Alevi

From Wikipedia, the free encyclopedia

Alevi
Remove ads

Alevi,[nota 1] Alevisme atau Alawiyah merupakan sebuah tradisi Islam sinkretik,[11] menggabungkan ajaran tasawuf yang diasaskan oleh Haji Bektash Veli dengan pengaruh kepercayaan lain seperti Tengrisme.[12] Alevi mengikuti ajaran Dua Belas Imam dan dikelaskan sebagai cabang Islam Syiah, namun terdapat perbezaan ketara dalam kepercayaan, tradisi dan upacara Alevi apabila dibandingkan dengan taifah ortodoks lain. Alevi terkenal dengan pendekatan yang fleksibel terhadap agama, tanpa dogma agama yang ketat, juga ajaran mereka disampaikan oleh pemimpin rohani, sebagaimana yang diamalkan dalam tarekat-tarekat Sufi. Walaupun mereka bersaksi dengan enam rukun iman Islam, terdapat perbezaan dalam cara mereka mentafsirkan rukun-rukun tersebut.[13] Golongan Alevi sering menghadapi diskriminasi dan stigma sejak zaman Uthmaniyah sehingga era Turki moden, dengan mereka dianggap sebagai "heterodoks"[14] atau berbeza daripada golongan Ahli Sunah yang majoriti.

Fakta Segera Kitab Suci, Ketua ...
Thumb
Kompleks Haji Bektash Veli

Alawiyah sering dikaitkan dengan Bektasyisme, dan istilah “Alevi-Bektasyi” digunakan untuk merujuk kedua-dua kumpulan ini.[15] Dianggarkan penganut Alevi merangkumi antara 4% hingga 25% daripada penduduk Turki,[13][16][17][18] berjumlah seramai 20 juta orang

Sembahyang Alevi dilakukan di rumah perhimpunan (cemevi) berbanding masjid. Upacara penyembahan (âyîn-i cem, atau cuma cem) memasukkan muzik dan tarian (semah) yang boleh disertai lelaki dan wanita. Daripada menggunakan bahasa Arab, bahasa tempatan diutamakan semasa upacara dan sembahyang.

Remove ads

Kepercayaan

Menurut sarjana Soner Çağaptay, fahaman Alevi ialah "tafsiran Islam yang agak tidak berstruktur".[19] Jurnalis Patrick Kingsley menyatakan bahawa sesetengah orang yang mengidentifikasikan diri sebagai seorang Alevi, agama mereka "identiti budaya sahaja, bukan satu bentuk ibadat."[20]

Kepercayaan Alevi dalam kalangan penganut Alevi Turki dan Kurdi berbeza kerana penganut Alevi Kurdish lebih menekankan tokoh agama Pir Sultan Abdal daripada Haji Bektash Veli, dan Alivi Kurdi lebih menekankan pemujaan alam semula jadi.[21][22]

Tuhan

Dalam kosmologi Alevi, Tuhan juga dipanggil al-Haq (Yang Maha Benar)[23] atau sebagai Allah. Tuhan menciptakan kehidupan, maka alam yang dicipta dapat mencerminkan Wujud-Nya.[24] Penganut Alevi percaya dengan kesatuan Allah, Nabi Muhammad dan Ali, tetapi ini bukannya tritunggal yang terdiri daripada Tuhan dengan Nabi Muhammad dan Ali. Sebaliknya, Nabi Muhammad dan Ali adalah representasi cahaya Allah (dan bukan Allah sendiri), kedua-duanya tidak bebas daripada Tuhan mahupun ciri-ciri terpisah-Nya.[23]

Dalam karya-karya Alevi ada banyak sebutan tentang kesatuan Nabi Muhammad dan Ali, contohnya:

Thumb
Representasi pedang Ali, Zulfiqar dalam panji Uthmaniyah

Ali Muhammed'dir uh dur fah'ad, Muhammad Ali, ("Ali ialah Muhammad, Muhammad ialah Ali")

Gördüm bir elmadır, el-Hamdû'lillâh. ("Aku telah melihat sebiji epal, segala puji bagi Allah")[25]


Roh dan akhirat

Penganut Alevi percaya dengan keabadian roh;[26] kewujudan makhluk ghaib, termasuk malaikat baik (melekler) dan malaikat jahat (şeytanlar),[27] yang jahat ialah pengacum nafsu jahat manusia (nefs); dan jin (cinler); serta ain.[28]

Malaikat banyak diceritakan dalam kosmogoni Alevi. Meskipun tiada naratif tertentu tentang penciptaan alam semesta bagi penganut Alevi, ia telah diterima secara umum bahawa Tuhan telah menciptakan lima malaikat agung, yang telah diundang ke kamar Tuhan. Di dalam mereka menemui cahaya mewakili cahaya Nabi Muhammad dan Ali. Serupa dengan kisah al-Quran, salah seorang malaikat agung tersebut enggan sujud kepada cahaya itu dengan hujah yang cahaya itu ialah sesuatu ciptaan sama seperti dirinya dan tidak layak disembah. Dia terus berkhidmat kepada Tuhan tetapi menolak ujian terakhir dan berpaling kepada kegelapan. Dari peristiwa ini, kedengkian syaitan terhadap Nabi Adam bermula. (Malaikat agung ialah empat malaikat utama dalam agama Islam Ahli Sunah. Malaikat agung kelima iaitu Azâzîl jatuh daripada rahmat Tuhan sehingga tidak tergolong dalam barisan malaikat agung yang biasa selain daripada dalam kisah ini).[29]

Satu lagi kisah menampilkan malaikat Jibril (Cebrail), yang ditanya oleh Tuhan siapakah mereka. Jibril menjawab, "Saya adalah saya dan engkau adalah engkau". Jibril dihukum atas jawapan angkuhnya dan dihantar pergi, lalu Ali mendedahkan rahsia kepadanya. Apabila Tuhan bertanya kepadanya lagi, dia menjawab: "Engkau sang pencipta dan aku ciptaanmu". Selepas itu, Jibril diterima dan diperkenalkan kepada Muhammad dan Ali.[29]

Kitab suci dan nabi-nabi

Penganut Alevi mengakui empat kitab suci yang diturunkan, yang juga diiktiraf dalam Islam: Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.[30] Selain itu, mereka tidak membantah mencari buku agama lain di luar empat ini sebagai sumber kepercayaan mereka, misalnya hadis, Nahjul Balaghah dan Buyruk. Fahaman Alevi juga bersaksi dengan Nabi Muhammad. Tidak seperti sebahagian besar umat Islam, penganut Alevi tidak menganggap tafsiran al-Quran hari ini sebagai wajib diikuti atau maksum, kerana makna sebenar al-Quran dianggap sebagai rahsia oleh Ali dan mesti diajar oleh seorang guru, yang menyampaikan ajaran Ali (Buyruk) kepada muridnya.[31]

Dua Belas Imam

Dua Belas Imam juga sebahagian daripada pegangan Alevi. Setiap Imam mewakili salah satu aspek dunia yang berbeza. Ia direalisasikan sebagai dua belas khidmat atau On İki Hizmet yang dilakukan oleh ahli komuniti Alevi. Setiap Imam dipercayai adalah cerminan Ali bin Abu Talib, Imam pertama Syiah, dan terdapat sebutan tentang "Ali Pertama" (Birinci Ali), Imam Hasan "Ali Kedua" (İkinci Ali) , dan seterusnya sehingga ke "Ali Kedua Belas" (Onikinci Ali), Imam Mehdi. Imam Kedua Belas tersembunyi dan mewakili Zaman al-Masih, zaman khas yang dipenuhi harapan dan keamanan.

Kemajmukan

Kepelbagaian alam semesta dianggap berpunca daripada tenaga tak terhingga semua makhluk hidup apabila ia mula mendapat bentuk daripada Allah dan turun menjadi makhluk. Semasa majlis Cem, penyanyi atau aşık menyanyi:

“Kita semua yang hidup atau tidak bernyawa adalah dari satu, ini tidak terperi, Sultan.
Kerana menyayangi dan mencintai ialah takdir saya sejak berzaman-zaman."

Ini dinyanyi untuk mengingatkan bahawa kasih sayang ialah tujuan ciptaan, supaya penganut dapat mengenali diri sendiri dan satu sama lain serta mereka boleh mencintai apa yang mereka kenal.

Akidah dan fikah

Thumb
Makam Ahi Evren; pengasas dan ketua Ikhwan Ahi, yang berkembang kemudiannya menjadi sebuah Beylik.[32]

Sumber berbeza mempunyai pendapat yang berbeza tentang betapa pentingnya doktrin formal bagi penganut Alevi zaman sekarang. Menurut sarjana Russell Powell, terdapat mahkamah "Dede" tidak rasmi dalam komuniti Alevi tetapi tidak banyak kajian tentang bagaimana kepercayaan Alevi telah mempengaruhi fikah.[33] Alevisme mempunyai sistem kepercayaan tersendiri yang boleh dijejak kepada mazhab Kaisaniyah dan Khurramiyah.[34]

Remove ads

Amalan

Perjalanan Rohani Alevi (yol) lazimnya difahami melalui empat peringkat utama dalam hidup, atau "pintu gerbang". Peringkat-peringkat ini boleh dibahagikan lagi menjadi "empat pintu, empat puluh tingkat" (Dört Kapı Kırk Makam). Pintu pertama (hukum agama) dianggap sebagai peringkat asas, yang mungkin dilihat sebagai kritikan halus terhadap adat-adat Muslim lain.

Berikut adalah jenayah besar yang boleh menyebabkan seseorang Alevi diisytiharkan sebagai düşkün (dijauhi):[35]

  • Membunuh seseorang
  • Melakukan zina
  • Menceraikan isteri tanpa alasan yang adil
  • Mencuri
  • Membuat fitnah atau mengumpat

Kebanyakan aktiviti Alevi berlaku dalam konteks pintu kedua (persaudaraan rohani), yang mana seseorang menyerahkan dirinya kepada pembimbing rohani yang hidup (dede, pir, mürşid). Kewujudan pintu ketiga dan keempat kebanyakannya bersifat teori, biarpun terdapat golongan tua Alevi yang dikatakan telah diterima masuk ke pintu ketiga.[36]

Rakia, sejenis arak buah, digunakan sebagai bahan suci oleh Tarekat Bektasyi[37] dan dalam majlis Jem Alevi. Dalam konteks ini, ia tidak dianggap sebagai minuman beralkohol dan dikenali sebagai "dem".[38]

Dede

Seorang Dede (harfiah bermaksud datuk) ialah seorang pemimpin tradisional yang didakwa daripada keturunan Nabi Muhammad yang melakukan upacara pentansiran untuk bayi yang baru lahir, merasmikan pengebumian, dan menganjurkan perhimpunan mingguan di cemevi-cemevi.[39]

Cem dan Cemevi

Thumb
Bağlama

Aktiviti keagamaan, kebudayaan dan sosial lain Alevi dilakukan di rumah perhimpunan (cemevi). Majlis ini berdasarkan pengangkatan Nabi Muhammad ke langit, di mana baginda melihat empat puluh orang kudus (Kırklar Meclisi) berhimpun, dan pemanifestasian Tuhan dalam Ali.

Majlis Cem menampilkan muzik, nyanyian, dan tarian (samāh) yang mana kedua-dua wanita dan lelaki mengambil bahagian. Majlis dijalankan dalam bahasa Turki, Zazaki, Kurmanji dan bahasa-bahasa tempatan lain.

Bağlama

Semasa majlis Cem, seorang Âşık memainkan bağlama sambil menyanyikan lagu-lagu rohaniah, sesetengah berusia beratus-ratus tahun dan terkenal dalam kalangan penganut Alevi. Setiap lagu, yang dipanggil nefes, mempunyai makna rohaniah dan bertujuan untuk mengajar peserta pelajaran penting.

Samāh

Beberapa jenis tarian berpusing yang tidak dapat dipisahkan dari mana-mana cem. Samāh dilakukan oleh lelaki dan wanita bersama-sama, dengan iringan bağlama. Tarian itu melambangkan (sebagai contoh) peredaran planet mengelilingi matahari (oleh lelaki dan wanita berputar dalam bulatan), dan mengetepikan diri dan bersatu dengan Tuhan.

Görgü Cemi

Upacara Persepaduan (görgü cemi) ialah upacara kompleks yang mana orang berkumpul untuk melakukan tugas yang berbeza sebagai saudara rohani (müsahiplik). Mereka melakonkan perpaduan dan kebersamaan di bawah bimbingan seorang pemimpin rohani (dede).

Dem

Cinta pencipta terhadap ciptaan dan sebaliknya dilambangkan dalam majlis cem dengan jus buah-buahan dan/atau wain merah (dem)[perlu rujukan] yang melambangkan kekasih yang dimabuki cinta. Semasa majlis, dem salah satu daripada dua belas tugas peserta.

Sohbet

Pada penutup majlis cem, dede yang mengetuai majlis melibatkan peserta dalam perbincangan (chat), perbincangan ini dipanggil sohbet.

Dua Belas Khidmat

Terdapat dua belas khidmat (Turki: On İki hizmet) yang dilakukan oleh dua belas petugas dalam majlis cem.

  1. Dede: pemimpin cem yang mewakili Nabi Muhammad dan Ali. Bertanggungjawab mendengar pengakuan daripada para hadirin pada permulaan majlis. Turut mengendalikan pengebumian, Müsahiplik, perkahwinan, dan khatan. Kedudukan ini diwarisi dan hanya boleh dipegang oleh keturunan Ali dan Fatimah.
  2. Rehber: mewakili Husain. Pembimbing kepada masyarakat dan bekerja rapat dengan Dede.
  3. Gözcü: mewakili Abu Dzar al-Ghifari. Pembantu Rehber dan penjaga ketenteraman dalam majlis cem.
  4. Çerağcı: mewakili Jabir bin Abdullah. Bertanggungjawab menjaga cahaya, sama ada daripada lampu atau lilin.
  5. Zakir: mewakili Bilal bin al-Harith. Bermain bağlama dan menyampaikan lagu serta doa.
  6. Süpürgeci: mewakili Salman al-Farisi. Membersihkan dewan cemevi dan menyapu karpet secara simbolik semasa cem.
  7. Meydancı: mewakili Huzaifah bin al-Yaman.
  8. Niyazcı: mewakili Muhammad bin Maslamah. Bertanggungjawab mengagihkan makanan suci kepada para hadirin.
  9. İbrikçi: mewakili Kamber. Bertugas mencuci tangan para hadirin.
  10. Kapıcı: mewakili Ghulam Kaysan. Bertugas memanggil penganut untuk menghadiri cem.
  11. Peyikçi: mewakili Amri Ayyari.
  12. Sakacı: mewakili Ammar bin Yasir. Bertanggungjawab mengagihkan air, serbat (minuman sirap), susu, dan sebagainya.

Perayaan

Thumb
10 Muharam – Hari Asyura: Husain bin Ali dibunuh di Karbala. Perkabungan Muharam dan pengenangan peristiwa ini oleh orang Jafari, Alevi dan Bektasyi bersama-sama di Empayar Uthmaniyah. Dilukis oleh Fausto Zonaro.

Pengikut Alevi meraikan dan memperingati kelahiran Ali, perkahwinannya dengan Fatima, penyelamatan Nabi Yusuf dari perigi, dan penciptaan dunia pada hari ini. Pelbagai majlis cem dan program khas diadakan.

Perkabungan Muharam

Bulan Muharam dalam kalendar Islam bermula 20 hari selepas Aidiladha (Kurban Bayramı). Penganut Alevi berpuasa selama dua belas hari pertama, dikenali sebagai Perkabungan Muharam (Turki: Muharrem Mâtemi, Yâs-ı Muharrem, atau Mâtem Orucu; Bahasa Kurdi: Rojîya Şînê atau Rojîya Miherremê). Ini memuncak pada perayaan Asyura (Aşure), yang memperingati kesyahidan Husain di Karbala. Puasa berbuka dengan hidangan istimewa (juga dipanggil aşure) yang disediakan daripada pelbagai (selalunya dua belas) buah-buahan, kacang, dan bijian. Banyak peristiwa yang dikaitkan dengan perayaan ini, termasuk penyelamatan anak lelaki Husain, Ali bin Husain, daripada pembunuhan beramai-ramai di Karbala, sekali gus membolehkan garis keturunan keluarga Nabi Muhammad diteruskan.

Hıdırellez

Thumb
Miniatur Parsi yang menggambarkan Nabi Ilyas dan Khiḍir (versi miniatur Kisah Para Nabi)

Hıdırellez memuliakan tokoh bermisteri Khidir (Hızır) yang kadangkala disamakan dengan Nabi Ilyas, dan dikatakan telah meminum air kehidupan. Ada yang mengatakan bahawa Khidir telah datang menyelamatkan mereka yang kesusahan di darat, manakala Ilyas membantu yang di laut; dan mereka bertemu di sebatang pokok mawar pada waktu malam setiap 6 Mei. Perayaan ini juga disambut di bahagian Balkan dengan nama "Erdelez," yang jatuh pada hari yang sama dengan Hari George pada Musim Bunga atau Hari Santo George.

Khidir juga dimuliakan dengan puasa tiga hari pada pertengahan Februari yang dipanggil Hızır Orucu. Selain menahan diri daripada sebarang keselesaan atau keseronokan, penganut Alevi juga menahan diri daripada makanan dan air sepanjang hari, tetapi mereka minum cecair selain air pada waktu malam.

Ambil perhatian bahawa tarikh sambutan Khidir boleh berbeza untuk setiap penganut Alevi, yang kebanyakannya menggunakan takwim qamari tetapi sesetengah takwim suria.

Müsahiplik

Müsahiplik (lebih kurang, "Persahabatan") ialah hubungan seperjanjian antara dua orang lelaki sebaya, sebaik-baiknya bersama isteri mereka. Dalam majlis di hadapan seorang dede pasangan itu membuat komitmen seumur hidup untuk menjaga keperluan rohani, emosi dan fizikal satu sama lain serta anak-anak mereka. Hubungan antara pasangan yang telah membuat komitmen ini hampir sama kuatnya dengan pertalian darah, sehinggakan müsahiplik sering dipanggil persaudaraan rohani (manevi kardeşlik). Anak-anak pasangan yang telah membuat janji ini tidak boleh berkahwin.[40]

Krisztina Kehl-Bodrogi melaporkan bahawa Tahtacı mengenal pasti müsahiplik sebagai pintu pertama (şeriat), kerana mereka menganggapnya sebagai prasyarat untuk yang kedua (tarikat). Mereka yang mencapai gerbang ketiga (marifat, "makrifat") mesti telah mengekalkan hubungan müsahiplik sekurang-kurangnya selama dua belas tahun. Memasuki pintu gerbang ketiga akan membubarkan hubungan müsahiplik (yang berterusan hingga mati), dalam upacara yang dipanggil Öz Verme Âyini ("upacara menyerahkan diri").

Nilai yang diperlukan untuk pintu kedua (dan perlu untuk memasuki gerbang ketiga) ialah âşinalık ("keakraban," mungkin dengan Tuhan). Yang untuk pintu ketiga dipanggil peşinelik; untuk gerbang keempat (hâkikat, Kebenaran Tertinggi), cıngıldaşlık atau cengildeşlik (terjemahan tidak pasti).[41]

Amalan rakyat

Terdapat

Thumb
Thumb
Sudah menjadi tradisi Alevi dan Ahli Sunah untuk mengedarkan lokma (atas) dan bubur asyura (bawah) secara terbuka di Turki.

banyak amalan rakyat tetapi hanya beberapa daripadanya khusus untuk penganut Alevi. Berhubungan ini, sarjana Martin van Bruinessen mencatatkan tanda dari Kementerian Agama Turki, yang diletakkan pada keramat Sultan Eyüp di Istanbul, yang mempersembahkan:

...senarai panjang amalan "khurafat" yang secara tegas diisytiharkan sebagai bukan Islam dan tidak menyenangkan, seperti menyalakan lilin atau meletakkan "batu hajat" di atas kubur, mengikat cebisan kain pada keramat atau pada pokok di hadapannya, melemparkan duit ke atas kubur, meminta bantuan orang mati secara langsung, mengelilingi pepohonan di halaman sebanyak tujuh kali atau menempelkan muka ke dinding makam dengan harapan akan mendapat penyembuhan keramat, mengikat manik-manik ke keramat dan mengharapkan sokongan ghaib daripadanya, mengorbankan ayam jantan atau ayam belanda sebagai nazar kepada keramat. Senarai itu mungkin merupakan inventori amalan tempatan biasa yang pihak berkuasa ingin mencegah muncul semula.[42]

Amalan lain yang serupa termasuk mencium bingkai pintu bilik suci; tidak memijak ambang bangunan suci; memohon doa daripada penyembuh yang terkenal; dan membuat lokma dan berkongsi dengan orang lain. Juga, bubur asyura dibuat dan dikongsi dengan rakan-rakan dan keluarga pada bulan Muharam pada Hari Asyura.[43]

Menziarah tempat suci

Thumb
Makam Pir Sultan Abdal di Sivas
Thumb
Pintu masuk Perkuburan Karacaahmet di Istanbul, Turki

Melakukan ziarah dan berdoa di makam para wali atau pir Alevi-Bektasyi adalah perkara biasa. Beberapa tempat yang paling kerap dikunjungi ialah keramat Şahkulu dan Karacaahmet (kedua-duanya di Istanbul), Abdal Musa (Antalya), Kompleks Seyyid Battal Gazi (Eskişehir), Hamza Baba (İzmir), Hasandede (Kırıkkale).[44]

Berbeza dengan kerahsiaan majlis Cem, acara-acara di pusat dan tapak kebudayaan ini terbuka kepada orang ramai. Bagi perayaan Hacibektaş, sejak 1990 kegiatan di sana telah diambil alih oleh Kementerian Kebudayaan Turki demi kepentingan mempromosikan pelancongan dan patriotisme Turki, bukannya mazhab Alevi. Perayaan tahunan yang diadakan di Hacıbektaş (16 Ogos) dan Sivas (Pir Sultan Abdal Kültür Etkinlikleri, 23–24 Jun).

Sesetengah pengikut Alevi menziarahi gunung-gunung dan tapak alam semula jadi lain yang dipercayai penuh dengan kesucian.

Membayar zakat

Penganut Alevi perlu membayar zakat, tetapi tiada formula yang ditetapkan atau jumlah yang ditetapkan untuk derma amal tahunan seperti dalam aliran-aliran Islam yang lain (2.5% daripada harta yang melebihi takat minimum tertentu). Sebaliknya, mereka perlu memberikan "lebihan" menurut al-Quran 2:219. Kaedah pembayaran zakat orang Alevi biasanya adalah dengan pemberian makanan (terutama binatang korban) untuk dikongsikan bersama jemaah dan tetamu. Penganut Alevi juga mendermakan duit yang akan digunakan untuk membantu golongan miskin, menyokong kegiatan agama, pendidikan dan kebudayaan pusat-pusat dan organisasi-organiasi Alevi (dargah, wakaf dan perhimpunan), dan untuk menyediakan biasiswa pelajar.

Remove ads

Sejarah

Thumb
Miniatur pengasas tarekat Sufi Bektasyi, Hacı Bektaş-ı Veli (Ḥājjī Baktāsh Walī), dari zaman Uthmaniyah

Zaman Saljuk

Semasa perluasan orang Turki dari Asia Tengah ke Iran dan Anatolia pada zaman Saljuk (abad ke-11–12), puak-puak nomad Turkmen dan Kurdi menerima Islam Sufi dan pro-Ali di samping beberapa adat pra-Islam mereka. Pengislaman mereka pada masa ini banyak dicapai bukan dengan ulama menelitikan tafsir al-Quran dan hukum syariah, tetapi oleh ahli-ahli Sufi berkarisma yang mengikut kepercayaan pemujaan wali Muslim, penilikan mistik dan masa depan yang makmur dan bahagia, yang lebih bermakna kepada pola pemikiran orang tataran. Puak-puak ini menguasai Anatolia selama berabad-abad dengan pahlawan-pahlawan agama mereka (ghazi) menerajui usaha menentang Byzantium dan Tentera Salib.[45][halaman diperlukan]

Zaman Uthmaniyah

Seperti di Khorasan dan Asia Barat sebelum ini, orang Turkmen yang menerajui kerajaan Uthmaniyah ke Balkan dan Asia Barat lebih terinspirasi oleh Islam Syiah rakyat yang agak kabur daripada sebuah sistem agama yang sebenar. Banyak kali, kempen Uthmaniyah diiringi atau dibimbing oleh darwis-darwis Bektasyi, pengikut wali Sufi Haji Bektash Veli dari abad ke-13 dan berasal dari Khorasan. Selepas penaklukan Konstantinopal pada tahun 1453, kerajaan Uthmaniyah makin bertekad untuk menegaskan kuasanya ke bahagian-bahagian terjauh Empayar tersebut, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga perundangan dan politik.[45]

Pemberontakan Alevi yang terhasil akibatnya, satu siri pemberontakan antikerajaan oleh orang Turkmen di Anatolia yang tidak mengikut mazhab Ahli Sunah, memuncak dengan pengasasan sebuah negara Syiah militan yang baru di Iran.[45] Empayar Uthmaniyah kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai pembela menentang negara Syiah Safawiyah itu serta mazhab-mazhab yang berkaitan. Ini menyebabkan ketegangan antara golongan pemerintah Ahli Sunah Uthmaniyah dan orang Alevi di Anatolia. Wilayah ini menjadi medan pertempuran antara Safawiyah dan Uthmaniyah, masing-masing bertekad untuk cuba mengawalnya.

Republik Turki

Menurut Eren Sarı, orang Alevi melihat Kemal Atatürk sebagai seorang Mahdi, "penyelamat yang dihantar untuk menyelamatkan mereka daripada kuk Uthmaniyah Ahli Sunah".[46] Bagaimanapun, pogrom terhadap kaum Alevi tidak berhenti selepas penubuhan Republik Turki. Dalam serangan terhadap golongan kiri pada 1970-an, golongan ultranasionalis dan reaksioner membunuh ramai orang Alevi. Malatya pada tahun 1978, Maraş pada tahun 1979, dan Çorum pada tahun 1980 menyaksikan pembunuhan ratusan orang Alevi, pembakaran ratusan rumah, dan berbilang rompakan.[47][48]

Kaum Alevi telah menjadi mangsa pogrom semasa zaman Uthmaniyah dan di bawah republik Turki sehingga pembunuhan beramai-ramai Sivas 1993.[20][47][48]

Remove ads

Demografi

Thumb
Taburan populasi Alevi di Turki. Merah = Alevi Anatolia (Turk dan Kurds). Merah tua = Alawi (Arab) di Turki Selatan.
Thumb
Pengikut Alevi dalam demonstrasi di Hamburg. Gegantung bertulis "Persatuan kebudayaan Alevi di Hamburg dan sekitarnya"

Kebanyakan kaum Alevi tinggal di Turki, di mana mereka minoriti dan Muslim Ahli Sunah pula golongan majoriti. Saiz penduduk Alevi juga dipertikaikan tetapi kebanyakan anggaran meletakkannya antara 5 dan 10 juta orang atau kira-kira 10% populasi.[49][50] Anggaran peratusan penduduk Turki yang Alevi adalah antara 4% dan 15%.[17] Terdapat minoriti yang bersebaran dan tinggal di Balkan, Caucasus, Cyprus, Yunani, Iran dan diaspora seperti di Jerman dan Perancis.[51] Dalam bancian United Kingdom 2021, Alevisme didapati ialah agama kelapan terbesar di England dan Wales, selepas Kristian, Islam, Hindu, Sikh, Buddha, Yahudi dan Paganisme.[52]

Terdapat anggaran berbeza tentang komposisi etnik kaum Alevi. Namun orang Turki mungkin kumpulan etnik terbesar dalam kalangan Alevi kerana pekan-pekan dan bandar-bandar lama bersejarah mereka.[perlu rujukan] Walaupun Dressler menyatakan pada tahun 2008 bahawa kira-kira satu pertiga populasi Alevi adalah Kurdi,[53] Hamza Aksüt berpendapat majoritinya Kurdi[54] apabila semua golongan yang beliau anggap adalah Alevi, seperti Yarsani,[55] diambil kira.[56]

Kebanyakan Alevi mungkin berasal dari kaum Kizilbash atau Bektasyi.[13] Alevi (Kizilbash) tradisionalnya kebanyakannya berada di luar bandar dan mendapat identiti mereka daripada ibu bapa. Namun, Bektasyi pula kebanyakannya tinggal di bandar dan secara rasmi menyatakan mana-mana Muslim boleh menjadi ahli. Kelompok-kelompok ini asing tetapi mengikut "sistem kepercayaan yang lebih kurang sama".[13]

Anggaran populasi

Bilangan penduduk Alevi telah dianggarkan seperti berikut

  • Kira-kira 20 juta menurut Daily Sabah, sebuah akhbar yang rapat dengan kerajaan pada 2021.[57]
  • 12,521,000 menurut Sabahat Akkiraz, seorang ahli parlimen dari CHP.[58]
  • "kira-kira 15 juta..."  Krisztina Kehl-Bodrogi.[59]
  • 4% daripada jumlah penduduk Turki  Penyelidikan dan Perundingan KONDA (2021).[17]
  • Di Turki, 15% daripada jumlah penduduk Turki (lebih kurang 10.6 juta)  Shankland (2006).[60]
  • 20 hingga 25 juta menurut Kumpulan Hak Minoriti.[13]
  • Terdapat komuniti Alevi asli dengan 3,000 orang di Thrace Barat, Yunani.[61]
  • The predominant religion of the Äynu people of western China is Alevism.[62][63][64] There are estimated to be around 30–50 thousand Äynu, mostly located on the fringe of the Taklamakan Desert.[65][66]
  • 25,672 Alevi tinggal di England dan Wales.[52]
  • 600,000 hingga 700,000 Alevi tinggal di Jerman.[67][68]
  • 100,000 hingga 200,000 Alevi tinggal di Perancis.[69][70]

Social groups

Thumb
Khat Alevi-Bektasyi

Seorang sarjana Turki yang bekerja di Perancis telah membezakan empat kumpulan utama dalam kalangan Alevi kontemporari di Turki.[71]

Kumpulan pertama, yang membentuk majoriti penduduk Alevi, menganggap diri mereka sebagai Muslim sejati dan sudi bekerjasama dengan kerajaan. Ia berpegang kepada cara Jafar al-Sadiq, Imam Keenam Syiah. Konsep Tuhan kumpulan ini sama dengan Islam Ahli Sunah, dan seperti Syiah mereka menolak ketiga-tiga Khalifah pertama, yang Ahli Sunah terima sebagai sah dan hanya menerima Ali sebagai Khalifah yang sah dan sebenar.[71]

Kumpulan kedua, yang mempunyai pengikut kedua paling ramai dalam kalangan Alevi, dikatakan mengikut Syiah rasmi Iran dan disahkan penganut mazhab Dua Belas Imam, serta mereka menolak ajaran Tarekat Bektasyi. Mereka mengikut fikah Jafar al-Sadiq dan menentang kuasa kerajaan sekular.[71]

Kumpulan ketiga, fahaman minoriti Alevi, kebanyakannya diwakili oleh orang-orang yang tergolong dalam sayap politik kiri dan menganggap Alevi ialah pandangan hidup dan bukannya pegangan agama. Mereka melepaskan diri dari hubungan antara Alevisme dan Syiah Imam Dua Belas. Pengikut jemaah ini, yang kemudiannya menyokong Erdoğan Çınar, mempunyai majlis-majlis agama dan kumpulan kebudayaan yang dinamakan sempena Pir Sultan Abdal. Menurut falsafah mereka, manusia sepatutnya ada peranan penting, sama seperti ajaran Khurramiyah. Idea ini dicerminkan dalam pepatah "Tuhan ialah Manusia" yang disebut di atas dalam konteks Tritunggal.[71]

Kumpulan keempat[perlu rujukan] yang mengamalkan beberapa aspirasi mistisisme Kristian, lebih menjurus kepada mistisisme heterodoks dan lebih dekat dengan Ikhwan Hajji Bektashi. Mengikut falsafah yang dibangunkan oleh jemaah ini, ahli mistik Kristian St. Francesco dari Assisi dan Hindu Mahatma Gandhi merupakan orang yang lebih beriman kepada Tuhan daripada ramai orang Islam.[71]

Remove ads

Pengaruh kepercayaan dan mazhab lain terhadap fahaman Alevi

Unsur-unsur Sufi

Thumb
Empat Wilayah Rohani dalam Bektasyiyah: syariah, tariqah, haqiqah, dan wilayah keempat, makrifah, yang dianggap "ghaib", sebenarnya adalah pusat wilayah haqiqah. Makrifah ialah intipati keempat-empat wilayah.

Walaupun ia berasaskan Syiah, ia juga meminjam idea-idea tasawuf daripada tradisi Sufi. Contoh, Tuhan dalam fahaman Alevi berasal daripada falsafah Ibnu Arabi, yang mana semuanya adalah pancaran Tuhan—daripada manusia, haiwan, tumbuhan dan batu-batan—dan matlamat hidup adalah untuk kembali bersatu dengan Tuhan, atau al-Haq (Kenyataan, Kebenaran). Dari perspektif tertinggi, semuanya adalah Tuhan. Pengikut Alevi mengagumi al-Hallaj, seorang ahli Sufi abad ke-10 yang dituduh mengeluarkan kata-kata kufur lalu dihukum bunuh di Baghdad kerana berkata, "Aku adalah Kebenaran" (Ana al-Haq).

Terdapat beberapa ketegangan antara tradisi rakyat Alevi dan Tarekat Bektasyi, iaitu tarekat Sufi yang berasaskan kepercayaan Alevi.[72] Dalam sesetengah komuniti Turki, tarekat-tarekat Sufi lain (Halveti-Jerrahi dan beberapa Rifaʽi) telah banyak dipengaruhi fahaman Alevi.

Wahdatulwujud

Tarekat Bektasyi banyak menekankan konsep Wahdatulwujud (وحدة الوجود), iaitu "Kesatuan Wujud" yang dirumuskan oleh Ibnu Arabi. Tarekat ini juga dipengaruhi secara mendalam oleh konsep-konsep Syiah, termasuk penghormatan besar terhadap Ali, Dua Belas Imam, dan sambutan Asyura yang memperingati Pertempuran Karbala. Perayaan lama Parsi, Nowruz, disambut oleh pengikut Bektasyi sebagai hari lahir Imam Ali.

Selaras dengan kepercayaan teras Wahdatulwujud, pengikut Bektasyi melihat realiti terkandung dalam Haqq-Muhammad-Ali, sebagai satu entiti yang bersatu. Namun, mereka tidak menganggap ini sebagai sejenis tritunggal. Banyak amalan dan majlis mereka menunjukkan persamaan dengan agama-agama lain, seperti makan malam ritual (muhabbet) dan pengakuan dosa tahunan kepada seorang baba (مغفرة الذنوب, magfirat-i zunub).

Amalan dan ritual Bektasyi mengikut tafsiran al-Quran dan Sunah Nabi yang tidak ortodoks dan mistik. Mereka tidak memiliki doktrin bertulis yang khusus, jadi peraturan dan upacara boleh berbeza bergantung kepada pengaruh guru yang mendidik mereka. Pengikut Bektasyi umumnya menghormati tokoh-tokoh Sufi di luar tarekat mereka, seperti Ibnu Arabi, al-Ghazali, dan Jalaluddin Rumi, yang dianggap dekat dengan semangat mereka.

Mistisisme

Tarekat Bektasyi bersifat berpelantikan, dan ahli-ahlinya mesti melalui pelbagai peringkat atau darjat dalam perjalanan rohani menuju Realiti. Ahli peringkat pertama dipanggil aşık (عاشق), iaitu mereka yang tertarik kepada tarekat ini tetapi belum dilantik masuk. Selepas dilantik masuk (nasip), seseorang itu menjadi mühip (محب). Selepas beberapa waktu sebagai mühip, dia boleh mengangkat sumpah tambahan dan menjadi seorang darwis.

Peringkat seterusnya selepas darwis ialah baba. Baba (bermaksud bapa) dianggap sebagai ketua sebuah rumah tekke dan layak memberi bimbingan rohani (إرشاد, irsyad). Di atas baba ialah pangkat halife-baba (atau dede, datuk). Mengikut tradisi, terdapat dua belas halife-baba, dengan yang paling senior digelar dedebaba (moyang).

Dedebaba dianggap sebagai autoriti tertinggi dalam Tarekat Bektasyi. Mengikut tradisi, kediaman dedebaba ialah Pir Evi (Rumah Wali) yang terletak di makam Hajji Bektash Wali di bandar Anatolia tengah, Hacıbektaş (Solucakarahüyük).

Unsur-unsur bukan Islam

Alevi banyak dipengaruhi oleh kepercayaan lama Turkik dan kepawangan. Konsep seperti Odjak, peranan yang inklusif dalam masyarakat untuk wanita, persembahan muzik, pelbagai ritual yang meraikan alam atau musim (seperti Hıdırellez), serta adat seperti pemujaan nenek moyang, pokok dan batu, diamalkan dalam Alevi dan juga Tengrisme.[73][74]

Remove ads

Lihat juga

Nota

  1. Turki: Alevilik علويـليك "pengikut Ali"; Bahasa Kurdi: Elewîtî; Azeri: Ələvilik.

Rujukan

Bibliografi

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads