Xoloitzcuintle

baka anjing dari Mexico From Wikipedia, the free encyclopedia

Xoloitzcuintle
Remove ads

Xoloitzcuintle (atau xoloitzquintle, xoloitzcuintli, atau xolo)[a] ialah satu baka anjing botak. Ia terdapat dalam saiz piawai, perantaraan, dan katik. Xolo juga terdapat dengan keragaman berbulu, iaitu sepenuhnya dilitupi bulu. Anjing berbulu dan anjing botak dapat lahir dalam perinduk sama oleh sebab gabungan gen sama. Keragaman botak dikenali sebagai anjing botak Mexico.[b][1][2] Ia bercirikan kedut-kedutan, dan keabnormalan gigi. Namanya dalam bahasa Nahuatl ialah xōlōitzcuintli [ʃoːloːit͡sˈkʷint͡ɬi] (tunggal)[3] dan xōlōitzcuintin Sebutan Nahuatl: [ʃoːloːit͡sˈkʷintin] (jamak).[3] Namanya diperoleh daripada dewa Xolotl yang, menurut kisah purba, merupakan penciptanya dan itzcuīntli Sebutan Nahuatl: [it͡sˈkʷiːnt͡ɬi], yang memaksudkan "anjing" dalam bahasa Nahuatl.[3]

Fakta Segera Nama lain, Nama ringkas ...
Remove ads

Sejarah

Thumb
Anjing Colima
Thumb
Seekor xoloitzcuintle mainan
Thumb
Giorgio Armani, xoloitzcuintle pertama yang dinamai Best of Breed dalam Pertunjukan Anjing Westminster.[4] Ia telah mencapai empat kali Best in Show dan 27 Group First sejak menyertai Kumpulan Bukan Sukan American Kennel Club pada Januari 2011.[4]
Thumb
Xoloitzcuintle botak dan berbulu
Thumb
Seekor xoloitzcuintle baru lahir
Thumb
Seniman Diego Rivera dengan seekor xoloitzcuintle di Casa Azul

Arca seramik bagi baka anjing botak telah ditemukan di tapak pengebumian di Mexico Barat purba.[5] Pada zaman purba, xolo kerap dikorbankan dan kemudian dikebumikan dengan tuannya untuk berkhidmat sebagai pemandu kepada roh dalam perjalanannya ke dunia bawah. Ia telah ditemukan di tapak-tapak pengebumian Maya dan Toltec.[6]

Catatan Sepanyol dari abad keenam belas mengisahkan sebilangan besar anjing yang dihidangkan di bankuet.[7] Jamuan saudagar Aztek dapat mempunyai 80–100 ayam belanda dan 20–40 anjing yang dihidangkan sebagai makanan.[8] Apabila kedua-dua hidangan daging ini dihidangkan di pinggan sama, daging anjing berada di dasar pinggan, mungkin kerana dianggap paling hina.[8]

Orang Aztek memakan beberapa haiwan bela jinak. 90% tulang yang ditemukan di tapak-tapak arkeologi merupakan tulang rusa.[8]

Genetik

Sebuah kajian genetik tahun 1999 yang menggunakan DNA mitokondrion menemukan bahawa jujukan-jujukan DNA bagi xoloitzcuintle adalah serupa dengan yang pada anjing dari Dunia Lama.[9] Pada tahun 2018, analisis DNA daripada seluruh genom menunjukkan bahawa anjing bela jinak memasuki Amerika Utara dari Siberia selama 4,500 tahun dan terasing selama 9,000 tahun seterusnya. Selepas perhubungan dengan orang Eropah, anjing ini digantikan oleh anjing Eurasia dan keturunan tempatannya. Anjing praperhubungan menunjukkan penanda genetik unik yang kini hampir lenyap[10] oleh sebab asimilasinya ke dalam takungan gen anjing Eurasia. Pada tahun 2020, penjujukan genom anjing purba menunjukkan bahawa dua baka Mexico, iaitu anjing Chihuahua dan xoloitzcuintli, menerbitkan hanya 4% dan 3% daripada keleluhuran masing-masing daripada anjing prapenjajahan.[11]

Fenotipnya ialah hasil daripada displasia ektoderma anjing yang disebabkan oleh mutasi pada gen autosom FOXI3.[12]

Remove ads

Pendaftaran

Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI)

Baka ini tidak menerima sebarang perhatian rasmi di tanah airnya sehingga tahun 1950-an. FCI, yang ditubuhkan pada tahun 1940, tidak bersedia untuk mengisytiharkan xolo sebagai baka tulen rasmi pada masa itu. Menurut sejarawan baka Norman Pelham Wright, pengarang The Enigma of the Xoloitzcuintli, xolo mula hadir dalam pertunjukan anjing Mexico pada lewat tahun 1940-an. Walaupun diiktiraf sebagai spesimen peribumi bagi baka asli, minat terhadapnya adalah minimal pada masa itu kerana maklumat adalah jarang dan tiada piawaian yang wujud untuk digunakan untuk penghakiman. Dalam sedekad, FCI sedar bahawa baka ini bakal menjadi pupus jika tindakan segera tidak diambil untuk menyelamatkannya. Ini membawa kepada Ekspedisi Xolo Tahun 1954 yang diberi publisiti meluas. Dengan keizinan rasmi FCI, Wright dan sepasukan orang berwibawa dari Mexico dan Britain berangkat untuk menemukan mana-mana xolo baka tulen yang masih wujud di kawasan pedalaman Mexico.[perlu rujukan] Akhirnya, 10 ekor xolo berstruktur kuat ditemukan dan anjing-anjing ini membentuk asas bagi program Mexico untuk memulihkan baka ini. Sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Wright menyusun piawaian rasmi pertama untuk baka ini; pada 1 Mei 1956, xolo akhirnya diiktiraf di tanah airnya dan, oleh sebab Mexico ialah anggota FCI, di seluruh dunia.[perlu rujukan]

American Kennel Club (AKC)

Xolo merupakan antara baka pertama yang dicatat oleh American Kennel Club (AKC). Seekor anjing Mexico bernama "Mee Too" mencipta sejarah baka sebagai xolo daftaran AKC pertama pada tahun 1887. "Chinito Junior", yang dibiakbakakan dan dimiliki oleh Valetska Radtke dari Bandar Raya New York, menjadi satu-satu juara AKC baka ini sampai sekarang. Ia memperoleh gelarannya pada 19 Oktober 1940.[13]

Pada tahun 1959, xolo digugurkan daripada buku pembaka AKC oleh sebab kejarangan baka dan tanggapan kepupusan. Xoloitzcuintli Club of America (XCA), kelab induk rasmi untuk baka ini, ditubuhkan pada 26 Oktober 1986 untuk memulihkan pengiktirafan AKC untuk baka ini. Pada 13 Mei 2008, AKC mengundi untuk memasukkan baka ini semula ke dalam Kelas Lain-lain-nya mulai 1 Januari 2009. Para ahli pengasas sebulat suara mengundi untuk mengiktiraf ketiga0tiga saiz (mainan, katik, dan piawai) dan kedua-dua keragaman (botak dan berbulu) pada mesyuarat awal mereka. Sejak itu, XCA telah menyusun buku pembaka bermodelkan syarat-syarat untuk penerimaan AKC, menganjurkan pertunjukan khas bebas tahunan, menerbitkan surat berita suku tahun, The Xolo News, dan mengekalkan rangkaian penyelamatan kebangsaan aktif, National Xolo Rescue (dikenali sebelum tahun 2009 sebagai The Xolo Rescue League[14]). Sejak 1 Januari 2007, xolo daftaran FSS telah menjadi layak untuk bertanding dalam acara prestasi AKC. Baka ini dipindahkan ke dalam Buku Pembaka AKC pada Disember 2010 dan telah menjadi layak untuk ditunjukkan dalam kumpulan Bukan Sukan AKC sejak 1 Januari 2011.[15]

Remove ads

Ciri

Penampilan

Baka ini mempunyai julat saiz kira-kira 10–55 lb (4.5–24.9 kg). Tingginya ialah 9–26 inci (23–66 cm). Dengan keserupaan penampilan dengan anjing pemburu firaun, dengan tubuh anggun, mata berbentuk badam, telinga besar mirip kelawar, dan leher panjang, xolo terkenal kerana trait kebotakan dominan.[16] Trait botak dominan pada baka ini berasal sebagai mutasi spontan beribu-ribu tahun lalu. Ekspresi resesif bagi trait ini menghasilkan keragaman berbulu, yang secara genetik tidak terpisah daripada yang botak, kerana penampilan homozigus bagi mutasi botak membawa maut kepada anak belum lahir.[1][2] Kebanyakan perinduk mengandungi kedua-dua anak anjing botak dan anak anjing berbulu. Keragaman berbulu, yang diliputi dengan lapis bulu padat pendek dan rata mewaikil bentuk asli bagi anjing ini, sebelum kejadian mutasi botak spontan.[17] Keragaman botak sepenuhnya botak pada tubuh, dengan banyak anjing yang mempunyai beberapa helai bulu singkat di atas kepala, di jari kaki, dan di hujung ekor. Kebanyakan anjing botak berwarna hitam atau kelabu kebiru-biruan. Alel yang menyebabkan kebotakan xolo juga menjejaskan kegigian anjing: Xolo botak biasanya mempunyai set gigi tidak lengkap sementara anjing daripada keragaman berbulu mempunyai kegigian lengkap.

Xolo adalah sederhana dalam semua aspek penampilannya, dengan wajah kekuatan, ketangkasan, dan keanggunan. Perkadaran tubuh xolo berbentuk segi empat tepat, dengan tubuh lebih panjang sedikit berbanding dengan ketinggian yang diukur pada paras tertinggi kelasa (puncak bahu). Baka ini terdapat secara semula jadi dalam dua keragaman, botak dan berbulu. Xolo botak terhasil daripada kehadiran alel dominan (HH atau Hh) pada lokus FOXI3.[18] Xolo berbulu ialah ekspresi resesif yang hanya berlaku apabila dua alel berbulu (hh) hadir. Pembiakbakaan sesama anjing berbulu hanya menghasilkan anak anjing berbulu kerana hanya alel berbulu hadir untuk diwariskan.

Kedua-dua keragaman terdapat dengan semua warna bulu atau kulit, dan kulitnya kerap bertanda, bercorak percik, atau bertompok. Warna paling umum merupakan pelbagai cahaya warna hitam, kelabu, gangsa, perang muda kekuning-kuningan, biru, dan merah. Baka ini terdapat dalam pelbagai saiz, yang telah dipiawaikan oleh para pembiak baka ke dalam tiga sebutan: piawai, katik, dan mainan.

Xoloitzcuintle mempunyai perangai tenang dan penuh perhatian.[19]

Kesihatan

Xolo telah dikembangkan melalui pemilihan semula jadi selama beribu-ribu tahun. Maka, pada umumnya ia tidak cenderung terhadap masalah kesihatan dan struktur sebagaimana baka anjing lain yang diubah suai melalui usaha pemilihan manusia. Xolo berasal daripada iklim tropika dan tidak sesuai untuk kehidupan di ruangan luar dalam iklim sederhana lebih sejuk dan iklim utara; ia patut dianggap sebagai baka anjing ruangan dalam.[tiada dalam ayat yang diberikan] Ia memerlukan mandi, penjagaan bulu ringan, dan penjagaan kulit seperti anjing lain dengan jenis fizikal serupa, atau akne dapat terjadi. Kebanyakan masalah kulit berpunca daripada pembiakbakaan lemah, pengabaian, atau mandi berlebihan, dan penyapuan losen berlebihan, yang menanggalkan perlindungan semula jadi dan menyumbangkan pori.[20][21]

Remove ads

Dalam kebudayaan semasa

Xoloitzcuintle diwakili dalam kebudayaan popular dan merupakan haiwan peliharaan popular.[22] Muzium El Carmen di Bandar Raya Mexico mempamerkan persembahan yang berjudul Xolos, compañeros de viaje ("Xolo, pendamping perjalanan") pada tahun 2019 hingga tahun 2020 mengenai lebih daripada 100 artifak – seramik, tinggalan rangka, dan karya seni – menekankan kepentingan xoloitzcuintle dalam warisan Mexico.[23] Seekor xolo bernama Dante membintangi blokbuster animasi CGI Amerika Syarikat, filem Disney/Pixar tahun 2017, Coco.[22] Pada 12 Ogos 2016, Datuk Bandar Raya Mexico Miguel Ángel Mancera menggelar xoloitzcuintle sebagai "warisan dan lambang kebudayaan" Bandar Raya Mexico.[24][25] Muzium Dolores Olmedo membela sekawan xolo di pekarangannya.[26]

Xoloitzcuintle ialah lambang dan maskot bagi Club Tijuana, Xoloitzcuintles de Caliente, sebuah kelab bola sepak profesional yang ditubuhkan pada tahun 2007. Xolo digambarkan dalam sesetengah lukisan seniman Mexico Frida Kahlo,[27] salah satu daripadanya diperingati pada wang tunai 500 peso tahun 2007, yang menonjolkan lukisan Frida Kahlo yang bertajuk The Love Embrace of the Universe, the Earth (Mexico), Myself, Diego, and Señor Xolotl (1949) pada muka belakang wang kertas itu.[28] Mural-mural besar Diego Rivera, Sejarah Mexico, di Istana Negara di Bandar Raya Mexico menonjolkan banyak xolo.[29]

Remove ads

Lihat juga

Catatan

  1. Jawi: شولوءيتسکوءينتلي; Bahasa-bahasa Nahua: xōlōitzcuintli
  2. Jawi: انجيڠ بوتق ميکسيکو; Sepanyol: perro pelón mexicano, perro sin pelo mexicano; bahasa Inggeris: Mexican hairless dog

Rujukan

Bacaan lanjut

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads