Arch Linux
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Arch Linux (/ɑːrtʃ/)[4] ialah edaran Linux untuk komputer dengan pemproses x86-64.[5] Arch Linux mematuhi lima prinsip: kemudahan, kemodenan, pragmatisme, mengetengahkan pengguna, dan serba guna. Maksudnya, projek ini cuba untuk melakukan perubahan khusus-edaran yang minimum, mengurangkan kerosakan dalam kemas kini, pragmatik terhadap pilihan reka bentuk berideologi dan keramahan pengguna.[6]
Pengurus pakej yang ditulis khusus untuk Arch Linux, Pacman, digunakan untuk memasang, membuang dan mengemas kini pakej perisian.[7] Arch Linux menggunakan model terbitan berterusan, maksudnya tidak ada "terbitan utama" bagi versi baharu sesuatu sistem; kemas kini sistem biasa sahaja yang diperlukan untuk mendapatkan perisian Arch yang terbaru; imej pemasangan yang diterbitkan setiap bulan oleh pasukan Arch itu hanyalah petikan terkini bagi komponen sistem utama.[8]
Arch Linux mempunyai pendokumenan yang lengkap, terdiri daripada wiki komuniti yang dikenali sebagai ArchWiki.[9][10][11]
Remove ads
Sejarah
Diinspirasikan oleh CRUX, sebuah edaran minimalis yang lain, Judd Vinet memulakan projek Arch Linux pada bulan Mac 2002. Nama tersebut dipilih kerana Vinet menyukai maksud di sebalik nama tersebut iaitu "penghulu," dalam erti "musuh-iblis".[4][12]
Pada asalnya hanya diterbitkan untuk CPU 32-bit x86, ISO pemasangan pertama untuk CPU x86_64 diterbitkan pada bulan April 2006.[13]
Vinet memimpin Arch Linux hingga 1 Oktober 2007, apabila dia berhenti kerana kekurangan masa, lalu memindahkan kawalan projek itu kepada Aaron Griffin.[14]
Penghijrahan ke systemd sebagai sistem initnya dimulakan pada bulan Ogos 2012,[15] dan menjadi init lalai pada pemasangan baharu mulai bulan Oktober 2012.[16] Init ini menggantikan sistem init gaya SysV, yang digunakan sejak awal pengedaran.[17]
Pada 24 Februari 2020, Aaron Griffin mengumumkan bahawa dia akan memindahkan kawalan projek itu ke Levente Polyak, selepas suatu tempoh undian, kerana dia tidak begitu terlibat dalam projek.[18] Perubahan ini juga menyebabkan posisi Ketua Projek mempunyai jangka masa yang baharu iaitu dua tahun.[19]
Penamatan sokongan i686 diumumkan pada bulan Januari 2017, dengan ISO Februari 2017 menjadi terbitan terakhir yang menyertakan pemasangan i686[20] dan membuang sokongan seni bina tersebut mulai bulan November 2017.[21] Sejak itu, terbitan komuniti Arch Linux 32 boleh digunakan untuk perkakasan i686 menggantikan terbitan rasmi Arch Linux.
Keselamatan repositori
Sehingga Pacman versi 4.0.0,[22] Pengurus pakej Arch Linux tidak mempunyai sokongan untuk pakej bertandatangan.[23] Pakej dan metadata tidak disahkan untuk kesahihan oleh Pacman semasa proses muat turun-pasang. Tanpa pemeriksaan pengesahan pakej, cermin repositori yang terusik atau berbahaya boleh menjejaskan kewibawaan sistem.[24] Pacman 4 membenarkan pengesahan pangkalan data dan pakej, tetapi ia dilumpuhkan secara lalai. Pada bulan November 2011, penandatanganan pakej menjadi wajib untuk pembinaan pakej baharu, dan pada 21 Mac 2012, setiap pakej rasmi ditandatangani.[25]
Pada bulan Jun 2012, pengesahan penandatanganan pakej menjadi rasmi dan kini diaktifkan secara lalai dalam proses pemasangan.[26][27]
Remove ads
Reka bentuk dan prinsip
Sebahagian besar Arch bersandarkan pakej binari. Pakej mensasarkan mikropemproses x86-64 untuk membantu prestasi perkakasan moden. Sistem ala port/ebuild juga disediakan untuk pengkompilan sumber automatik, ia dikenali sebagai Arch Build System.[28]
Arch Linux memfokuskan pada keringkasan reka bentuk, maksudnya tumpuan utamanya melibatkan pengwujudan persekitaran yang jelas dan mudah serta senang untuk pengguna faham secara langsung, daripada menyediakan alat pengurusan gaya hala-dan-klik yang digilap — pengurus pakej, misalnya, tidak mempunyai bahagian hadapan grafik yang rasmi. Ini dicapai sebahagian besarnya dengan menggalakkan penggunaan fail tatarajah yang bersih, serta mempunyai komen ringkas, jelas dan padat, yang disusun untuk capaian dan suntingan yang pantas.[29] Ini menjadikannya terkenal sebagai edaran untuk "pengguna lanjutan" yang sanggup menggunakan baris perintah.[30]
Relying on complex tools to manage and build your system is going to hurt the end users. [...] "If you try to hide the complexity of the system, you'll end up with a more complex system". Layers of abstraction that serve to hide internals are never a good thing. Instead, the internals should be designed in a way such that they NEED no hiding.
— Aaron Griffin[31]
Remove ads
Pemasangan
Laman web Arch Linux membekalkan imej ISO yang boleh dijalankan dari CD atau USB . Setelah pengguna membuat sekatan cakera dan memformat pemacu mereka, skrip baris perintah mudah (pacstrap) digunakan untuk memasang sistem asas.[27] Pemasangan pakej tambahan yang bukan sebahagian daripada sistem asas (misalnya, persekitaran atas meja), dapat dilakukan menggunakan sama ada pacstrap, atau Pacman setelah but (atau membuat chroot) ke dalam pemasangan baharu.[32][33][7]
Alternatif lain daripada menggunakan imej CD atau USB untuk pemasangan ialah untuk menggunakan versi statik pengurus pakej Pacman, daripada dalam sistem pengoperasian berasaskan Linux yang lain.[34] Pengguna boleh melekap sekatan pemacu mereka yang baru diformat, dan menggunakan pacstrap (atau Pacman dengan suis baris perintah yang sesuai) untuk memasang pakej asas dan tambahan menggunakan titik lekapan peranti tujuan sebagai akar operasinya. Kaedah ini berguna semasa memasang Arch Linux ke pemacu kilat USB, atau ke peranti yang dilekat sementara yang dimiliki oleh sistem lain.
Tidak kira jenis pemasangan yang dipilih, tindakan lebih lanjut perlu dilakukan sebelum sistem baharu bersedia untuk digunakan, terutamanya dengan memasang pemuat but dan menatarajah sistem baharu dengan nama sistem, sambungan rangkaian, penetapan bahasa, dan antara muka pengguna grafik.[35]
Arch Linux tidak menjadualkan terbitan untuk tarikh tertentu tetapi menggunakan sistem "terbitan berterusan" di mana pakej baharu disediakan sepanjang hari. Pengurusan pakejnya membolehkan pengguna sentiasa mengemas kini sistem mereka dengan mudah.[36]
Kadang-kadang, campur tangan manual diperlukan untuk kemas kini tertentu, dengan arahan dipaparkan di bahagian berita di laman web Arch Linux.[37]
Pengurusan pakej
Satu-satunya platform perduaan yang disokong Arch Linux ialah x86_64. Repositori pakej Arch dan Repositori Pengguna Arch (AUR) mengandungi 58,000 pakej perduaan dan sumber, yang hampir dengan jumlah 68,000 pakej di Linux Debian; namun begitu, pendekatan pengedaran mereka berdua untuk pembungkusan pakej adalah berbeza, menyebabkan perbandingan secara langsung sukar dilakukan. Sebagai contoh, enam daripada 58,000 pakej Arch terdiri daripada perisian AbiWord, yang mana tiga daripadanya berada di repositori pengguna untuk menggantikan pakej Abiword kanonik dengan jenis atau versi binaan alternatif (seperti mengambil sumber dari keterikatan terbaru di repositori kawalan sumber Abiword), sedangkan Debian memasang versi tunggal Abiword di tujuh pakej.[38] Repositori Pengguna Arch juga mengandungi pakej sempurna penulis yang memasang beberapa penukar format dokumen, sementara Debian menyediakan setiap satu daripada lebih dari 20 penukar dalam subpakejnya sendiri.[39]
Pacman
Untuk memudahkan perubahan pakej biasa, Pacman (singkatan "package manager" (pengurus pakej)) yang dibangunkan oleh Judd Vinet untuk menyediakan Arch dengan pengurus pakejnya sendiri untuk mengesan kebersandaran.[40] Ia ditulis dalam bahasa C.[41]
Semua pakej diuruskan menggunakan pengurus pakej Pacman. Pacman mengurus pemasangan, penataran, penuruntarafan, pembuangan dan juga penyelesaian kebersandaran automatik ciri pakej. Pakej untuk Arch Linux diperoleh daripada pepohon pakej Arch Linux dan dikompil untuk seni bina x86-64. Ia menggunakan pakej perduaan di tar.zst
[42][43][44] (untuk pemampatan zstd), dengan .pkg
diletakkan sebelumnya untuk menunjukkan bahawa ianya pakej Pacman (memberikannya .pkg.tar.zst
).[41]
Selain daripada Arch Linux, Pacman juga digunakan untuk memasang pakej di bawah MSYS2 (cabangan Cygwin) di Windows.[45]
Repositori
Repositori perduaan rasmi berikut wujud:[46]
- core, harfiahnya inti, mengandungi semua pakej yang diperlukan untuk menetapkan sistem asas
- extra, harfiahnya tambahan, menyimpan pakej yang tidak diperlukan untuk sistem asas, termasuk persekitaran dan atur cara atas meja
- community, harfiahnya komuniti, mengandungi pakej yang dibina dan diundi oleh komuniti; menyertakan pakej yang mempunyai undian yang cukup dan telah diterima pakai oleh "pengguna yang dipercayai".
- multilib, harfiahnya pelbagai pustaka, repositori berpusat untuk pengguna x86-64 supaya lebih mudah untuk mereka menyokong aplikasi 32-bit dalam persekitaran 64-bit.
Selain itu, terdapat juga repositori percubaan yang merangkumi calon pakej perduaan untuk repositori lain. Ketika ini, wujudnya repositori percubaan berikut:
- testing, harfiahnya ujian, dengan pakej percubaan ditujukan untuk core dan extra.
- community-testing, harfiahnya ujian komuniti, dengan pakej percubaan ditujukan untuk community.
- multilib-testing, harfiahnya ujian pelbagai pustaka, dengan pakej percubaan ditujukan untuk multilib .
Repositori staging (harfiahnya pemeringkatan) dan community-staging (harfiahnya pemeringkatan komuniti) digunakan untuk beberapa pembinaan semula untuk mengelakkan pakej yang rosak dalam testing.
Terdapat juga dua repositori lain yang merangkumi versi terbaru persekitaran atas meja tertentu.
- gnome-unstable, harfiahnya GNOME tidak stabil, mengandungi pakej perisian versi baru dari GNOME sebelum diterbitkan ke dalam testing.
- kde-unstable, harfiahnya KDE tidak stabil, mengandungi pakej versi baru perisian KDE sebelum diterbitkan ke dalam testing.
Repositori unstable (harfiahnya tidak stabil) digugurkan pada bulan Julai 2008 dan sebahagian besar pakej dipindahkan ke repositori yang lain.[47] Sebagai tambahan kepada repositori rasmi, terdapat sejumlah repositori pengguna tidak rasmi.
Repositori tidak rasmi yang paling terkenal ialah Repositori Pengguna Arch, atau AUR (Arch User Repository), yang dihoskan di laman Arch Linux. Walau bagaimanapun, AUR tidak hos pakej perduaan, sebaliknya hos himpunan skrip binaan yang dikenali sebagai PKGBUILD.
Repositori Arch Linux mengandungi kedua-dua perisian bebas dan tidak bebas, dan inti Arch Linux lalai mengandungi BLOB berhak milik tidak bebas, oleh itu pengedarannya tidak disokong oleh projek GNU.[48]
Sistem Binaan Arch (ABS)
Sistem Binaan Arch (Arch Build System, ABS) ialah sistem pembungkusan sumber ala-port yang mengkompil bebola tar sumber menjadi pakej binari, yang dipasang melalui Pacman.[49] Sistem Binaan Arch menyediakan pepohon direktori merangkumi skrip shell, yang dipanggil PKGBUILD, yang membolehkan mana-mana dan semua pakej Arch rasmi disesuaikan dan dikompil. Membina semula seluruh sistem menggunakan bendera pengkompil yang diubahsuai juga disokong oleh Sistem Binaan Arch. Alat makepkg
dalam Sistem Binaan Arch boleh digunakan untuk membuat pakej pkg.tar.zst
tersuai dari sumber pihak ketiga. Pakej yang dihasilkan juga boleh dipasang dan mampu dijejak menggunakan Pacman.[50][51]
Repositori Pengguna Arch (AUR)
Tambahan kepada repositori, Repositori Pengguna Arch (Arch User Repository, AUR) juga menyediakan skrip PKGBUILD buatan pengguna untuk pakej yang tidak termasuk dalam repositori. Skrip PKGBUILD ini mempermudahkan pembinaan dari sumber dengan menyenaraikan dan memeriksa kebersandaran secara betul-betul dan menatarajah pemasangan agar padan dengan seni bina Arch.[52] Atur cara pembantu Repositori Pengguna Arch dapat memperkemaskan lagi pemuatturunan skrip PKGBUILD dan proses pembinaan yang berkaitan. Walau bagaimanapun, kemudahan ini hadir dengan mengorbankan pelakukan PKGBUILD yang tidak disahkan oleh orang yang dipercayai; sebagai hasilnya, pembangun Arch telah menyatakan bahawa utiliti untuk mencari, memuat turun dan melakukan PKGBUILD secara automatik tidak akan dimasukkan ke dalam repositori rasmi.[53]
Pengguna boleh membuat pakej yang serasi dengan Pacman menggunakan Sistem Binaan Arch dan skrip PKGBUILD tersuai.[54] Fungsi ini telah membantu menyokong Repositori Pengguna Arch, yang terdiri daripada pakej sumbangan pengguna untuk melengkapkan repositori rasmi.[55]
Repositori Pengguna Arch menyediakan komuniti dengan pakej yang tidak termasuk dalam repositori rasmi. Antara sebabnya termasuklah:
- Masalah perlesenan: perisian yang tidak boleh diedarkan semula, tetapi bebas digunakan, boleh dimasukkan ke dalam Repositori Pengguna Arch kerana apa yang dihoskan di laman web Arch Linux sendiri hanyalah skrip kekerang yang memuat turun perisian sebenar dari tempat lain. Contohnya termasuklah perisian percuma berhak milik seperti Google Earth dan RealPlayer.
- Pakej rasmi yang diubah: Repositori Pengguna Arch juga mengandungi banyak variasi daripada pakej rasmi dan juga versi beta perisian yang terkandung dalam repositori utama sebagai terbitan stabil.
- Perisian yang jarang: program yang jarang digunakan (masih) belum ditambahkan ke repositori rasmi.
- Versi beta atau "saban malam" yang sangat baru dan tidak stabil. Contohnya pakej "firefox-nightly", yang memberikan binaan harian terbaru pelayar web Firefox.
PKGBUILD untuk sebarang perisian boleh disumbangkan oleh pengguna biasa dan setiap PKGBUILD yang tidak terhad kepada Repositori Pengguna Arch atas alasan polisi boleh diundi untuk dimasukkan ke dalam repositori komuniti.
Remove ads
Bentuk Terbitan
Terdapat beberapa projek yang cuba untuk memindahkan idea dan alat Arch Linux ke inti yang lain, termasuk PacBSD (sebelumnya ArchBSD) dan Arch Hurd,[56] yang masing-masing berasaskan inti FreeBSD dan GNU Hurd. Terdapat juga projek Arch Linux ARM, yang bertujuan untuk memindahkan Arch Linux ke peranti berdasarkan ARM, termasuk Raspberry Pi, dan juga projek Arch Linux 32, yang terus menyokong sistem dengan CPU 32-bit sahaja setelah talian utama projek Arch Linux menghentikan sokongan untuk seni bina tersebut pada bulan November 2017.[57][58]
Remove ads
Logo
Logo Arch Linux direka oleh Thayer Williams[59][60] pada tahun 2007 sebagai sebahagian daripada pertandingan untuk menggantikan logo sebelumnya.[61]
Sambutan
OSNews mengulas Arch Linux pada tahun 2002.[62] OSNews juga mengulas Arch Linux lagi sekali kemudiannya.[63][64][65][66][67]
LWN.net menulis ulasan mengenai Arch Linux pada tahun 2005.[68] LWN.net juga mengulas Arch Linux lagi sekali kemudiannya.[69][70]
Tux Machines mengulas Arch Linux pada tahun 2007.[71]
Chris Smart dari DistroWatch Weekly menulis ulasan mengenai Arch Linux pada bulan Januari 2009.[72] DistroWatch Weekly mengulas Arch Linux sekali lagi pada bulan September 2009 dan pada bulan Disember 2015.[73][74]
Penyelenggara Linux bernama Greg Kroah-Hartman[75] pernah mengatakan bahawa dia menggunakan Arch dan mengatakan ia "berfungsi dengan sangat baik", dia juga memuji Arch Wiki, dan memuji hakikat edaran Arch sentiasa dekat dengan pembangunan huluan, serta memuji gelung maklum balas dengan masyarakat.[76]
Remove ads
Lihat juga
- Perbandingan edaran Linux
- Senarai edaran Linux
- Kesan IKEA
Catatan
Rujukan
Pautan luaran
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads