Piye

From Wikipedia, the free encyclopedia

Piye
Remove ads

Piye (juga ditafsirkan sebagai Pankhy atau Piankhi;[3][a] merupakan seorang raja kuno Kush dan pengasas Dinasti Kedua Puluh Lima Mesir, yang memerintah Mesir dari 744 – 714 SM.[6] Baginda memerintah dari kota Napata, terletak jauh di Nubia, moden Sudan.

Fakta Segera Firaun, Pemerintahan ...
Remove ads

Nama

Piye mengguna pakai dua nama takhta: Usimare dan Sneferre.[7] Baginda sangat meminati pemujaan dewa Amun, seperti ramai raja Nubia. Baginda menghidupkan semula Kuil Besar Amun yang hampir dibubarkan di Jebel Barkal, yang kali pertama dibina di bawah Thutmose III dari Kerajaan Baru, dengan menggunakan ramai pengukir dan tukang batu dari Mesir. Baginda dianggap pernah juga menggunakan nama takhta Menkheperre ("Manifestasi Ra kekal") tetapi prenomen ini kini telah dikenal pasti sebagai milik raja Thebes tempatan bernama Ini yang sezaman dengan Piye.[8]

Remove ads

Keluarga

Piye ialah anak kepada Kashta dan Pebatjma. Baginda diketahui mempunyai tiga atau empat isteri. Abar ialah bonda kepada putera mahkotanya Taharqa. Isteri lain termasuk Tabiry, Peksater dan mungkin Khensa.[9]

Piye diketahui mempunyai beberapa orang anak. Baginda ayah kepada:

  • Raja Shebitku. Dikatakan adalah anak Piye,[10] ataupun saudara Piye.[9][11]
  • Raja Taharqa. Anak Permaisuri Abar. Baginda menaiki takhta selepas bapa saudaranya Shabaka dan saudara lelaki lain bernama Shebitku.[9]
  • Isteri Dewa Amun Shepenwepet II. Dilantik di Thebes semasa pemerintahan abangnya Taharqa.[9]
  • Qalhata, isteri Raja Shabaka; dia ibu raja Tanutamun dan mungkin juga Raja Shabataka.[9]
  • Tabekenamun berkahwin dengan abangnya Taharqa.[9]
  • Naparaye berkahwin dengan abangnya Taharqa.[9]
  • Takahatenamun berkahwin dengan abangnya Taharqa.[9]
  • Arty, berkahwin dengan raja Shebitku.[9]
  • Har. Diketahui daripada meja persembahan anak perempuannya Wadjrenes dari Thebes (TT34).[9]
  • Khaliut, Gabenor dari Kanad menurut stele yang ditemui di Barkal.[9]
  • Puteri Mutirdis, Ketua Nujum Hathor dan Mut di Thebes dan anak perempuan Piye menurut Morkot.[11] Dianggap sebagai anak perempuan pemerintah tempatan bernama Menkheperre Khmuny dari Hermopolis oleh Kitchen.[10]
Remove ads

Penaklukan Mesir

Thumb
Gambar Shepenupet II, "Pemuja Kudus Amun" dan anak perempuan Piye.
Thumb
Runtuhan Kuil Jebel Barkal.

Sebagai pemerintah Nubia dan Mesir Hulu, Piye mengambil kesempatan daripada pertelingkahan pemerintah Mesir dengan mengembangkan kuasa Nubia ke Mesir Hilir, melebihi Thebes. Sebagai tindak balas, Tefnakht dari Sais membentuk gabungan dengan raja-raja tempatan Wilayah Delta dan memujuk sekutu pada nama sahaja Piye—raja Nimlot dari Hermopolis—untuk berpaling tadah. Tefnakht kemudian menghantar tentera gabungannya ke selatan dan mengepung Herakleopolis di mana rajanya Peftjauawybast dan panglima-panglima Nubia tempatan meminta bantuan Piye. Piye bertindak pantas terhadap krisis ini pada tahun pemerintahan ke-20 dengan mengumpulkan tentera untuk menceroboh Mesir Tengah dan Hilir dan melawat Thebes tepat pada masanya untuk Perayaan Opet yang membuktikan baginda dengan efektif telah menguasai Mesir Hulu pada masa ini. Kejayaan ketenteraannya dicatatkan dalam Stela Kemenangan di Jebel Barkal:

Dengarlah apa yang telah aku lakukan melebihi nenek moyang. Akulah raja, perwakilan tuhan, gambaran hidup Atum, yang dilahirkan dari rahim ditandakan sebagai pemerintah, yang ditakuti oleh mereka yang lebih besar daripadanya, [yang ayahnya] tahu dan yang ibunya sedar bahkan dalam telur bahawa dia akan menjadi pemerintah, tuhan yang baik, dikasihi oleh para dewa, Anak Ra, yang bertindak dengan dua tangannya, Piye, dikasihi oleh Amon ....

Stela Kemenangan Piye.[12]

Piye melihat kempennya sebagai perang suci, memerintahkan askar-askarnya untuk menyucikan diri sebelum memulakan pertempuran. Baginda sendiri mempersembahkan korban kepada dewa besar Amun.[13]

Piye kemudian berarak ke utara dan meraih kemenangan yang sempurna di Herakleopolis, menakluki bandar-bandar Hermopolis dan Memphis antara lain, dan menerima penyerahan raja-raja Delta Nil termasuk Iuput II dari Leontopolis, Osorkon IV dari Tanis dan bekas sekutunya Nimlot di Hermopolis. Hermopolis jatuh ke tangan baginda setelah lima bulan pengepungan. Tefnakht berlindung di sebuah pulau di Delta dan secara rasmi mengakui kekalahan dalam surat kepada raja Nubia tetapi enggan mengangkat sembah secara peribadi kepada pemerintah Kush itu. Berpuas hati dengan kemenangannya, Piye terus belayar ke selatan ke Thebes dan kembali ke tanah airnya di Nubia tanpa kembali ke Mesir.

Walaupun kempen Piye yang berjaya ke Delta, kuasanya hanya meluas ke utara dari Thebes hingga ke oasis gurun barat dan Herakleopolis di mana Peftjauawybast memerintah sebagai raja lindungan Nubia. Raja-raja tempatan Mesir Hilir—terutamanya Tefnakht—kiranya bebas melakukan apa yang mereka kehendaki tanpa pengawasan Piye. Shebitku, pengganti Piye, kemudian membetulkan keadaan yang tidak memuaskan ini dengan menyerang Sais dan mengalahkan pengganti Tefnakht Bakenranef di sana, pada tahun pemerintahan keduanya.

Remove ads

Tempoh pemerintahan

Thumb
Butiran lukisan Stela Kemenangan: Piye (kiri, sebahagian terhapus) diberi ufti oleh empat orang pemerintah Delta Nil: Nimlot berdiri, dan berlutut dari kiri ke kanan, Osorkon (IV), Iuput (II) dan Peftjauawybast.[14]

Tarikh terawal yang diketahui Piye asalnya disangkakan "Tahun 24 III Akhet hari 10" yang disebut dalam "Stela Dakhla Kecil" (Muzium Ashmolean No.1894) dari kuil Sutekh di Mut el-Kharab di Oasis Dakhla.[15] Walau bagaimanapun, ukiran di Kuil Besar di Jebel Barkal menggambarkan Piye meraikan Perayaan Heb Sed. Perayaan sedemikian menurut adat diraikan pada Tahun ke-30 seorang raja. Diperdebatkan sama ada ukiran itu menggambarkan peristiwa sejarah, atau disiapkan terlebih dahulu untuk perayaan itu—dalam hal ini Piye mungkin telah mangkat sebelum tahun pemerintahan ke-30. Piye juga dibuktikan oleh dua papirus bertarikh Tahun 21 dan 22 pemerintahannya yang mana baginda dinamakan Firaun "Piye Si-Ese Meryamun" yang tidak diragukan lagi adalah nama raja ini.[16]

Kenneth Kitchen telah mencadangkan pemerintahan 31 tahun untuk Piye, berdasarkan stele dermaan Tahun 8 raja Shepsesre Tefnakht yang biasanya dilihat sebagai lawan kepada Piye.[17] Pendapat yang berbeza datang daripada Olivier Perdu pada 2002, yang percaya bahawa stele ini merujuk kepada raja kemudian Tefnakht II kerana persamaan gaya dengan stele yang lain, bertarikh Tahun 2 pemerintahan Necho I.[18][19] Kedua, Kitchen memerhatikan bahawa:

Serpihan pembalut dari Thebes Barat mempunyai tarikh kabur dari zaman Sneferre Piankhy [atau Piye]. Kesan-kesan yang kelihatan menunjukkan 'Tahun Pemerintahan 20', tampalan dan kesan (kesan ini mungkin '10'), dan tanda halus yang mungkin adalah t yang lewah. Dalam erti kata lain, di sini kita mempunyai tarikh lebih tinggi daripada Tahun 20 Piankhy [atau Piye], malah bermungkinan juga Tahun 30 - yang akan padan dengan pemerintahan minimum 31 tahun yang telah disimpulkan berdasarkan bukti-bukti lain.[20]

Remove ads

Pengebumian

Makam Piye terletak bersebelahan dengan Piramid terbesar di perkuburannya, dilabelkan Ku.1 (dilihat dalam imej di sebelah kanan), di el-Kurru berhampiran Jebel Barkal di tempat yang kini Utara Sudan. Turun melalui 19 anak tangga yang terbuka ke timur, ruang pengebumiannya ditarah ke dalam batuan dasar sebagai parit terbuka dan ditutup dengan bumbung batu sesangga. Jenazahnya telah diletakkan di atas katil yang terletak di tengah ruang di atas bangku batu dengan empat penjurunya dipotong untuk diletakkan kaki katil supaya platform katil terletak terus di atas bangku. Lebih jauh ke pinggir perkuburan itu (firaun pertama yang menerima pengebumian sedemikian dalam lebih 500 tahun)[13] empat kuda kegemarannya telah dikebumikan. Tapak ini juga akan diduduki oleh makam-makam beberapa ahli dinastinya yang kemudian.

Remove ads

Nota kaki

  1. Nomen lengkap sentiasa ditulis dengan hieroglif ankh (𓋹 "hidup, kehidupan"),[2] pada suatu ketika dianggap sebagai sebahagian fonemik nama, tetapi kini dianggap sebagai penentu yang tidak disebut[4] atau sisipan penghormatan,[5] lihat ankh wedja seneb.

Rujukan

Bibliografi

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads