From Wikipedia, the free encyclopedia
Sukan Paralimpik Musim Panas 2000 (bahasa Inggeris: 2000 Summer Paralympics ) atau secara rasminya Sukan Paralimpik Musim Panas ke-11 (bahasa Inggeris: 11th Summer Paralympics Games ) merupakan satu acara pelbagai sukan antarabangsa bagi atlet kurang upaya yang telah diadakan di Sydney, Australia dari 18 hingga 29 Oktober 2000.[1]
Bandar tuan rumah | Sydney, New South Wales, Australia |
---|---|
Cogan kata | Performance, Power and Pride (Bahasa Melayu: Keputusan, Kuasa dan Kebanggaan) |
Penyertaan negara | 121 |
Penyertaan atlet | 3,881 (2,891 lelaki, 990 perempuan) |
Acara | 551 dalam 18 sukan |
Upacara pembukaan | 18 Oktober |
Upacara penutupan | 29 Oktober |
Pembukaan dirasmikan oleh | Gabenor-Jeneral Sir William Deane |
Obor paralimpik | Louise Sauvage |
Stadium utama | Stadium Australia |
Pada tahap awal bidaan Sydney ke atas Sukan Olimpik, Sydney tidak berniat untuk menganjurkan Sukan Paralimpik. Namun pada 1993, Presiden Persekutuan Paralimpik Australia, Ron Finneran, dengan Setiausaha Eksekutifnya, Adrienne Smith, melobi agar Sukan Paralimpik dijadikan sebagai sebahagian daripada bidaan Sydney. Mereka juga berusaha untuk menjamin atlet Paralimpik akan diberikan layanan, keadaan dan sokongan yang sama dengan atlet Olimpik.[2] Sydney akhirnya memenangi hak penganjuran Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2000.
Sukan Paralimpik 2000 merupakan kali terakhir Sukan Paralimpik dianjurkan sebagai sebuah acara sukan yang tersendiri dan bukan sebagai sebahagian daripada Sukan Olimpik. Sukan Paralimpik 2000 dikatakan sebagai antara Sukan Paralimpik yang berjaya dan telah mengubah Pergerakan Paralimpik untuk selama-lamanya.[3] Buat kali yang pertama, penganjur Sukan Paralimpik terdiri daripada individu yang sama dengan Sukan Olimpik 2000. Selain itu, Sukan Paralimpik 2000 menggunakan kampung atlet yang sama dengan Sukan Olimpik dan mempunyai perkhidmatan yang sama kualiti, berbanding dengan keadaan kampung Sukan Paralimpik Musim Panas 1996 yang buruk.[4]
Bilangan penonton bagi edisi Sukan Paralimpik ini adalah lebih banyak berbanding dengan Sukan Paralimpik 1996 dan hampir sama dengan Sukan Paralimpik Musim Panas 1992 (kemasukan penonton ke tempat pertandingan adalah percuma pada edisi 1992).[5] Bilangan media yang diiktiraf juga bertambah pada temasya ini dan akan terus meningkat dalam temasya yang akan datang.[6]
Lokasi temasya | Bilangan |
---|---|
Barcelona | 1500 |
Atlanta | 2000 |
Sydney | 2400 |
Athens | 3100 |
Beijing | 5700 |
|
|
|
Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan yang menyertai | |||
---|---|---|---|
|
Tuan rumah Sukan Paralimpik 2000, Australia, telah memperoleh bilangan pingat yang terbanyak pada temasya ini. Great Britiain pula memenangi bilangan pingat perak yang terbanyak (43 buah) dan bilangan pingat gangsa yang sama banyak dengan pasukan Australia (47 buah).[7]
Tuan rumah (Australia)
Kedudukan | Negara | Emas | Perak | Gangsa | Jumlah |
---|---|---|---|---|---|
1 | Australia* | 63 | 39 | 47 | 149 |
2 | Great Britain | 41 | 43 | 47 | 131 |
3 | Kanada | 38 | 33 | 25 | 96 |
4 | Sepanyol | 38 | 30 | 38 | 106 |
5 | Amerika Syarikat | 36 | 39 | 34 | 109 |
6 | China | 34 | 22 | 17 | 73 |
7 | Perancis | 30 | 28 | 28 | 86 |
8 | Poland | 19 | 23 | 11 | 53 |
9 | Korea Selatan | 18 | 7 | 7 | 32 |
10 | Jerman | 16 | 41 | 38 | 95 |
Jumlah (10 negara) | 333 | 305 | 292 | 930 |
Hubungan antara penganjur Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik agak tegang semasa Sukan Paralimpik 2000 berlangsung. Penganjur Sukan Olimpik telah menurunkan simbol Olimpik yang tergantung pada Jambatan Pelabuhan Sydney dan tindakan tersebut telah dikutuk oleh pihak Sukan Paralimpik yang asalnya berharap simbol tersebut boleh dikekalkan semasa Sukan Paralimpik dianjurkan. Selain itu, pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Paralimpik 2000, Michael Knight, meletakkan jawatannya pada hari yang sama dengan permulaan larian obor. Pihak berkuasa tempatan juga menganjurkan sebuah sambutan yang besar-besaran untuk sukarelawan Sukan Olimpik semasa obor Paralimpik tiba di Sydney walaupun mereka sedar bahawa pertembungan ini akan berlaku.[8]
Pada Sukan Paralimpik 2000, pasukan bola keranjang ID (atlet berkecacatan intelektual) Sepanyol telah memasukkan atlet yang tidak mempunyai kecacatan dalam pasukannya, skandal ini telah menyebabkan atlet dalam klasifikasi kecacatan intelektual dilarangkan daripada menyertai Sukan Paralimpik selama 12 tahun.[9][10] Fernando Vicente Martin yang merupakan bekas ketua Persekutuan Sukan untuk Atlet Berkecacatan Mental Sepanyol telah membenarkan atlet yang tidak mempunyai kecacatan untuk bertanding dalam acara tersebut agar dapat memenangi pingat emas. Pasukan tersebut telah mengalahkan Rusia dan mendapat johan dalam acara tersebut dengan mata 87–63.[10][11] Seorang wartawan yang menyamar sebagai salah seorang atlet, Carlos Ribagorda, telah mendedahkan bahawa 10 daripada 12 pemain sebenarnya langsung tidak mempunyai kecacatan. Setelah menyiasat, IPC mendapati bahawa ujian IQ bagi pemain-pemain tersebut sebenarnya dilakukan oleh pihak yang lain dan bukan dilakukan oleh Pasukan Paralimpik Sepanyol.[12][13]
Akibatnya, pingat emas yang dimenangi oleh Pasukan Sepanyol telah dibatalkan. Fernando turut meletakkan jawatannya setelah hal ini terbongkar.[14] IPC telah menghentikan semua acara bagi atlet berkecacatan intelektual disebabkan oleh kesukaran untuk menentukan kelayakan atlet dalam klasifikasi tersebut.[15] Acara bagi atlet berkecacatan intelektual akhirnya diwujudkan semula pada Sukan Paralimpik Musim Panas 2012/
Sukan Paralimpik 2000 turut mempunyai bilangan kes positif yang tertinggi dari 1992 hingga 2008. Daripada 630 ujian yang dilakukan, 11 atlet didapati positif (10 atlet lelaki dan 1 atlet perempuan).[16] Daripada 11 atlet tersebut, 10 atlet bertanding dalam acara powerlifting.[17]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.