From Wikipedia, the free encyclopedia
Marikh ada dua bulan, iaitu Phobos dan Deimos.[1] Bulan-bulan ini dikatakan asteroid yang ditangkap oleh tarikan graviti Marikh.[2] Kedua-dua bulan ini ditemui pada tahun 1877 oleh Asaph Hall,[3] dan beliau menamakan kedua-dua bulan ini berdasarkan watak dalam mitologi Yunani, Phobos (panik/gerun) dan Deimos (kemusnahan) yang mengikuti bapa mereka, Ares (yang dikenali sebagai Mars di kalangan orang Rom) ke medan peperangan. Ada kemungkinan yang Marikh mempunyai banyak lagi bulan-bulan kecil yang bersaiz antara 50 hingga 100 meter dan satu gelang habuk antara Phobos dan Deimos, tetapi tidak satu pun antara kedua-dua ciri ini telah ditemui.[4]
Phobos dan Deimos ditemui pada 1877 oleh Asaph Hall selepas pencarian yang panjang. Kewujudan kedua-dua bulan ini pernah diramalkan secara teori sebelum penemuannya.
Ahli astronomi Johannes Kepler (1571–1630) telah meramalkan kewujudan kedua-dua bulan ini, malah telah menyatakan jumlahnya dengan tepat. Tetapi, ramalan Kepler adalah berdasarkan logik yang bermasalah: Sekiranya Bumi ada satu bulan dan Musytari ada empat bulan, jadi Marikh pasti ada dua bulan.[5]
Gulliver's Travels (1726) yang ditulis oleh Jonathon Swift, mungkin berdasarkan ramalan Kepler dan hukum Kepler ketiga. Di dalam novel ini (bahagian 3, babak 3: "Pelayaran ke Laputa"), ahli astronomi Laputa dikatakan telah menemui dua bulan yang mengorbit Marikh. Kedua-dua bulan ini dikatakan mengorbit Marikh pada jarak 3 dan 5 diameter Marikh, dan mengambil masa 10 dan 21.5 jam, masing-masing, untuk melengkapkan satu peredaran. Jarak Phobos yang sebenar dari Marikh ialah 1.4 diameter Marikh, sementara jarak Deimos pula adalah 3.5 diameter Marikh, manakala tempoh orbit kedua-dua satelit ini ialah 7.6 jam bagi Phobos dan 30.3 jam bagi Deimos.[5][6] Pada abad ke-20, V. G. Perminov, seorang pereka kapal angkasa bagi kapal angkasa Marikh dan Zuhrah awal milik Kesatuan Soviet, mengatakan Swift telah menemui dan menyahkod rekod-rekod yang makhluk Marikh telah tinggalkan di Bumi.[7]
Cerpen Micromégas (1750) yang ditulis oleh Voltaire, yang menceritakan berkenaan satu pelawat makhluk asing di Bumi, juga ada menyebut tentang kedua-dua bulan ini. Voltaire mungkin dipengaruhi oleh Swift.[8]
Untuk menghargai kedua-dua pengarang ini, dua kawah meteor yang terdapat di atas permukaan Deimos dinamakan sempena kedua-dua pengarang tadi.
Hall menemui Deimos pada 12 Ogos 1877, jam 07:48 UTC dan Phobos pada 18 Ogos 1877, jam 09:14 GMT di Balai Cerap Tentera Laut Amerika Syarikat (US Naval Observatory) yang terletak di Washington D.C..[9][10][11] Beliau telahpun menemui kedua-dua bulan ini pada 10 Ogos, tetapi cuaca buruk menghalangnya untuk mengenalpasti objek-objek ini.
Hall telah mencatat penemuan Phobos di dalam buku notanya seperti berikut:[12]
Teleskop yang telah digunakan dalam penemuan ini adalah teleskop jenis pembias 26 inci (66 cm) yang ketika waktu penemuan ditempatkan di Foggy Bottom.[13] Pada tahun 1893, lensa teleskop ini telah dipasang semula dan diletakkan di dalam kubah baru. Teleskop tersebut kekal di sana sehingga hari ini.[14]
Nama kedua-dua bulan ini dicadangkan oleh Henry Madan (1838-1901), Pakar Sains di Kolej Eton dari Buku XV Iliad, apabila Ares menyeru Takut (Phobos) dan Gerun (Deimos). Kedua-dua nama bulan ini pada asalnya dieja Phobus dan Deimus.
Pada tahun 1959, Walter Scott Houston telah mengada-adakan cerita sempena hari April Fool di dalam edisi bulan April Great Plains Observer. Beliau mendakwa "Dr. Arthur Hayall dari University of the Sierras telah melaporkan bahawa bulan-bulan Marikh sebenarnya adalah satelit buatan". Hakikatnya, Dr. Hayall dan University of the Sierras kedua-duanya adalah rekaan. Tipu helah ini mendapat tumpuan sedunia apabila dakwaan ini diulangi, kali ini secara serius, oleh seorang saintis Kesatuan Soviet, Iosif Shklovsky.[15]
Carian untuk mencari satelit-satelit Marikh yang lain telah dijalankan. Baru-baru ini, Scott S. Sheppard dan David C. Jewitt telah meninjau sfera Hill Marikh bagi satelit-satelit tidak seragam. Pencarian itu meliputi hampir keseluruhan sfera Hill kecuali beberapa minit arka dalaman yang dihalang cahaya terserak dari Marikh, di mana letaknya Phobos dan Deimos. Tiada satelit baru telah ditemui dalam magnitud merah pengehad tampak 23.5, yang bersamaan dengan jejari kira-kira 0.09 km menggunakan albedo 0.07.[16]
Jika dipandang dari khatulistiwa Marikh, Phobos penuh mempunyai diameter sudut 3 kali lebih besar berbanding bulan penuh dari Bumi, iaitu di antara 8' di ufuk dan 12' di atas kepala. Phobos akan kelihatan lebih kecil apabila pemerhati pergi lebih jauh dari khatulistiwa Marikh, dan tidak akan kelihatan langsung apabila dilihat dari kutub Marikh. Deimos pula akan kelihatan lebih seperti bintang yang terang atau sebuah planet dari Marikh, dengan diameter sudut sebanyak 2' (lebih sedikit berbanding diameter sudut Zuhrah dari Bumi). Untuk perbandingan, diameter sudut Matahari ialah 21' dari Marikh. Disebabkan ini, tidak ada gerhana matahari di Marikh, kerana bulan-bulan Marikh kelihatan terlalu kecil untuk menutup keseluruhan Matahari. Walau bagaimanapun, gerhana bulan amat kerap berlaku di Marikh. Ia berlaku hampir setiap malam.[17]
Pergerakan Phobos dan Deimos kelihatan berbeza berbanding Bulan. Pergerakan Phobos yang pantas membuatkannya terbit di sebelah Barat, tetapi terbenam di sebelah Timur selepas hanya 11 jam berada di langit. Deimos pula terbit di sebelah timur, tetapi sangat perlahan. Ia terbenam di sebelah Barat selepas 2.7 hari berada di langit, meskipun satu peredaran Deimos mengambil masa hanya 30 jam. Ini desebabkan Deimos terletak di luar orbit geosegerak Marikh.
Kedua-dua bulan dikunci secara pasang surut, bermaksud mereka sentiasa menunjukkan sisi yang sama ke arah Marikh. Oleh sebab Phobos mengambil masa lebih pantas untuk mengorbit Marikh berbanding putaran planet itu sendiri, kuasa pasang surut antara Marikh dan Phobos semakin berkurangan secara perlahan. Suatu hari nanti, Phobos akan berada sangat hampir dengan Marikh, sehingga menyebabkan Phobos berkecai akibat kuasa pasang surut ini.[18] Beberapa jalur kawah meteor di atas permukaan Marikh mengatakan bahawa beberapa buah bulan Marikh yang lama juga pernah mengalami nasib yang sama seperti yang akan dialami oleh Phobos.[19] Sebaliknya, Deimos berada cukup jauh dari Marikh, sehingga membolehkannya untuk bergerak lebih laju dan akhirnya terlepas dari medan graviti Marikh, seperti mana yang akan terjadi kepada Bulan.[20]
Nama dan sebutan | Gambar | Diameter (km) | Jisim (kg) | Paksi semi- major (km) |
Masa peredaran (h) |
Jangka masa purata bulan kelihatan (h, d) | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Mars I | Phobos | /ˈfoʊbəs/ FOE-bəs |
22.2 km (27×21.6×18.8) | 1.08×1016 | 9 377 km | 7.66 | 11.12 h (0.463 d) | |
Mars II | Deimos | /ˈdaɪməs/ DYE-məs |
12.6 km (10×12×16) | 2×1015 | 23 460 km | 30.35 | 131 h (5.44 d) |
Asal-usul bulan Marikh masih menjadi kontroversi.[21] Kedua-dua Phobos dan Deimos mempunyai persamaan dari segi spektra, albedo dan kepadatan lebih kurang sama dengan asteroid jenis C dan D.[22] Berdasarkan persamaan ini, satu hipotesis mengatakan bahawa Phobos dan Deimos merupakan asteroid dari jalur asteroid yang telah ditangkap.[6] Geoffrey Landis mengatakan bahawa Phobos dan Deimos mungkin sepasang asteroid duaan yang terpisah akibat kuasa pasang surut.[23]
Phobos juga mungkin adalah objek Sistem Suria generasi kedua yang terbentuk oleh debu-debu yang mengelilingi Marikh, bukan terbentuk dari awan yang sama dengan Marikh.[24]
Satu lagi teori mencadangkan bahawa Phobos dan Deimos terbentuk selepas Marikh berlanggar dengan sebuah planetesimal besar.[25] Bahan-bahan dari Marikh tercampak keluar dari permukaan Marikh lalu bergabung untuk membentuk Phobos dan Deimos. Satu pemerhatian yang dibuat terhadap Phobos menggunakan kamera haba inframerah menunjukkan bahawa sebahagian besar Phobos terdiri daripada phyllosilikat, bahan yang sama dengan bahan yang terdapat di Marikh.[26] Penemuan ini menyokong teori bahawa Phobos dan Deimos terbentuk dengan cara yang sama dengan Bulan.[27]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.