From Wikipedia, the free encyclopedia
Kelompok Pemberontak Perancis (Perancis: La Résistance ) berjuang menentang Jerman Nazi yang menduduki negara tersebut serta pihak Rejim Vichy yang bersubahat dengan relanya[2] semasa Perang Dunia Kedua. Kelompok ini terdiri daripada "sel" kumpulan kecil lelaki dan wanita bersenjata (dipanggil Maquis di kawasan pedalaman)[3][4] yang tidak sahaja merancang kegiatan perang gerila mereka tetapi juga menerbitkan akhbar rahsia yang membangkang pemerintahan Nazi, pemberi maklumat sulit serta mengawasi laluan keluar untuk pihak tentera Berikat dan penerbang tentera udara yang terperangkap di kawasan musuh.
Golongan yang menyertai Pemberontak ini datang dari semua lapisan masyarakat, ekonomi dan fahaman politik di Perancis termasuk para imigran, golongan akademik dan pelajar, bangsawan, penganut Katolik Rom (termasuk paderi) dan juga rakyat yang berfahaman liberal, anarkis dan komunis.
Kehidupan rakyat di Perancis berjalan seperti biasa meskipun setelah Pertempuran Perancis dan gencatan senjata Perancis-Jerman yang ditandatangani berdekatan Compiègne pada 22 Jun 1940. Walau bagaimanapun, pihak-pihak Jerman dan Vichy mula menggunapakai taktik dan dasar yang menggerunkan dan bertujuan menundukkan penduduk negara tersebut.
Perancis diarahkan membayar gantirugi untuk pendudukan mereka sendiri yang kononnya menampung angkatan seramai 3000,000 askar sehingga mencecah 20 juta Reichsmark (bersamaan dengan 400 juta franc Perancis); menaikkan harga barangan secara mendadak[5] lalu menyebabkan kurangnya bekalan makanan dan malnutrisi[6] terutamanya dalam kalangan anak-anak, warga tua serta warga kelas pekerja buruh[7]. Ekonomi Perancis turut terbeban akibat penghantaran wajib buruh Perancis ke Jerman di bawah polisi Service du Travail Obligatoire[8][9] serta penahanan banyak warga mereka di sana.[10]
Pengawalan dan penapisan yang ketat, propaganda yang berlanjutan serta perintah berkurung banyak mewujudkan suatu suasana yang menakutkan dalam kalangan penduduk.[11]
Parti Komunis Perancis diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh pihak pemerintah pimpinan Édouard Daladier[12] selepas termeterainya Pakatan Molotov–Ribbentrop dan permulaan Perang Dunia Kedua pada 1939 - kebanyakan pemimpinnya sama ada dipenjarakan mahupun terpaksa menyembunyikan operasi mereka.[13] Mereka hanya bisa giat merancang pemberontakan mereka dengan maranya pihak Jerman ke Kesatuan Soviet pada tahun 1941,[14][15] di mana mereka mendapat pengalaman mereka melalui pelaksanaan operasi rahsia mereka sewaktu Perang Saudara Sepanyol.[13]
Penglibatan pihak Vichy yang bersekutu bersama pihak Nazi yang melancarkan dasar-dasar pembasmian kaum Yahudi terutamanya mendorong penglibatan masyarakat kaum tersebut - meskipun golongan ini merupakan satu peratus penduduk negara se-Perancis, mereka membentuk ~15–20 peratus keanggotaan dalam puak pemberontakan ini[16] termasuk para pendatang dari Hungary.[17] Masyarakat orang Armenia turut memainkan peranan yang aktif dalam pergerakan ini.[18][19]
Penerbitan akhbar rahsia merupakan antara perkara pertama yang dilakukan golongan pemberontak. Akhbar-akhbar sebegini cenderung mempunyai satu muka surat sahaja disebabkan pengharaman penjualan bahan mentah yang turut termasuk dakwat dan kertas. Ada juga daripada akhbar-akhbar ini yang lebih tertumpu kepada golongan pekerja tertentu, sama ada untuk mengenalpasti pihak yang bersubahat dengan tentera Jerman (Le Médecin Français untuk para doktor), menunjukkan cara bantuan logistik untuk membantu golongan pemberontak (misalnya La Terre untuk para petani menghantarkan bekalan makanan) mahupun untuk menggoyahkan semangat pihak lawan (Unter Uns disasarkan kepada pihak Jerman dengan berita mengenai kekalahan tentera tersebut di Medan Timur).[20]
Sabotaj turut dilakukan terhadap di kemudahan-kemudahan yang membantu dalam usaha peperangan Jerman Nazi. Banyak makmal rahsia diwujudkan untuk menghasilkan bahan letupan sebagai senjata serangan, namun ada juga daripada mereka yang mencuri bahan letupan dalam gedung simpanan pihak Jerman secara senyap-senyap. Landasan kereta api yang membawa bahan-bahan pengilangan untuk tujuan perang turut dirosakkan dengan sengajanya, terutamanya di kawasan pergunungan. Malah, langkah ini lebih digemari kerana keberkesanannya, terutama lagi ketika maraan pihak Berikat ke kawasan Normandie dan Provence pada tahun 1944 yang merumitkan pergerakan pihak Jerman di sana.[21]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.