Anjing gembala

jenis anjing From Wikipedia, the free encyclopedia

Anjing gembala
Remove ads

Anjing gembala, juga dikenali sebagai anjing ternakan atau anjing pekerja, ialah sejenis anjing yang sama ada telah dilatih dalam penggembalaan haiwan ternakan atau tergolong dalam salah satu baka yang dikembangkan untuk penggembalaan. Anjing yang dilatih secara khusus untuk menggembala biri-biri dikenali sebagai anjing gembala biri-biri dan yang dilatih untuk menggembala lembu dikenali sebagai anjing lembu.[perlu rujukan]

Thumb
Seekor kelpie Australia di atas belakang biri-biri
Thumb
Seekor koolie yang bekerja dengan biri-biri
Thumb
Anjing gembala biri-biri yang diangkut dengan haiwan ternakan di Fairlie, New Zealand
Remove ads

Tingkah laku penggembalaan

Thumb
Seekor collie sempadan berusia sembilan minggu yang mengarah itik

Semua tingkah laku penggembalaan merupakan tingkah laku pemangsaan terubah suai. Melalui pembiakbakaan terpilih, manusia telah dapat meminimumkan kecenderungan semula jadi anjing untuk melayan lembu dan biri-biri sebagai mangsa sambil secara serentak mengekalkan kemahiran perburuan anjing, lalu mewujudkan anjing gembala berkesan.[1][2]

Anjing dapat mengerjakan haiwan lain dengan pelbagai cara. Sesetengah baka, seperti anjing lembu Australia, biasanya menggigit tumit haiwan (atas sebab ini ia dipanggil anjing penumit) dan corgi Wales Cardigan dan corgi Wales Pembroke dari segi sejarah digunakan dengan cara sama dalam penggiringan lembu yang memindahkan lembu dari Wales ke Pasar Daging Smithfield di London tetapi jarang digunakan untuk penggembalaan kini.

Baka lain, terutamanya collie sempadan, meletakkan diri di hadapan haiwan dan menggunakan hal yang dipanggil mata kuat untuk merenung haiwan berkenaan sehingga tunduk;[3] ia dikenali sebagai header. Header atau anjing pengutip ini mengekalkan haiwan ternakan dalam kelompok. Ia secara tekal pergi ke hadapan atau ke arah kepala haiwan berkenaan untuk membelokkan atau menghentikan pergerakan haiwan itu. Anjing penumit atau anjing penggiring pula terus mendorong haiwan tersebut ke hadapan. Biasanya, ia kekal di belakang kawanan ternakan. Kelpie Australia dan koolie Australia menggunakan kedua-dua kaedah ini dan juga berjalan di sepanjang belakang biri-biri sehingga dikatakan head ("menghala ke kepala"), menumit ("menggigit tumit"), dan membelakang ("berjalan di atas belakang").[1][2][4] Jenis lain seperti anjing gembala Australia, anjing gembala Inggeris, dan anjing gembala Wales adalah bermata sederhana hingga kendur, kerana bekerja dengan lebih bebas. Huntaway New Zealand menggunakan salakan lantang dan dalamnya untuk mengumpulkan kawanan biri-biri.[5] Anjing gembala Belgium Malines, anjing gembala Jerman, dan anjing gembala Brie dahulu merupakan anjing penjaga, yang bertindak sebagai "pagar hidup", yang membimbing kawanan besar biri-biri untuk meragut, sambil menghalang biri-biri tersebut daripada memakan tanaman berharga dan berkeliaran ke jalan raya.

Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur semasa memperkenalkan anjing kepada haiwan ternakan atau dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Individu yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[6]

Remove ads

Peristilahan

Di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Syarikat, anjing gembala dikenali sebagai anjing pekerja tanpa mengira pembiakbakaannya.[7] Sesetengah baka gembala bekerja dengan baik dengan mana-mana jenis haiwan; yang lain pula telah dibiakbakakan selama bergenerasi untuk bekerja dengan jenis haiwan spesifik dan telah mengembangkan ciri fizikal atau gaya kerja yang meningkatkan keupayaannya untuk mengendalikan haiwan ini. Haiwan yang biasanya dikumpulkan termasuk lembu, biri-biri, kambing, dan rusa kutub,[6] namun pengendalian ayam itik oleh anjing bukan perkara luar biasa.[1]

Istilah "anjing gembala" kadang-kadang digunakan dengan salah untuk memerihalkan anjing penjaga haiwan ternakan, yang fungsi utamanya adalah untuk menjaga kawanan ternakan daripada pemangsa dan pencurian, dan ia tidak mempunyai naluri penggembalaan. Walaupun anjing gembala boleh menjaga kawanan ternakan, tujuan utamanya adalah untuk menggerakkan haiwan ternakan tersebut; kedua-dua anjing gembala dan anjing penjaga haiwan ternakan mungkin dipanggil "anjing [gembala] biri-biri".

Secara umum apabila mengkategorikan baka anjing, anjing gembala dianggap sebagai subkategori anjing pekerja, tetapi untuk pertunjukan pengakuran, anjing gembala biasanya membentuk kumpulan terpisah.

Australia mempunyai stesen lembu dan stesen biri-biri terbesar di dunia dan sesetengah anjing gembala paling terkenal, seperti koolie, kelpie, anjing penumit merah dan biru yang dibiakbakakan dan terdapat di sana.

Remove ads

Asal usul anjing gembala

Pewujudan baka anjing gembala dikaitkan dengan perkembangan pembiakbakaan lembu. Pembelajinakan biri-biri dan kambing bermula pada alaf ke-8–ke-7 SM. Pada asalnya, proses ini bermula di Asia Barat, di wilayah Iran dan Iraq moden. Penggembalaan biri-biri ialah tugas sukar: para gembala primitif tidak mempunyai kuda dan memindahkan lembu mereka untuk meragut rumput dengan berjalan kaki kerana kuda dan keldai belum dibelajinakkan sepenuhnya dan cukup patuh. Anjing yang sebelum ini membantu manusia dalam perburuan, menjadi pembantu dalam penyelenggaraan haiwan ternakan. Tugas utama untuk anjing pada peringkat awal pembiakbakaan lembu ialah melindungi kawanan daripada pelbagai pemangsa liar, yang sangat banyak.[8]

Thumb
Relief Rom bagi seorang gembala

Fungsi ini menentukan ciri-ciri anjing gembala: ia perlu kuat, ganas, berani, tegas, dapat berdiri sendirian menentang pemangsa besar dan, yang paling penting, bersedia untuk mempertahankan kawanan ternakannya. Sejarah leluhur anjing gembala dapat dikesan kembali ke enam ribu tahun lalu. Penemuan arkeologi bagi tinggalan-tinggalan sendi biri-biri dan anjing bertarikh kembali ke tahun 3685 SM.[9] Tempat asalnya dianggap sebagai wilayah Turki, Iraq, dan Syria moden. Anjing gembala biri-biri disebut dalam Perjanjian Lama, tulisan Cato yang Tua dan Marcus Terentius Varro. Imejnya ditemukan dalam karya seni yang dicipta lebih daripada dua ribu tahun lalu. Anjing ini digunakan bukan hanya untuk menjaga kawanan ternakan, tetapi juga untuk tujuan ketenteraan.[10]

Dari rantau-rantau Asia Barat, penggembalaan tersebar ke barat dan ke utara, diikuti oleh peningkatan bilangan haiwan bela jinak. Di wilayah Eropah, pendahulu kepada anjing gembala muncul pada abad ke-6 hingga ke-7 SM. Menurut penyelidikan arkeologi, pembiakbakaan lembu dan pertanian tersebar ke seluruh Eropah dengan cara berlainan: di sepanjang Sungai Donau dan Sungai Rhein ke wilayah Jerman moden, Perancis utara, dan Belanda, melalui Laut Mediterranean ke Pergunungan Alp, menaiki Sungai Rhône ke Perancis tengah dan barat daya.[8][9]

Terdapat bukti bahawa budaya Chiribaya menjaga dan menggunakan sejenis anjing gembala, yang dikenali sebagai anjing Chiribaya.[perlu rujukan] Anjing Chiribaya dipercayai digunakan untuk penggembalaan llama dan dipandang cukup tinggi oleh orang Chiribaya sehingga disemadikan di dalam kubur masing-masing; kerap juga, tapak perkuburan juga menyertakan selimut atau makanan.[11]

Perkembangan pertanian, peningkatan bilangan petempatan, dan pengasasan kota telah menyebabkan penurunan bilangan pemangsa. Selepas kepupusan pemangsa besar di kebanyakan Eropah dan Great Britain, dengan penyebaran besar-besaran pembiakbakaan biri-biri dan dengan peningkatan bahagian tanah cucuk tanam dan berpenduduk, tugas utama anjing gembala adalah untuk melindungi tanaman, kawasan persendirian dan kawasan terlindung daripada kerosakan semasa merumput dan penggerakan kawanan ternakan. Anjing gembala lebih sesuai untuk kerja ini berbanding dengan baka lebih besar dan lebih kuat, kerana bersaiz sederhana dan mudah alih. Anjing sedemikian menguruskan haiwan ternakan kecil dan besar, serta burung bela jinak. Sebagai tambahan kepada jenis gembala Eropah Tengah, satu lagi jenis anjing telah muncul, kerap dengan bulu tebal, yang lebih sesuai untuk kawasan lebih sejuk. Anjing ini telah menunjukkan bukan hanya keupayaan untuk menguruskan kawanan ternakan, tetapi juga untuk melindungi kawanan tersebut. Dengan penyebaran pembiakbakaan rusa kutub dalam kalangan orang utara, anjing pemburu mirip spits telah "dilatih semula" menjadi gembala.[10]

Kebanyakan baka anjing gembala Eropah Tengah – dengan telinga tegak dan bulu pendek pada kepala, yang serupa dengan serigala, terutamanya terbentuk pada abad ke-16 hingga abad ke-17. Baka anjing berbulu keriting daripada jenis Eropah Utara terbentuk kemudian.[8]

Remove ads

Ciri fizikal

Thumb
Seperinduk anak anjing gembala Australia yang menonjolkan warna lapis bulu berlainan, termasuk variasi merle biru dan triwarna hitam

Semasa proses pemilihan, ciri fizikal anjing dibentuk, lalu membolehkannya melakukan tugasnya dengan cara terbaik yang mungkin. Tanpa mengira keadaan kerja anjing gembala dan fungsi yang dilaksanakan, kesemuanya mempunyai sebilangan ciri lazim. Anjing gembala adalah kuat dan mempunyai banyak stamina. Kakinya terlindung dengan baik daripada duri dan batu tajam: jari kaki termampat menjadi ketulan ketat, tapak kakinya tebal, dan cakarnya kuat. Lapis bulunya mempunyai struktur dan ketumpatan untuk melindunginya daripada kebasahan dan suhu melampau yang lazim di rantau asal usul baka. Semua anjing gembala mempunyai penglihatan dan pendengaran cemerlang. Warna anjing lembu berbeza-beza dan bergantung pada pilihan pembiak baka tempatan, tetapi semua anjing gembala patut mempunyai kelopak mata, bibir, hidung, dan tapak kaki yang berpigmen dengan baik, kerana kulit merah jambu terlalu lembut dan terdedah kepada luka dan selaran matahari.

Banyak banyak anjing dibiakbakakan secara terpilih untuk trait fizikal yang akan memanfaatkannya di persekitarannya. Anjing lembu Australia, sebagai contoh, terdapat dengan dua warna utama, iaitu biru dan merah. Kedua-dua warna lapis bulu utama ini menampilkan variasi, termasuk bintik dan belak.[12] Collie sempadan menonjolkan corak serupa dengan anjing gembala Australia, seperti variasi hitam dan putih, ungu lembut, merle, dan triwarna.[13] Lapis bulu sederhana atau panjang anjing gembala Patagonia terdapat dengan banyak warna, yang membolehkannya bukan hanya terlindung daripada kesejukan dan mungkin salji, tetapi juga menyamar dengan rantau berbatu Magallanes.[14] Kebanyakan baka anjing gembala berukuran berat sederhana hingga besar dan dibiakbakakan untuk menjadi berotot, langsing, dan tangkas untuk melaksanakan tugasnya.[15]

Remove ads

Anjing gembala di seluruh dunia

Banyak bahagian dunia mempunyai anjing gembala spesifik yang telah dibiakbakakan untuk persekitaran atau kerja spesifik masing-masing. Walaupun terdapat anjakan banyak anjing kepada anjing keluarga, anjing tersebut masih mengekalkan trait kecirian ini.

Anjing Lap Finland berasal dari Lapland, Finland, dengan rekod-rekod terawal pada tahun 7,000 SM.[16] Anjing ini mengkhusus dalam penggembalaan rusa kutub dan cenderung untuk mempunyai lapis bulu ganda tebal yang membantunya untuk mengharungi musim sejuk dan salji.[17]

Thumb
Seekor anjing Samoyed, digambarkan pada 1926. Anjing Samoyed cukup terkenal kerana bulu gebu, tebal, putih metahnya.

Jauh ke timur, anjing Samoyed berasal daripada penghuni separa nomad Asia dan setepatnya dinamai sempena kelompok itu yang bergantung pada anjing ini untuk kehidupan seharian. Baka anjing Samoyed ber-evolusi bersama-sama dengan gaya hidup orang Samoyed; ia beralih daripada pemburuan rusa kutub liar kepada penggembalaan dan pembelajinakan rusa kutub. Selain bulunya yang merupakan penebat dan penyamar cemerlang di tanah airnya di Siberia, lapis bulu bawahnya kerap dipintal menjadi wul oleh orang Samoyed dan digunakan untuk pakaian.[18]

Di Chile, anjing gembala Patagonia yang jarang digunakan dengan kerap untuk menggembala biri-biri dan haiwan ternakan ladang lain. Anjing gembala Patagonia dibiakbakakan secara terpilih pada tahun 1900-an untuk penggembalaan biri-biri dengan anjing gembala kelabu lama Wales sebagai penyumbang besar.[14]

Thumb
Seekor anjing gembala Bergamo dengan tekstur bulu "kepul" uniknya

Di Eropah, terdapat banyak baka anjing gembala khusus. Khususnya, terdapat empat keragaman beriktiraf anjing gembala Belgium, iaitu groenendael, laekenois, malinois, dan tervueren.[19] Malinois Belgium dibiakbakakan pada asalnya sebagai teman ladang serba guna dan boleh harap. Ini termasuk penggembalaan pelbagai haiwan ternakan, seperti kambing, biri-biri, malah itik.[19] Pada zaman lebih kini, malinois Belgium lebih lazim digunakan dalam kerja polis dan penyelamatan di seluruh dunia.

Anjing gembala Bergamo berasal dari pekan gunung Bergamo, Itali. Ia terkenal sebagai salah satu baka anjing dengan lapis bulu "kepul" rapat. "Kepulan" khas ini dipilih untuk melindungi anjing tersebut daripada iklim dan pemangsa semasa menggembala biri-biri di kawasan curam Pergunungan Alp.[20]

Thumb
Seekor corgi Wales Pembroke yang sedang dihakimi. Corgi mudah dikenal pasti dengan tungkai pendek dan tubuh panjangnya, yang diutamakan pada masa lalu untuk gaya penggembalaannya.

Anjing gembala Shetland berasal dari England, khususnya England barat.[18] Pada asalnya, ia digunakan untuk penggembalaan biri-biri dan kuda. Sejak itu, ia telah menjadi anjing keluarga dan anjing pekerja lazim di Amerika Syarikat, serta pesaing popular ketangkasan.[21]

Corgi Wales Pembroke berasal dari tahun 1107, iaitu semasa Henry I dari England mempelawa para penenun Flemish ke Wales Selatan untuk bekerja. Corgi telah berkhidmat untuk banyak tujuan sepanjang sejarah. Baka ini cemerlang dalam penggembalaan haiwan ternakan, seperti biri-biri dan lembu; baka corgi dengan ketaranya menggigit tumit lembu untuk menggembala dan, oleh sebab pendirian rendahnya, mempunyai kelebihan untuk mengelak tendangan balas. Kini, kedua-dua corgi Wales Pembroke dan corgi Wales Cardigan merupakan anjing lazim dalam keluarga diraja Britain.[18]

Remove ads

Di dunia moden

Thumb
Anjing gembala Australia, yang pada asalnya digunakan semata-mata sebagai anjing gembala, telah menjadi salah satu baka anjing teman paling popular di Amerika Utara.

Di negara-negara dengan pemuliharaan penggembalaan, anjing gembala terus bekerja untuk tujuan utamanya dan dihargai sebagai pembantu berkesan dan malah tidak boleh ditukar ganti yang dapat menjimatkan kos buruh dan mengelakkan pelaburan untuk peralatan mahal. Kajian ekonomi di Australia telah menunjukkan bahawa anjing gembala bernilai lebih daripada lima kali ganda kosnya, termasuk pelatihan dan penyelenggaraan. Sementara itu, kepopularan dan bilangan anjing gembala semakin meningkat dan skop kerja untuknya semakin mengecil.[22]

Pada abad ke-21, anjing gembala kerap dipilih sebagai haiwan peliharaan keluarga. Baka collie termasuk collie berjanggut dan collie sempadan cukup terkenal, begitu juga kelpie Australia dan kelpie pekerja Australia, corgi Wales. Ia sesuai sebagai anjing keluarga dan melakukan tugasnya dengan sebaik yang mungkin.[1] Anjing ini telah dibiakbakakan sebagai anjing pekerja dan perlu aktif secara fizikal dan mental. Ia mengekalkan naluri penggembalaannya dan kadang-kadang mungkin menggigit tumit orang atau melanggar orang dalam usaha untuk 'menggembala' keluarganya dan mungkin perlu dilatih untuk tidak berbuat demikian.[1] Tahap kegiatan dan kecerdasannya menjadikannya atlet anjing cemerlang. Anjing gembala Australia, anjing gembala Shetland, collie kasar, collie licin, dan anjing gembala lama Inggeris adalah lebih popular sebagai anjing pendamping keluarga.[1]

Anjing baka gembala kini kerap tinggal di kejiranan bandar atau pinggir bandar. Pemiliknya perlu mengekalkan kesihatan fizikal dan mentalnya, dengan mengambil kira naluri dan kualiti penggembalaannya. Perkhidmatan jurulatih anjing sangat diperlukan, bersama-sama dengan pusat latihan untuk anjing gembala pekerja dan anjing gembala sukan, yang menawarkan penyewaan biri-biri dan sesi berjalan di padang ragut. Anjing yang tinggal di pinggir bandar dan di kampung dapat bekerja dengan kumpulan kecil haiwan atau ayam itik. Kadang-kadang para pemilik malah membeli segelintir biri-biri supaya anjing mereka dapat menikmati tujuan asal pembiakbakaannya.[23][24]

Gabungan keupayaan pembelajaran cepat, kekuatan fizikal, daya ketahanan, tingkah laku pemangsaan dengan dedikasi terhadap pemilik, dan keinginan untuk bekerja telah membawa kepada penggunaan meluas bagi anjing gembala Eropah besar untuk sebilangan pekerjaan awam dan ketenteraan lain. Ini merupakan anjing polis dan ketenteraan paling lazim ynag digunakan dalam pengawalan, pencarian, penyelamatan, dan jenis perkhidmatan lain.[8][25] Dunia moden menyediakan tugas baharu, yang berjaya diselesaikan dengan bantuan anjing. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, angsa yang dilindungi oleh undang-undang kerap menimbulkan masalah serius untuk kehidupan dan pekerjaan. Di sini, collie sempadan dan anjing gembala lain yang bermata kuat digunakan untuk meronda tanaman, kawasan kediaman dan rekreasi, taman, pantai, padang golf dan, terutama sekali, lapangan terbang. Perlindungan daripada burung dengan bantuan anjing gembala ternyata menjadi cara paling berkesan dan satu-satu cara yang mudah dilaksanakan: dengan berjalan melalui kawasan rondaan beberapa kali sehari, anjing memaksa angsa untuk menetap di tempat lain yang supaya menyebabkan kurang masalah, manakala alam semula jadi tidak dijejaskan.[26]

Semua anjing gembala lahir sebagai atlet. Keperluan tingginya untuk kegiatan fizikal dan intelektual dapat ditambah bukan sahaja dengan ragut rumput sukan, tetapi juga oleh jenis sukan anjing lain. Collie sempadan merupakan pemilik kualiti sukan luar biasa, manakala anjing gembala Belgium dan anjing gembala Australia sentiasa menduduki kedudukan utama dalam ketangkasan, flyball, frisbee, tarian anjing dan kepatuhan. Pada masa sama, dalam perkhidmatan, untuk anjing sukan dan anjing pertunjukan daripada baka gembala yang tidak berinteraksi dengan ternakan, naluri penggembalaan beransur-ansur melemah.[8][23]

Penggembalaan kompetitif

Thumb
Anjing gembala sukan tanah tinggi

Rencana utama: Ujian anjing gembala

Sukan anjing kompetitif yang melibatkan anjing gembala yang menggerakkan haiwan di sekeliling padang, pagar, pagar, atau kandang seperti yang diarahkan oleh pengendalinya dipanggil ujian anjing gembala, ujian penggembalaan, atau ujian anjing ternakan bergantung pada kawasan.[a] Acara sedemikian terutamanya dikaitkan dengan kawasan ladang bukit, yang dijejaki oleh biri-biri secara meluas di tanah yang sebahagian besarnya tidak berpagar. Ujian ini popular di United Kingdom, di Ireland, di Afrika Selatan, di Chile, di Kanada, di Amerika Syarikat, di Australia, di New Zealand,[27] dan di negara pertanian lain, malah kadang-kadang menjadi acara televisyen waktu puncak.[28]

Di Amerika Syarikat, acara kerap dikendalikan oleh United States Border Collie Handler's Association, Australian Shepherd Club of America, American Kennel Club, dan banyak lagi.[6]

Harga rekod sedunia untuk collie sempadan pekerja, iaitu Liz, dipecahkan pada Mei 2024 pada Jualan Anjing Pekerja Ray White Livestock Rockhampton di tapak-tapak jualan ternakan Gracemere, Greenland, dengan harga £32,150.00 ($40,000) untuk James dan Helen Parker.[29] Rekod sebelumnya adalah pada tahun 2023 dengan harga £26,508.07 ($33,000) yang merupakan saudara tiri kepada Liz, iaitu Sid, dan dijual kepada orang sama, iaitu James dan Helen Parker yang membeli Liz pada tahun 2024.

Arahan anjing gembala asasi

Thumb
Seekor collie sempadan yang sedang bekerja dengan biri-biri
  • Come by atau hanya by - pergi ke arah kiri haiwan ternakan, atau mengikut arah jam mengelilingi haiwan ternakan.
  • Away to me, atau hanya away atau way - pergi ke arah kanan haiwan ternakan, atau mengikut arah lawan jam mengelilingi haiwan ternakan.
  • Stand ("berdiri") - berhenti, tetapi apabila dikatakan dengan lembut mungkin juga bermakna hanya untuk perlahan.
  • Wait ("tunggu"), (lie) down ("baring") atau sit ("duduk") atau stay ("kekal") - berhenti, tetapi kekal berhubung dengan haiwan ternakan...jangan lepaskan dengan pergi.
  • Steady atau take time - perlahan.
  • Cast - kumpulkan haiwan ternakan ke dalam kelompok. Anjing pekerja baik menjangkau kawasan luas. Ini bukan perintah tetapi atribut.
  • Find ("cari") - cari haiwan ternakan. Anjing bagus menahan haiwan ternakan sehingga gembala tiba. Sesetengah anjing menyalak apabila haiwan ternakan telah dikesan.
  • Get out ("keluar") atau back ("ke belakang", "berundur") - jauhi haiwan ternakan. Digunakan apabila anjing bekerja dengan terlalu dekat dengan haiwan ternakan, berpotensi menyebabkan tekanan kepada haiwan ternakan. Sesekali dijadikan teguran.
  • Keep away atau keep - Digunakan oleh sesetengah pengendali sebagai arah dan jarak dari biri-biri.
  • Hold ("tahan") - kekalkan haiwan ternakan di tempatnya.
  • Bark ("salak") atau speak up ("bersuara") - menyalak terhadap haiwan ternakan. Berguna apabila lebih banyak daya diperlukan, dan biasanya tidak penting untuk mengerjakan lembu dan biri-biri.
  • Look back ("lihat ke belakang") - kembali untuk haiwan terlepas. Juga digunakan selepas kandang disiapkan dan bergabung semula dengan kawanan biri-biri.
  • In here ("di sini") atau here ("[di] sini") - melalui celah dalam kawanan. Digunakan semasa mengasingkan haiwan ternakan.
  • Walk up ("berjalan ke hadapan"), walk on, atau hanya walk ("berjalan") - bergerak lebih dekat kepada haiwan ternakan.
  • That will do ("itu sudah cukup") - berhenti bekerja dan kembali kepada pengendali.

Arahan-arahan ini mungkin ditunjukkan dengan pergerakan tangan, wisel, atau suara. Terdapat banyak arahan lain yang juga digunakan semasa mengerjakan haiwan ternakan dan pada umumnya digunakan jauh daripada haiwan ternakan. Arahan anjing gembala biasanya diajarkan dengan menggunakan haiwan ternakan sebagai modus operandi. Pemilik di bandar tanpa akses kepada haiwan ternakan dapat mengajarkan arahan asasi melalui permainan penggembalaan.[6]

Ini bukan semua arahan yang digunakan: terdapat banyak variasi. Apabila wisel digunakan, setiap anjing biasanya mempunyai set arahan berlainan untuk mengelakkan kekeliruan apabila beberapa ekor anjing sedang bekerja pada satu masa.

Remove ads

Lihat juga

Catatan

  1. Acara United States Border Collie Handler's Association dirujuk sebagai ujian anjing gembala atau ujian anjing lembu. Ujian Australian Shepherd Club of America dirujuk sebagai ujian anjing ternakan. Pertandingan yang ditaja oleh American Kennel Club (AKC) dikenali sebagai acara penggembalaan.

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads