bukan kuantitatif—sesuatu yang pemikir Muktazilah gagal memahami.[29] Ahli teologi Asy'ariyah dikenali oleh golongan Muʿtazilah sebagai muthbitah (Arab: مثبتة, golongan yang meneguhkan).[30]

Thumb
Masjid Al-Zaytuna di Tunis, salah satu pusat pengajian Islam terpenting yang menyumbang kepada penyebaran pemikiran Asy'ariyah di Maghreb[31]
Remove ads

Pegangan

Dua sumber popular pandangan Asy'ariyah ialah Maqalat al-Islamiyin dan al-Ibanah 'an Usul al-Diyanah (Huraian tentang Dasar-dasar Agama).[32][33]

Allah dan Sifat-sifat Allah

Asy'ariyah mempunyai pandangan tentang sifat Allah yang unik kepada mereka, seperti:[34]

  • Wujud;
  • Sedia ada tanpa permulaan;
  • Kekal tanpa penghujung;
  • Mutlak dan bebas;
  • Tidak sama dengan ciptaan;
  • Esa;
  • Allah Maha Kuasa, Berkehendak, Mengetahui, Hidup, Melihat, Mendengar, dan Berkata-kata (sifat-sifat).

Allah dan Hubungan dengan Manusia

Mazhab Asy'ariyah dalam teologi Islam berpandangan:

  • Allah memiliki kekuasaan mutlak (Maha Kuasa).
  • Baik dan buruk berdasarkan perintah Allah. Kebaikan ialah apa yang diperintahkan oleh Allah—seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis—dan adalah adil; kejahatan ialah apa yang dilarang oleh Allah serta tidak adil.[35] Benar dan salah tidak ditentukan mengikut hati atau semula jadi, dan bukan realiti objektif.[36]
  • Tiada Hukum Semula Jadi: Disebabkan oleh keagungan Allah, tiada "hukum semula jadi" (seperti termodinamik atau graviti) kerana hukum-hukum sebegini meletakkan had terhadap kuasa Allah. Akan tetapi, ada "kebiasaan" atau "adat" Ilahi, yang mana "kesan tertentu" biasanya mengikut "sebab-sebab tertentu" dalam alam semula jadi.[37]
  • Semua Tindakan Manusia Dicipta oleh Allah: Oleh sebab kuasa Allah, semua tindakan manusia—malah keputusan untuk mengangkat jari—dicipta oleh Allah. Hal ini pernah menjadi kontroversi dalam sejarah Islam kerana manusia diadili berdasarkan tindakan mereka apabila dihantar ke syurga atau neraka. Tokoh-tokoh Asy'ariyah telah mendamaikan doktrin kebebasan memilih, keadilan, dan kekuasaan Allah dengan doktrin mereka sendiri tentang kasb (perolehan), yang mana manusia "memperoleh" tanggungjawab atas tindakan sendiri[38] walaupun tindakan tersebut dikehendaki dan dicipta oleh Allah.[37] Di bawah doktrin ini, manusia masih memiliki kebebasan memilih (atau lebih tepat, kebebasan niat) tetapi kebebasan manusia terbatas pada memilih antara kemungkinan yang dicipta oleh Allah.[16]
  • Al-Quran ialah Kalimah Allah yang Tidak Dicipta: Al-Quran bukan ciptaan Allah tetapi telah wujud sejak azali, seperti Allah. Namun, ia juga boleh dianggap diciptakan apabila ia muncul dalam bentuk huruf atau bunyi.[38]
  • Sifat Tersendiri Allah Tidak Dapat Difahami Sepenuhnya oleh Akal Manusia: Akal dan deria fizikal manusia tidak mampu memahami hakikat dan sifat unik Allah secara sepenuhnya.[35]
  • Akal ialah Kurniaan Allah: Akal fikiran ialah anugerah daripada Allah dan mesti digunakan untuk mencari ilmu pengetahuan.[16]
  • Pengajian Ilmiah Disyariatkan: Al-Quran dan Nabi Muhammad menganjurkan pengkajian intelektual, maka pentafsiran al-Quran dan hadis perlu berkembang dengan bantuan tafsir yang terdahulu.[39]
  • Hanya Allah yang Mengetahui Isi Hati: Hanya Allah yang tahu siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang tidak.[40]
  • Kebebasan Mutlak Allah untuk Menghukum atau Memberi Ganjaran: Allah memiliki "kebebasan mutlak" untuk "menghukum atau memberi ganjaran sesuka-Nya"[37] dan boleh mengampuni dosa penghuni neraka.[41]
  • Menyokong Kalām (Teologi Rasionalistik Islam): Mazhab Asy'ariyah menyokong kalām, iaitu pendekatan rasional dalam teologi Islam.

Nabi dan benda-benda ghaib

Asy'ariyah selanjutnya menegaskan umat Islam berpegang:

  • Pada semua nabi dan rasul Islam, daripada Nabi Adam hingga Nabi Muhammad.[42]
  • Nabi Isa akan kembali ke bumi dan mengalahkan Dajjal.[43]
  • Percaya kepada malaikat.[42]
  • Termasuk malaikat kubur (Munkar dan Nakir).[43]
  • Bahawa syaitan menggoda manusia, bertentangan dengan pandangan Muktazilah dan Jahmiyah (dua aliran ini hanya terdapat dalam Ibana).[44]
  • Syurga dan neraka wujud.
  • Bahawa doa untuk orang Islam yang mati dan sedekah sampai kepada mereka.[45]
  • Semasa tidur, mimpi boleh membawa petanda dan mempunyai tafsiran ("tafsiran" hanya terdapat dalam Ibana).[44]
  • Kewujudan ahli sihir dan sihir itu ialah kenyataan di dunia.[44]
  • Bahawa jin adalah nyata dan mampu merasuk tubuh manusia, walaupun tidak disebutkan dalam karya-karya di atas, ramai ahli Asy'ariyah menganggap ini sebagai sebahagian daripada aqidah.[46]
Remove ads

Asy'ariyah dan akal

Pada awalnya, Asy'ariyah dikatakan mengikuti kaedah yang menggabungkan akal dan wahyu.[47] Ini berbeza dengan sebahagian ahli Asy'ariyah yang menegaskan barang siapa beriman tanpa berfikir (mukallid) dia tidak boleh menjadi mukmin sebenar.[48] Pandangan ini menunjukkan bahawa menganut agama tanpa menggunakan akal dan fikiran dianggap tidak sah menurut mereka.

Zaman kemudiannya, sebahagian Asy'ariah mengutamakan akal dan meletakkan wahyu di tempat kedua, menyatakan bahawa wahyu tidak mungkin bertentangan dengan akal.[49] Contohnya termasuk al-Juwaini, al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, dan Qadi Baidawi. Majoriti Asy'ariyah menambah bahawa hanya akal yang memberikan ilmu tertentu, manakala wahyu hanyalah tekaan dan tidak dapat memberikan pengetahuan atau kepastian.[50] Kerana pandangan ini, mereka dikritik oleh golongan Salafi.[51]

Bertentangan dengan ini, sesetengah seperti al-Taftazani kadang-kadang menyatakan bahawa wahyu juga mewakili ilmu, manakala Ibnu al-Tilimsanī mengkritik al-Razi, bertanya kalau semua wahyu adalah tekaan, masakan pula fatwa dapat dijustifikasikan? Beliau menyatakan bahawa wahyu tidak boleh berasaskan tekaan semata-mata.[52]

Kitab-kitab utama Asy'ariyah

Hasil karya Imam Asy'ari termasuk:

  1. Al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah.
  2. Al-Luma’ fi Radd ‘ala Ahl al-Zaigh wa al-Bida‘.
  3. Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin.
  4. Risalah fi Istihsan al-Khawd fi ‘Ilm al-Kalam.
  5. Qawl Jumlah Ashab al-Hadith wa Ahl al-Sunnah fi al-I‘tiqad.
  6. Risalah fi Radd `ala Ahl al-Thughr bi-Bab al-Abwab.

Karya-karya imam mazhab seperti berikut

  1. Qawa’id al-‘Aqa’id karya Imam al-Ghazali.
  2. Al-Iqtisad fi al-I’tiqad karya Imam al-Ghazali

Tokoh ulama Asy'ariyah Tanah Melayu tidak kurang mengeluarkan kitab-kitab aqidah Asy'ariyah termasuklah.

  1. Durar al-Fara’id bi Syarh al-‘Aqa’id karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri
  2. Bidayah al-Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh
  3. Zahrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani
  4. Faridat al-Fara’id fi ‘Ilm al-‘Aqa’id karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani
  5. ‘Aqidat al-Najin fi ‘Ilm Usul al-Din karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani
Remove ads

Ulama-ulama Asy'ariyah

Tokoh-tokoh ulama yang terkemuka dalam golongan al-Asy'ariyah:[53]

Maklumat lanjut Tahun, Nama ...
Remove ads

Rujukan

Bibliografi

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads