Bahagian Kuching
bahagian pentadbiran Sarawak From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Bahagian Kuching ialah satu daripada 12 bahagian yang terdapat di wilayah Sarawak, Malaysia. Bahagian ini memiliki keluasan sebanyak 4,559.5 kilometer persegi.[1]
Bahagian Kuching juga disebut sebagai "Bahagian Pertama" kerana ia merupakan pusat dan titik permulaan pembentukan wilayah Sarawak moden. Secara rasmi, Bahagian Kuching dibahagikan kepada tiga daerah dan dua daerah kecil, iaitu Kuching, Bau, Lundu, Padawan dan Sematan.
Remove ads
Sejarah
Bahagian Pertama mula dibentuk di bawah pentadbiran Rajah Sarawak, melambangkan jajahan pertama mereka di Sarawak. Kawasan pentadbiran Bahagian Pertama ini merangkumi kawasan dari Tanjung Datu hingga ke kuala Sungai Samarahan, yang telah diambil daripada Kesultanan Brunei pada tahun 1846 dan kawasan Samarahan serta Sadong yang telah diambil pada tahun 1853.[2] Bahagian Pertama ini kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Kuching.
Semasa pemerintahan Jepun, Bahagian Pertama telah diletakkan di bawah pentadbiran Kyūchin-shū (Provinsi Kuching) yang turut merangkumi Bahagian Kedua, Pontianak dan Kepulauan Natuna.[3]
Pada 24 Julai 1986, daerah Samarahan, Serian dan Simunjan telah dipisahkan daripada pentadbiran Bahagian Kuching bagi membentuk sebuah Bahagian baharu, iaitu Bahagian Samarahan.[2] Pada 1 Ogos 2015, daerah kecil Siburan telah dipisahkan daripada pentadbiran Bahagian Kuching setelah dipindahkan ke Bahagian Serian yang baru dibentuk.[4]
Remove ads
Pentadbiran
Bahagian Kuching ditadbir oleh Pejabat Residen Kuching dan diketuai seorang Residen. Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil juga ditubuhkan di setiap daerah dan daerah kecil, dengan setiap satunya diketuai seorang pegawai daerah. Bahagian Kuching juga berada di bawah pentadbiran lima kerajaan tempatan.
Politik
Bahagian Kuching berada di bawah enam kawasan Parlimen dan 17 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Remove ads
Galeri
- Mohor Kuching Utara.
- Mohor Kuching Selatan.
Demografi
Populasi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di Bahagian Kuching ialah seramai 695,327 orang dengan kepadatan penduduk 150 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 162,802 isi rumah dengan 206,691 tempat kediaman. Daerah Kuching mempunyai jumlah penduduk paling ramai, dengan lebih 87.6 peratus penduduk di Bahagian Kuching tinggal di daerah tersebut. Daerah Kuching juga merupakan daerah paling padat di Bahagian Kuching, dengan kepadatan penduduk 410 orang perkilometer persegi.[5][6]
Komposisi etnik
Berdasarkan bancian Malaysia 2010, dua kumpulan etnik terbesar di Bahagian Kuching ialah Cina dan Melayu, berlainan dengan komposisi etnik negeri Sarawak yang majoriti penduduknya beretnik Iban. Sebahagian besar masyarakat Cina di daerah ini tinggal di daerah Kuching, dan menjadi kumpulan etnik terbesar di daerah tersebut. Masyarakat Melayu pula membentuk kumpulan yang besar di daerah Kuching dan Lundu. Bidayuh merupakan kumpulan etnik ketiga terbesar di daerah ini, menjadi kumpulan etnik terbesar di daerah Bau dan Lundu. Antara kumpulan etnik lain yang tinggal di daerah ini termasuklah Iban dan Melanau yang sebahagian besarnya tinggal di daerah Kuching.[7]
Remove ads
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads