KL Menjerit
Filem aksi romantik Malaysia 2002 arahan Bade Hj. Azmi From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
KL Menjerit ialah sebuah filem aksi romantik Malaysia 2002 arahan dan tulisan oleh Bade Hj. Azmi, dibintangi oleh Rosyam Nor, Lisdawati, Faizal Hussein, Liza Hanim, Hasnul Rahmat, Danny X-Factor dan Saiful Apek.[2] Berdasarkan dari skrip asal yang ditulis oleh Bade pada 1992, ia berkisarkan tentang Shahrol, seorang mat motor yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan bertemu dengan Ayu, seorang gadis kampung yang naif. Shahrol mendapati dirinya dicabar oleh Pit, yang mahu menguji kemahiran bermotor yang dimilikinya.[3][4][5]
KL Menjerit ditayangkan di pawagam pada 24 Januari 2002 oleh Tayangan Unggul.[6] Filem ini menerima pelbagai ulasan yang umumnya positif dan telah meraih kutipan pecah panggung hampir RM3 juta.[7] Ia telah menerima 8 kemenangan di Festival Filem Malaysia ke-16 dan 2 kemenangan di Anugerah Skrin 2003.[8][9] Prekuelnya, KL Menjerit 1 dikeluarkan pada 8 September 2005, manakala siri drama televisyen adaptasi filem ini disiarkan di Astro Ria pada 2008. Rosyam Nor dan Faizal Hussein kemudian menjayakan kembali watak masing-masing dalam filem Mat Moto arahan Pekin Ibrahim yang ditayangkan pada 2016.
Remove ads
Plot
Shahrol (Rosyam Nor), anak muda berusia 28 tahun berasal dari kampung di Perlis. Seorang yang agresif dan suka bertindak mengikut perasaan remajanya. Shahrol bersekolah setakat tingkatan empat. Kemudian Shahrol berhijrah ke Kuala Lumpur mencuba nasib. Tanpa kelulusan tinggi, dia hanya dapat kerja sebagai pembantu di bengkel motor. Kerana kesabarannya dia berjaya menjadi mekanik.
Kehidupannya dilingkungi dunia permotoran. Selain itu, Shahrol juga mempunyai kekasih bernama Linda Martopo (Liza Hanim). Bagaimanapun, pertemuan Shahrol dengan Ayu (Lisdawati) dan Tun (Hasnul Rahmat) banyak merubah hidup dan sikapnya. Shahrol bertemu Ayu di satu perlumbaan motor haram. Ayu baru tiba di Kuala Lumpur dari kampung untuk mencari kekasihnya, Mustaffa (Rashidi Ishak). Tetapi dia terperangkap oleh pengurus perlumbaan dan dijadikan sebagai anugerah bagi pemenang perlumbaan.
Pada awalnya Shahrol hanya berniat menolong Ayu tetapi akhirnya dia jatuh cinta dengan gadis itu. Tun yang berusia awal 20-an pula merupakan rakan baik Shahrol. Tun anak tunggal kepada seorang tokoh politik. Tun remaja bijak dan selalu mendapat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan. Orang tuanya tidak mengetahui Tun menghidap sejenis penyakit yang lama dideritai. Hidup sepi tanpa kasih sayang ibu bapa juga menjadi racun dalam hidupnya. Untuk mengisi kekosongan hidupnya, Tun berkawan dengan Shahrol.
Tun meskipun memiliki kehidupan dan harta serba lengkap tapi kehidupannya tidak 'terisi' kerana kurang cabaran dan perhatian seperti yang lain. Maka sebab itu dia bersahabat dengan Shahrul untuk mencari erti kehidupan sebenar disamping menambah kawan dan mencari pengalaman baru.
Remove ads
Pelakon
- Rosyam Nor sebagai Shahrul[1]
- Lisdawati sebagai Ayu (dialih suara oleh Jeslina Hashim)[1]
- Faizal Hussein sebagai Pit[1]
- Danny X-Factor sebagai Mamat[1][10]
- Saiful Apek sebagai Kilat[1]
- Liza Hanim sebagai Linda Martopo[1]
- Rahim Razali sebagai Senator[1]
- Hasnul Rahmat sebagai Tun[1]
- Rashidi Ishak sebagai Mustaffa[1]
- Vanida Imran sebagai Isteri Mustaffa[1]
- Sathiya sebagai Jiran Mustaffa[1]
- Kudsia Kahar sebagai Jururawat[1][11]
- Khairil Rashid sebagai Wartawan[1]
- Fatimah Abu Bakar sebagai Isteri Senator[1]
- Said Prono sebagai Pak Guard[1]
- Annahita Bakavoli[1]
Remove ads
Penerbitan
KL Menjerit ialah filem kedua terbitan Tayangan Unggul selepas filem Sara (2001).[12] Ia merupakan filem ketiga arahan Bade Hj. Azmi, yang dikenali menerusi hasil kerjanya sebagai jurukamera untuk beberapa filem tempatan.[13][14][15] Beliau menulis skrip asal filem ini pada 1992 dengan jiwa yang marah dan memberontak. Kemudian ia diolah semula pada 1997 mengikut kedewasaan dan kematangan yang dilalui.[16][17]
Rosyam Nor dipilih melakonkan watak sebagai Shahrol, seorang mat moto. Watak ini dipilih sebagai tanda penghargaan kepada pelumba motosikal profesional, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, yang pernah muncul dalam iklan anti lumba haram tajaan Petronas.[18] KL Menjerit merupakan penampilan kedua Rosyam sebagai watak utama selepas Suami, Isteri dan .....? (1996). Menurut Rosyam, beliau menerima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ingin mencuba watak lelaki romantik sambil menjelaskan belum pernah memegang watak lelaki yang sedang bercinta melainkan dalam drama sahaja.[19] Beliau juga mengakui watak Shahrol lakonannya diinspirasikan dari pengalamannya sebagai mat moto semasa zaman remajanya.[20] Lisdawati, yang ketika itu dikenali sebagai Nisdawati (nama sebenar beliau), memegang watak sebagai Ayu, seorang gadis kampung. KL Menjerit ialah filem kedua lakonannya dan filem pertama beliau sebagai pelakon utama.[21][22] Ditanya mengenai penglibatannya dalam filem itu, beliau berkata: "Seperti tidak percaya apabila saya terpilih beraksi dengan mereka yang lebih berpengalaman,".[23] Penyanyi, Liza Hanim memegang watak sebagai Linda Martopo. KL Menjerit menjadi percubaan sulung beliau dalam bidang lakonan, beliau turut menyumbangkan runut bunyi filem ini yang bertajuk "Gelisah Mimpi".[24][25][26]
KL Menjerit ialah filem pertama Raja Mukhriz Raja Kamaruddin sebagai pengarah fotografi. Beliau sebelum ini pernah menjadi pengarah fotografi untuk beberapa filem pendek yang dihasilkannya semasa menuntut di Akademi Filem Malaysia (AFM).[8] Penyampai radio ERA (kini bekas), Kudsia Kahar dan Seelan Paul membuat penampilan khas. Kos pembikinan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta. Penggambaran dijalankan selama 45 hari pada Mei dan Jun 2001 di beberapa lokasi menarik di Kuala Lumpur termasuk KLCC dan Kampung Baru; Litar Batu Tiga, Shah Alam, Selangor; Johor Bahru, Johor dan Perlis.[27][28][29]
Remove ads
Gaya dan tema
Menurut Utusan Malaysia, KL Menjerit menyentuh isu lumba haram dan aktiviti sosial di bandar raya Kuala Lumpur, namun mengambil pendekatan klise dan lumrah dalam filem Melayu. Aspek pencahayaan tidak dikawal dengan baik menyebabkan dalam beberapa adegan, di mana perakamannya agak kaku dan dalam adegan-adegan lain, ia gagal mencipta mood yang dikehendaki.[8] Akhbar itu juga memerhatikan bahawa resah dan gelisah golongan remaja agresif di Kuala Lumpur yang sepatutnya menjadi asas filem ini gagal diangkat sebaiknya sekaligus menjadi latar yang tidak jelas.[8]
Remove ads
Keluaran dan sambutan
KL Menjerit dikeluarkan pada 24 Januari 2002 di 22 pawagam seluruh negara dan menjadi filem Melayu pertama yang ditayangkan pada suku pertama 2002.[30][31][32] Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM800,000 dalam tempoh 5 hari selepas tayangan perdana rasmi.[33][34] Kutipannya meningkat sebanyak RM1.6 juta dalam tempoh 13 hari.[35] Pada minggu seterusnya, KL Menjerit berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.4 juta.[36][37]
Zulkarnain Arba'ain dari Berita Minggu dalam ulasan retrospektifnya menulis bahawa filem ini ialah karya yang "sungguh mantap dan jalan ceritanya tersusun rapi dengan plot yang bersesuaian". Beliau berpendapat "adanya unsur suspen, lucu, aksi dan sedih".[38] Menulis untuk Harian Metro, Abie Abdullah berpendapat watak lakonan Rosyam Nor dalam KL Menjerit berjaya lari dari kebiasaan watak-watak "aksi lasaknya dalam Lenjan dan Gerak Khas The Movie atau lawaknya dalam Suami, Isteri dan .....?".[39] Huzz dari Utusan Malaysia memberikan penarafan empat daripada lima bintang untuk filem ini.[40]
KL Menjerit telah dipertontonkan buat pertama kali di televisyen menerusi saluran Astro Showcase sepanjang Mac 2002.[41] Pada Oktober, filem ini bersama-sama dengan filem Idola terpilih mewakili Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-47 (FFAP47) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.[42][43]
Pada Mac 2017, Harian Metro menyenaraikan KL Menjerit sebagai salah satu daripada 10 karya aksi terbaik.[44]
Remove ads
Anugerah
KL Menjerit telah menerima 8 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-16, memenangi kesemua 8 kategori, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.[45][46][47] Di Anugerah Skrin 2003, filem ini telah menerima 2 daripada 3 pencalonan termasuk Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh Bade Hj. Azmi dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk Rosyam Nor. Ia juga dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik di anugerah sama, namun dimenangi oleh filem Embun.[48][49]
Remove ads
Kesinambungan
Prekuel
Pada Jun 2003, susulan kejayaan filem KL Menjerit yang mendapat sambutan di pawagam, Tayangan Unggul mengumumkan bahawa filem ini akan disambung dengan Bade kembali mengarah dan menulis skrip.[50][51] Diberi tajuk KL Menjerit 1, ia diterbitkan sebagai prekuel sekaligus diiktiraf sebagai filem prekuel pertama Malaysia.[51] Rosyam Nor juga akan kembali memegang watak sebagai Shahrol dan digandingkan bersama Erra Fazira. Turut kembali beraksi ialah Danny X-Factor dan Saiful Apek dengan penambahan beberapa pelakon baru termasuk Que Haidar, Zul Huzaimy dan Sheera Iskandar.[51] Penggambaran dijalankan pada Mac dan Mei 2004. KL Menjerit 1 ditayangkan di pawagam pada 8 September 2005, 3 tahun selepas kejayaan filem pertama.[52]
Adaptasi televisyen
Sebuah siri drama televisyen adaptasi filem ini, KL Menjerit The Series disiarkan di Astro Ria dari 25 Februari hingga 4 April 2008.[53] Watak Shahrol yang dilakonkan oleh Rosyam Nor untuk versi filem, telah dilakonkan oleh Adi Putra. Barisan pelakon lain termasuk Que Haidar, Ijoy Azhari, Fizz Fairuz, Nasrizal Ngasri, Julia Ziegler, Ayu Raudhah dan Ainul Aishah. Skrip drama ini ditulis oleh Farhana Fauri dengan Gayatri Su-Lin Pillai berkhidmat sebagai penasihat penerbitan, manakala Fairuz Loy berkhidmat sebagai pengarah.[53]
Remove ads
Trivia
Lisdawati Nazaruddin asalnya menggunakan nama 'Nisdawati' pada kredit filem ini. Kemudian bertukar kepada Lisdawati dan kekal dengan nama itu sehingga kini. Suara Ayu dalam filem itu juga bukan suara beliau dan menggunakan suara pelakon lain (dubbing) sewaktu fasa pos-produksi.
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads