Kinmen
kepulauan kecil di Wilayah Fujian, Republik China From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Kinmen atau Quemoy, merupakan sebuah jajahan Republik China (Taiwan) yang terletak di Selat Taiwan antara pulau Taiwan dan tanah besar China. Pulau terbesar Jajahan Kinmen ialah Pulau Kinmen. Kinmen terletak 10 kilometer (6.2 bt) ke sebelah timur Xiamen, sebuah bandar yang terletak di pantai tenggara China; dua wilayah tersebut dipisahkan oleh sebuah teluk kecil. Kinmen terletak 187 kilometer (116 bt) ke barat dari bahagian terdekat pulau Taiwan.
Kedudukan Kinmen di Selat Taiwan menjadikannya medan perang dalam Perang Dingin. Pada bulan Ogos 1958, Kinmen diserbu oleh Komunis China dalam Krisis Selat Taiwan Kedua, maka didirikan sekatan perjalanan antara Kinmen dan pulau utama Taiwan yang kekal hingga tahun 1994. Perkhidmatan feri ke Xiamen ditubuhkan pada Januari 2001. [2]
Kinmen County terdiri daripada Kepulauan Kinmen (termasuk Kinmen dan Lieyu) dan Kepulauan Wuqiu (Ockseu), yang terletak lebih dari 110 kilometer (68 bt) ke timur laut. Kinmen adalah salah satu daripada dua daerah yang menganggotai bekas Wilayah Fujian Republik China yang kini sudah dibubarkan, dan yang satu lagi ialah Lienchiang (Matsu).
Republik Rakyat China menuntut Kinmen sebagai sebahagian daripada Wilayah Fujian dan menganggap Wuqiu sebagai wilayah yang berasingan (tetapi juga dituntut sebagai sebahagian wilayah Fujian). Taiwan pula menuntut Kepulauan Dadeng (Tateng) yang ditadbir oleh RRC sebagai sebahagian daripada Kinmen.
Remove ads
Nama
Kinmen (金門) bermaksud 'gerbang emas'. Nama ini pertama kali dicatat pada tahun 1387 ketika Maharaja Hongwu melantik Zhou Dexing untuk mentadbir pulau itu dan melindunginya dari serangan lanun.[3] Ejaan "Kinmen" merupakan sistem "romanisasi pos" yang pernah digunakan oleh warga asing pada zaman lampau,[4] sebagai variasi daripada sistem Nanking Syllabary yang dicipta oleh Herbert Giles pada tahun 1892[5] dan diterima guna oleh perkhidmatan Pos Diraja China yang menganggotai Perkhidmatan Kastam Maritim China yang diketuai oleh orang Ireland bernama Robert Hart. Ia berdasarkan sebutan dalam dialek Mandarin Selatan, atau Jianghuai, yang dituturkan secara umum di wilayah Jiangsu dan Anhui, termasuklah kota Nanjing. Kementerian Luar Negeri Taiwan menggunakan "Kinmen," [6] sementara Lembaga Nama Geografi Amerika Syarikat menggunakan "Pulau Kinmen."
Quemoy, disebut /kɪˈmɔɪ/, ialah nama untuk pulau itu dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.[7] Mungkin berasal dari transkripsi bahasa Sepanyol atau Portugis dari sebutan loghat Hokkien Zhangzhou iaitu Kim-mûi. Inilah ejaan yang paling biasa digunakan dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, usaha-usaha menangani Krisis Selat Taiwan Pertama dan Kedua ("the Quemoy Incident"[8]) dan perdebatan pilihan raya presiden AS 1960 ketika pulau-pulau mendapat liputan berita terkemuka di seluruh dunia semuanya menggunakan kata Quemoy. Tambahan pula, bekas Institut Teknologi Nasional Kinmen ditukar nama kepada Universiti Quemoy Nasional pada tahun 2010. Cendekiawan Kinmen, Wei Jian-feng menyokong penggunaan kata Quemoy untuk merapatkan lagi pulau ini dengan masyarakat antarabangsa atau menaikkan martabatnya di mata dunia.[9]
Jinmen ialah namanya dalam sistem ejaan Tongyong Pinyin dan Hanyu Pinyin.[10] Hanyu Pinyin merupakan piawaian antarabangsa untuk mentransliterasi bahasa Cina[11] yang diterima pakai oleh pemerintah Taiwan pada tahun 2009.[12] Kimoi ialah ejaan berdasarkan bahasa Hokkien yang juga digunakan dalam sistem romanisasi pos.[13][14] Chin-men pula ejaannya dalam sistem Wade–Giles.
Remove ads
Sejarah

Sejarah awal
Kinmen telah didiami manusia sejak 5800 hingga 8000 tahun yang lalu. Semasa pemerintahan Maharaja Yuan (317 M), negara China diancam oleh "Lima Gasar", menyebabkan enam keluarga besar melarikan diri ke selatan lalu menetap di kawasan Kinmen yang ketika itu dipanggil Wuzhou.[15] Lebih ramai orang menetap di sana semasa dinasti Tang, ketika namanya ditukar dari Wuzhou menjadi Kinmen.[16]
Semasa dinasti Ming, Kinmen didatangai ramai lagi migran. Koxinga menggunakan Kinmen sebagai pangkalan untuk membebaskan Kinmen dan Penghu dari Belanda. Beliau menebang pokok untuk membina tentera lautnya, mengakibatkan penebangan hutan secara besar-besaran yang membuat Kinmen terdedah kepada hakisan tanah.[16]

Setelah negara China diambil alih oleh Manchu, Putera Lu, seorang anggota kerabat dinasti Ming Selatan, mengetuai barisan pertahanan menentang serangan angkatan dinasti Qing. Pada tahun 1651, beliau melarikan diri ke Kinmen yang diambil oleh dinasti Qing pada tahun 1663.[17] Di bawah Dinasti Qing, wilayah Kinmen tergolong dalam Jajahan Tong'an.[18][19]
Republik China
Setelah penubuhan Republik China (ROC) pada tahun 1912, Kinmen menjadi sebahagian dari Wilayah Fujian. Pada tahun 1913, kawasan Kinmen dijadikan sebahagian dari Jajahan Siming.[19] Jajahan Kinmen ditubuhkan pada tahun 1914.[20] Pada tahun 1928, daerah ini berada di bawah tadbiran langsung kerajaan wilayah.
Jepun menduduki Jajahan Kinmen semasa Perang China-Jepun Kedua dari tahun 1937 hingga 1945. Dalam tempoh ini, pentadbiran jajahan dipindahkan ke Dadeng.[18]
Setelah penubuhan Republik Rakyat China (RRC) oleh Komunis China pada Oktober 1949, Jajahan Kinmen dituntut oleh Nasionalis dan Komunis. Dadeng, Xiaodeng dan Jiaoyu diambil alih oleh Komunis pada 9 Oktober[20] atau 15 Oktober[21] 1949. Pulau-pulau tersebut dituntut oleh ROC,[22] dan semuanya tergolong dalam Mukim Dadeng, Daerah Xiang'an, Xiamen, Fujian, China. [23] [24]
Pada 25 Oktober 1949, angkatan Tentera Pembebasan Rakyat mendarat di Pulau Kinmen berhampiran Guningtou, mencetuskan Pertempuran Guningtou. Pasukan ROC berjaya mempertahankan pulau itu dan mencegah serangan ke atas Taiwan.
Semasa meletusnya Perang Korea pada tahun 1950, Laksamana Bersara Charles M. Cooke Jr. selaku penasihat Presiden Chiang Kai-shek, membantah pengunduran pasukan ROC dari Quemoy (Kinmen).[25] Pada 26 Julai 1950, pasukan ROC di Pulau Dadan (Tatan), dengan jumlah keseluruhan 298 tentera, menangkis serangan dari pasukan Tentera Pembebasan Rakyat berjumlah 700 orang askar yang mendarat di pulau itu.[26] :11, 19–20 Jeneral Douglas MacArthur dan pegawai AS yang lain menyokong usaha ROC untuk mempertahankan pulau-pulau tersebut. [27]

Tentera Pembebasan Rakyat secara besar-besaran membedil pulau itu semasa krisis Selat Taiwan Pertama dan Kedua masing-masing pada tahun 1954-1955 dan 1958. Pada tahun 1954, Amerika Syarikat mempertimbangkan untuk bertindak balas dengan menggunakan senjata nuklear terhadap RRC.[28] Sekali lagi pada tahun 1958, Jeneral Nathan Farragut Twining dan Ketua Turus Bersama percaya bahawa Amerika Syarikat tidak boleh membiarkan pulau-pulau itu jatuh ke tangan komunis dan mengesyorkan kepada Presiden Eisenhower penggunaan kekuatan apa pun yang diperlukan, termasuk senjata atom.[29]
Ungkapan "Quemoy dan Matsu" menjadi perbualan hangat pada pilihan raya presiden AS tahun 1960. Semasa perbahasan, kedua-dua calon, iaitu Naib Presiden Richard Nixon dan Senator John F. Kennedy, berjanji untuk mengerah tentera Amerika jika perlu untuk melindungi Taiwan dari pencerobohan RRC yang tidak diakui oleh Amerika Syarikat sebagai kerajaan China yang sah. Tetapi dalam perbahasan kedua pada 7 Oktober 1960, kedua-dua calon mengemukakan pendapat yang berbeza mengenai sama ada hendak menggunakan pasukan Amerika untuk melindungi barisan pertahanan hadapan Taiwan, iaitu Quemoy dan Matsu. Senator Kennedy menyatakan bahawa pulau-pulau yang terletak sejauh 9 kilometer (5.5 mi) dari pantai China dan sejauh 170 kilometer (106 mi) dari Taiwan itu, tidak dapat dipertahankan secara strategik dan tidak penting untuk pertahanan Taiwan. Naib Presiden Nixon berpegang pada prinsip bahawa Quemoy dan Matsu berada di "zon kebebasan" dan oleh itu tidak boleh diserahkan kepada Komunis.[30]

Selepas perbahasan ketiga pada 13 Oktober 1960, penasihat Kennedy memberitahu Setiausaha Negara Herter bahawa Kennedy bersedia untuk mengkaji semula pendirian beliau dalam isu Quemoy dan Matsu agar tidak memberikan tanggapan kepada Komunis bahawa AS tidak akan bersatu menentang pencerobohan. Nixon membidas perubahan pendirian Kennedy tetapi tidak mendesak kerana pentingnya peranan AS dalam situasi yang sangat tegang.[31] Tinjauan yang dilakukan di kalangan Republikan dan Demokrat mendapati sokongan luar biasa terhadap pendirian Nixon dalam isu tersebut.[32]
Kinmen pada awalnya merupakan tentera simpanan, yang akhirnya membawa kepada insiden pembunuhan beramai-ramai Lieyu 1987.[33] Pada pertengahan 1990-an, pulau ini dikembalikan kepada pemerintahan awam yang membenarkan perjalanan keluar masuk. Perjalanan langsung antara tanah besar China dan Kinmen dibuka kembali pada bulan Januari 2001 menerusi "Tiga Laluan Kecil" (小三通), malah industri pelancongan turut dibangunkan untuk menyambut pelawat dari tanah besar.[34]
Ramai usahawan Taiwan menggunakan laluan melalui Kinmen untuk memasuki tanah besar China kerana ia lebih murah dan mudah daripada Hong Kong. Namun, ini berubah setelah kunjungan Pan-Blue (Kuomintang dan parti-parti sehaluan) ke tanah besar China tahun 2005, dan kemenangan KMT di pilihan raya presiden dan perundangan tahun 2008, yang mengeratkan hubungan rentas selat. Kinmen mengalami ledakan ekonomi yang cukup besar ketika para usahawan berpindah ke pulau untuk akses yang lebih mudah ke pasaran RRC yang luas.
Pada 30 Jun 2014, Pulau Dadan dan Pulau Erdan diserahkan dari pemerintahan tentera kepada awam yang diwakili oleh Pemerintahan Jajahan Kinmen.[35] Sejak 1 Januari 2015, pelancong dari Tanah Besar China dapat terus memohon Permit Keluar Masuk sebaik tiba di Kinmen. Keistimewaan ini juga berlaku untuk Kepulauan Penghu dan Matsu sebagai sarana untuk meningkatkan pelancongan di pulau-pulau terpencil Taiwan.[36]
Pada 23 Ogos 2019, ulang tahun keenam puluh satu permulaan Krisis Selat Taiwan Kedua, Presiden Tsai Ing-wen mengunjungi Tokong Berani Mati Taiwushan (太武山忠烈祠).[37]
Remove ads
Geografi

Jajahan ini terdiri daripada banyak pulau dan anak pulau[38][39][19][40] termasuk:
- Kelompok Kinmen [41]
- Kinmen (Kinmen Besar, Pulau Utama Kinmen; 大金門, 金門本島) (pulau utama; terbahagi kepada empat mukim pekan)
- Pulau Dongding (Tangtia, Tungting; 東碇島, 東椗島) (di Pekan Jinhu; kira-kira 35 km (22 bt) ke barat daya)
- Pulau Beiding (北碇島) (di Pekan Jinhu; kira-kira 4 km (2.5 bt) ke timur)
- Anak Pulau Cao (Hsu Ts'ao; 草嶼) (di Pekan Jinsha) 24.523335°N 118.437021°E
- Anak Pulau Hou (后嶼) (di Pekan Jinsha) 24.529171°N 118.41233°E
- Anak Pulau Jiangong (建功嶼) (di Pekan Jincheng)
- Kinmen Kecil (Hsiao Kinmen, Lieyu; 小金門, 烈嶼) (pulau kedua terbesar di bawah kawalan ROC; di Desa Lieyu)
- Pulau Dadan (大膽島) (di Desa Lieyu)
- Pulau Erdan (二膽島) (di Desa Lieyu)
- Anak Pulau Fuxing (Fuhsing; Phaktia; 復興嶼) (di Desa Lieyu)
- Anak Pulau Menghu (Pulau Harimau; 猛虎嶼) (di Desa Lieyu)
- Anak Pulau Shi (Pulau Singa) (獅嶼) (di Desa Lieyu)
- Anak Pulau Binlang (檳榔嶼) (di Desa Lieyu)
- Dadeng (Tateng[42][43]) (大嶝[22][1][44] /大嶝島 ) (dikuasai RRC sejak 9 Oktober[20] atau 15 Oktober 1949; [21] di bawah Mukim Dadeng, Daerah Xiang'an, Xiamen, Fujian[23][24])
- Xiaodeng (Hsiaoteng,[45] Siao Deng[46]) (小嶝/小嶝島) (dikuasai RRC sejak 9 Oktober atau 15 Oktober 1949; di bawah Mukim Dadeng, Daerah Xiang'an, Xiamen, Fujian[23][24])
- Jiaoyu[47]/Jiao Yu (Chiao I., [48]角嶼) (dikuasai RRC sejak 9 Oktober atau 15 Oktober 1949; di bawah Mukim Dadeng, Daerah Xiang'an, Xiamen, Fujian[23][24])
- Kelompok Wuqiu (Ockseu, Wuchiu; 烏坵)
- Daqiu (Tachiu, Taciou; 大坵) (di Desa Wuqiu)
- Xiaoqiu (Hsiaochiu; 小坵) (di Desa Wuqiu)
Demografi
Kebudayaan
Orang-orang Kinmen menganggap diri mereka sebagai orang Kinmen, Mínnánrén / Mǐnnánrén (orang-orang Fujian Selatan), atau warga China, bukan orang Taiwan.[8][49] Identiti China yang kuat terbina sepanjang tempoh konfrontasi ketenteraan antara ROC dan Republik Rakyat China (1949-1992) ketika Kinmen berada di bawah pemerintahan tentera. Pada tahun 1980-an, ketika pemerintahan tentera berakhir di Taiwan, gerakan kemerdekaan Taiwan dan usaha-usaha "penyahcinaan" semakin giat di Taiwan. Perkembangan ini merisaukan penduduk Kinmen kerana dirasakan bahawa "Taiwan jauh dari hati Kinmen." Ramai yang bimbang bahawa kemerdekaan Taiwan secara de jure dari China akan memutuskan hubungan mereka dengan Kinmen. Kebimbangan ini juga memainkan peranan penting dalam politik masyarakat Kinmen.
Bahasa
Sebilangan besar penduduk jajahan bercakap bahasa Hokkien, terutamanya loghat Quanzhou, yang cukup serupa dengan bahasa Hokkien yang dituturkan di Taiwan. Penduduk Mukim Desa Wuchiu bercakap loghat Min Puxian.
Lain-lain
Kinmen terkenal dengan warisan budaya. Oleh sebab bedilan berterusan oleh Tentera Pembebasan Rakyat pada tahun 1950-an, Kinmen terkenal dengan pisau peluru artileri, iaitu pisau bermutu tinggi yang dibuat oleh tukang-tukang tempatan daripada sisa alat letupan, yang menjadi buruan tukang masak dan penggemar. Dari Kinmen juga berasalnya minuman keras "Kinmen Kaoliang" yang mengandungi 38 hingga 63 peratus alkohol, yang sangat dihargai oleh orang Taiwan. Makanan istimewa tempatan yang lain termasuk misoa, kacang tumbuk, dan daging lembu salai (bakkwa).
Seperti di Kepulauan Ryukyu, Kinmen terkenal dengan patung shisa (dewa singa angin) (風獅爺).
Remove ads
Ekonomi
Ekonomi Kinmen amat berdasarkan pelancongan dan perkhidmatan kerana letaknya hampir dengan tanah besar China.[50][51]
Pelancongan
Disebabkan peranannya sebagai pangkalan tentera, pembangunan ekonomi di pulau ini sangat terhad. Pada tahun 2003 barulah Kinmen terbuka kepada pelancong dari Fujian di Tanah Besar China.[52] Kini, ia menjadi destinasi pelancongan hujung minggu yang popular bagi orang Taiwan yang terkenal dengan perkampungan yang tenteram, seni bina gaya lama dan pantai-pantainya. Kinmen menjadi tempat persinggahan pelancong antara Tanah Besar China dan Taiwan, di mana pelancong China dan Taiwan menghabiskan waktu singkat untuk menjelajahi pulau tatkala membuat pertukaran antara feri dan lapangan terbang. Sebahagian besar Kinmen dijadikan Taman Negara Kinmen yang mengemukakan kubu-kubu dan binaan ketenteraan, kediaman bersejarah dan pemandangan semula jadi.
Industri
Kinmen terkenal dengan pengeluaran arak Kaoliang yang mengambil sekitar 75% pasaran arak Taiwan dan menjadi tunjang utama ekonomi jajahan. Industri tradisional juga dipelihara dan diperbaiki, baik pertanian, perikanan mahupun penternakan. Kinmen memiliki industri perikanan yang baik juga kerana dikelilingi oleh laut yang tidak tercemar.
Di Kinmen juga terhasilnya pisau Kinmen yang unik, diperbuat daripada sisa peluru tembakan dari Tentera Pembebasan Rakyat pada tahun 1958-1978. Pisau ini pernah dijadikan hadiah kepada Ketua Jabatan Hal Ehwal Taiwan, Zhang Zhijun yang melawat Kinmen pada 23-24 Mei 2015 untuk melambangkan pembaikan hubungan antara kedua-dua belah Selat Taiwan semenjak Perang Saudara China.[53][54]
Remove ads
Pentadbiran
Mukim

Jajahan Kinmen terbahagi kepada tiga mukim pekan dan tiga mukim desa.[55] Pekan Jincheng ialah pusat pentadbiran jajahan yang menempatkan Kerajaan Jajahan Kinmen, Majlis Jajahan Kinmen, dan ibu pejabat Pusat Perkhidmatan Bersama Kinmen-Matsu. Jajahan Kinmen County mempunyai mukim desa paling sedikit di kalangan semua jajahan di Taiwan.
Kesemua mukim di Pulau Kinmen Besar bermula dengan Jin ("emas"). Desa Lieyu merangkumi seluruh Pulau Kinmen Kecil, dan merupakan yang paling dekat dengan Xiamen. Desa Wuqiu terdiri daripada Anak Pulau Qiu Besar (大坵) dan Qiu Kecil (小坵).
Mukim terbesar di Jincheng dan Jinsha. Secara keseluruhan, terdapat 37 kampung di Jajahan Kinmen.
Hubungan rentas selat
Dalam kontroversi mengenai status politik Taiwan, Republik Rakyat China (RRC) secara terus menerus menuntut wilayah Jajahan Kinmen sebagai sebuah daerah di bandaraya Quanzhou dalam Wilayah Fujian.[58][59][20][60] RRC menuntut Kepulauan Wuqiu sebagai sebahagian daripada Daerah Xiuyu di bandaraya Putian.[61] Taiwan (Republik China) menuntut Kepulauan Dadeng (Tateng) di Mukim Dadeng, Daerah Xiang'an, Xiamen, Fujian sebagai bagian dari Jajahan Kinmen.[1][62][40]
Remove ads
Galeri
- Barisan pancang anti pendaratan di Lieyu berhampiran Anak Pulau Shi, dengan Xiamen (Amoy) di latar belakang
- Kediaman bersejarah Shuitou (水頭古厝)
- Tokong Daitianfu (代天府) di Jincheng
Catatan
- Angka keluasan tidak termasuk Kepulauan Dadeng (Tateng).
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
