Moruroa
pulau yang terletak di negara Polinesia Perancis From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Moruroa (dikenali juga dengan nama Mururoa, Mururura), atau Aopuni[2] berdasarkan kepada rekod sejarah, merupakan sebuah pulau berjenis atol yang membentuk Kepulauan Tuamotu di Polinesia Perancis di bahagian selatan Lautan Pasifik. Pulau ini terletak kira-kira 1250 kilometer dari bahagian tenggara Tahiti dan ditadbir oleh Komun Tureia, selain daripada Pulau Tureia, Fangataufa, Tematangi dan Vanavana.
Pulau Moruroa terkenal sebagai salah satu lokasi ujian senjata nuklear yang dijalankan Perancis sekitar tahun 1966 hingga 1996, yang mencetuskan protes berskala antarabangsa. Sebanyak kira-kira 175 atau 181 ujian yang dilaporkan oleh pelbagai sumber telah dilaksanakan. Sehingga kini, pulau ini tidak boleh diakses oleh orang awam kerana tahap radiasi yang masih tinggi[3].
Remove ads
Geografi
Pulau Moruroa merupakan salah satu atol yang terletak di bahagian tenggara yang membentuk Kepulauan Tuamotu. Luas keseluruhan bahagian daratan pulau ini hanya bersaiz kira-kira 15 kilometer persegi, dengan panjang sebanyak 28 kilometer dan lebar sebanyak 11 kilometer. Moruroa terletak kira-kira 1,250 kilometer dari bahagian tenggara Tahiti[4]. Terdapat lagun yang membentuk di bahagian tengah pulau ini berkeluasan kira-kira 25 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar dan bersambung dengan perairan Lautan Pasifik di bahagian barat melalui laluan yang bersaiz 2 kilometer lebar dan kedalaman sebanyak 8 meter[5].
Disebabkan purata ketinggian Moruroa yang agak rendah (kira-kira 3 meter), permatang terumbu karang di bahagian selatan pulau ini yang bersaiz kira-kira 65 kilometer panjang dan 100 meter lebar akan tenggelam di bawah Lautan Pasifik pada satu-satu masa[5].
Geologi
Dasar Pulau Moruroa terbentuk daripada dua puncak gunung berapi dasar laut yang bersambung menerusi laluan yang sempit. Ianya terdiri daripada batuan kapur yang biasanya dijumpai pada lapisan atas, batuan gunung berapi beralkali dan batuan basalt[6]. Di bahagian lagun pula, dasarnya mengandungi batuan kerikil dan pasir kasar serta terdapat beberapa spesis terumbu karang yang hidup sekitar lagun, ada yang berketinggian lebih daripada paras laut[7].
Remove ads
Sejarah
Pada bulan Julai 1767, komander Philip Carteret dipercayai orang pertama yang menjumpai pulau ini semasa beliau melakukan ekspedisi bersama kapal HMS Swallow, beberapa hari selepas beliau menjumpai Pulau Pitcairn[8]. Philip menamakan Pulau Moruroa sebagai "Biskop Kepulauan Osnaburgh"[9]. Pada tahun 1792, kapal pemburu ikan paus British, Matilda dilaporkan karam di kawasan pulau ini dan untuk seketika ianya dinamakan sebagai Pulau Matilda[9], sebelum kapten Frederick Beechey dari kapal HMS Blossom melakukan ekspedisi bagi mencari lokasi kapal Matilda yang karam itu mengesahkan bahawa Pulau Matilda ini sebenarnya ialah Moruroa[10].
Tiada penemuan mengenai penduduk asal yang direkodkan pada awal penemuan pulau. Kaptain Frederick yang melakukan ekspedisi pada tahun 1826 mendapati pulau ini tidak berpenghuni, manakala pada tahun 1832 pula beliau menjumpai kesan tempat tinggal namun tidak berpenghuni[11]. Pada tahun 1834, sebuah kapal yang melawat pulau ini dilaporkan membunuh hampir kesemua penduduk, dan hanya tiga orang terselamat dan Pulau Moruroa tidak lagi dituntut oleh mana-mana pihak pada tahun 1847.
Pulau Moruroa ini pernah didiami oleh pekerja ladang kelapa lewat abad ke-19, dan juga sekitar tahun 1942-1943 dan 1950-1952, namun begitu tiada penempatan tetap dilaporkan selepas itu[11].
Ujian nuklear Perancis

Moruroa dan pulau Fangataufa yang terletak berdekatan, merupakan lokasi ujian nuklear berat yang telah dilakukan oleh Perancis sekitar tahun 1966 hingga 1996[12]. Pulau-pulau ini secara rasminya dibangunkan sebagai tapak ujian nuklear oleh kerajaan Perancis pada 21 September 1962, di mana jabatan yang dikenali dengan nama Direction des Centres d'Expérimentations Nucléaires (DIRCEN) diwujudkan bagi menyelia ujian-ujian nuklear ini[13]. Kira-kira 300 orang pekerja telah dihantar ke Moruroa bagi melakukan kerja-kerja pembinaan infrastruktur bermula pada bulan Mei 1963[14]. Pulau Hao, yang terletak kira-kira 450 kilometer dari bahagian barat laut Moruroa, dipilih sebagai lokasi sokongan tapak ujian nuklear dan operasi lain[15].
Walaupun terdapat bantahan daripada sejumlah 120 000 orang rakyat dan 30 orang ahli dewan Perhimpunan Polinesia Perancis[16], ujian nuklear pertama telah dijalankan pada 2 Julai 1966, dengan nama kod Aldebaran[14], di mana bom nuklear dari jenis pembelahan plutonium telah diletupkan di kawasan lagun pulau itu[17]. Kajian yang dilakukan oleh penggerak keamanan Greenpeace pada abad ke-21 menunjukkan bahawa letupan itu seolah-olah menarik kesemua air dari lagun tersebut kemudian menyebabkan limpahan bangkai ikan dan hidupan di sekitar atol, dan pencemaran radioaktif tersebar sejauh Peru dan New Zealand[18]. Presiden Perancis, Charles de Gaulle pernah menghadiri dalam salah satu ujian nuklear yang telah dijalankan pada 10 September 1966, di mana bom nuklear telah dibawa menerusi belon udara.
Kebanyakkan ujian nuklear yang dijalankan berlaku di bahagian barat Pulau Moruroa, tapak ini dinamakan sebagai Dindon[19]. Manakala bom nuklear yang mencetuskan letupan kecil dilakukan di kawasan utara pulau yang dinamakan sebagai Denise[19]. Terdapat beberapa cara bom nuklear ini dibawa sebelum ianya diletupkan; tiga bom nuklear diletupkan di atas tongkang, tiga lagi bom nuklear dibawa dari udara menggunakan pesawat pengebom manakala yang lain dibawa menggunakan belon udara yang berisi gas helium[20]. Sejumlah 41 ujian bom nuklear di kawasan terbuka telah dijalankan di Moruroa sekitar tahun 1966 hingga 1974[21].

Pada tahun 1974, Perancis tidak lagi menjalankan ujian nuklear di kawasan terbuka dan meneruskan siri ujian nuklear di bawah tanah oleh kerana tekanan antarabangsa yang kian memuncak[20] sejak dimulakan oleh kerajaan New Zealand pada ketika itu, kemudian menghantar dua buah kapal perang pada bulan Julai 1973; HMNZS Canterbury dan Otago ke Pulau Moruroa sebagai tindakan protes terhadap ujian nuklear yang dijalankan di sana[22]. Beberapa lohong yang dilengkapi dengan syaf telah ditebuk jauh ke dalam batuan gunung berapi yang berada di bawah Pulau Moruroa ini di mana bom nuklear diletupkan. Kaedah ini telah mendatangkan kontroversi akibat daripada penemuan beberapa rekahan di sekitar pulau, dibimbangi akan tersebarnya sisa radioaktif dan mencemarkan lautan sekitarnya serta kepulauan lain[23]. Pada 25 Julai 1979, berlaku satu insiden buruk apabila bom nuklear tersekat pada kedalaman separuh daripada lohong sedalam 800 meter. Bom nuklear itu kemudian meletup dan ianya mengakibatkan tanah runtuh di bawah lautan di bahagian barat daya pulau, menyebabkan berlakunya tsunami kesan daripada pergerakan sebahagian besar cerun yang telah terpisah. Ledakan ini telah menghasilkan rekahan besar yang berukuran 2 kilometer panjang dan 40 sentimeter lebar.
Pada 5 September 1995, presiden Perancis pada ketika itu, Jacques Chirac berhasrat untuk menjalankan siri ujian bom nuklear di Moruroa[23], setahun sebelum Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) ditandatangani, mencetuskan protes di peringkat antarabangsa termasuklah larangan masuk terhadap produk beralkohol dari Perancis. Terdapat rusuhan yang berlaku di sekitar Polinesia serta ancaman kumpulan Forum Kepulauan Pasifik untuk menggantung keahlian Perancis akibat daripada ujian nuklear itu. Ujian bom nuklear terakhir di Moruroa telah dijalankan pada 27 Disember 1995.
Selepas ujian bom nuklear terakhir yang telah dijalankan pada 27 Januari 1996 di Pulau Fangataufa, tapak ujian nuklear di Moruroa mula dirobohkan. Untuk rekod, sejumlah 181 siri letupan telah dilancarkan, 41 daripadanya diletupkan di kawasan terbuka[17]. Namun begitu, jumlah ini berbeza dilaporkan oleh kebanyakkan laporan; para saintis nuklear yang bekerja dalam tapak ujian itu mendakwa hanya 175 siri letupan sahaja yang berlaku secara keseluruhan[21].
Remove ads
Galeri
- Peta lengkap atol Moruroa.
- Sebahagian daripada Pulau Moruroa pada tahun 2005.
- Imej NASA yang memaparkan bahagian timur Moruroa.
- Imej NASA yang memaparkan bahagian barat Moruroa.
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
