From Wikipedia, the free encyclopedia
Romantisisme (disebut [ro.man.ti.sis.me], Perancis: Romantisme , Jerman: Romantik ) merupakan suatu pergerakan seni, kesusasteraan, muzik dan intelektual yang muncul di Eropah dengan tempoh puncaknya sekitar 1800 hingga 1850. Ia dicirikan penumpuan kepada emosi dan keindividualan serta penyanjungan segala benda yang bersejarah, kuno dan mendekati alam sekitar. Ia merupakan hasil tindak balas kepada perubahan meluas yang berlaku akibat Revolusi Perindustrian,[1] norma-norma masyarakat dan politik Zaman Pencerahan yang bersifat keatasan serta rasionalisasi alam sekitar—kesemua ciri ini merupakan asas kepada kemodenan.[2] Gerakan ini menekankan emosi yang kuat sebagai sumber pengalaman penuh estetika yang sahih selain juga kepada emosi seperti ketakutan, seram dan keganasan, dan kagum; terutamanya perasaan yang dialami dalam menghadapi kategori sublimit serta keindahan alam sekitar. Ia meninggikan dan menjadikan seni rakyat dan adat resam kuno serta bukan sahaja sebagai suatu unsur yang diagungkan, tetapi juga kespontanan sebagai ciri yang diinginkan.
Semangat dan jiwa yang digalang pergerakan ini tidak sahaja menonjol dalam seni visual, muzik dan sastera, malah juga terhadap pendekatan dalam mencatat dan menulis mengenai sejarah,[3] pendidikan umum,[4] serta cabang- cabang sains masyarakat dan semula jadi.[5][tiada dalam ayat yang diberikan] Keadaan ini juga banyak mempengaruhi fahaman politik yang utama termasuk liberalisme, radikalisme, konservatisme dan nasionalisme.[6]
Pergerakan ini dipercayai muncul daripada peluasan aspek seni dibawa karya-karya penceritaan berprosa umum di Eropah yang meluas pada abad ke-18[7] di mana karya-karya ini sering mengemukakan tema pengembaraan, kesetiaan dan kehormatan.[8] Karya-karya ini sering ditulis dalam bahasa-bahasa Romawi (langues romanes, lingue romanze) berbanding bahasa Latin yang dianggap terhad dalam lingkungan formal,[7] maka bentuk medium ini diberi nama "roman" (Roman, romanzo) - ia turut diserapkan malah pernah dilazimkan dalam bahasa Melayu[9]:II[10] semasa zaman Poedjangga Baroe (seperti pada karya Hamka) sebelum terganti dengan nama "novel" pinjaman bahasa Inggeris.
Titik mula peluasan idea dibawa karya-karya ini mula dicetuskan tahun 1790-an oleh August Wilhelm Schlegel dan Karl Wilhelm Friedrich Schlegel yang membincangkan perbezaan romantische Poesie ("puisi romantik") yang wujud sezaman mereka dengan karya-karya terdahulu "klasik"; Friedrich Schlegel turut mengukuhkan pembezaan ini dalam karangan Gespräch über die Poesie ("Pembicaraan mengenai Puisi", 1800) yang menekankan nukilan William Shakespeare dan Miguel de Cervantes sebagai contoh karya "romantik" sedemikian.[11][12] Takrifan ini semakin dibiasakan dalam catatan De l'Allemagne (1813) karya Germaine de Staël yang menceritakan perjalanannya serata Jerman.[13]
Sastera yang dinukilkan pada zaman ini sering datang daripada membangkitkan atau menilai semula kejadian atau peristiwa yang berlaku pada zaman-zaman terdahulu serta menghubung kuat dengan emosi atau persekitaran latar yang diwujudkan dalam karya.
Reka bina yang wujud dalam lewat abad ke-18 tercetus secara tindak balas terhadap aliran neoklasik yang dianggap terlalu tegar dengan membangkitkan perasaan nostalgia terhadap zaman atau masyarakat yang lebih mudah dan damai atau sebagai menghormati tradisi setempat sedia ada, lagi-lagi yang asal Zaman Pertengahan ataupun sastera sezaman yang turut terdedah gerakan ini seperti karya-karya Victor Hugo and Walter Scott.[14]
Unsur Romantisis mula ditonjolkan dalam lukisan panorama dari seawal tahun 1760-an: para pelukis sering melukis landskap pemandangan dan fenomena alam sambil menekankan kesan dramatis pada cahaya, atmosfera da warna-warna sekitaran untuk menggambarkan alam yang difikirkan dinamis dan mampu menyebabkan rasa takjub pada pemerhati.[15] Lukisan-lukisan ini adakala juga boleh menerapkan perlambangan dan alegori sambil kelihatan agak kelangkaan sepertimana yang dibuat karyawan Jerman seperti P. O. Runge dan Caspar David Friedrich.[15]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.