Mistabah

From Wikipedia, the free encyclopedia

Mistabah
Remove ads

Mistabah atau mastaba (juga mastabah atau mastabat) ialah sejenis makam Mesir purba dalam bentuk struktur segi empat tepat, berbumbung rata, dengan sisi yang condong ke dalam. Ia dibina daripada bata lumpur atau batu kapur. Bangunan-bangunan ini merupakan tapak pengebumian ramai orang Mesir terkemuka semasa Tempoh Dinasti Awal dan Kerajaan Lama Mesir. Mistabah digunakan oleh golongan bukan raja selama lebih seribu tahun.

Maklumat lanjut Mistabah(pr.ḏd) dalam hieroglif Mesir ...
Thumb
Contoh mistabah, Mastabat al-Fir'aun milik Shepseskaf

Perkataan mistabah atau mastaba berasal daripada perkataan Arab مصطبة (maṣṭaba) yang bermaksud "bangku batu".[1] Nama Mesir Purbanya ialah pr-ḏd (sebutan Mesir Purba [ˈpaːɾuw cʼaːtʼ], transliterasi per-djed), bermaksud "rumah kestabilan", "rumah keabadian", atau "rumah abadi".

Remove ads

Sejarah

Alam akhirat merupakan tunjang agama orang Mesir purba. Seni bina mereka mencerminkan ini, dengan jumlah masa dan tenaga kerja yang sangat besar untuk membina makam.[2] Orang Mesir purba percaya bahawa keperluan di dunia orang hidup akan juga diperlukan di alam akhirat. Oleh itu, makam perlu dibina untuk memenuhinya, dan ia harus cukup kukuh untuk bertahan selama-lamanya. Keperluan-keperluan ini juga perlu ditanggung oleh orang yang masih hidup.[3]

Bermula pada era Pradinasti (sebelum 3100 SM) dan berterusan ke dinasti-dinasti kemudian, orang Mesir purba membangunkan kaedah yang semakin kompleks dan berkesan untuk memelihara dan melindungi mayat. Mereka mula-mula mengebumikan mayat di dalam kubur lubang yang digali dalam pasir dengan mayat itu diletakkan di atas tikar, biasanya bersama beberapa barang yang dipercayai dapat membantu mereka di alam akhirat. Makam pertama yang dibangunkan oleh orang Mesir ialah mistabah, dengan bata tanah yang dibuat daripada tanah di Sungai Nil. Bata memberikan perlindungan yang lebih baik daripada haiwan pemangsa dan perompak kubur. Asal usul mistabah dapat dilihat di Tarkhan, di mana makam dibahagikan kepada dua buah bahagian. Satu belah akan menempatkan mayat, berorientasikan kedudukan utara-selatan, dan belah yang lagi satu akan terbuka untuk orang hidup menyampaikan persembahan.[4] Memandangkan mayat tidak bersentuhan dengan pasir gurun yang kering, pemumian semula jadi tidak dapat berlaku. Oleh sebab itu, orang Mesir mencipta satu sistem pemumian buatan.[5] Sehingga sekurang-kurangnya Tempoh Kerajaan Lama atau Tempoh Perantaraan Pertama, hanya pegawai tinggi dan kerabat diraja sahaja dikebumikan dalam mistabah-mistabah begini.[6]

Remove ads

Struktur

Thumb
Struktur mistabah

Istilah mistabah datang daripada perkataan bahasa Arab untuk "bangku lumpur".[7] Apabila dilihat dari jauh, mistabah yang berbumbung rata memang menyerupai bangku. Sejarawan berspekulasi bahawa orang Mesir mungkin meminjam idea-idea seni bina dari Mesopotamia, memandangkan pada masa itu kedua-dua negeri membina struktur-struktur yang serupa.[8]

Struktur atas tanah sebuah mistabah adalah berbentuk segi empat tepat dengan sisi yang condong ke dalam dan bumbung rata. Bahan binaan luaran pada awalnya bata lumpur yang dikeringkan oleh matahari dan mudah didapati dari Sungai Nil. Walaupun setelah bahan yang lebih tahan lama seperti batu mula digunakan, majoriti dibina daripada bata lumpur.[9] Mistabah gergasi, seperti yang di Saqqara, sering dibina daripada batu kapur.[10] Mistabah seringnya lebih kurang empat kali lebih panjang daripada lebarnya, dan banyak yang mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 10 meter (30 ka). Ia berorientasikan utara–selatan, yang dipercayai oleh orang Mesir penting untuk mencapai alam akhirat. Bumbung mistabah diperbuat daripada kayu kekisi atau kepingan batu kapur, dengan tingkap cahaya untuk menerangi makam.[10] Struktur atas tanah mempunyai ruang untuk sebuah bandarsah persembahan kecil yang dilengkapi dengan pintu palsu. Para kahin dan ahli keluarga bawa makanan dan persembahan lain untuk jiwa, atau ba, si mati yang perlu dijaga untuk terus wujud di alam akhirat. Pembinaan mistabah telah diseragamkan, dengan beberapa kaedah rawatan menjadi amalan biasa bagi kerja batu.[10]

Mistabah dihiasi dengan sangat indah, dengan lukisan di dinding dan siling dan ukiran-ukiran elemen semula jadi seperti pokok palma daripada batu kapur. Disebabkan warna mempunyai kepentingan yang berkaitan dengan roh, mistabah lebih elok dibina daripada batu kapur putih. Jika ini tidak tersedia, batu kapur kuning atau bata lumpur makam akan dicat putih dan dilepa.[10] Mistabah untuk kerabat diraja sangat mewah di bahagian luar, bertujuan untuk menyerupai istana.[4]

Remove ads

Dalaman

Tujuan mistabah adalah untuk menyediakan rumah untuk ba di alam akhirat, dan mistabah itu akan disusun sewajarnya. Sesetengahnya digunakan untuk menempatkan seluruh keluarga, bukannya satu individu, dengan beberapa liang pengebumian berfungsi sebagai "bilik".[4] Ruang-ruang pengebumian ditarah ke dalam batuan dasar dan dilapisi dengan kayu.[11] Ruang tersembunyi kedua yang dipanggil serdab (سرداب), daripada perkataan Parsi untuk "bilik bawah tanah",[12] digunakan untuk menyimpan apa-apa yang mungkin dianggap penting untuk keselesaan si mati di alam akhirat, seperti bir, bijirin, pakaian dan barang berharga.[13] Mistabah menempatkan patung si mati yang disembunyikan di dalam dinding batu untuk perlindungannya. Tinggi di dinding serdab terdapat bukaan kecil yang akan membolehkan ba untuk meninggalkan dan kembali ke jasadnya (diwakili oleh patung). Orang Mesir Purba percaya ba mesti kembali ke tubuhnya atau ia akan mati. Bukaan-bukaan ini "bukan bertujuan untuk melihat patung tersebut tetapi untuk membolehkan bau wangi kemenyan yang dibakar, mungkin juga jampi yang diucapkan dalam upacara, untuk sampai kepada patung itu".[14] Patung-patung hampir selalunya diorientasikan dalam sama arah, menghadap bukaan. Serdab juga boleh dituliskan inskripsi, seperti wasiat dan kultus pengebumian pemiliknya.[15] Mistabah yang lebih berhias akan dibinakan halaman terbuka, digunakan untuk menempatkan lebih banyak patung dan membolehkan si mati melakukan upacara. Lama-kelamaan, halaman begini menjadi dewan bertiang yang megah, yang mempunyai tujuan yang sama. Dewan begini biasanya ialah bilik terbesar dalam sesebuah mistabah, serta boleh digunakan untuk korban ternakan. Mistabah yang lebih besar juga ada bilik-bilik simpanan, yang ketua keluarga si mati akan gunakan untuk mengekalkan kultus pengebumian pemilik mistabah itu. Secara amnya, akan ada lima bilik simpanan ini, digunakan oleh orang hidup untuk menyimpan peralatan yang diperlukan untuk melakukan upacara; lain daripada serdab, ia bukannya bertujuan untuk digunakan oleh si mati. Bilik-bilik ini langsung tidak dihiasi, sekali lagi membezakan fungsinya daripada bahagian lain makam. Disebabkan kos yang besar untuk menambahkan sebuah kompleks bilik stor, ini hanya dibina dalam mistabah-mistabah yang terbesar, untuk keluarga diraja dan wazir.[10]

Remove ads

Evolusi seni bina

Thumb
Peta Penara Giza, menunjukkan mistabah yang dibina dalam kompleks

Mistabah ialah jenis makam standard di Mesir pradinasti dan dinasti awal untuk kedua-dua firaun dan golongan elit. Bandar purba Abydos ialah lokasi yang dipilih untuk banyak tugu peringatan si mati. Perkuburan diraja berada di Saqqara, menghadap ibu kota lama, Memphis.[16]

Mistabah berevolusi sepanjang tempoh dinasti awal (s. 3100–2686 SM). Semasa Dinasti Pertama, mistabah dibina menyerupai pelan rumah dengan beberapa bilik, bilik tengahnya menempatkan sarkofagus dan yang lain di sekelilingnya untuk menerima persembahan pengebumian. Seluruhnya dibina dalam sebuah lubang cetek yang di atasnya terdapat binaan bata gergasi yang meliputi kawasan yang luas. Mistabah tipikal Dinasti ke-2 dan ke-3 (s. 2686–2313) ialah 'mistabah tangga', ruang makamnya lebih dalam daripada zaman sebelumnya dan disambungkan ke bahagian atas dengan liang yang menanjak dan tangga.[16] Banyak ciri mistabah berkembang menjadi ciri-ciri piramid, menunjukkan kepentingannya sebagai salah satu fasa dalam pembinaan makam Mesir. Ini termasuklah rupa luaran makam, dengan sisi condong mistabah menjadi panjang dan menirus sehingga berbentuk piramid. Contoh pertama dan yang paling ketara ialah piramid bertingkat Djoser, yang menggabungkan banyak ciri tradisional mistabah dengan binaan batu yang jauh lebih besar.[4]

Walaupun selepas piramid menjadi lebih lazim untuk golongan firaun pada Dinasti ke-3 dan ke-4, golongan bangsawan tetap dikebumikan dalam makam mistabah. Ini amat ketara di Penara Giza, di mana sekurang-kurangnya 150 buah makam mistabah telah dibina di samping piramid.[17]

Dalam Dinasti ke-4 (s. 2613 hingga 2494 SM), makam batu tarah mula muncul. Ini makam-makam yang dibina ke dalam tebing batu di Mesir Hulu dalam usaha untuk menghalang perompak kubur.[18] Mistabah, kemudiannya, dikembangkan dan ditambah bandarsah persembahan dan liang menegak. Mistabah Dinasti ke-5 mempunyai bandarsah berhias yang terdapat beberapa buah bilik, dewan bertiang dan 'serdab'. Ruang makam yang sebenar dibina di bawah hujung selatan mistabah, disambungkan dengan laluan menanjak ke sebuah tangga yang keluar ke tengah-tengah dewan atau halaman bertiang.

Mistabah masih banyak dibuktikan wujud semasa Kerajaan Pertengahan, apabila ia mula dibangkitkan semula. Seringnya struktur ini padat, dihiaskan hanya di bahagian luar.[19]

Menjelang zaman Kerajaan Baru (yang bermula dengan Dinasti ke-18 sekitar 1550 SM), "mistabah menjadi nadir, sejumlah besarnya digantikan oleh bandarsah piramid yang berdiri sendiri di atas kamar pengebumian".[20]

Remove ads

Contoh

Bukan diraja

  • Mistabah Hesy-Re
  • Mistabah Kaninisut
  • Mistabah Seshemnefer
  • Mistabah S3503
  • Mistabah S3504

Diraja

  • Mistabah Terkubur (Sekhemkhet)
  • Mastabat al-Fir'aun (Shepseskaf)
  • Mistabah Neferefre (Neferefre)

Lihat juga

  • GIS Perkuburan
  • Meidum
  • Seni bina Palestin: mastabeh atau mastaba sebagai kawasan "tidak tercemar" yang dinaikkan, dalam atau luar rumah dalam seni bina tradisional Palestin[21]

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads