Zionisme
fahaman dan gerakan kebangsaan negara Yahudi From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Zionisme (Ibrani: ציונות, Tsiyonut; Arab: صهيونية, Ṣahyūniyya; bahasa Inggeris: Zionism; Jawi: زيونيسمى) ialah sebuah gerakan nasionalisme[1] dengan fokus pada etnik dan budaya yang muncul di Eropah pada lewat abad ke-19 serta bertujuan untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi dengan penjajahan di tanah luar Eropah.[2][3][4] Zionisme akhirnya memberi tumpuan kepada menegakkan sebuah negara Yahudi di Palestin,[5][6][7] wilayah yang sepadan dengan Tanah Israel dalam agama Yahudi,[8][9] dan mempunyai kepentingan dalam sejarah Yahudi. Zionis berhasrat untuk mewujudkan sebuah negara Yahudi di Palestin dengan sebanyak mungkin tanah, seramai mungkin orang Yahudi, dan sesedikit mungkin orang Arab Palestin.[10] Selepas penubuhan Israel pada tahun 1948, Zionisme menjadi ideologi kebangsaan Israel.[11][12][13][14][15][16] Asal-usul gerakan ini lebih awal tetapi secara rasmi ditubuhkan oleh wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19 melalui penerbitan bukunya Der Judenstaat.[17]

Zionisme pada awalnya muncul di Eropah Tengah dan Timur sebagai gerakan nasionalis pada akhir abad ke-19, sebagai reaksi terhadap gelombang antisemitisme baharu dan tindak balas kepada Haskalah, atau Pencerahan Yahudi.[1][18] Pada masa ini, Palestin sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah.[19] Kehadiran petempat Zionis di Palestin pada masa ini dianggap permulaan konflik Israel-Palestin. Sepanjang dekad pertama gerakan Zionis, beberapa tokoh Zionis, termasuk pengasas gerakan itu Theodor Herzl, ada mempertimbangkan tempat lain selain Palestin, seperti di bawah "Rancangan Uganda" (ketika itu sebahagian daripada Afrika Timur British, dan kini di Kenya), atau di Argentina, Cyprus, Mesopotamia, Mozambique, atau Semenanjung Sinai,[20] tetapi kebanyakan penyokong Zionisme menolaknya. Proses orang Yahudi berpindah atau "pulang" ke tanah (sekitar Palestin dan Israel hari ini) yang darinya mereka diusir, dilihat oleh gerakan Zionis yang sedang berkembang sebagai "penghimpunan orang buangan" (kibbutz galuyot), usaha untuk menghentikan semua pelarian dan penganiayaan yang Yahudi banyak lalui dalam sejarah dengan membawa mereka kembali ke tanah air bersejarah mereka.[21]

Dari tahun 1897 hingga 1948, matlamat utama gerakan Zionis adalah untuk membentuk asas bagi tanah air Yahudi di Palestin, kemudian mengukuhkannya. Gerakan ini sendiri mengakui kepercayaan Zionisme yang mengatakan penduduk dari luar Palestin paling berhak terhadap Palestin adalah tidak adil serta bertentangan dengan prinsip penentuan nasib sendiri.[22] Pada tahun 1884, kumpulan proto-Zionis menubuhkan kumpulan Pencinta Zion, dan pada tahun 1897, kongres Zionis pertama dianjurkan. Akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, begitu ramai Yahudi berhijrah terlebih dahulu ke Palestin Uthmaniyah dan kemudian ke Palestin Bermandat. Pada masa yang sama, sokongan dan pengiktirafan antarabangsa turut diperoleh, paling utama melalui Perisytiharan Balfour 1917 oleh United Kingdom. Sejak penubuhan Negara Israel pada tahun 1948, Zionisme terus memperjuangkan Israel dan menangani ancaman terhadap kewujudan dan keselamatannya.
Istilah "Zionisme" telah digunakan untuk merujuk pelbagai kaedah dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh orang Yahudi Eropah pada akhir abad ke-19.[23] Zionisme politik moden, berbeza daripada Zionisme agama, ialah gerakan yang terdiri daripada pelbagai kumpulan politik yang strategi dan taktiknya berubah mengikut masa. Ideologi utama yang dikongsi puak Zionis arus perdana ialah idea menegakkan Palestin yang majoritinya Yahudi dan memiliki tanah yang banyak, melalui penjajahan.[3] Arus perdana Zionis dalam sejarah merangkumi Zionisme liberal, buruh, revisionis, dan budaya, manakala kumpulan seperti Brit Shalom dan Ihud telah menjadi puak pembangkang dalam gerakan tersebut.[11] Perbezaan antara kumpulan-kumpulan Zionis ini terletak pada cara mereka menyampaikan kepercayaan dan nilai mereka. Mereka semua menggunakan kaedah yang sama untuk mencapai matlamat politik mereka, terutamanya menggunakan keganasan dan pemindahan paksa untuk menangani penduduk tempatan Palestin yang bukan Yahudi.[24][25] Penyokong Zionisme melihatnya sebagai gerakan untuk memulangkan semula orang asli Yahudi, yang telah dianiaya penganiayaan dan berkongsi identiti kebangsaan, ke tanah air nenek moyang mereka seperti yang tercatat dalam sejarah purba.[26][27][28] Sementara itu, golongan anti-Zionisme mengkritiknya sebagai satu ideologi kolonialis,[29] rasis,[30] atau ekseptionalis (fahaman bahawa satu individu, kaum, negara adalah unik, istimewa dan bagus daripada yang lain), atau sebagai gerakan penjajah-petempat.[31][32] Penyokong Zionisme tidak semestinya menolak idea bahawa Zionisme ialah gerakan penjajah-petempat atau ekseptionalis.[a][33][34][35]
Remove ads
Nota
Bacaan lanjut
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads