Planetarium Melaka

Bangunan planetarium kedua di negeri Melaka From Wikipedia, the free encyclopedia

Planetarium Melaka
Remove ads

Planetarium Melaka (nama rasmi: Melaka Planetarium Adventure Science Centre) ialah sebuah bangunan planetarium yang terletak di dalam kawasan perdagangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 10 Ogos 2009 dan ia merupakan planetarium kedua dibuka di Melaka selepas Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Masjid Tanah[1].

Fakta Segera Maklumat umum, Status ...

Bangunan ini menampilkan seni bina Islam serta mencatatkan sejarah tersendiri apabila Planetarium Melaka merupakan satu-satunya bangunan yang dibina di atas bulatan jalan raya[2], di mana ia terletak di atas Bulatan MITC dengan keluasan tanah sebanyak 0.7 hektar. Kos pembinaan bangunan ini dianggarkan sebanyak RM20 juta[3] dan terdiri daripada tiga tingkat serta memiliki kubah bersaiz 15 meter[2]. Di dalamnya, terdapat pameran sains yang dibahagikan kepada empat seksyen iaitu astronomi, angkasa lepas, simulasi dan fizik[2].

Pada bulan November 2018, hujan lebat yang berlaku telah mengakibatkan struktur kubah runtuh dan merobohkan sebahagian daripada bumbung dan siling serta merosakkan bahan pameran di bahagian belakang[4]. Pada tahun 2019, Planetarium Melaka disahkan sebagai tidak selamat untuk digunakan selepas laporan forensik dikeluarkan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mendapati beberapa struktur sokongan pada bangunan tidak kukuh dan berbahaya untuk orang awam dan pekerja bangunan[3].

Kerajaan Melaka kemudian merancang untuk melakukan naik taraf ke atas bangunan Planetarium Melaka ini sebagai Pusat Setempat Pelancongan Melaka pada tahun 2020[5][6]. Namun begitu, setakat tahun 2023, projek naik taraf ini dikategorikan sebagai "projek terbengkalai"[7] dan Planetarium Melaka kekal tidak beroperasi.


Remove ads

Sejarah

Majlis pecah tanah Projek Planetarium Melaka telah diadakan pada bulan September 2007 dan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka yang berjumlah kira-kira RM19.9 juta[8]. Bangunan Planetarium Melaka ini direka oleh LCH Architect[9] serta mampu memuatkan sehingga 210 orang pada satu-satu masa[8].

Pada 10 Ogos 2009, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam telah merasmikan pembukaan Planetarium Melaka. Ia merupakan bangunan planetarium kedua yang dibina di Melaka selepas Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Masjid Tanah[1].


Remove ads

Seni bina

Planetarium tiga tingkat ini dibangunkan dengan seni bina Islam dan sebuah kubah bersaiz 15 meter diatasnya.[10] Ia dibina dengan pebelanjaan sebanyak RM20 juta di kawasan seluas 0.7 hektar. Ia juga terdiri daripada empat bahagian iaitu ilmu falak, angkasa lepas, pensimulasian dan fizik.[10]


Pameran

Thumb
Ruang pameran utama.

Pameran di Planetarium Melaka menampilkan ruang kosmos, sejarah ilmu dan ahli astronomi serta beberapa tarikan yang lain. Ia juga memiliki ruang teater berkubah terbesar di Malaysia[11].

Terdapat kesalahan fakta yang dipamerkan di Planetarium Melaka apabila Pluto diletakkan dalam salah satu daripada planet dalam Sistem Suria[12], walaupun ia telah diklasifikasi semula sebagai planet kerdil pada tahun 2006[13].

Pada tahun 2010, Planetarium Melaka menganjurkan Pameran Angkasa Lepas 2010 dengan kerjasama daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Kerajaan Negeri Melaka[14].


Penutupan operasi

Thumb
Bahagian depan bangunan Planetarium Melaka yang telah lama dikosongkan.

Pada bulan November 2018, struktur dinding bersaiz 5x7 meter persegi[12] pada bahagian kubah tiba-tiba runtuh dan menghempap bahagian siling kapur[15] dan bumbung yang terdapat di bahagian bawah kesan daripada hujan lebat yang berlaku pada ketika itu[16]. Semasa kejadian ini berlaku, waktu operasi Planetarium Melaka masih lagi dibuka kepada orang ramai[15] namun hanya terdapat seramai tujuh orang pekerja sahaja berada di dalam bangunan dan mereka dilaporkan selamat[17]. Akibat kejadian ini, pengurusan Planetarium Melaka menutup bangunan planetarium buat sementara waktu[16] bagi memberi laluan kepada siasatan forensik yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR)[17]. Beberapa hari selepas insiden runtuhan dinding, Kerajaan Negeri Melaka menyatakan bahawa keadaan beberapa struktur dinding yang berada di tingkat satu didapati tidak selamat untuk digunakan[12].

Pada bulan Januari 2019, bangunan Planetarium Melaka telah disahkan sebagai tidak selamat untuk digunakan hasil daripada dapatan kajian forensik yang dijalankan oleh JKR[18]. Faktor yang menyebabkan bangunan ini tidak selamat adalah disebabkan oleh beberapa struktur sokongan yang didapati tidak kukuh[18] serta membahayakan keselamatan kepada pengunjung dan pekerja bangunan[19]. Walaupun begitu, Kerajaan Negeri Melaka tidak berhasrat untuk merobohkan bangunan ini, sebaliknya merancang untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan memberi nafas baharu terhadap fungsi bangunan ini[20]. Projek pembangunan semula Planetarium Melaka bakal membangunkan pusat informasi pelancongan[5] dikenali sebagai "Galaxy World" dan kos pembangunan dijangka mencecah sehingga RM250 juta[20], di bawah satu perjanjian penswastaan[21]. Pada ketika ini, pejabat pengurusan Planetarium Melaka dipindahkan ke ruang sementara yang terletak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh[19].

Pada bulan Januari 2020, Kerajaan Negeri Melaka telah mengesahkan bahawa projek pembangunan semula Planetarium Melaka akan mula berjalan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2020[22]. Projek ini melibatkan pembinaan sebuah bangunan tiga tingkat yang baharu, namun masih mengekalkan struktur pada bahagian ruang utama dan kubah[23]. Projek ini juga akan menjenamakan semula Planetarium Melaka kepada "Science And Galaxy World Melaka" serta berfungsi sebagai pusat sehenti pelancongan yang mengumpulkan pelbagai agensi pelancongan di Melaka[22].


Remove ads

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads