Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021
Persidangan Perubahan Iklim PBB yang ke-26 diadakan di Glasgow, Scotland From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021, juga dikenali sebagai COP26, merupakan persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 telah berlangsung di Glasgow, Scotland, United Kingdom dari 31 Oktober hingga 12 November 2021. Persidangan ini dianjurkan bersama-sama oleh United Kingdom dan Itali.[1] Persidangan ini merupakan Persidangan Pihak-Pihak (COP) ke-26 bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim dan mesyuarat ketiga bagi pihak-pihak yang menandatangani Perjanjian Paris.
Persidangan ini merupakan kali pertama pihak-pihak yang menyertainya diharapkan dapat memberikan komitmen mereka demi mencapai sebuah aspirasi yang lebih baik selepas COP21. Pihak-pihak yang menyertai turut dikehendaki untuk mengemas kini sasaran pengurangan karbon mereka dan menyerah NDC yang baharu. Proses ini dikenali sebagai 'mekanisme sehala' dan harus dilakukan pada setiap lima tahun seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Paris.[2]
Persidangan ini telah diadakan di SEC Centre, Glasgow. Asalnya dijadualkan untuk berlangsung pada November 2020, acara ini telah ditangguhkan selama setahun disebabkan oleh pandemik COVID-19.[3]

Persidangan ini telah bertamat sehari lebih lewat daripada tarikh yang ditetapkan (13 Nov)[4] dengan negara-negara pesertanya menandatangani Pakatan Iklim Glasgow, sebuah resolusi yang berhasrat untuk menggurangkan tenaga arang batu dan subsidi bahan api fosil serta berusaha mencapai sasaran mengehadkan peningkatan suhu di bawah 1.5°C berbanding dengan tahap pra-industri.[5][a][b]
Remove ads
Penyediaan
Pentadbiran

Pada asalnya, Menteri Tenaga dan Pertumbuhan Bersih Claire Perry telah dilantik sebagai presiden persidangan ini, namun beliau telah dipecat pada 31 Januari 2020 selepas beliau meletak jawatan sebagai MP.[7][8] Bekas Perdana Menteri David Cameron dan bekas Setiausaha Luar Negara William Hague telah menolak tawaran untuk memegang jawatan tersebut.[9] Pada 13 Februari 2020, Setiausaha Strategi Industri, Tenaga dan Perniagaan UK Alok Sharma telah dilantik sebagai presiden.[10] Pada 8 January 2021, Sharma digantikan oleh Kwasi Kwarteng sebagai Setiausaha Strategi Industri, Tenaga dan Perniagaan dan dipindahkan kepada Pejabat Kabinet, untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasannya sebagai presiden.[11]
Nigel Topping yang merupakan bekas CEO organisasi perubahan iklim We Mean Business telah dilantik sebagai Juara Tindakan Iklim Peringkat Tinggi Kerajaan UK bagi COP26.[12][13]
Itali telah bekerjasama dengan UK dalam menerajui COP26. Kebanyakan tanggungjawab mereka merupakan kerja persediaan seperti penganjuran sesi pra-COP dan acara untuk golongan muda yang bernama Youth4Climate 2020: Driving Ambition. Acara tersebut telah berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober 2020 di Milan.[14]
Penaja
COP yang sebelumnya telah ditaja oleh syarikat bahan api fosil. Demi mengurangkan pengaruh mereka, kerajaan UK membuat keputusan untuk menerima penaja yang "mempunyai komitmen yang betul-betul dapat membantu mereka mencapai sifar bersih pada masa depan".[15] Rakan kongsi utama termasuklah tiga syarikat tenaga British serta sebuah syarikat bank dan insurans.[16]
Impak COVID-19
Disebabkan oleh pandemik COVID-19, persidangan ini telah ditangguhkan ke 31 Oktober hingga 12 November 2021.[3][17] SEC Centre yang merupakan tempat penganjuran persidangan tersebut telah diubah suai untuk dijadikan sebagai hospital sementara COVID-19 pada Mei 2020.[18]
Beberapa bulan sebelum COP26 berlangsung, kerajaan British telah menyekat kedatangan orang asing dari beberapa negara dan tempat tertentu hanya boleh dimasuk oleh pemegang pasport COVID. Pengkritik menjangka bahawa pengedaran Vaksin COVID-19 di saban dunia mungkin akan menyebabkan wakil dari negara miskin yang paling terkesan dengan perubahan iklim tidak dapat hadir ke COP26.[19][20][21] Akibatnya, UK telah mengendurkan peraturan perjalanan bagi delegasi COP26.[22] Hanya empat negara kepulauan Pasifik menghantar delegasi ke COP26 manakala negara pulau yang lain pula menghantar pasukan yang lebih kecil.[23][24] Penganjur telah menentukan beberapa peraturan COVID-19 untuk hadirinnya berdasarkan status vaksinasi mereka.[25]

Lokasi
Semasa persidangan tersebut berlangsung, Scottish Events Campus (SEC) telah dijadikan sebagai wilayah sementara PBB dan dikenali sebagai Zon Biru. Pusat Sains Glasgow pula dijadikan sebagai Zon Hijau.[26] Zon Biru hanya boleh dimasuk oleh menteri, pegawai kerajaan, individu dan organisasi yang diiktiraf sahaja. Rundingan antarabangsa dan program sampingan rasmi akan diadakan di zon ini. Zon ini juga mempunyai gerai pameran setiap negara yang bertujuan untuk mempamerkan usaha mereka menangani perubahan iklim. Gerai Pameran organisasi lain dan program sampingan tidak rasmi turut diadakan di Zon Hijau.[27]
Remove ads
Latar belakang
Objektif utama bagi persidangan ini adalah untuk memastikan sasaran pengehadan suhu dunia di bawah 1.5°C masih boleh dicapai.[28] Selain itu, beberapa agenda juga telah dibincangkan dalam persidangan ini seperti memuktamadkan peraturan pasaran karbon antarabangsa[c], isu pembiayaan iklim bagi negara membangun dan menentukan usaha adaptasi untuk meminimumkan implikasi perubahan iklim.[30] Penghentian penggunaan arang batu secara berfasa juga telah dibincangkan dalam persidangan ini.[31]
Mekanisme sehala
Menurut Perjanjian Paris, negara-negara perlu menyerah janjian mereka (NDC) untuk mengehadkan pembebasan gas rumah hijau mereka. Dalam kerangka Perjanjian Paris, setiap negara diharapkan untuk menyerah NDC yang ditambah baik pada setiap lima tahun agar sejajar dengan hasrat mereka untuk memitigasikan perubahan iklim.[32] Semasa perjanjian tersebut ditandatangani pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015, Persidangan UNFCCC 2020 telah ditetapkan sebagai lelaran pertama bagi mekanisme sehala tersebut. Meskipun persidangan UNFCCC 2020 telah ditangguhkan ke tahun 2021 disebabkan oleh pandemik COVID-19, ramai negara masih belum mengemas kini NDC mereka.[33]
Artikel 6
Artikel 6 dalam Perjanjian Paris telah menggariskan peraturan-peraturan pasaran karbon antarabangsa dan kerjasama antarabangsa yang lain. Namun, butirannya belum lagi dimuktamadkan dan hal tersebut telah dibincangkan dalam persidangan ini.[34][35] Isu ini pernah dibincangkan pada COP yang sebelumnya pada tahun 2019 tetapi tiada persetujuan dicapai.[36] Kendatipun parti-parti yang menandatangani Perjanjian Paris telah bersetuju bahawa pengiraan berganda [d] bagi pembebasan karbon global harus dielakkan, namun mereka masih belum menentukan satu cara yang sesuai untuk mengelakkannya.[34] Para pemimpin negara dijangka tidak akan bersetuju untuk membawa depan kredit karbon yang diamalkan sebelum tahun 2020 berdasarkan Protokol Kyoto. Oleh itu, Artikel 6 boleh membawa perubahan yang besar terhadap pembebasan karbon dunia pada masa depan.[38]
Pada 13 November 2021, butiran Artikel 6 telah dimuktamadkan dan beberapa isu yang wujud dalam COP yang sebelumnya telah diselesaikan.[39] Kesemua perdagangan dua hala antara dua negara tidak akan dikenakan cukai karbon, namun 5 peratus ofset karbon yang dikeluarkan akan diberikan kepada sebuah dana adaptasi bagi negara membangun. 2 peratus turut akan dibatalkan untuk meningkatkan usaha pemotongan pelepasan dengan mengelakkan negara lain menggunakan kredit ini sebagai ofset untuk mencapai sasaran iklim mereka. Mengenai isu membawa depan kredit karbon Protokol Kyoto, semua kredit karbon yang didaftar selepas 1 Januari 2013 akan dikira dalam sistem pasaran yang baharu ini.[40] Bagi isu pengiraan berganda pula, sebuah negara yang mempunyai satu kredit karbon boleh menentukan sama ada kredit tersebut dijualkan kepada negara lain atau dikira di bawah sasaran iklim mereka. Sekiranya kredit tersebut dijual, negara yang menjual akan menambah satu unit pelepasan ke rekod kebangsaannya manakala satu unit akan ditolak bagi negara yang membeli. Hal ini memastikan bahawa pemotongan pelepasan hanya dikira sekali sahaja.[39]
Pembiayaan iklim
Pembiayaan antarabangsa bagi adaptasi dan mitigasi perubahan iklim merupakan salah satu topik utama yang telagreh dibincangkan.[41] Negara-negara membangun telah diberi janji bahawa 100 bilion USD akan diberikan kepada mereka pada setiap tahun mulai 2020 untuk membantu mereka mengurangkan pembebesan karbon mereka.[42] Namun, negara-negara kaya dalam OECD, terutamanya AS, telah memungkir janji tersebut.[43] Sasaran tersebut kini dijangka akan dicapai pada tahun 2023.[44]
Remove ads
Hadirin
Presiden AS Joe Biden di upacara perasmian
25,000 hadirin dari 200 negara telah menghadiri persidangan ini, termasuklah 120 ketua negara.[45][46] Antara pemimpin negara yang menghadiri persidangan ini termasuk Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri India Narendra Modi,[47] Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Presiden Indonesia Joko Widodo,[48] Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Yunani Kyriakos Mitsotakis, Perdana Menteri Australia Scott Morrison[49] dan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa.[50]
Perdana Menteri Israel Naftali Bennett,[51] Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida juga menghadiri persidangan tersebut.[52] Selain daripada pemimpin negara, beberapa tokoh terkenal seperti David Attenborough, Putera Charles dan Setiausaha Jeneral PBB António Guterres telah menghadiri persidangan ini. Leonardo DiCaprio,[53] Jeff Bezos[54] dan Bill Gates turut menghadiri beberapa program rasmi COP26. Walaupun tidak dijemput untuk berucap di persidangan COP 26, aktivis perubahan iklim Greta Thunberg turut berlepas ke Glasgow dan memberikan ucapannya di tunjuk perasaan Fridays for Future.[55][56][57] Pada 8 November, bekas presiden AS Barack Obama tiba di Glasgow dan berucap di persidangan tersebut.[58]
Namun, Setiausaha Agung China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro tidak menghadiri persidangan ini.[59][60][61] Paus Fransiskus turut tidak hadir ke COP 26.[62] Ratu Elizabeth II pula memberikan ucapannya dalam bentuk rakaman video.[63] Pemimpin lain yang tidak hadir termasuklah pemimpin dari Afrika Selatan, Iran, Mexico dan Turki.[64][65][66]
Singapura diwakili oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Grace Fu.[67] Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man asalnya dijangka untuk menghadiri persidangan COP 26 tetapi beliau tidak menghadirkan dirinya di Glasgow pada Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia yang berlangsung pada hari pertama dan kedua.[68][69] Beliau akhirnya menghadiri persidangan tersebut pada 9 hingga 10 November 2021, di samping mewakili Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global.[70]
Remove ads
Rumusan
Hari ke-1: 1 Nov
- India yang merupakan pembebas karbon dioksida ketiga terbesar di dunia telah menyasar agar negara tersebut mencapai karbon sifar pada tahun 2070, 20 tahun lebih lewat daripada sasaran yang ditentukan dalam Perjanjian Paris.[71][72] Walaupun demikian, keputusan ini merupakan kali pertama India menentukan sasarannya untuk mencapai pembebasan karbon sifar dan keputusan ini dikatakan sebagai satu penambahbaikan yang besar bagi India.[73]
- Presiden AS, Joe Biden, telah memohon maaf atas keputusan pendahulunya Donald Trump untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris.[74]
- Sepanyol merancang untuk meningkatkan pembelanjaan iklimnya sebanyak 50% pada tahun 2025.[75]
Hari ke-2: 2 Nov

- Lebih daripada 100 pemimpin negara, termasuk Brazil, Indonesia, Republik Demokratik Congo, Rusia dan China, yang mewakili 85% liputan hutan dunia telah berikrar untuk menamatkan penebangan hutan menjelang tahun 2030.[76][77] Komitmen tersebut turut disokong oleh pembiayaan dana sebanyak US$19.2.[78] Namun, Singapura tidak menandatangani perjanjian tersebut.[79]
- Lebih daripada 40 negara, termasuk AS, UK dan China, telah melancarkan Agenda Breakthrough untuk menjadikan teknologi hijau lebih murah daripada alternatif lain.[80]
- Afrika Selatan akan menerima bantuan kewangan sebanyak $8.5 bilion untuk menamatkan kebergantungan negara tersebut ke atas arang batu.[81][82]
- Lebih daripada 80 buah negara, tidak termasuk China, India, Rusia dan Malaysia, telah berikrar untuk mengurangkan pembebasan metana global sebanyak 30% pada akhir dekad ini.[83][84][85][e]
- Inisiatif One Sun One World One Grid (OSOWOG), yang merupakan buah fikiran Perdana Menteri Modi dari India, telah dilancarkan dan disokong oleh 80 anggota negara International Solar Alliance.[87] Inisiatif ini merancang untuk membina satu grid elektrik yang membekalkan tenaga solar ke seluruh dunia dan dibandingkan Inisiatif One Belt One Road dari China yang turut merupakan satu rancangan pembangunan prasarana global.[88]
- Jepun berikrar untuk memperuntukkan $10 bilion untuk membantu usaha penyahkarbonan di Asia.[89]
Hari ke-3: 3 Nov
- Perikatan Kewangan untuk Sifar Bersih Pembebasan Karbon Glasgow[f] yang mempunyai lebih daripada 450 syarikat kewangan telah berikrar untuk mencapai sasaran Perjanjian Paris, yakni mengehadkan suhu dunia di bawah 1.5°C.[90]
- Sekumpulan syarikat yang merupakan anggota Perikatan Tenaga Global[g] telah menderma $10.5 bilion untuk membantu negara membangun beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui.[91]
- AS mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan bon bergred pelaburan sebanyak US$500 bilion setiap tahun.[92]
- International Sustainability Standards Board (ISSB) telah ditubuhkan untuk menstandardkan cara sebuah syarikat melaporkan pendedahan risiko iklimnya dan amalan kelesteriannya.[93]
- United Kingdom mengumumkan bahawa mereka berancang untuk menjadi pusat kewangan pertama di dunia yang mencapai pelepasan karbon sifar bersih.[94]
Hari ke-4: 4 Nov
- 26 buah negara dan institusi kewangan berikrar untuk menamatkan pendanaan awam terhadap sektor tenaga bahan api fosil pada tahun 2022, wang tersebut pula akan digunakan untuk menyokong peralihan kepada tenaga mesra alam.[95]
- Singapura mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan penggunaan arang batu[h] dalam penghasilan daya tenaga menjelang 2050. Singapura juga menjadi negara Asia pertama yang menyertai Perikatan Melepasi Tenaga Arang Batu.[97][i] Selain Singapura, Perikatan tersebut turut menerima 27 anggota baharu.[98]
- Sebanyak 190 buah negara, kawasan dan organisasi (tidak termasuk Malaysia, China dan AS)[99] telah bersetuju untuk menamatkan penggunaan arang batu dalam penjanaan elektrik.[100][j] Mereka telah bersetuju untuk menamatkan pelaburan terhadap penjanaan kuasa arang batu di peringkat tempatan dan antarabangsa, di samping bersetuju menamatkan penggunaan arang batu pada tahun 2030 bagi negara moden, dan 2040 bagi negara yang lebih miskin.[99]
- Sebanyak 20 negara dan lima bank telah berikrar untuk menamatkan pendanaan awam terhadap projek tenaga arang batu antarabangsa mulai tahun 2022.[102][103]
- First Movers Coalition yang disertai oleh 29 syarikat termasuk Amazon dan Boeing telah ditubuhkan untuk menyokong pembangunan teknologi berkarbon rendah. Kebanyakan anggota syarikatnya berasal daripada sektor yang berjejak karbon tinggi dan mereka berhasrat untuk mencari solusi untuk mengurangkan pembebasan karbon mereka.[104]
Hari ke-5: 5 Nov
- Ribuan golongan muda telah menyertai perarakan Fridays for Future.[105]
- 23 buah negara telah menentukan ikrar pendidikan iklim kebangsaan, termasuk Korea Selatan, Albania dan Sierra Leone.[106]
Hari ke-6: 6 Nov
- Demonstrasi terbesar di Glasgow sejak tahun 2003, Hari Tindakan Global untuk Keadilan Iklim[k] telah diadakan dan diserta oleh 100,000 orang.[107]
- 45 negara, termasuk Malaysia dan Indonesia, dan 100 organisasi telah berikrar untuk memelihara hutan dan mengubah sektor pertanian agar sejajar dengan hasrat untuk mengurangkan pembebasan karbon dan memelihara alam semula jadi.[108][109]
- Kumpulan Bank Dunia telah menguntukkan $25 bilion setiap tahun sehingga 2025 dalam pembiayaan iklim menurut Rancangan Tindakan Iklimnya.[110]
- 33 institusi kewangan utama telah berikrar untuk berhenti membiayai pembalakan hutan yang disebabkan oleh kegiatan pertanian pada tahun 2025.[111]
- 20 syarikat barang pengguna telah mengumumkan 20 buah skim penghutanan semula di enam buah negara termasuk Malaysia dan Indonesia.[112]
Hari ke-8: 8 Nov
- Kerangka kerja metrik baharu telah dilancarkan oleh Race to Resilience, sebuah program di bawah PBB yang berhasrat untuk meningkatkan usaha pemulihan di bandar, kawasan dan organisasi.[113]
- Piagam Fesyen mengenai Perubahan Iklim PBB telah dikemas kini dengan memerlukan penandatangannya untuk mengurangkan pembebasan karbon sebanyak 50% dan mencapai sifar karbon pada 2050.[114]
- Sebuah dokumen, "Non-paper on Possible Elements", telah dikeluarkan oleh pihak penganjur. Dokumen tersebut menyenaraikan perkara-perkara yang pihak penganjur harap dapat dimasukkan ke dalam persetujuan persidangan.[115][116]
Hari ke-9: 9 Nov
- 22 kerajaan dan Suruhanjaya Eropah telah berkolaborasi melalui Mission Innovation dan mengumumkan empat "misi" untuk membantu usaha peralihan urban, pembuangan karbon dioksida, penyingkiran pembebasan karbon daripada industri dan menghasilkan bahan api boleh diperbaharui.[117]
Hari ke-10: 10 Nov
- Draf persetujuan persidangan telah diumumkan oleh pihak penganjur. Dokumen tersebut bersetuju untuk mengehadkan peningkatan suhu dunia di bawah 1.5°C, menggalakkan negara-negara penandatangan menyerah ikrar dan sasaran baharu pada 2022, menggalakkan penyingkiran arang batu dan subsidi terhadap bahan api fosil, dan menekankan bahawa negara kaya perlu memberikan bantuan kewangan yang lebih banyak kepada negara miskin.[118]
- AS dan China bersetuju untuk bekerjasama untuk mengurangkan pembebasan mereka dalam dekad ini dari aspek pembebasan metana, tenaga, pembalakan hutan dan penyahkarbonan.[119]
- 24 buah negara dan sekumpulan syarikat penghasil kenderaan bersetuju untuk menamatkan era kenderaan kuasa bahan api fosil pada tahun 2040. Namun, ramai syarikat utama tidak menandatangani perjanjian tersebut.[120]
- 19 kerajaan menandatangani Deklarasi Cydebank yang berhasrat untuk mewujudkan koridor perkapalan hijau, sebuah laluan maritim sifar karbon di antara dua pelabuhan.[121]
Hari ke-11: 11 Nov
- Perikatan Melepasi Minyak dan Gas[l] telah dilancarkan oleh Costa Rica dan Denmark serta dianggotai oleh enam buah negara yang lain, dua negara dan Carlifornia turut menyokong penubuhan perikatan ini tetapi belum menyertainya. Perikatan tersebut berhasrat untuk menghentikan penghasilan minyak dan gas secara berperingkat[122]
Hari ke-13: 13 Nov
- 197 buah negara peserta menandatangani Pakatan Iklim Glasgow yang bertujuan untuk menangani masalah perubahan iklim.[123] Persetuan tersebut menyebut dengan jelasnya peranan arang batu sebagai penyumbang terbesar kepada perubahan iklim. Persetujuan ini merupakan kali pertama sebuah persetujuan COP menyentuh arang batu, minyak, gas atau bahan bakar api secara umumnya.ara[124]
Remove ads
Kritikan
Pemimpin negara telah dikutuk kerana menghadiri persidangan ini dengan menaiki kapal terbang peribadi. Kira-kira 400 buah kapal terbang peribadi milik hadirin persidangan telah tiba di Glasgow. Namun, penganjur COP26 telah menegaskan bahawa persidangan tersebut adalah pembebasan karbon neutral (carbon neutral).[125]
Makanan yang dihidang pada persidangan tersebut juga dikutuk kerana sebanyak 60% makanan terdiri daripada daging dan hasil tenusu. Makanan yang mempunyai jejak karbon yang tinggi juga dihidang di gerai makanan.[126]
Menteri Tenaga Israel, Karine Elharrar, tidak dapat menghadiri hari pertama persidangan COP 26 disebabkan oleh kekurangan kemudahan mesra OKU.[127][128] Ramai hadirin turut terpaksa menunggu lebih daripada satu jam untuk masuk ke tempat penganjuran persidangan pada hari yang pertama. Hal ini telah menyebabkan beberapa sesi bersemuka dibatalkan.[129]
Menurut CNBC dan BBC, syarikat kewangan yang menandatangani perjanjian tidak terlarang daripada membuat pelaburan swasta dalam bidang bahan api fosil.[130][131] Selain itu, kebanyakan ikrar turut tidak memberikan tumpuan kepada ketelusan dan kualitinya, tetapi menekankan kuantiti pula.[130] Negara yang menandatangani perjanjian juga perlu mengeluarkan rancangan dan dasar yang komprehensif supaya sasaran yang ditentukan oleh mereka dapat dicapai.[131] Sekiranya tidak ditangani dengan baik, isu-isu ini boleh menyebabkan persidangan ini menjadi sebuah acara "greenwashing"[m] penuh dengan janji kosong.[130][133] CBS turut mengutuk bahawa sasaran untuk menamatkan pembalakan hutan pada tahun 2030 adalah terlalu lewat untuk mengelakkan berlakunya implikasi yang teruk.[134] Axios pula mendapati bahawa ikrar yang dibuat tidak mandatori dan tiada mekanisme hukuman yang diwujudkan bagi pihak yang gagal menunaikan janjinya.[135]
Tunjuk perasaan
Antara tunjuk perasaan yang diadakan di Glasgow sempena COP26 termasuk Pilgrims' Procession[136], Red Rebel Train[137], perarakan Greenwash yang dianjurkan oleh Extinction Rebellion[138], perarakan Fridays for Future (FFF)[139] dan Hari Tindakan Global untuk Keadilan Iklim, dengan Hari Tindakan Global merupakan demonstrasi yang terbesar di Glasgow sejak protes Anti-Perang Iraq pada tahun 2003.[107]
Pada 6 November, perarakan FFF telah berlangsung dan disertai oleh ribuan pemprotes yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah. Mereka menuntuk tindakan yang segera dan lebih meluas terhadap perubahan iklim. Majlis Bandaraya Glasgow dan majlis perbandaran di sekeliling Glasgow telah mengatakan bahawa pelajar-pejalar yang menyertai demonstrasi tersebut tidak akan dihukum sekiranya ibu bapa mereka telah memberitahu sekolah anaknya mengenai ketidakhadiran anaknya.[140] Pada 7 November, demonstrasi Global Day of Action for Climate Justice telah diadakan dan disertai oleh kira-kira 100,000 orang. Sebuah perarakan di London turut disertai oleh 10,000 orang menurut pihak polis manakala anggaran pihak penganjur ialah 20,000 orang.[141][142] The Times asalnya menjangka jumlah peserta akan lebih daripada dua juta.[143] 100 tunjuk perasaan turut diadakan di seluruh UK manakala 300 tunjuk perasaan telah diadakan di 100 negara menurut The Guardian. Vanessa Nakate dan aktivis peribumi telah berucap di Glasgow. Antara isu yang dikemukakan oleh pemprotes termasuklah kekurangan perwakilan golongan peribumi dan masalah ketersampaian bagi delegasi kurang upaya di COP26. Kaum Mohawk, ahli sains ekologi, aktivis vegan, ahli kesatuan sekerja dan sosialis turut menyertai perarakan tersebut.[141][142]
Hasil perundingan
Pada 9 November, Climate Action Tracker (CAT) melaporkan bahawa sasaran yang sedia ada "betul-betul tidak mencukupi" dan mengikut trend ini, peningkatan suhu dunia dijangka akan mencapai 2.4 °C pada akhir abad ini. Laporan tersebut dibuat setelah menilai ikrar yang dibuat oleh 40 negara. CAT turut mendapati bahawa hanya ikrar daripada EU, UK, Chile dan Costa Rica dinilai sebagai "boleh diterima" kerana rancangan mereka adalah komprehensif dan menjelaskan langkah merealisasikan sasaran mereka secara terperinci.[144][145][146][147]
Remove ads
Lihat juga
Catatan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads

