From Wikipedia, the free encyclopedia
Serangan Mumbai November 2008 ialah satu siri serangan pengganas teratur yang berlaku di Mumbai, iaitu pusat kewangan dan bandar raya terbesar di India. Serangan bermula pada 26 November 2008 dan berakhir pada 29 November 2008 apabila pasukan keselamatan India melancarkan Operasi Black Tornado untuk mengawal semula semua tempat kejadian.[8] Sekurang-kurangnya 188 orang[4] terbunuh menakala sekurang-kurangnya 293 lagi cedera dalam kejadian.[9]
Serangan Pengganas di Mumbai 2008 | |
---|---|
Locations of the attacks | |
Lokasi | Mumbai, India |
Tarikh | 26 November 2008, 21:20[1] – 29 November 2008 (IST, UTC +5:30) |
Jenis serangan | Pengeboman, tembak-menembak, krisis tebusan[2] |
Senjata | RDX, AK-47, Type 56 dan bom tangan[3] |
Kematian | 188[4] |
Cedera | 294[5] |
Pelaku | Lashkar-e-Taiba[6][7] |
Lapan serangan berlaku di kawasan Mumbai Selatan, iaitu Stesen Keretapi Chhatrapati Shivaji Terminus,[10] Hotel Oberoi Trident,[10] Hotel Taj Mahal Palace & Tower,[10] Leopold Cafe,[10] Hospital Cama,[10] Rumah Nariman milik Yahudi Ortodoks,[11] Metro Cinema,[12] dan sebatang lorong di belakang bangunan Times of India di belakang Kolej St. Xavier.[10] Letupan juga terjadi di limbungan Mazagaon di kawasan pelabuhan Mumbai. Insiden kesepuluh merupakan letupan teksi di Vile Parle berhampiran lapangan terbang, tetapi sebarang kena-mengena dengan sembilan serangan lain adalah tidak jelas.[13]
Pada awal pagi 28 November, kesemua tempat kejadian kecuali Taj Mahal Palace ditawan oleh polis dan pasukan keselamatan. Tindakan yang diambil Pengawal Keselamatan Negara pada 29 November menamatkan kejadian Taj Mahal Palace, sekaligus menamatkan segala pertempuran.[14]
Mula-mulanya, sebuah pertubuhan yang bergelar Deccan Mujahideen mengaku bertanggungjawab.[15] Tidak lama kemudian, Mohammad Ajmal Amir Kasab,[16] iaitu satu-satunya pengganas yang ditawan hidup-hidup, mendedahkan identiti penyerang sebagai ahli-ahli Lashkar-e-Taiba, iaitu pertubuhan militan di Pakistan yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh India, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan lain-lain lagi.[17] Satu perbicaraan mahkamah pada 6 Mei 2010 menjatuhkan hukuman mati terhadap Ajmal Kasab atas lima dakwaan.
Serangan-serangan tersebut dikecam masyarakat dunia.[18]
Pakistan pada awalnya menafikan rakyatnya bertanggungjawab terhadap serangan ini, sebaliknya menyalahkan dalang dari Bangladesh dan penjenayah India,[19] suatu dakwaan yang dinafikan India,[20] dan menyatakan mereka memerlukan maklumat daripada India dahulu, mengenai beberapa pengeboman lain.[21] Pihak berkuasa Pakistan akhirnya bersetuju pada 7 Januari 2009 yang para penyerang itu orang Pakistan,[22][23] dan membuka kes terhadap tiga rakyat Pakistan.[24]
Kerajaan India memberikan bukti kepada Pakistan dan kerajaan lain, dalam bentuk rekod soal siasat, senjata dan rakaman perbualan semasa serangan.[6] Sebagai tambahan, pegawai kerajaan India menyatakan yang serangan ini amat canggih dan para penyerang mesti mendapat bantuan daripada "agensi" Pakistani, suatu tuduhan yang dinafikan Pakistan.[25][23]
Pada Oktober 2010, satu laporan India dikeluarkan, meringkaskan risikan yang diperolehi daripada soal siasat India terhadap David Headley.[26] Ia mendakwa yang agensi perisikan Pakistan (ISI) tekah memberikan sokongan untuk serangan tersebut dengan menyediakan dana untuk misi peninjauan di Mumbai.[27] Laporan ini turut memuatkan dakwaan Headley bahawa ketua komander tentera Lashkar-e-Taiba Zaki-ur-Rahman Lakhvi, mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Pengarah ISI.[nyatakan menurut siapa?][26] Dia mengatakan yang "setiap tindakan besar LeT dilakukan dengan koordinasi rapat ISI."[27]
Sekurang-kurangnya 188 orang terbunuh[4], termasuk kira-kira 40 umat Islam dan warga-warga dari 10 negara.[28] Mangsa terkorban terdiri daripada 141 orang awam India, 17 anggota polis dan 30 warga asing, iaitu 4 warga Amerika, 4 warga Australia, 3 warga Jerman, 2 warga Israel-Amerika, 2 warga Israel, 2 orang Kanada, 2 warga Perancis, 1 warga Itali, 1 warga Britain, 1 warga belanda, 1 warga Jepun, 1 warga Jordan, 1 warga Malaysia, 1 warga Mauritius, 1 warga Mexico, 1 warga Singapura dan 1 warga Thailand.[29][30][31][32][33][34][35]
Selain itu, sembilan orang pengganas terbunuh sementara seorang lagi ditangkap.[36]
Kebanyakan mayat tebusan dan penyerang menampakkan kesan seksaan atau pencacatan.[37] Seorang pakar perubatan Mumbai yang mengkaji mayat-mayat tersebut berkata, "Nampaknya kebanyakan mereka yang terkorban telah diseksa" dan "Di kalangan semua mayat, mangsa Israellah yang paling banyak kesan seksaan."[37] Laporan yang sama mencatat bukti bahawa "kematian pengganas juga tidak kemas," memetik pakar tersebut: "Muka mereka [penyerang] sukar dikenal pasti lagi."[37] Laporan tersebut membuat kesimpulan bahawa angkatan komando India mengambil dasar menghapuskan musuh begitu sahaja setelah dianggap bahawa tiada lagi tebusan yang masih hidup.[37]
27 orang luar lain dari pelbagai negara tercedera dalam kejadian lalu dikejarkan ke Hospital Bombay. Sumber hospital menyatakan mereka terdiri dari warga Australia, AS, UK, Kanada, Jerman, Sepanyol, Norway, Finland, Oman, China, Jepun, Filipina dan Jordan.[34]
Andreas Liveras, seorang usahawan kapal layar yang memegang dua kerakyatan iaitu Cyprus Greek dan British, adalah antara mangsa yang terkorban[38]; begitu juga dengan penerbit TV Jerman Ralph Burkei, dan usahawan pakaian dalam wanita Perancis Loumia Hiridjee dan suaminya.[39][40] Pasangan suami isteri yang ditahan di Rumah Nariman, Rabai Gavriel Noach Holtzberg dan Rivka Holtzberg yang mengandung enam bulan, juga diseksa dan dibunuh.[41][42][43]
Menurut ketua menteri negeri Maharashtra, Vilasrao Deshmukh, 15 orang anggota polis dan dua orang komando NSG terkorban, termasuk pegawai berikut:[44][32]
Tiga orang pegawai Chhatrapati Shivaji Terminus turut terbunuh dalam kejadian.[46][47] Kerajaan Maharashtra mengumumkan pampasan sebanyak Rs. 5 lakh (kira-kira AS$10,000) kepada sanak-saudara mangsa yang terkorban dan Rs. 50,000 (kira-kira AS$1,000) kepada yang cedera parah.[48]
Lokasi | Jenis pembunuhan | Maut | Terselamat |
---|---|---|---|
Pelabuhan Mumbai | Tembak-menembak; tebusan. | 4 | tiada |
Stesen kereta api Chhatrapati Shivaji Terminus (Victoria) | Tembak-menembak; bom tangan. | 58[49][50] | tiada |
Leopold Cafe, Colaba | Tembak-menembak; letupan bom tangan.[51] | 10[52] | none |
Taj Mahal Palace & Tower hotel | Tembak-menembak;[53] enam letupan; kebakaran di tingkat bawah, pertama, dan atas; tebusan;[29] RDX ditemui berhampiran.[54] | around 40 (1 commando) | kira-kira 250 |
Hotel Oberoi Trident | Tembak-menembak; letupan; tebusan; kebakaran. | 30[55] | 143 |
Metro Cinema | Tembak-menembak dari jip polis yang terampas.[56] | kira-kira 10 | tiada |
Hospital Cama | Tembak-menembak; tebusan.[57] | 5 anggota polis[49] | tiada |
Rumah Nariman (Rumah Mumbai Chabad) | Pengepungan; tembak-menembak; tebusan.[58] | 7 (1 komando)[59][60] | 9 |
Pinggiran Vile Parle, Mumbai Utara | Letupan bom kereta.[61] | 1[62] | tiada |
Lorong di belakang wisma Times of India | Polis ditembak mati | 9 orang polis | tiada |
Limbungan Mazagaon | Letupan; bot berisi senjata dirampas.[63] | tiada | tiada |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.