Taman Botanikal Melaka

Taman botanikal di Melaka Tengah, Melaka, Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia

Taman Botanikal Melakamap
Remove ads

2.281623°N 102.299050°E / 2.281623; 102.299050

Fakta Segera Taman Botanikal Melaka تامن بوتانيكل ملاک, Jenis ...

Taman Botanikal Melaka (sebelum ini dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh[3]) ialah sebuah taman rekreasi terdiri daripada kawasan hutan yang dirizabkan[4] dan taman landskap[5] yang menjadi tarikan pengunjung sebagai kawasan untuk beriadah[6]. Taman ini dihubungkan dengan laluan utama Lebuh Ayer Keroh yang mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan dari Plaza Tol Ayer Keroh Lebuhraya Utara-Selatan[7] dan terletak bersebelahan dengan Muzium Lebah Sedunia dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Kawasan hutan yang terdapat di Taman Botanikal Melaka mengandungi beberapa spesis pokok hutan hujan tropika[6] seperti pokok Merawan siput jantan (Hopea odorata Roxb), pokok Kempas (Koompassia malaccensis), pokok Meranti tembaga (Shorea leprosula) dan pokok Mersawa merah (Anisoptera megistocarpa). Selain itu, beberapa taman mini dibangunkan dalam taman ini seperti Taman Cerita, Taman Dinosaur dan Taman Permainan Kanak-Kanak[8]. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 300 spesis flora dan fauna yang direkodkan pada tahun 2022[9].

Taman Botanikal Melaka diuruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)[10], manakala kontraktor SWM Environment dilantik sebagai kontraktor pembersihan untuk taman ini[11]. Taman ini juga menempatkan sebuah agensi kerajaan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Melaka yang terletak bersebelahan, selain terdapat Muzium Perhutanan yang dikendalikan jabatan ini[12]. Taman ini mula dibuka pada bulan April 1984 dengan nama Hutan Rekreasi Air Keroh dan menawarkan kemasukan secara percuma[13]. Pada bulan Jun 2006, Hutan Rekreasi Ayer Keroh dijenamakan semula kepada Taman Botanikal Melaka dan ia telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam[2].


Remove ads

Sejarah

Thumb
Plak perasmian Hutan Rekreasi Ayer Keroh pada tahun 1984.

Hutan Rekreasi Ayer Keroh pada asalnya dibangunkan bertujuan untuk mengekalkan kawasan hutan hujan tropika di samping bertindak sebagai "paru-paru hijau" di Ayer Keroh[14]. Ianya telah dibuka secara rasmi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik pada 17 April 1984, manakala pengurusan hutan ini adalah di bawah Jabatan Perhutanan Melaka. Pada asalnya pembangunan hutan rekreasi ini hanya dihadkan kepada 79 hektar, namun begitu keluasannya meningkat kepada 300 hektar semasa pembukaan rasmi[13]. Beberapa haiwan dari spesis rusa merah (Cervus elaphus) telah dibawa dari Zoo Melaka bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengunjung akan suasana kehidupan haiwan di habitat asal mereka[13].

Pada tahun 1990, Jabatan Perhutanan Melaka memulakan projek pembinaan Taman Mini Dinosaur, di mana sebanyak 18 replika dinosaur dari 15 spesis semasa era Mesozoik dibina di sekitar hutan ini[15]. Antara spesis dinosaur yang dibina termasuklah Brachiosaurus yang berukuran 126 meter tinggi, Tyrannosaurus rex dan Ankylosaurus. Kos keseluruhan projek ini menelan belanja sebanyak RM50,000 dan kontraktor yang dilantik mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan satu replika[16]. Selain itu, Jabatan Perhutanan Melaka juga membangunkan Taman Cerita yang menampilkan replika beberapa haiwan dari kisah dongeng popular seperti Kisah Sang Kancil dan Buaya serta Kisah Arnab dan Kura-Kura[16].


Remove ads

Lihat juga


Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads