From Wikipedia, the free encyclopedia
Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ialah prosiding inkues yang ditetapkan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam, Selangor pada 11 Februari 2019 sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.[1]
Pada 27 Disember 2018, Berita Harian melaporkan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib. Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patologi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak. Dalam prosiding inkues itu, Majistret akan mempunyai kuasa luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.[2]
Peguam undang-undang jenayah, Datuk N Sivananthan, berkata tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang inkues diadakan dalam masa terdekat walaupun laporan kematian belum dikeluarkan oleh pihak hospital. Inkues dibuat apabila punca kematian tidak dapat dipastikan dan prosiding itu akan menyiasat siapa dan apa sebenarnya yang menyebabkan kematian Adib. Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria menyatakan Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari 2019 bagi pengurusan kes inkues Muhammad Adib.[3]
Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid mahukan keadilan tanpa pilih kasih sekiranya kerajaan mahu melaksanakan inkues bagi menentukan sebab kematian anak kedua mereka.[4] Beliau berkata:
"Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela. Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib. Apabila ia dilaksanakan... ia diharap dilakukan secara adil bagi mencari punca dan mereka yang bersalah,"[4]
Pada 28 Disember 2018, Mahkamah Shah Alam menetapkan pada 18 Januari 2019 bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib.[5]
Hari pertama bagi prosiding inkues kematian Muhammad Adib bermula pada 11 Februari 2019. Prosiding berlangsung di Kompleks Mahkamah Koroner Shah Alam yang bermula pada jam 10 pagi dan dilakukan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad serta dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim. Antara yang menghadiri prosiding tersebut termasuk kumpulan saksi yang terdiri daripada anggota bomba, saksi awam serta anggota keluarga.[6]
Prosiding inkues kematian Adib diteruskan pada 25 Februari susulan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan sementara prosiding inkues yang diadakan bagi menyiasat punca kematian beliau.[7] Prosiding ditangguhkan pada 28 Februari selepas peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor tidak dapat hadir kerana mengalami migrain.[8][9][10]
Prosiding berakhir pada 27 September 2019 apabila Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Adib ialah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar daripada van bomba pada waktu kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong oleh saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.[11] Keluarga Adib kemudiannya menyatakan mereka berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib segera dibawa ke muka pengadilan.[12]
Media melaporkan bahawa kerajaan telah didesak bagi menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam tempoh 48 jam bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib supaya keadilan kepada beliau disiasat seperti kes kematian Teoh Beng Hock.[13] Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagaimanapun menyatakan tiada keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kematian Adib.[14][15]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.