Bencana Chernobyl
From Wikipedia, the free encyclopedia
Bencana Chernobyl (Rusia: Катастрофа Чернобыляcode: ru is deprecated ) ialah sebuah kemalangan nuklear yang berlaku pada 26 April 1986 di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine (nama rasmi: Republik Sosialis Soviet Ukraine), yang ketika itu berada dalam bidang kuasa langsung pihak berkuasa pusat di Moscow. Sebuah kejadian letupan dan kebakaran melepaskan sejumlah besar bahan pencemar radioaktif ke dalam atmosfera, yang tersebar ke sebahagian besar Eropah Timur. Ia dianggap ramai sebagai kemalangan logi kuasa nuklear yang paling dahsyat dalam sejarah, dan juga merupakan yang pertama daripada dua kejadian yang diberi taraf 7 dalam Skala Kejadian Nuklear Antarabangsa (selain kemalangan nuklear Fukushima I).[1] Usaha menahan peluasan pencemaran serta mengelakkan berlakunya malapetaka yang lebih besar melibatkan lebih 500,000 orang pekerja dan menelan belanja kira-kira 18 bilion ruble, sehingga menyebabkan kegawatan ekonomi Soviet.[2]
Tarikh | 26 April 1986 (1986-04-26) |
---|---|
Masa | 01:23 (Waktu Moscow UTC+3) |
Lokasi | Pripyat, RSS Ukraine, Kesatuan Soviet (kini Ukraine) |
Penyebab | Kemalangan nuklear |
Bencana ini berlaku sewaktu sesi ujian sistem pada hari Sabtu, 26 April 1986 di reaktor nombor empat loji Chernobyl yang terletak dekat dengan bandaraya Prypiat dan juga dekat sekali dengan sempadan Belarus dan Sungai Dnieper. Secara tiba-tiba, berlakunya pertambahan keluaran kuasa yang mendadak; apabila pihak loji cuba melakukan penutupan kecemasan, terjadi pula kenaikan keluaran kuasa yang lebih melampau, sehingga bekas reaktor pecah dan berlakunya beberapa letupan. Kejadian-kejadian ini mendedahkan penyerdehana grafit reaktor ke dalam udara dan menyebabkannya bernyala.[3] Kebakaran yang tercetus itu melepaskan sekepul luruhan asap yang amat radioaktif ke dalam atmosfera dan ke seluruh kawasan yang besar termasuk Pripyat. Kepulan itu tersebar ke merata tempat di rantau barat Kesatuan Soviet dan Eropah. Pada tahun 1986 hingga 2000, 350,400 orang dipindahkan dari kawasan-kawasan yang paling teruk tercemar di Belarus, Russia, dan Ukraine.[4][5] Menurut data rasmi pasca-Soviet,[6][7] kira-kira 60% luruhan itu melanda Belarus.
Kemalangan ini membangkitkan kebimbangan orang ramai akan keselamatan industri kuasa nuklear Soviet dan juga kuasa nuklear pada umumnya, maka peluasan penggunaan tenaga nuklear terbantut selama beberapa tahun dan kerajaan Soviet terpaksa kurang berahsia tentang tatacara nuklearnya.[8] Tindakan kerajaan menyembunyikan bencana Chernobyl daripada rakyatnya merupakan "pemangkin" bagi dasar glasnost yang "membuka laluan kepada usaha pembaharuan yang akhirnya menumbangkan Kesatuan Soviet."[9]
Russia, Ukraine, dan Belarus sama-sama dibebankan dengan perbelanjaan pembersihan dan penjagaan kesihatan yang cukup banyak dan masih meningkat akibat kemalangan Chernobyl. Satu laporan dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa[7] mengkaji kesan kemalangan tersebut kepada alam sekitar. Anggaran bilangan kematian yang mungkin berpunca daripada kemalangan itu sangat berbeza-beza: 31 kematian didapati berpunca secara langsung daripada kemalangan itu, kesemuanya di kalangan kakitangan reaktor dan para petugas kecemasane.[10] Satu laporan UNSCEAR menetapkan jumlah kematian yang disahkan akibat radiasi pada 64 orang setakat tahun 2008. Pertubuhan Kesihatan Sedunia berpendapat bahawa jumlah kematian itu mungkin mencecah 4,000 orang awam, tidak termasuk pekerja pembersihan dari tentera.[11] Satu lagi laporan menduga seramai 30,000 hingga 60,000 kematian akibat penyakit barah daripada luruhan Chernobyl,[12] tetapi satu laporan Greenpeace menganggarkan jumlah mangsa itu seramai 200,000 orang mangsa.[13] Senaskhah kertas kerja Rusia yang bertajuk Chernobyl membuat kesimpulan bahawa 985,000 kematian akibat barah pramatang berlaku di seluruh dunia pada tahun-tahun 1986 hingga 2004 akibat pencemaran radioaktif dari Chernobyl.[14]