From Wikipedia, the free encyclopedia
Lorong merupakan satu bahagian jalan raya yang ditandakan untuk digunakan oleh satu barisan kenderaan untuk mengawal aliran trafik pemandu serta mengurangkan konflik. Kebanyakan jalan raya awam mempunyai sekurang-kurangnya dua lorong - selorong bagi setiap hala - serta dipisahkan oleh garisan penanda lorong. Lebuh raya utama mempunyai dua bahagian jalan yang dipisahkan oleh pembahagi jalan, setiap satunya mempunyai berbilang lorong. Jalan raya selorong pula berkongsi satu lorong yang sama untuk lalu lintas di kedua-dua arah. Sesetengah jalan raya perbandaran menggunakan nama "lorong" walaupun mempunyai dua lorong atau lebih, misalnya Lorong Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur. Jalan raya kecil luar bandar selalunya dirujuk sebagai jalan kampung.
Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menetapkan lebar minimum jalan raya mengikut kelas piawaian masing-masing. Kebanyakan jalan raya di Malaysia mempunyai lebar lorong antara 3.25 - 3.5 m, manakala lebuh raya mempunyai lebar lorong minimum 3.5 m. Jalan raya selorong pula mempunyai lebar lorong minimum 5 m termasuk bahu jalan, bagi membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat.
Sepanjang sebahagian besar sejarah manusia, jalan raya tidak perlu ditanda kerana kebanyakan orang berjalan kaki atau menunggang kuda pada kelajuan yang perlahan. Selain itu, penandaan permukaan jalan juga mempunyai kos penyelenggaraan yang mahal.
Semasa kereta, lori dan bas mula digunakan secara meluas sepanjang dua dekad pertama abad ke-20, pelanggaran berdepan semakin kerap berlaku.
Terdapat dua orang yang dinamakan dalam penciptaan penandaan jalan. Pada tahun 1911, Edward N. Hines, pengerusi Suruhanjaya Jalan Raya Wayne County, Michigan cuba menjadikan jalan raya lebih selamat. Dia mendapat idea mengecat garisan tengah bagi mengasingkan lorong-lorong trafik setelah menunggang di belakang sebuah lori susu yang tertumpah ke atas jalan sehingga meninggalkan garisan.
June McCarroll, seorang doktor dari Indio California mula bereksperimen dengan mengecat garisan pada jalan raya pada tahun 1917 setelah dia dilanggar oleh seorang pemandu lori. Pada November 1924, setelah bertahun-tahun dilobi oleh Dr. McCarroll dan sekutunya, California akhirnya menerima secara rasmi dasar mengecat garisan pada jalan raya. Sebahagian jajaran Interstate 10 berhampiran Indio dinamakan sebagai Lebuhraya Memorial Dr. June McCarroll atas jasa-jasanya.
Menjelang 1939, penandaan lorong menjadi begitu popular sehinggakan ia mula diseragamkan di Amerika Syarikat, sebelum sistem tersebut ditiru di seluruh dunia.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.