Vaksin denggi
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Vaksin denggi merupakan sejenis vaksin yang digunakan untuk mencegah demam denggi pada manusia.[1] Setakat tahun 2019[kemas kini], satu versi vaksin denggi yang dikenali sebagai CYD-TDV sudah tersedia secara komersial, dan dijual di bawah jenama Dengvaxia.[2] Vaksin hanya disyorkan kepada mereka yang pernah menghidap demam denggi atau dalam kalangan populasi yang kebanyakan orang telah dijangkiti sebelum ini.[2] Nilai vaksin ini terhad kerana ia boleh meningkatkan risiko denggi teruk pada mereka yang tidak pernah dijangkiti sebelum ini.[2][3] Ia diberikan dalam bentuk tiga suntikan selama setahun.[1]
Antara beberapa kesan sampingan yang biasa dialami termasuklah sakit kepala, sakit di tapak suntikan, dan sakit otot umum.[1] Antara kesan sampingan yang teruk mungkin termasuklah anafilaksis.[1] Penggunaan vaksin ini tidak disyorkan pada mereka yang mempunyai fungsi imun yang lemah.[1] Keselamatan penggunaan vaksin ini untuk mereka yang sedang mengandung tidak jelas.[1] Dengvaxia merupakan vaksin dengan virus hidup tetapi lemah, dan berfungsi dengan mencetuskan tindak balas imun terhadap empat jenis virus denggi.[4][1]
Setakat tahun 2021[kemas kini], vaksin denggi telah diluluskan untuk kegunaan perubatan pada 19 buah negara, termasuklah Amerika Syarikat pada tahun 2019.[4][5][6] Vaksin ini telah dimasukkan pada Senarai Model Ubat Penting WHO.[7] Di Indonesia anggaran kos vaksin ini adalah sekitar US$207 untuk tiga dos saranan setakat tahun 2016.[8] Perkembangan vaksin denggi bermula sejak 1920-an, tetapi terbantut kerana keperluan untuk membentuk keimunan melawan keempat-empat serotip denggi yang wujud.[9] Beberapa calon vaksin lain yang sedang dikembangkan menggunakan prinsip yang termasuklah pelemahan virus, penyahaktifan virus, DNA serta protein subunit.[9]
Remove ads
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads