Hestia

From Wikipedia, the free encyclopedia

Hestia
Remove ads

Dalam agama dan mitologi Yunani kuno, Hestia (Yunani: Ἑστία, yang bermaksud "pendiang api" atau "perapian") ialah dewi perapian dan rumah. Dalam mitos, dia anak sulung kepada dua Titan, Kronos dan Rea, dan salah seorang daripada 12 Dewa Olympus.

Fakta Segera Tempat tinggal, Haiwan ...

Dalam mitologi Yunani, semasa Hestia dan empat adik-beradiknya baru dilahirkan, mereka dimakan oleh ayah mereka Kronos, yang takut akan diguling oleh salah seorang anaknya. Hestia adalah sulung. Yang bongsunya Zeus—dibawa lari oleh ibu mereka—dan membuatkan ayah mereka meluahkan semua adik-beradiknya. Kronos digantikan oleh generasi dewa-dewi baru ini; dan Hestia pun menjadi salah seorang dewa Olympus, para pemerintah baru alam semesta, di samping adik-beradiknya. Meskipun statusnya tinggi, Hestia tidak banyak muncul dalam mitologi Yunani. Seperti Athena dan Artemis, Hestia memilih tidak akan berkahwin dan kekal sebagai dewi dara abadi, selamanya menjaga perapian Olympus.

Sebagai dewi api korban, Hestia menerima persembahan pertama pada setiap korban dalam rumah. Dalam suasana awam, perapian prytaneum berfungsi sebagai keramat rasminya. Setiap kali koloni baru ditubuhkan, nyalaan api dari perapian awam Hestia di ibu kota akan dibawa ke penempatan baru itu. Dewi Vesta setara dengannya dalam kepercayaan Rom.

Remove ads

Asal usul dan etimologi

Nama Hestia bermaksud "perapian, pendiang api, mazhab".[1] Ini berasal daripada akar IEP *wes, "bakar" (akhirnya daripada *h₂wes- "huni, bermalam, tinggal").[2][3][4] Oleh itu, ia merujuk kepada oikos: kehidupan rumah tangga, rumah, atau keluarga. Burkert menyatakan bahawa "kuil awalnya ialah rumah perapian; kuil terawal di Dreros dan Prinias di Crete adalah jenis ini seperti kuil Apollo di Delphi yang sentiasa mempunyai hestia di dalamnya".[5] Dewan besar Mykenai (megaron), seperti dewan Odysseus dalam kisah Homer di Ithaca, mempunyai perapian sepusat. Perapian prytaneum Yunani juga kemudiannya menjadi tumpuan agama dan sekular dalam masyarakat dan kerajaan.[6] Oleh itu, nama Hestia menjadikannya personifikasi perapian dan apinya, simbol masyarakat dan keluarga, juga menandakan kuasa dan raja.[7]

Remove ads

Mitologi

Asal usul

Thumb
Hestia memegang dahan pokok suci, cawan "kylix" berfigura merah, dipercayai oleh Oltos, Muzium Negara Tarquinia

Hestia ialah dewi generasi Olympus yang pertama. Dia anak perempuan sulung dua Titan, Rea dan Kronos, dan adik kepada Demeter, Hades, Hera, Poseidon dan Zeus. Betul-betul selepas kelahiran mereka, bermula dengan Hestia, Kronos menelan mereka, tetapi ibu mereka menipu Kronos dan membantu Zeus melarikan diri. Zeus paksa Kronos memuntahkan adik-beradiknya dan memimpin mereka dalam peperangan melawan bapa mereka dan Titan-Titan yang lain.[8] Sebagai "yang pertama dimakan ... dan yang terakhir diluahkan balik", Hestia dua-dua anak yang sulung dan bongsu; penyongsangan mitos ini terdapat dalam Lagu Pujaan Homerik kepada Aphrodite (700 SM).[9]

Zeus menugaskan Hestia untuk memberi makan dan menjaga api perdiangan Olympus dengan lemak yang mudah terbakar daripada binatang korban kepada para dewa.[10] Di mana sahaja makanan dimasak, atau persembahan dibakar, maka dia diberikan penghormatan; di semua kuil para dewa, dia turut mendapat penghormatan. "Dalam kalangan segala manusia, dialah ketua para dewi".[11]

Dewi dara

Dewa Poseidon (saudara Hestia) dan Apollo (anak buah Hestia) jatuh cinta dengan Hestia dan bersaing untuk melamarnya. Namun Hestia tidak inginkan mereka berdua, sebaliknya pergi kepada Zeus dan bersumpah bahawa dia akan kekal dara selama-lamanya dan tidak akan berkahwin. Dalam Lagu-lagu Pujaan Homerik kepada Aphrodite, Aphrodite (dewi asmara dan cinta) "tiada kuasa" terhadap Hestia.[12]

Status dan sifat

Thumb
Hestia (?) pada friz utara Perbendaharaan Siphni, abad ke-6 SM, Muzium Arkeologi Delphi, Yunani.

Menurut Kenneth Dorter,[13] di Athens "pada zaman Plato, ada percanggahan dalam senarai dua belas dewa utama, sama ada Hestia atau Dionysos yang tergolong bersama sebelas dewa yang lain. Mazbah kepada mereka di agora, misalnya, ada Hestia tetapi friz—jalur hiasan di atas pintu gerbang—Parthenon menunjukkan Dionysos." Namun, perapian tidak boleh digerakkan, dan "tidak ada cerita perapian Hestia dialihkan dari kediaman tetapnya."[14] Burkert menyatakan bahawa "Oleh sebab perapian tidak boleh bergerak, Hestia tidak dapat menyertai walaupun perarakan para dewa, apatah lagi telatah dewa-dewi Olympus yang lain."[15]

Pada asalnya, Hestia tidak ditunjukkan dalam gambar-gambar lama tentang pertempuran besar antara para dewa dan kaum Gergasi. Dia perlu tinggal dan menjaga api sementara dewa-dewi lain sibuk.[16] Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bukti bahawa dia mungkin ada menyertai perang itu. Inskripsi pada friz utara Perbendaharaan Siphni di Delphi menunjukkan bahawa salah satu dewi di sebelah Hephaestus boleh menjadi Hestia menurut Brinkmann (1985). Terdapat calon lain juga, seperti Demeter, Persephone, atau dua daripada tiga para Moirai.[17][18]

Hestia, yang dipercayai anak sulung Rea dan Kronos, sering diberikan sedikit persembahan sebelum sebarang korban ("Hestia mesti didahulukan"). Akan tetapi, tradisi ini tidak diikuti oleh semua orang Yunani. Dalam Odysseia 14, 432–436, Eumaeus—seorang pengembala khinzir yang setia—memulakan pesta untuk Odysseus dengan mencarik-carik jambul kepala khinzir dan mencampakkannya ke dalam api sambil berdoa kepada pelbagai dewa, kemudian membahagikan daging khinzir itu kepada tujuh bahagian sama rata: "satu dia ketepikan, merafak doa kepada bidadari-bidadari hutan dan Hermes, anak Maia."[19]

Hestia dikaitkan dengan perapian sebagai objek fizikal, serta idea-idea kemasyarakatan dan hidup rumah tangga. Ini berbeza dengan api yang digunakan dalam pertukangan besi oleh dewa Hephaestus. Tidak ada banyak imej Hestia, dan biasanya ia tidak selalu jelas.[20] Dalam seni Yunani klasik, dia kadang-kadang ditunjukkan sebagai wanita sederhana yang memakai penutup kepala. Dia juga sering digambarkan memegang tongkat atau di tepi api yang besar. Dia duduk di atas pelamin kayu ringkas dengan kusyen bulu yang putih. Haiwan yang sering dikorbankan kepadanya ialah khinzir belaan.[21]

Persamaan

Thumb
Sekeping ukiran batu lama (abad ke-1 SM – ke-1 TM) dari Yunani menunjukkan 12 dewa Olympus berarak dalam satu barisan. Hestia, memegang tongkat, berada di sebelah kiri. Karya ini daripada Muzium Seni Walters.[22]

Hestia setara dengan dewi Rom Vesta.[23] Kedua-duanya mewakili perapian "awam", rumah dan kolonial Rom, menyatukan orang Rom seperti sebuah keluarga. Hubungan antara nama Hestia dan Vesta tidak jelas: "Hubungan antara nama hestia-histie-Vesta tidak dapat dijelaskan dari segi linguistik Indo-Eropah; pinjaman daripada bahasa ketiga juga mesti dilibatkan," menurut Walter Burkert.[24] Herodotos juga membandingkan Hestia dengan dewi lain seperti dewi Scythia, Tabiti.[25] Prokopios pula membandingkannya dengan api suci Majusi (atar) daripada orang Parsi Sasan di Adhur Gushnasp (Takht-e Soleymān).[26]

Sebuah kisah dalam puisi Fasti oleh penyair Rom, Ovidius, yang tidak ditemui dalam mitologi Yunani menceritakan tentang seorang dewi bernama Vesta yang hampir diperkosa semasa tidur oleh dewa bernama Priapus. Walau bagaimanapun, seekor keldai mengejutkan Vesta, dan dewa-dewa lain datang untuk menyelamatkan Vesta. Kisah ini serupa dengan mitos lain dalam buku yang sama, yang mana seorang wanita bernama Lotis bertukar menjadi pokok teratai untuk melarikan diri daripada Priapus. Sesetengah sarjana berpendapat kisah Vesta menggantikan Lotis dicipta untuk menambahkan drama dalam amalan pemujaan mereka.[27]

Remove ads

Pemujaan

Thumb
Sebahagian daripada mazbah marmar dengan tulisan ESTIAS ISTHMIAS, abad ke-5–4 SM. Mezbah ini dikhaskan untuk dewi Hestia dengan julukan Isthmia ("dari tanah genting". Muzium Arkeologi Paros.

Hestia dipuja dengan kaitan denggan perapian, di rumah dan awam. Perapian adalah penting untuk kehangatan, penyediaan makanan, dan penyempurnaan korban kepada dewa-dewa. Di pesta kenduri, Hestia dipuja dengan mencurahkan wain yang pertama dan terakhir dituangkan.[28] Pausanias menulis bahawa orang negeri Elis memberi korban kepada Hestia dahulu sebelum dewa-dewa lain.[29] Xenophon dalam Cyropaedia menulis bahawa Cyrus Agung memberi korban kepada Hestia dahulu, kemudian kepada Zeus, dan kemudian kepada mana-mana dewa lain yang dicadangkan oleh orang majus.[30]

Pemadaman perapian rumah secara tidak sengaja atau cuai dianggap sebagai gagal menjaga kewajipan rumah tangga dan agama terhadap keluarga, serta kegagalan menjaga api awam Hestia di kuil atau keramat dia adalah pengabaian tanggungjawab kepada masyarakat. Walaupun perapian boleh dipadamkan dengan sengaja atas sebab-sebab tertentu, menyalakannya semula memerlukan upacara penyiapan, penyucian, dan pembaharuan. Hal ini serupa dengan upacara dan konotasi api-api abadi dan lampu tempat kudus. Di negara kota Yunani, perapian koloni dan bandar utama mereka dihubungkan dan diberkati melalui pemujaan Hestia. Athenaeus, dalam Deipnosophistae, menceritakan bagaimana orang ramai di Naucratis berkumpul di Prytaneion untuk meraikan hari lahir Hestia Prytanitis.[31]

Thumb
Dedikasi mazbah kepada Hestia di Karneades, Taormina (tanpa tarikh). Ia bertulis: "Di samping dinding Serapis ini, penjaga kuil Karneades dari Barke, anak lelaki Eukritos, hai orang asing, dan isterinya Pythias dan anak perempuannya Eraso menempatkan kepada Hestia sebuah mazbah yang murni, sebagai ganjaran untuk ini, wahai engkau yang mentadbir kediaman Zeus yang mengagumkan, kurniakanlah kepada mereka keberuntungan hidup yang indah."

Tanggungjawab memuja Hestia di rumah biasanya jatuh kepada wanita yang paling penting dalam keluarga, tetapi kadang-kadang lelaki juga melakukannya. Di bangunan awam, upacara untuk Hestia diketuai oleh pegawai kerajaan. Terdapat tempat khas yang dipanggil prytaneum yang didedikasikan untuk Hestia di negeri-negeri Yunani, dan pegawai penting akan melayan Hestia di sana.[32] Akan tetapi, tidak banyak bukti adanya kumpulan pendeta khas untuk Hestia. Namun, semasa awal zaman Empayar Rom, ada beberapa contoh pendeta wanita yang bergelar "Hestia" di tempat-tempat seperti Sparta dan Chalcis. Penyembahan Hestia di bandar-bandar kemungkinan besar mempengaruhi pemujaan pemerintah Yunani dan maharaja Rom. Di Athens, terdapat bahagian di Teater Dionysos yang dikhaskan untuk pendeta-pendeta "Hestia di Akropolis, Livia, dan Julia", dan "Hestia Romain" ("Hestia Rom", jadinya "Perapian Rom" atau Vesta). Di Delos, seorang pendeta berkhidmat kepada Hestia "Demos (rakyat atau negeri) Athens" dan "Roma (personifikasi Rom)". Di bandar Stratoniceia di Caria, seorang warga terkemuka memanggil dirinya pendeta Hestia dan beberapa dewa lain, serta memegang beberapa jawatan awam. Hestia diberi penghormatan dengan banyak dedikasi peribadi di tempat-tempat awam, menunjukkan kepentingannya dalam hal politik dan tatarakyat.[33]

Keramat, kuil dan koloni

Thumb
Hestia dari kaki bukit timur Parthenon, pertengahan abad ke-5 SM, Muzium British.

Setiap perapian rumah dan tempat awam dipercayai tempat suci untuk dewi Hestia, dan sebahagian daripada persembahan yang dibuat kepada mana-mana dewa adalah untuknya. Dalam Mengenai Kedutaan oleh Aeschines, beliau menyatakan, "perapian Prytaneum dilihat sebagai tempat suci umum seluruh negeri, dan patung Hestia berada di situ, dan di dalam dewan senat adanya mazbah untuk dewi tersebut."[34] Di Efesus, terdapat sebuah kuil yang didedikasikan untuk Hestia "kesenatan"—Hestia Boulaea. Pausanias mencatatkan terdapat sebuah patung Hestia di Prytaneum Athens, bersama-sama patung dewi Eirene ("Keamanan").[35] Hestia memberikan perlindungan kepada mereka yang menghormatinya dan menghukum mereka yang menghinanya. Diodorus Siculus menulis bahawa Theramenes pernah memohon perlindungan di Dewan Majlis dengan melompat ke dalam perapian Hestia untuk menunjukkan dia tidak bersalah.[36]

Tidak banyak kuil dibina khas untuk Hestia. Terdapat satu di Hermione dahulu dan satu di Sparta menurut Pausanias, tetapi yang di Sparta hanya mempunyai mazbah tanpa patung.[37] Xenophon menulis dalam Hellenica tentang pertempuran yang berlaku di sekitar dan di dalam kuil Hestia di Olympia, bangunan berasingan daripada dewan majlis bandar dan panggungnya.[38] Terdapat juga sebuah kuil yang didedikasikan untuk Hestia di Andros.[39]

Orang yang ingin menubuhkan bandar dan penempatan baru akan meminta kebenaran dan nasihat bukan sahaja daripada "kota ibu" mereka (diwakili oleh Hestia), tetapi juga Apollo, melalui seorang takahun atau ahli nujum Apollo. Apollo dianggap sebagai dewa pengasas di Delphi dan mempunyai banyak peranan, seperti dewa koloni, seni bina, perlembagaan dan reka bentuk bandar. Dewa penaung lain juga boleh diminta untuk membantu penempatan baru itu, tetapi tanpa Hestia, perapian sucinya, dataran awam (agora), dan bangunan kerajaan (prytaneum), bandar (polis) itu tidak akan wujud.[40]

Lagu pujaan, oda dan sumpah

Lagu Pujaan 24, Kepada Hestia, ialah sebuah doa dengan lima baris, menyebutkan peranan Hestia sebagai pengiring Apollo:

Hestia, engkau yang menjaga rumah suci dewa Apollo, Penembak Jauh di Pytho yang baik, dengan minyak lembut yang menitis daripada gelung rambutmu, masuklah sekarang ke dalam rumah ini, datanglah, sebulat suara dengan Zeus yang maha bijaksana: mendekatlah, dan dengan serta-merta limpahkan rahmat dengan lagu saya.[41]

Lagu Pujaan 29, Kepada Hestia menyeru Hestia dan Hermes:

Hestia, di tempat kediaman yang tinggi semua, baik tuhan yang tidak mati dan manusia yang berjalan di bumi, engkau telah memperoleh tempat tinggal yang kekal dan kehormatan tertinggi: mulianya habuanmu dan hakmu. Kerana tanpamu manusia tidak mengadakan perjamuan, – di mana orang tidak menuang wain manis dengan sewajarnya untuk menyembah Hestia baik yang pertama dan yang terakhir. Dan engkau, pembunuh Argus (julukan Hermes), Anak Zeus dan Maia, utusan dewa-dewa yang diberkati, pembawa batang emas, pemberi kebaikan, bermurah hatilah dan tolonglah kami, engkau dan Hestia, yang penuh sembahan dan penyayang. Datang dan tinggallah di rumah yang mulia ini dalam persahabatan; kerana engkau berdua, tahu akan tindakan mulia manusia, membantu kebijaksanaan dan kekuatan mereka. Salam, Puteri Kronos, dan engkau juga, Hermes, pembawa batang emas! Sekarang aku akan mengingatimu dan lagu lain juga.[42]

Bacchylides Oda 14b, Untuk Aristoteles dari Larisa:

Thumb
Hestia penuh Berkat, Mesir, dewangga abad ke-6, (Koleksi Dumbarton Oaks)

Hestia bertakhta emas (Ἐστία χρυσόθρον᾽), engkau yang menambahkan kemakmuran besar Agathocleadae yang kaya, duduk di tengah-tengah jalanan bandar berhampiran sungai Peneius yang harum di lembah Thessaly yang menggembala biri-biri. Dari sana Aristoteles datang ke Cirrha yang berkembang pesat, dan dua kali dinobatkan, untuk kemuliaan Larisa yang menguasai kuda ... (Selebih oda ini sudah musnah[43]

Lagu Pujaan Orpheus 84 dan Oda Nemea ke-11 oleh Pindar ditujukan kepada Hestia.[44][45]

Dalam satu sumpah tentera yang ditemui di Acharnai, dari Tempat Suci Ares dan Athena Areia, bertarikh 350–325 SM, Hestia diseru, antara yang lain, untuk menjadi saksi.[46][47]

Dewangga Hestia

Dewangga Hestia ialah sejenis dewangga yang dibuat di Mesir pada abad ke-6 Masihi. Ia gambaran unik dan luar biasa untuk Hestia, yang dikenali sebagai Hestia Polyolbos (Yunani: Ἑστία Πολύολβος) yang bermaksud "Hestia penuh Berkat" dalam bahasa Yunani. Latar belakang dan maknanya dibincangkan dalam karya Friedlander dari 1945.[48]

Remove ads

Salasilah

Nota

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads