![cover image](https://wikiwandv2-19431.kxcdn.com/_next/image?url=https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/10/Steam_distilation.jpg/640px-Steam_distilation.jpg&w=640&q=50)
Penyulingan wap
From Wikipedia, the free encyclopedia
Penyulingan wap ialah kaedah pemisahan yang terhasil daripada penyulingan air bersama-sama komponen meruap dan tidak meruap. Wap daripada pendidihan air akan membawa wap komponen yang meruap ke pemeluwap (Condenser); kedua-duanya disejukkan dan kembali kepada keadaan cecair atau pepejal, manakala sisa kompaun tidak meruap akan kekal di belakang dalam bekas mendidih.
![Thumb image](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/10/Steam_distilation.jpg/640px-Steam_distilation.jpg)
Kebiasaanya, bahan meruap tidak akan bercampur dengan air, dan ia akan secara spontan membentuk fasa yang berbeza selepas pemeluwapan, membolehkan ia dipisahkan melalui dekantasi atau dengan corong pemisah.[1]
Penyulingan wap boleh digunakan apabila takat didih bahan yang akan diekstrak adalah lebih tinggi daripada air, dan bahan permulaan tidak boleh dipanaskan pada suhu tersebut kerana penguraian atau tindak balas lain yang tidak diingini. Penyulingan akan menjadi lebih efektif apabila jumlah bahan yang dikehendaki adalah kecil berbanding dengan sisa tidak meruap. Ia sering digunakan untuk memisahkan minyak pati yang meruap daripada bahan tumbuhan. [2] contohnya, untuk mengekstrak limonene (takat didih pada suhu 176 °C) daripada kulit oren.
Penyulingan wap suatu ketika dahulu merupakan sebuah kaedah makmal yang popular untuk penulenan sebatian organik, tetapi kaedah ini telah digantikan dengan kaedah yang lebih efektif seperti penyulingan vakum dan pengekstrakan cecair superkritikal. Walau bagaimanapun, ia lebih mudah dan menjimatkan daripada alternatif tersebut, dan kekal penting dalam sektor perindustrian tertentu.
Dalam bentuk yang paling mudah, penyulingan air atau penyulingan hidro, air dicampur dengan bahan permulaan dalam bekas mendidih. Dalam penyulingan stim langsung, bahan permulaan digantung di atas air dalam sebuah kelalang yang mendidih, disokong oleh jaringan logam atau skrin berlubang. Dalam penyulingan stim kering, wap dari dandang dipaksa mengalir melalui bahan permulaan dalam bekas yang berasingan. Perkembangan kaedah penyulingan wap mengubah prosedur penyulingan dengan membenarkan wap dipanaskan di atas takat didih air (sehingga menjadi wap panas lampau), untuk pengekstrakan yang lebih cekap. [3]