Meruwi

From Wikipedia, the free encyclopedia

Meruwimap
Remove ads

Meruwi (Jawi: مرووي, /ˈmɛru/;[1] juga dieja Meroë, Meroe, Meroi;[2] Meroitik: Medewi; Arab: مرواه, rumi: Meruwah dan Arab: مروي, rumi: Meruwi; Bahasa Yunani Kuno: Μερόη, Meróē) ialah sebuah bandar purba di sebelah timur Sungai Nil kira-kira 6 km timur laut dari stesen Kabushiya berhampiran Shendi, Sudan, dan kira-kira 200 km timur laut Khartoum. Berhampiran tapak itu terdapat beberapa kampung yang dipanggil Bagrawiyah (Arab: البجراوية). Bandar Meruwi dahulu ibu bandar Kerajaan Kush selama beberapa abad dari sekitar 590 SM, hingga ia jatuh pada abad ke-4 Masihi. Kerajaan orang Kush di Meruwi mendapat namanya sempena "Pulau Meruwi", wilayah Butana moden, wilayah yang bersempadan dengan Sungai Nil (dari Sungai Atbarah hingga Khartoum), Atbarah dan Sungai Nil Biru.

 

Fakta Segera Nama alternatif, Lokasi ...

Bandar Meruwi berada di pinggir Butana. Terdapat dua lagi bandar Meroitik di Butana: Musawwarat es-Sufra dan Naqa.[3][4] Yang pertama diberi nama Meruwi oleh raja Parsi, Cambyses, sempena saudara perempuan baginda dipanggil dengan nama itu. Bandar tersebut asalnya disebut Saba dalam zaman purba, sempena nama pengasas asal negara itu.[5] Nama eponim Saba, atau Seba, dinamakan untuk salah seorang anak lelaki Kush (lihat Kejadian 10:7). Bilangan tapak Meruwi yang banyak di barat wilayah Butana, malah berhampiran Butana, adalah penting untuk memahami bagaimana kawasan tengah wilayah itu diduduki. Cara susun atur penempatannya menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal pengeluaran bahan keperluan untuk rakyat.[6]

Kerajaan Kush yang diduduki bandar Meruwi merupakan antara negeri-negeri terawal yang terletak di tengah-tengah Nil. Ia salah satu negeri terawal dan paling maju yang diasaskan di benua Afrika. Jika negeri-negeri awal sekitar kawasan Nil tengah diteliti, pemahaman tentang Meruwi, bersama-sama perkembangan sejarah negari-negari bersejarah lain, dapat diperkaya melalui memerhatikan bagaimana Meruwi mempengaruhi negeri-negeri Lembah Nil yang lain.[6]

Tapak bandar Meruwi dipenuhi dengan dua ratus piramid yang dibina bertiga-tiga, namun kebanyakannya telah runtuh. Piramid-piramidnya mengikut saiz dan ukuran unik piramid Nubia.

Remove ads

Sejarah

Maklumat lanjut mjrwjwꜣt dalam hieroglif Mesir ...
Thumb
Barat Jauh pada 200 SM, menunjukkan Kerajaan Meruwi dan jiran-jirannya.

Meruwi merupakan ibu kota selatan Kerajaan Kush. Kerajaan Kush wujud pada s. 800 SM – s. 350 AD dan, pada mulanya, ibu kota utamanya terletak lebih jauh ke utara di Napata.[8] Raja Aspelta memindahkan ibu kota ke Meruwi, lebih jauh ke selatan daripada Napata, mungkin sekitar 591 SM[9] sejurus selepas Napata dijarah oleh Firaun Mesir Psamtik II.

Martin Meredith menyatakan bahawa pemerintah Kush memilih Meruwi, antara Riam Kelima dan Keenam Nil, kerana lokasinya yang di pinggir zon hujan musim panas, serta kaya dengan bijih besi dan kayu keras untuk pertukangan besi. Lokasi ini juga menyediakan akses kepada perdagangan di Laut Merah. Bandar Meruwi terletak di sepanjang tengah Nil. Ini sangat penting kerana banjir tahunan lembah sungai Nil dan sambungan ke banyak sistem sungai utama, seperti Sungai Niger, membantu dalam penghasilan tembikar dan besi yang khusus kepada kerajaan Meroitik yang membolehkan kebangkitan kuasa rakyatnya.[6] Menurut teks-teks Meroitik yang sebahagiannya telah ditafsirkan, huruf "d" dalam Meroitik ditranskripsikan dalam bahasa asing sebagai "r",[10] dengan nama asal bandar tersebut ialah Medewi.

Tempoh Meroitik Pertama (542–315 SM)

Raja-raja memerintah Napata dan Meruwi. Pusat pemerintahan dan istana kerajaan terletak di Meruwi. Kuil utama Amun terletak di Napata. Ramai raja dan ratu dikebumikan di Nuri, beberapa ratu dikebumikan di Meruwi, di Perkuburan Barat.[11] Raja terawal ialah Analmaye (542–538 SM) dan raja terakhir fasa pertama ialah Nastasen (335–315 SM).

Pada abad kelima SM, sejarawan Yunani Herodotus menerangkannya sebagai "sebuah bandar besar...yang dikatakan adalah bandar induk orang-orang Habsyah lain."[12][13]

Penggalian mendedahkan bukti pengebumian golongan Kush berpangkat tinggi dari Zaman Napata (sekitar 800 – 280 SM) di sekitar penempatan yang dipanggil Perkuburan Barat. Kepentingan bandar ini meningkat secara beransur-ansur dari permulaan Zaman Meroitik, terutamanya dari pemerintahan Arakamani (sekitar 280 SM) apabila tanah perkuburan diraja dipindahkan ke Meruwi dari Napata (Gebel Barkal). Pengebumian diraja membentuk Piramid Meruwi, yang mengandungi sisa-sisa Raja dan Ratu Meruwi dari sekitar 300 SM hingga 350 M.[14]

Tempoh Meroitik Kedua (abad ke-3 SM)

Thumb
"Raja Pemanah", raja Meruwi yang tidak dikenali, abad ke-3 SM. Muzium Negara Sudan.

Pusat pemerintahan dan istana kerajaan terletak di Meruwi. Raja dan banyak ratu dikebumikan di Meruwi, di Perkuburan Selatan. Napata tetap relevan kerana Kuil Amun.[11] Raja pertama tempoh ini ialah Aktisanes (Awal abad ke-3 SM) dan raja terakhir ialah Sabrakamani (pertengahan pertama abad ke-3 SM).

Tempoh Meroitik Ketiga (270 SM  abad pertama Masihi)

Pusat pemerintahan dan istana diraja terletak di Meruwi. Raja-raja dikebumikan di Meruwi, di Perkuburan Utara, dan Ratu di Perkuburan Barat. Napata kekal relevan untuk Kuil Amun. Meruwi berkembang maju dan banyak projek pembangunan dilaksanakan.[11] Raja pertama tempoh ini ialah Arakamani (270–260 SM), manakala pemerintah terakhir ialah Ratu Amanitore (pertengahan/akhir abad pertama Masihi).

Banyak artifak ditemui dalam makam-makam Meroitik dari sekitar tempoh ini.

Konflik dengan Rom

Penaklukan Rom ke atas Mesir membawa kepada pertempuran sempadan dan serangan oleh Meruwi melepasi sempadan Rom. Pada 23 SM, sebagai tindak balas kepada serangan Nubia ke selatan Mesir, gabenor Rom Mesir, Publius Petronius, menyerang Nubia untuk menghentikan serangan puak Meroitik. Beliau menyerang utara Nubia dan menjarah Napata (22 SM) sebelum pulang. Sebagai balasan, orang Nubia menyeberangi sempadan selatan Mesir dan merompak banyak patung dari bandar-bandar Mesir berhampiran riam pertama Nil di Aswan. Tentera Rom kemudiannya merampas kembali beberapa buah patung, dan yang lain dikembalikan selepas perjanjian damai ditandatangani pada 22 SM antara Rom dan Meruwi di bawah Augustus dan Amanirenas. Satu kepala patung maharaja Augustus yang dirampas dikebumikan di bawah tangga sebuah kuil di Meruwi; kini disimpan di Muzium British.[15]

Thumb
Ukiran Kandake Amanitore, sekitar 50 M

Hubungan seterusnya antara Rom dan Meruwi direkodkan pada musim luruh 61 M. Maharaja Nero menghantar sekumpulan askar Praetor di bawah arahan seorang tribun dan dua senturion ke negeri ini, yang sampai ke bandar Meruwi di mana mereka diberikan pengiring, kemudian meneruskan perjalanan ke hulu Nil Putih sehingga mereka menemui paya Sudd. Ini menandakan batas tembusan Rom ke Afrika.[16]

Tempoh selepas ekspedisi-ekspedisi Petronius ditandai dengan banyak hasil daripada perdagangan di tapak-tapak di Meruwi. L. P. Kirwan menyediakan senarai ringkas penemuan dari tapak arkeologi di negara itu.[16]:18f Kuasa kerajaan Meruwi mula merosot pada abad pertama atau ke-2 M, dilemahkan oleh perang dengan Rom Mesir dan kemerosotan industri-industri tradisionalnya.[17]

Meruwi disebut secara ringkas dalam Periplus Laut Erythra abad pertama Masihi:

2. Di pantai sebelah kanan seterusnya di bawah Berenice ialah negara Berber. Di sepanjang pantai terdapat Pemakan Ikan, tinggal di gua-gua yang bertaburan di lembah sempit. Lebih ke pedalaman terdapat orang Berber, dan di sebalik mereka Pemakan Daging Mentah dan Pemakan Anak Lembu, setiap suku diperintah oleh ketuanya; dan di belakang mereka, lebih ke pedalaman, di negara ke arah barat, terletak sebuah bandar bernama Meroe.

Periplus Laut Erythra, Bab 2

Tempoh Meroitik Keempat (Abad pertama  Abad ke-4 M)

Thumb
Lampu dengan pemegang berbentuk kuda, dari piramid Ratu Amanikhatashan di Meruwi (s.62 – s.85 M). Muzium Seni Halus, Boston
Thumb
Kalung dari Meruwi. 50–320 M. Muzium Seni Halus, Boston.

Raja dikebumikan di Meruwi, di Perkuburan Utara, dan Ratu di Perkuburan Barat. Pada 350 M, Meruwi dimusnahkan oleh Aksum.[11] Raja pertama tempoh keempat ialah Shorkaror (abad pertama Masihi), manakala pemerintah terakhir mungkin Raja Yesebokheamani atau Raja Talakhidamani pada abad ke-4 M. Kehadiran Aksum tidak lama sebelum Meruwi diambil alih oleh Kerajaan Alodia.

Sebuah stele bahasa Ge'ez seorang pemerintah yang tidak bernama dari Kerajaan Aksum, yang dipercayai adalah Ezana, ditemui di tapak Meruwi; daripada keterangannya, dalam bahasa Yunani, beliau adalah "Raja Orang Aksum dan Omer," (iaitu Aksum dan Himyar) kemungkinan raja ini memerintah sekitar tahun 330.[18] Satu lagi inskripsi dalam bahasa Yunani menyatakan tuntutan pemerintahan Ezana:[19][20][21]

Aku, Ezana, Raja Aksum dan Himyar dan Reeidan dan Saba dan Sileel (?) dan Hasa dan Bougait dan Taimo...

Inskripsi Yunani Ezana.[19][20][22]

Walaupun sesetengah pakar mentafsir inskripsi ini sebagai bukti bahawa Aksum telah memusnahkan Kerajaan Kush, yang lain menyatakan bahawa bukti arkeologi menunjukkan Meruwi mengalami kemerosotan ekonomi dan politik sekitar tahun 300.[23]

Remove ads

Meruwi dalam legenda Yahudi

Tradisi lisan Yahudi menyatakan bahawa Nabi Musa, pada masa mudanya, pernah mengetuai ekspedisi tentera Mesir ke Sudan (Kush), sehingga ke bandar Meruwi, yang ketika itu dipanggil Saba. Bandar ini dibina berhampiran pertemuan dua sungai besar dan dikelilingi oleh tembok yang kukuh, serta diperintah oleh seorang raja yang murtad. Untuk memastikan keselamatan tenteranya yang merentas kawasan gurun itu, Nabi Musa mencipta strategi dengan tentera Mesir membawa bakul rumput rusiga, setiap satu mengandungi seekor burung sekendi, untuk dilepaskan apabila mereka menghampiri wilayah musuh. Tujuan burung-burung ini adalah untuk membunuh ular-ular berbisa yang terdapat di seluruh kawasan itu.[5] Setelah berjaya mengepung bandar tersebut, bandar itu akhirnya ditakluki melalui pengkhianatan puteri raja, yang bersetuju menyerahkan bandar itu kepada Nabi Musa dengan syarat baginda mengahwininya, di bawah jaminan bersumpah.[a]

Remove ads

Warisan Dunia

Thumb
Pemandangan satelit moden wilayah Merwi (Oktober 2020)

Pada Jun 2011, Tapak Arkeologi Meruwi telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.[3]

Nota

  1. Kisah yang sama, dengan sedikit kelainan, juga diceritakan dalam Sefer Ha-Yashar, Tel-Aviv sekitar 1965, ms. 192–195 (Ibrani) dan dalam Shalshelet Ha-Kabbalah karya Gedaliah ibn Yahya, Jerusalem 1962, ms. 22 (ms. 31 dalam PDF) (Ibrani); Pseudo-JonathanTargum Aram pseudo-Jonathan ben Uziel (ed. Dr. M. Ginsburger), edisi ke-2, Jerusalem 1974, ms. 248.

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads