NetApp
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
NetApp, Inc. ialah syarikat perkhidmatan data awan hibrid dan pengurusan data Amerika yang beribu pejabat di Sunnyvale, California. Ia telah menduduki ranking dalam Fortune 500 sejak 2012.[3] Ditubuhkan pada tahun 1992[4] dengan IPO pada 1995,[5] NetApp menawarkan perkhidmatan data awan hibrid untuk pengurusan aplikasi dan data di seluruh awan dan persekitaran di premis.
Remove ads
Sejarah
NetApp ditubuhkan pada tahun 1992 oleh David Hitz, James Lau[6] dan Michael Malcolm, yang dikenali sebagai Network Appliance, Inc.. Pada ketika itu, pesaing utama mereka ialah Auspex Systems, yang memasarkan produk berasaskan tatasusunan storan sambung rangkaian (NAS) pertama[7]. Pada tahun 1994, NetApp menerima sejumlah dana modal teroka dari syarikat Sequoia Capital[8]. Pada 21 November 1995, NetApp tersenarai sebagai syarikat awam melalui penawaran saham terbitan awam (IPO) yang diterbitkan di Nasdaq pada kadar $13.50 sesaham[9].
Pendapatan tahunan NetApp melonjak sehingga $1 bilion sewaktu tempoh pertengahan 1990-an sehingga 2001, yang dikenali sebagai tempoh Gelembung dot-com[10]. Selepas tempoh gelembung tersebut pecah, pendapatan NetApp menurun secara mendadak kepada $800 juta selepas tahun fiskal 2002[10]. Namun begitu, pendapatan syarikat ini mula meningkat sejak dari itu. Pada tahun 2003, syarikat Auspex Systems dibubarkan dan NetApp mengambilalih kesemua paten milik syarikat terbabit[7].
Dalam usaha membangunkan teknologi reka bentuk grid storan yang menggabungkan pelbagai jenis pelayan storan dalam satu sistem, NetApp mengumumkan pengambilalihan syarikat Spinnaker Networks pada bulan Jun 2003[11]. Syarikat Spinnaker, yang mula ditubuhkan pada tahun 1999, memiliki beberapa teknologi penting yang diperlukan NetApp dalam membangunkan kerangka grid storan, menggabungkan sehingga 512 pelayan storan pelbagai jenis dalam satu sistem[12]. Pada ketika itu, sistem operasi ONTAP yang dibangunkan NetApp hanya membolehkan dua pelayan storan NAS digabungkan bersama[13].
Pada tahun 2006, NetApp menjual barisan produk NetCache kepada syarikat Blue Coat Systems yang membeli dengan harga sebanyak $23.9 juta serta $6 juta dalam bentuk saham[14]. Menurut NetApp, penjualan barisan produk ini merupakan langkah strategik pelan pertumbuhan syarikat dalam jangka masa panjang[14]. Walaupun begitu, NetApp masih lagi menggunakan teknologi NetCache pada barisan produk pelayan storan model FAS[15]. NetCache merupakan sistem cache untuk pengehosan laman web yang banyak digunakan pada lewat 1990-an sehingga awal 2000-an bertujuan untuk menjimatkan kos bandwidth dan meningkatkan kadar muat turun kandungan web[16].
Pada bulan Mac 2008, syarikat Network Appliance, Inc. secara rasminya bertukar nama kepada NetApp, Inc, serta menggunakan logo baharu[17]. Mereka juga memperkenalkan slogan baharu "Go further, faster"[18]. Menurut David Hitz, penjenamaan semula NetApp adalah bertujuan untuk menembusi seberapa banyak pasaran di seluruh dunia. Selain itu, beliau mendedahkan ramai pengguna NetApp memanggil nama syarikat ini dengan nama yang berbeza-beza seperti Network Appliance, NetApp, NetApps, Network Applications dan Network Associates[19].
Pada 1 Jun 2015, NetApp mengumumkan George Kurian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi menggantikan Tom Georgens yang mengosongkan jawatan itu[20]. Prestasi kewangan yang tidak mengukuh serta proses pemberhentian pekerja secara besar-besaran untuk tiga tahun berturut-turut dikatakan antara menjadi punca kepada penamatan jawatan yang disandangnya[21]. Sebelum Tom melepaskan jawatan, beliau pernah menghantar emel yang berbentuk amaran kepada para pekerja mengenai proses pemberhentian secara paksa yang akan dilakukan bagi mencapai sasaran kewangan syarikat[22]. Dianggarkan seramai 500 pekerja berpotensi terkesan dengan proses penamatan itu atau 4% daripada jumlah keseluruhan pekerja NetApp di seluruh dunia[23].
Pada bulan Mei 2018, NetApp mengumumkan barisan produk berasaskan tatasusunan storan NVMe pertama mereka yang dikenali sebagai All Flash FAS A800 semasa pengumuman pengeluaran sistem perisian ONTAP 9.4[24]. NetApp mengatakan bahawa produk ini mampu mencapai lebih dari 1.3 juta IOPS pada kadar 500 mikrosaat untuk setiap pasangan high-availability[24][25]. Selain itu, model A800 juga diintegrasikan bersama pelayan yang dikuasakan oleh mikropemproses NVIDIA DGX-1 dan cip mikropemproses grafik melalui infrastruktur hiper-sepadu (hyperconverged)[26].
Remove ads
Organisasi
George Kurian ialah Ketua Pegawai Eksekutif NetApp dan salah seorang ahli Lembaga Pengarah syarikat. Beliau memulakan kariernya di NetApp pada tahun 2011 sebagai Naib Presiden Senior Storage Solution Group dan kemudian dilantik sebagai Naib Presiden Senior Data ONTAP Group pada bulan Disember 2011[27].
César Cernuda ialah Presiden NetApp, di mana beliau bertanggungjawab memacu syarikat di peringkat global dalam bidang pemasaran, perkhidmatan, sokongan dan kejayaan pengguna[28]. Beliau menyandang jawatan ini sejak kali pertama menyertai NetApp pada bulan Julai 2020[28]. Sebelum menyertai NetApp, César memiliki sejarah karier yang panjang di Microsoft di mana jawatan terakhir yang disandangnya ialah Presiden Microsoft Amerika Latin[29].
Pengambilalihan
Remove ads
Kerjasama
Aston Martin F1

Pada 1 Mac 2021, NetApp mengumumkan perjanjian kerjasama bersama pasukan Aston Martin[34] yang kembali menyertai sukan Formula Satu, selepas kali terakhir mereka sertainya lebih 60 tahun yang lalu[34]. Bentuk kerjasama yang dimeterai ini melibatkan penggunaan infrastruktur hibrid NetApp dalam memperlihatkan data secara masa nyata yang diperoleh pada sebelum, semasa dan selepas setiap perlumbaan dan menyesuaikan keadaan jika diperlukan[35]. Selain itu, pasukan Aston Martin berupaya mengekstrak lebih banyak data daripada jentera Formula Satu mereka dalam mengenalpasti prestasi dan strategi yang diperlukan[35].
Jalinan kerjasama ini telah membawa kepada pembukaan rasmi bangunan Kampus Teknologi Perlumbaan Aston Martin (AMRTC) di Silverstone, England[36] dan solusi pusat data FlexPod yang direka oleh NetApp dan Cisco digunakan khusus untuk pasukan[37]. Antara teknologi yang digunakan NetApp dalam memproses data yang diperolehi ialah sokongan terhadap penggunaan antaramuka NVMe secara menyeluruh dalam persekitaran pangkalan data Oracle[38]. Pada bulan Februari 2024, NetApp mengumumkan sambungan terhadap tempoh kerjasama mereka bersama pasukan Formula Satu Aston Martin[37]
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads