Anjing gembala Maremma-Abruzzo

baka anjing dari Itali From Wikipedia, the free encyclopedia

Anjing gembala Maremma-Abruzzo
Remove ads

Anjing gembala Maremma-Abruzzo[a] ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Itali. Ia peribumi di Itali Tengah, terutamanya di rantau Maremma di Toscana dan di Lazio dan di kawasan utara Itali Selatan, khususnya Abruzzo. Ia telah digunakan selama berabad-abad oleh gembala Itali untuk menjaga biri-biri daripada serigala. Rujukan "Maremma" pada namanya diterbitkan daripada tanah rawa Maremma yang, sehingga baru-baru ini, menjadi tempat untuk gembala, anjing, dan beribu-ribu biri-biri menetap sepanjang musim sejuk[2]:33 dan tempat yang masih mempunyai banyak anjing baka ini walaupun penternakan biri-biri sudah berkurangan dengan banyak. Walau bagaimanapun, baka ini masih digunakan secara meluas di rantau Abruzzo yang berdekatan dan berkait rapat secara kebudayaan dengan rantau itu, yang masih mempunyai penggembalaan biri-biri yang kekal penting kepada ekonomi pedalaman dan serigala (khususnya serigala Appennino) yang kekal sebagai pemangsa giat dan terlindung. Bahagian "Abruzzo" dalam nama baka anjing ini diterbitkan daripada jumlah banyaknya di Abruzzo dan di kawasan sekeliling.

Fakta Segera Nama lain, Negara asal ...

Ia mungkin mengongsi leluhur bersama dengan baka-baka Eropah lain dengan penampilan dan fungsi serupa termasuk anjing gunung Pyrénées, kuvasz dari Hungary, anjing gembala Tatra Poland, dan anjing Pergunungan Šar.[3][4]

Remove ads

Sejarah

Sejarah dan ikonografi purba

Keterangan tentang anjing putih penjaga kawanan ternakan ditemukan dalam kesusasteraan Rom kuno dalam karya seperti karya Columella, Varro, dan Palladius. Anjing serupa digambarkan dalam banyak arca dan lukisan dari zaman Rom hingga kini. Antara yang terawal ialah siri patung besar (dua buah di Rom, sebuah di Firenze, sebuah – Anjing Duncombe – di England) yang disalin daripada gangsa Helenistik dari Pergamon.[5]

Sumber ikonografi yang dikenal pasti relevan dengan sejarah anjing gembala Maremma termasuk:[5]

  • Bas-relief Helenistik, dengan lukisan baginya yang diterbitkan oleh Max von Stephanitz pada tahun 1901[6]
  • Patung nazar kecil di Muzium Arkeologi Capua
  • Sebuah fresko zaman pertengahan abad keempat belas di gereja San Francesco di Amatrice, di kaki Monti della Laga, di komune Rieti; anjing itu memakai roccale
  • Sebuah fresko abad keempat belas di Santa Maria Novella, di Firenze
  • Sebuah adegan 'kelahiran' bagi Mariotto di Nardo (aktif 1394–1424); anjing itu memakai kolar berpacak
  • Abraham dan Lot dalam perjalanan mereka ke Kanaan oleh Bartolo Battiloro, di Collegiata di San Gimignano
  • Perincian Perjalanan Magi ke Betlehem oleh Benozzo Gozzoli, sekitar 1460
  • Lukisan dakwat kasar pada peta padang ragut Tavoliere di Foggia yang diterbitkan pada tahun 1686 oleh Antonio dan Nunzio Michele di Rovere
  • Sebuah ukiran campagna Rom abad ketujuh belas oleh Joannes van den Hecke
  • Sebuah maiolica abad kelapan belas bagi pemburuan beruang oleh Candeloro Cappelletti (1689–1772) dari Castelli, Abruzzo
  • Memburu Serigala oleh Jean-Baptiste Oudry, 1746, daripada koleksi milik Louis XV; anjing-anjing di sebelah kiri dan kanan serigala itu digambarkan dalam katalog muzium sebagai "anjing[-anjing] besar dengan bulu panjang".[7] Anjing-anjing serigala dari Abruzzo diimport ke Perancis pada masa ini. Anjing-anjing ini digunakan oleh François Antoine, "Antoine de Beauterne", dalam perburuan berjaya terhadap Binatang Gévaudan pada tahun 1765;[5] menurut Gobin, di bawah Louis XV (r.1715–1774), Perburuan Diraja itu sebahagian besar terdiri daripada anjing-anjing serigala Abruzzo dan mastif Sicilia.[8]
  • Anjing serigala yang digunakan oleh Vincenzo Dandolo untuk mempertahankan biri-biri Sepanyol di pergunungan di atas Varese[9]
  • Sebuah ilustrasi dalam The Penny Magazine (1833)[10]:200
  • Sebuah ukiran oleh Arthur John Strutt tentang seorang gembala dan anjingnya di campagna Rom pada tahun 1843
  • Beberapa buah ukiran oleh Charles Coleman dalam koleksi beliau A Series of Subjects peculiar to the Campagna of Rome and Pontine Marshes[11]

Sejarah terkini

Thumb
Seekor anjing pekerja di Gran Sasso di Abruzzo

Pendaftaran pertama anjing Maremma dalam Libro delle Origini Italiano bagi Kennel Club Italiano, seperti yang dipanggil ketika itu, adalah untuk empat ekor anjing pada tahun 1898. Tiada pendaftaran lanjut selama bertahun-tahun. Pada tahun 1940, terdapat 17 ekor anjing yang didaftarkan. Piawaian pertama untuk baka ini dirangka pada tahun 1924 oleh Luigi Groppi dan Giuseppe Solaro.[12]

Sehingga tahun 1958, pastore maremmano ("anjing gembala Maremma") dan pastore abruzzese ("anjing gembala Abruzzo") dianggap sebagai baka berasingan. Sebuah persatuan pembiak baka untuk pastore abruzzese dibentuk pada tahun 1950, dan sebuah lagi untuk pastore maremmano pula pada tahun 1953. Pada 1 Januari 1958, baka-baka tersebut disatukan oleh ENCI, Ente Nazionale Cinofilia Italiano, iaitu persatuan anjing kebangsaan Itali. Penjelasan yang diberikan ialah bahawa "penyatuan semula jadi" kedua-dua jenis ini telah berlaku oleh sebab pergerakan anjing-anjing ini kerana pindah ternak kawanan biri-biri dari rantau ke rantau, khususnya selepas penyatuan Itali.[1] Sehingga tahun 1860, pergunungan Abruzzo dan dataran Maremma terletak di negara berlainan. Walaupun sesetengah terbitan lama merujuk pastore maremmano dan pastore abruzzese sebagai baka bebas yang digabungkan untuk menghasilkan pastore maremmano-abruzzese, telah ada catatan bahawa pastore maremmano berbulu lebih pendek hanya pernah diperhatikan semasa bulan-bulan musim sejuk, apabila kawanan ternakan meragut di padang ragut musim sejuk di Toscana di pinggir laut lebih yang lebih sederhana, manakala pastore abruzzese bertubuh lebih panjang yang diperkatakan hanya diperhatikan pada bulan-bulan musim panas, apabila kawanan ternakan meragut di pergunungan Abruzzo.[13]:124[14]:42

Thumb
Hidung, bibir, dan keliling mata adalah hitam.

Apabila penternakan biri-biri berkembang menjadi perjalanan atau pindah ternak tahunan dari padang rumput gunung di Abruzzo dan di Molise (dan di bahagian lain di Itali tengah) ke selatan ke padang ragut pamah di Puglia, tempat keberadaan biri-biri sepanjang musim sejuk,[perlu rujukan] anjing-anjing ini memainkan peranan utama dalam penghijrahan berabad-abad lamanya, acara tahunan yang penting kepada budaya Abruzzo. Anjing Maremma terus digunakan secara meluas oleh para penternak biri-biri Itali di kawasan yang umumnya mengalami pemangsaan, seperti Pergunungan Appennine di Itali tengah dan kawasan terbuka di taman-taman negara di Abruzzo. Anjing-anjing ini juga telah digunakan untuk menjaga haiwan di Amerika Syarikat, di Australia, di Israel, dan di New Zealand.[15]:24[16]

Remove ads

Ciri

Anjing Maremma mempunyai tubuh padu dan berotot, lapis bulu putih tebal, kepala besar, dan hidung hitam. Jantan berukuran seberat sekitar 35–45 kilogram (75–100 lb) dan berdiri setinggi 65–73 sentimeter (26–29 in) pada paras bahu, manakala betina pula berukuran seberat 30–40 kilogram (65–90 lb) dan berdiri setinggi 60–68 sentimeter (24–27 in). Sesetengah anjing mungkin jauh lebih besar. Lapis bulunya panjang dan tebal, kasar kepada sentuhan dan membentuk kolar tebal di sekeliling leher. Warnanya mestilah putih padu; sedikit kekuning-kuningan kecil mungkin ditoleransi.[17] Hidung, bibir, dan kulit di sekeliling mata berwarna hitam.[15]:24

Umur median pada kematian telah dilaporkan pada 7.5 tahun, berbanding dengan median 10 tahun untuk semua anjing di Itali.[18]

Remove ads

Kegunaan

Thumb
Roccale jenis berbeza
Thumb
Roccale atau vreccale, kolar besi berpacak

Penggunaan tradisional bagi anjing Maremma adalah sebagai penjaga untuk perlindungan kawanan biri-biri menentang serigala. Columella, yang menulis pada abad pertama Masihi, mengesyorkan anjing putih untuk tujuan ini, kerana gembala dapat semudahnya membezakannya daripada serigala, manakala Varro mencadangkan agar anjing putih mempunyai "aspek mirip singa" dalam kegelapan.[19] Anjing ini bekerja dalam kumpulan; tiga atau empat ekor anjing merupakan pertahanan mencukupi terhadap serigala dan anjing terbiar. Fungsi ini kebanyakannya adalah untuk penegahan sementara pertempuran fizikal sebenar dengan pemangsa adalah agak jarang berlaku.[20] Walau apa pun, anjing pekerja mungkin dipakaikan roccale (atau vreccale), iaitu kolar besi berpacak yang melindungi leher dalam pertempuran.[20] Sehingga pemotongan telinga menjadi haram di Itali, telinga anjing pekerja biasanya dipotong.[5]:139

Anjing yang digunakan untuk perlindungan kawanan ternakan diletakkan sesama biri-biri sebagai anak anjing muda – usia tidak lebih daripada 40 hari – supaya terikat dengan kawanan biri-biri; hubungan manusia dikekalkan pada tahap minimum yang sangat diperlukan.[21] Jika sudah ada anjing penjaga dalam kawanan, anak anjing itu meniru dan belajar daripada tingkah laku anjing sedia ada itu.[21] Penggunaan tradisional anjing Maremma adalah dengan biri-biri, tetapi anjing ini dapat menjalin ikatan serupa dengan lembu dan pernah digunakan untuk melindungi lembu.[22] Sebilangan kecil telah digunakan sejak tahun 2006 di Middle Island, di luar Warrnambool, di Victoria, Australia, untuk melindungi populasi kecil penguin kecil Australia (Eudyptula novaehollandiae) daripada rubah invasif.[23][24] Di Patagonia, ia telah digunakan untuk melindungi biri-biri daripada puma.[25]

Catatan

  1. Jawi: انجيڠ ݢمبالا ماريما-ابروتسو; Itali: cane da pastore maremmano-abruzzese, pastore maremmano-abruzzese; bahasa Inggeris: Maremma and the Abruzzes sheepdog, Maremma and Abruzzes sheepdog, Maremmano-Abruzzese sheepdog

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads