Anjing pemburu baset

baka anjing dari Perancis dan England From Wikipedia, the free encyclopedia

Anjing pemburu baset
Remove ads

Anjing pemburu baset, anjing baset, baset, atau basset hound[a] ialah satu baka anjing pemburu bau bertungkai pendek. Anjing pemburu baset dikembangkan di Great Britain daripada strain yang kini pupus bagi baka baset Perancis. Ia dibiakbakakan terutamanya untuk pemburuan arnab dan kelinci secara berjalan, kerana bergerak dengan cukup perlahan sehingga kuda tidak diperlukan. Deria baunya dan kebolehannya untuk menjejak bau di tanah menempatkannya di tangga kedua selepas anjing pemburu darah.[1]

Fakta Segera Negara asal, Trait ...

Anjing pemburu baset ialah salah satu daripada enam baka jenis baset beriktiraf di Perancis. Nama aslinya basset diturunkan daripada perkataan bahasa Perancis bas, yang memaksudkan 'rendah', dengan akhiran pelemah -et—bersama-sama memaksudkan 'agak rendah'. Anjing pemburu baset biasanya mempunyai warna piawai hound, sama ada dwiwarna atau twiwarna.

Remove ads

Perihal

Thumb
Anjing pemburu baset dewasa

Penampilan

Anjing pemburu baset berperkadaran seakan-akan anjing baka besar dengan tungkai pendek. Ekor sedikit melengkungnya terangkat tinggi-tinggi ke atas belakang panjangnya. Saiz dan berat berubah-ubah antara susur galur, tetapi beratnya adalah dalam lingkungan 20–35 kg (44–77 paun) pada purata. Baka ini, berbanding dengan saiz, bertulang lebih berat berbanding dengan anjing baka lain.[2][3]

Serupa dengan anjing pemburu darah, anjing pemburu baset kulit longgar berkedut yang menampakkan wajah sedih. Kulit longgar di sekeliling leher dikenali sebagai gelambir.[4] Ciri telinga panjangnya membantu untuk mengocakkan bau tanah. Ia mempunyai tungkai sedikit bengkok yang membantu untuk menyokong dada dan rusuk lebar.[3]

Lapis bulunya paling kerap pendek dengan bulu kasar di bawah ekor. Ia terdapat dengan semua warna hound kecuali merle dan brindle. Warna paling popular cenderung sebagai variasi corak triwarna, tetapi ia juga terdapat dengan pelbagai cahaya warna merah dan putih.[3]

Perangai

Thumb
Anjing pemburu baset terkenal kerana tingkah laku lembut dan jinak.[5]

Anjing pemburu baset ialah anjing mesra, ramah, dan suka bermain, serta bertolak ansur terhadap kanak-kanak dan haiwan peliharaan lain.[5] Perangainya biasanya sederhana dan amat setia, tetapi tidak malu-malu.[3]

Remove ads

Kesihatan

Thumb
Seekor anjing pemburu baset dewasa dengan seekor anak anjing di belakangnya

Osteokondrodisplasia

Tubuh rendah anjing pemburu baset disebabkan oleh keadaan genetik yang dikenali sebagai osteokondrodisplasia.[6] Osteokondrodisplasia menyebabkan pertumbuhan terbantut dan menjejaskan pergerakan. Anjing terjejas membentuk anggota belakang ranggung, sendi yang dibesarkan, sangkar rusuk rata, tulang panjang yang dipendekkan dan bengkok, dan kaki cacat bentuk.[7]

Jangka hayat

Baka ini mempunyai jangka hayat median sebanyak 10–12 tahun. Sebuah kajian Perancis tahun 2015 mendapati jangka hayat sebanyak 10.3 tahun.[8] Sebuah kajian tahun 2024 di United Kingdom pula mendapati jangka hayat sebanyak 12.5 tahun berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[9]

Isu kesihatan lain

Thumb
Keadaan mata umum yang dihidap oleh anjing pemburu baset yang dipanggil mata ceri

Anjing pemburu baset terdedah kepada jangkitan yis.[10]

Punca utama bagi kematian dalam tinjauan The Kennel Club tahun 2004 merupakan kanser (31%), usia lanjut (13%), volvulus pendilatan gastrik (11%), dan masalah jantung (8%).[11]

Maklumat daripada data veterinar mendapati bahawa prevalens bagi glaukoma ialah 5.44%, angka kedua tertinggi dalam kajian itu.[12]

Anjing pemburu baset cenderung terhadap volvulus pendilatan gastrik.[13] Sebuah kajian mendapati bahawa nisbah kemungkinannya ialah 5.9.[14]

Trombopati keturunan anjing pemburu baset ialah gangguan platelet pewarisan autosom yang bercirikan kecacatan trombastenia dalam keabnormalan pengagregatan primer bagi peretrakan bekuan. Glikoprotein IIb-IIIa adalah cacat walaupun dapat dikesan.[15]

Anjing pemburu baset terdedah terhadap beberapa keadaan kulit: penyakit kulit alahan; intertrigo; dermatitis Malassezia; dan otitis, kecacatan pengkeratinan primer.[16]

Anjing pemburu baset ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat glaukoma sudut terbuka primer. Suatu mutasi resesif autosom bagi gen ADAMTS17 bertanggungjawab atas keadaan ini pada baka ini.[17]

Remove ads

Sejarah

Anjing pemburu St Hubert

Jenis baset berasal dari Perancis dan diturunkan daripada anjing pemburu abad ke-6 milik St Hubert dari Belgium, yang, melalui pembiakbakaan di Gereja Benediktus St. Hubert, akhirnya menjadi anjing yang dikenali sebagai anjing pemburu St Hubert pada sekitar tahun 1000 Masihi. Anjing pemburu asli St Hubert diturunkan daripada anjing pemburu Lakonia (Sparta),[18] salah satu daripada empat kelompok anjing yang diperhatikan daripada perwakilan dan pemerihalan Yunani. Anjing-anjing pemburu bau ini diperihalkan sebagai anjing besar, perlahan, "bertungkai pendek, dan bermulut dalam" dengan kepala kecil, hidung lurus, telinga tegak, dan leher panjang, dan sama ada sawo matang dengan tanda-tanda putih atau hitam dengan dengan tanda-tanda sawo matang.[19] Anjing pemburu Lakonia, menurut reputasinya, tidak mengalah dalam penghiduan sehingga menemukan mangsanya. Ia kemudian sampai ke Kunstantiniyah dan dari situ berkembang ke Eropah.[18]

Perancis

Thumb
Torehan kayu tahun 1879 bagi anjing pemburu jenis baset pertama milik Everett Millais yang bernama Model, yang diimport dari Perancis pada tahun 1874

Sebutan pertama bagi anjing "basset" muncul dalam La Venerie, yang merupakan teks perburuan berilustrasi yang dikarang oleh Jacques du Fouilloux pada tahun 1585.[20][21] Nama "basset" mempunyai asal usul pada kata bahasa Latin untuk "rendah", iaitu bassus, dan akhiran pelemah bahasa Perancis -et. Anjing dalam teks Fouilloux digunakan untuk memburu rubah dan bejar. Jenis baset dipercayai berasal sebagai mutasi dalam perinduk-perinduk anjing pemburu rusa Norman, yang merupakan salah satu keturunan anjing pemburu St Hubert. Pendahulu ini paling mungkin dibiakbakakan kembali ke dalam baka anjing pemburu St. Hubert, antara anjing pemburu turunan lain Perancis. Sehingga Revolusi Perancis pada sekitar tahun 1789, perburuan berkuda merupakan acara khusus para raja, keluarga besar bangsawan, dan para tuan tanah perdesaan, dan atas sebab ini, anjing bertungkai pendek sangat dihargai untuk perburuan secara berjalan.

Anjing pemburu jenis baset menjadi popular semasa pemerintahan Maharaja Napoleon III (memerintah 1852–1870). Pada tahun 1853, Emmanuel Fremiet, "pemimpin pengukir haiwan pada zaman beliau", mempamerkan ukiran-ukiran gangsa bagi Anjing-anjing Pemburu Baset Maharaja Napoleon III di Salon Paris.[22] Sepuluh tahun kemudian pada tahun 1863 pada pameran anjing pertama yang diadakan di Paris, anjing pemburu baset menerima tumpuan antarabangsa.[23]

Pembiakbakaan terkawal bagi baset berbulu pendek bermula di Perancis pada tahun 1870. Daripada baset yang wujud, Comte Le Couteulx de Canteleu menetapkan jenis utilitarian dengan tungkai hadapan lurus yang dikenali sebagai anjing pemburu Artois, sementara En. Louis Lane mengembangkan jenis lebih menonjol, dengan tungkai hadapan bengkok, yang dikenali sebagai baset Normandie. Kedua-dua ini dibiakbakakan bersama-sama untuk menghasilkan baset Artois Normandie yang asli.[24][25]

England

Thumb
Seekor anjing pemburu jenis baset awal abad ke-20

Basset hound Perancis diimport ke England sekurang-kurangnya seawal tahun 1870-an. Sementara sesetengah anjing ini pastinya baset Artois Normandie, menjelang tahun 1880-an, pembiakbakaan titisan telah berbalik kepada jenis lebih berat yang berbeza. Everett Millais, yang dianggap sebagai bapa kepada basset hound moden, membiakbakakan seekor anjing jantan sedemikian, Nicholas, dengan seekor anjing pemburu darah betina yang bernama Inoculation melalui permainan beradas untuk menghasilkan baset lebih berat di England pada tahun 1890-an. Perinduknya disambut melalui pembedahan caesar, dan anak-anak anjing yang terselamat diperhalus dengan baset-baset Perancis dan Inggeris.[26] Piawaian baka pertama untuk anjing yang kini dikenali sebagai basset hound dibuat di Great Britain pada penghujung abad ke-19.[27] Piawaian ini dikemaskinikan pada tahun 2010.[28]

Satu-satunya basset hound yang memenangi Crufts ialah basset hound milik Antoinette's Hili, iaitu Ch. & Eng. Ch. Switherland Sensation At Haven. Ia juga menjadi anjing pertama dari Malta yang memenangi Best of Breed dalam Crufts, 2004.[29]

Remove ads

Perburuan dengan baset

Thumb
Ilustrasi tahun 1925 tentang seekor anjing pemburu baset yang memburu seekor arnab

Anjing pemburu baset dibiakbakakan untuk perburuan dengan hidung berderia tajam dan tubuh rendah yang sesuai untuk perburuan buruan kecil secara berjalan. Satu keragaman basset hound yang dikembangkan hanya untuk perburuan oleh Kolonel Morrison dimasukkan ke dalam Masters of Basset Hounds Association pada tahun 1959 melalui lampiran ke dalam buku pembaka. Baka ini berlainan dengan tungkai lebih lurus dan lebih panjang dan telinga lebih pendek.[30]

Remove ads
  • Pada 27 Februari 1928, majalah Time menonjolkan seekor anjing pemburu baset di kulit hadapannya. Cerita pendampingnya adalah tentang Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club tahunan ke-52 di Madison Square Garden seolah-olah ditonton oleh anak anjing pemburu baset.[31]
  • Jenama Hush Puppy, diasaskan pada tahun 1958, menggunakan seekor anjing pemburu baset bernama Jason sebagai logonya.[32] Dalam iklan-iklan televisyen susulan, banyak baset berlainan digunakan.
  • Elvis Presley secara masyhurnya menyanyikan "Hound Dog" kepada seekor anjing pemburu baset bernama Sherock yang tidak berminat dan memakai topi tinggi dalam The Steve Allen Show pada 1 Julai 1956.
  • Lerang komik gugusan, Fred Basset, karya Alex Graham (dan sejak tahun 1991 karya Michael Martin dan Arran Keith), telah ditonjolkan berkali-kali dalam surat khabar sejak tahun 1963.
  • Ada seekor basset hound dalam siri filem Smokey and the Bandit. Anjingnya, Fred, dipilih secara peribadi oleh pelakon utama, Burt Reynolds, kerana ia enggan mematuhi perintah.[33]
  • Droopy daripada Hanna-Barbera pertama kali muncul pada tahun 1943 dan mempunyai minisiri buku komik sendiri.
  • Dalam filem Disney tahun 1970, The Aristocats, Lafayette ialah seekor basset hound yang berpasangan dengan seekor bloodhound yang menyebabkan masalah di serata desa Perancis.
  • Dalam filem Disney tahun 1986, The Great Mouse Detective, Sherlock Holmes mempunyai seekor anjing pemburu baset bernama Toby.
  • Filem anime, Ghost in the Shell 2: Innocence menampilkan anjing pemburu baset milik watak utama, iaitu Gabriel.
  • Morgan ialah seekor baset televisyen tahun 1950-an ialah Morgan yang kerap muncul dalam The Garry Moore Show, The Jackie Gleason Show, dan banyak lagi rancangan aneka ragam. Ia memainkan peranan anjing dari Pluto dalam Captain Video dan muncul dalam sebuah filem Dean Martin dan Jerry Lewis. Kemunculan terakhirnya adalah dalam Hallmark Hall of Fame pada tahun 1959.[34] Ia mempunyai mainan plusy bermodelkan dirinya[35] dan muncul dalam sebuah rencana majalah Life.
  • Dalam Columbo, Leftenan Columbo, yang dimainkan oleh Peter Falk, memiliki seekor basset hound bernama Dog. Peter pada mulanya mendapati bahawa idea itu terlalu bergimik, tetapi, selepas bertemu dengan baset itu, berkeputusan bahawa itu sesuai dipautkan dengan watak Columbo. Dua ekor anjing memainkan watak Dog sepanjang rancangan itu.
  • Dalam siri detektif Bruno, Chief of Police, karya Martin Walker, Bruno memiliki seekor basset hound, iaitu Gigi. Apabila Gigi mati, Bruno dihadiahi seekor lagi basset hound, iaitu Balzac.
Thumb
Seekor anjing pemburu baset di hadapan General Lee daripada The Dukes of Hazzard, di luar Cooter's Museum di Nashville, Tennessee
  • Dalam novel dewasa muda, The Disreputable History of Frankie Landau-Banks, anjing pemburu baset ialah maskot bagi gerak rahsia di sekolah watak judulan.[36]
  • Dalam The Dukes of Hazzard, Sheriff Rosco P. Coltrane memiliki seekor anjing pemburu baset bernama Flash mulai musim ketiga. Ayat penangkap paling terkenal Sheriff Rosco ialah "Go get him, Flash!" ("Tangkap dia, Flash!"). Flash selanjutnya mengabaikan syerif.
  • Seniman komik web haiwan peliharaan, Scott Kurtz, menampilkan seekor basset hound bernama Kirby dalam komik-komik beliau.[37]
Remove ads

Lihat juga

Catatan

  1. Jawi: انجيڠ ڤمبورو باسيت, انجيڠ باسيت, باسيت, باسيت هاءون; bahasa Inggeris: basset hound

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads