Seshat

From Wikipedia, the free encyclopedia

Seshat
Remove ads

Seshat (Mesir Purba: 𓋇𓏏𓁐, rumi: sšꜣt, lit.'Jurutulis Perempuan',[1] dengan pelbagai ejaan[Note 1]) merupakan dewi Mesir purba bagi penulisan, kebijaksanaan dan pengetahuan. Dia dilihat sebagai seorang jurutulis dan perakam catatan. Dia juga dianggap pencipta tulisan.[perlu rujukan] Dia dikenali sebagai dewi pengukuran, perakaunan, seni bina, sains, astronomi, matematik, geometri, sejarah dan ukur tanah. Dia dengan pelbagainya digambarkan sebagai pasangan, anak perempuan, atau rakan sejawat Thoth, yang juga dikaitkan dengan pengetahuan, astronomi, pengukuran dan penulisan.[2][3]

Fakta Segera Nama dalam hieroglif, Simbol ...
Remove ads

Sejarah

Seshat disebut sekurang-kurangnya sejak Dinasti Pertama. Kahin-kahin dan imejnya dirujuk dalam Babad Diraja Kerajaan Lama, semasa pemerintahan Den.[4] Dia digambarkan seawal Dinasti Kedua, melakukan upacara "meregangkan tali" dengan Khasekhemwy.[1] Sifat purba simbolnya, seperti dahan palma bergerigi yang wujud sebelum penulisan, mencadangkan bahawa dia mungkin berasal lebih awal daripada Dinasti Pertama.[5] Selain itu, contoh-contoh lambangnya, atau simbol-simbol yang nampaknya berkaitan, telah ditemui sejak alaf ke-3 SM dari Zaman Protodinasti.[6]

Bermula pada Kerajaan Pertengahan, nama Seshat ditulis sebagai Sefkhet-Abwy.[Note 2] Seshat dan Sefkhet-Abwy terus digambarkan sehingga sekurang-kurangnya Dinasti Ptolemaik.[7]

Remove ads

Ikonografi

Dalam seni Mesir purba, dia digambarkan sebagai seorang wanita dengan lambang pecah tujuh di atas kepala atau terkeluar daripada ikat kepalanya.[8] Lambang ini sumber nama lain Seshat, Sefkhet-Abwy,[Note 2] yang boleh diterjemahkan sebagai "bertanduk tujuh".[1][9] Dia sering digambarkan memakai kulit harimau bintang atau pakaian, kadang-kadang dengan jubah di bawah kulit itu.[7] Kulit harimau bintang ialah simbol kahin pengebumian, dengan corak pada kulit itu dianggap mewakili bintang, yang melambangkan keabadian, dan dikaitkan dengan langit malam.[perlu rujukan]

Biasanya, Seshat memegang tetulang palma bergerigi, simbol untuk "tahun" dalam hieroglif Mesir. Hujung batang pelepah itu sering digambarkan dengan berudu yang mewakili 100,000 di atas cincin shen, infiniti.[8][10] Seshat menakuk pelepah itu menandakan perakaman peredaran masa, terutamanya jangka hayat raja.[11] Hieroglif yang mewakili apa-apa perayaan ditunjukkan tergantung daripada batang palma apabila Seshat mencatatkan acara-acara ini. Dia juga digambarkan memegang alat lain, seringnya tali bersimpul-simpul yang diregangkan untuk mengukur tanah dan binaan.[1]

Remove ads

Peranan

Seshat ialah pengukur dan jurutulis para dewa, dan membantu firaun dalam kedua-dua perbuatan ini. Kemahirannya diperlukan untuk mengukur tanah, untuk menetapkan semula sempadan selepas banjir tahunan. Kahin wanita yang merasmikan acara-acara ini dalam namanya juga mengawasi kakitangan lain yang melakukan tugas serupa dan dilatih dalam matematik serta ilmu-ilmu yang berkaitan. Dia juga bertanggungjawab untuk merakam ucapan firaun semasa upacara pertabalan.[perlu rujukan]

Seawal Kerajaan Lama, Seshat digambarkan mencatat barangan, rampasan, dan tawanan yang dibawa ke Mesir, terutamanya yang diperoleh dalam kempen tentera.[8] Dia juga ditunjukkan mengambil banci lembu.[12] Dari Kerajaan Pertengahan, dia digambarkan mencatat ufti asing yang diberikan kepada Mesir.[1]

Seshat berkait rapat dengan Thoth (Mesir purba: Ḏḥwtj), penghitung masa dan dewa penulisan, yang juga dipuja sebagai dewa kebijaksanaan. Kedua-duanya mempunyai beberapa fungsi yang sama dan Seshat dianggap sebagai saudari, isteri, atau anak perempuannya. Seshat mencipta penulisan dan Thoth mengajar penulisan kepada manusia.[perlu rujukan] Seshat juga hadir dalam konteks-konteks pengebumian, yang mana dengan Nephthys, dia memulihkan anggota-anggota si mati.[1]

Thumb
Hatshepsut (s. 1479–1458 SM) dan Seshat dalam ukiran tenggelam di Bandarsah Merah, digambarkan melakukan upacara "meregangkan tali" untuk perasmian kuil.

Upacara "Meregangkan Tali"

Seshat memegang gelaran-gelaran yang berkaitan dengan pembinaan, seperti "Empuan Pembina",[13] kerana dia terlibat dalam merancang pembinaan dan perluasan tapak-tapak suci, seperti kuil.

Upacara "meregangkan tali", atau upacara pedj-sesh(r), adalah satu contoh.[14] Upacara ini berkenaan membuat pelan lantai kuil-kuil dan binaan-binaan penting lain. Ia membantu merancang dimensi dan menyelaraskan binaan dengan jasad-jasad langit atau geografi,[15] sambil menetapkan pelan tanah dan menentukan sudut-sudutnya.[13] Tali, tiang, dan tukul digunakan. Gambaran upacara ini biasanya menunjukkan Seshat dan si raja berhadapan, memegang peralatan ini dan "meregangkan" tali itu di antara mereka. Dewa Horus kadangkala digambarkan ada bersama mereka.[14]

Teks daripada Batu Palermo menunjukkan bahawa perayaan ini dilakukan sekurang-kurangnya sejak Dinasti Pertama, di mana melibatkan para kahin Seshat.[16][4] Gambaran ikonografik yang tertuanya berasal dari Dinasti Kedua, dengan Seshat dan Khasekhemwy melakukan upacara tersebut.[17]

Thumb
Gambaran Seshat, Thoth, dan Atum (tidak digambarkan) menulis pada buah pokok tanjung suci atau ished. Ukiran tenggelam dari Ramesseum, kuil pengebumian Ramesses II (s. 1303–1213 SM).

Perayaan Sed

Menjelang Kerajaan Baru, dia dikaitkan dengan perayaan Sed, upacara yang disebut sejak Tempoh Dinasti Awal. Juga dipanggil Heb Sed, perayaan ini meraikan pemerintahan raja yang berterusan, biasanya selepas tiga puluh tahun memerintah.[18] Seshat, kadang-kadang bersama Thoth, mencatat jubli-jubli dan tahun pemerintahan raja pada tetulang palma yang ditakik atau daun pokok ished suci (atau tanjung persea, Mimusops laurifolia).[3][11] Seshat dan Thoth juga mencatat nama-nama dan sejarah raja-raja pada pokok ished suci.[19]

Remove ads

Penyembahan

Seshat dikaitkan rapat dengan pemerintahan raja dan upacara rasmi. Dia tidak disembah oleh orang ramai dan tidak mempunyai kultus atau kuil khusus. Walau bagaimanapun, peranannya dalam upacara "meregangkan tali" membuatnya terlibat dalam pembinaan setiap kuil.[1] Demikian juga, hubungannya dengan penulisan dan seni bina menjadikannya penaung jurutulis dan pembina.[7][16]

Seshat memegang pelbagai gelaran berkaitan penulisan dan perpustakaan, antaranya "Empuan Jurutulis"[3] dan "Empuan Buku,"[9] kerana para kahinnya mengawasi tempat di mana naskhah-naskhah ilmu dikumpulkan dan jampi disimpan. Tanggungjawab ini mengaitkan dia dengan Rumah Kehidupan, tempat jurutulis dilatih.[20] Heliopolis ialah lokasi tempat suci utamanya.[perlu rujukan]

Seorang putera Dinasti Keempat, Wep-em-nefret, dicatat sebagai seorang kahin Seshat (antara dewa lain) pada stele papak dari makamnya.[21]

Remove ads

Lambang

Lambang Seshat ialah hieroglif yang melambangkan dewi Seshat di Mesir purba.[22] Dalam seni, ia diletakkan di atas kepalanya atau sebagai sebahagian daripada hiasan kepalanya.

Tidak jelas apa yang dilambangkan oleh lambang ini. Ia dengan berbeza-beza dipanggil bunga, bintang, atau roset di bawah bulan sabit atau lengkung.[1] Selain itu, lambang ini mungkin mewakili alat yang serupa dengan groma Rom[15] atau kaedah mengenal pasti arah melalui penggunaan gnomon.[13] Ia biasanya mempunyai tujuh mata dan satu "pecahan" memanjang ke bawah.[5] Mata-mata lambang ini boleh digambarkan dengan pelbagai bentuk dan tahap keterperincian, tetapi ia mesti simetri.[13] Ia juga boleh digambarkan dengan cakera atau cincin di tengahnya.[23]

Lambang ini mempunyai dua variasi utama. Semasa Kerajaan Lama, lengkung atas digambarkan sebagai sempurna dengan dua bulu pelepah tegak di atas (Gardiner R21).[24] Menjelang Kerajaan Baru, lengkung itu dibahagikan kepada dua "tanduk" dengan mata yang menegak menggantikan bulu-bulu tadi (Gardiner R20).[22] Kedua-dua variasi digunakan bermula dari Kerajaan Baru.[7]

Thumb
Cetakan sisi rekto Batu Palermo (s. Dinasti Kelima, 2392–2283 SM), disunting supaya mudah dibaca. Lambang Seshat muncul dua kali dalam baris ketiga dari bawah, dalam bahagian ke-7 dan ke-13 dari kanan.
Maklumat lanjut Variasi lambang Seshat dalam hieroglif Mesir ...

Batu Palermo yang terkenal dari abad ke-24 SM, sebahagian daripada stele Babad Diraja Kerajaan Lama, banyak menggunakan lambang Seshat. Ia muncul dua kali pada sisi "depan" (atau rekto), dalam tahun 34 dan 40 di bawah Den. Salah satu contoh ini disusun di bawah, lebih kurang berbunyi: "(Tahun:) Mencipta (imej) Seshat dan Mafdet." Ini merujuk kepada penciptaan imej sembahan dewi itu, seperti patung, sebagai peristiwa penting untuk tahun itu.[4][Note 3]

Lambang Seshat juga digunakan pada Batu Palermo untuk mewakili Seshu, dewa yang sama jawatannya dengan Seshat.[25][7]

F31
X1
 
R21
U1S39Z9
Z9
I9
D47
X1
S39Z9
Z9
Remove ads

Galeri

Remove ads

Lihat juga

Nota

  1. Termasuk Safkhet, Sesat, Seshet, Sesheta, dan Seshata.
  2. Juga dieja Sefkhet-Abut, Sefkhet-Abwi, dan Sefekhet-Abuy.
  3. Fon Unicode dibaca kiri-ke-kanan; Batu Palermo ditulis kanan-ke-kiri. Pada batu, renpet besar (atau tetulang palma), hieroglif untuk tahun, mendahului pilihan ini.

Rujukan

Bacaan lanjut

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads