Abdul Aziz Bari
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Abdul Aziz Bari (lahir 22 Ogos 1959) merupakan seorang ahli politik, ahli akademik, profesor dan pensyarah Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) bagi Tebing Tinggi sejak Mei 2018. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang Negeri Perak dari Mei 2020 hingga November 2022 dan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (EXCO) dalam pentadbiran negeri Pakatan Harapan (PH) di bawah bekas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dari Mei 2018 hingga kejatuhan pentadbiran PH pada Mac 2020. Beliau merupakan ahli dan Naib Pengerusi DAP Negeri Perak, sebuah parti komponen dalam gabungan PH, dan pernah menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti komponen dalam bekas gabungan Pakatan Rakyat (PR).[1]
Remove ads
Latar belakang
Aziz dilahirkan di Sabak Bernam[2] dan menetap di Bandar Baru Selayang, Selangor.[3]
Kerjaya profesional
Aziz merupakan bekas ahli akademik dan pensyarah dalam bidang undang-undang. Beliau pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Universiti Selangor (UNISEL).[4] Beliau terkenal dalam bidang perlembagaan Malaysia dan undang-undang berkaitan institusi raja.[5]
Semasa berkhidmat sebagai pensyarah di UIAM, beliau telah digantung tugas[6] akibat pandangannya terhadap kenyataan Sultan Selangor dalam satu tindakan kontroversi yang melibatkan pihak berkuasa agama Islam terhadap sebuah gereja Methodist atas dakwaan pemurtadan.[7] Beliau juga disiasat oleh pihak berkuasa ketika memberi komen bahawa pelantikan Menteri Besar Selangor adalah kuasa prerogatif Sultan Selangor[8] semasa beliau masih berkhidmat sebagai pensyarah di UNISEL.
Remove ads
Politik
Aziz buat pertama kalinya bertanding dalam Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kerusi Parlimen Sabak Bernam, menentang Mohd Fasiah Fakeh dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mewakili Barisan Nasional (BN). Beliau tewas dengan majoriti 1,644 undi daripada 31,697 jumlah undi yang dibuang.[9][10][11]
Beliau kemudiannya menghidupkan semula cita-cita politiknya dengan menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada tahun 2015.[12] Beliau bertanding sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak Tebing Tinggi[13][14] dalam Pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Beliau memenangi kerusi tersebut menewaskan calon Persatuan Cina Malaysia (MCA) Khoo Boon Chuan dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Mazlan Md Isa dengan majoriti 3,927 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Khoo.[15] Beliau mengekalkan kerusi itu dan berjaya dipilih semula sebagai ADUN Tebing Tinggi dengan majoriti lebih kecil iaitu hanya 660 undi dalam Pilihan raya negeri Perak 2022.
Aziz telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa EXCO Pendidikan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau & Maklumat dalam kerajaan negeri baharu Pakatan Harapan (PH) sehingga kejatuhan pentadbiran itu akibat krisis politik 2020.[16] Pada 9 Mei 2020, beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang Negeri Perak yang baharu.[17] Beliau melepaskan jawatan tersebut selepas kembalinya PH membentuk kerajaan negeri Perak pada 21 November 2022 susulan Pilihan raya negeri Perak 2022. Beliau digantikan oleh Razman Zakaria, ADUN Gunong Semanggol dari Perikatan Nasional (PN) yang menjadi blok pembangkang baharu selepas penubuhan kerajaan gabungan negeri antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Kontroversi dan isu
Pandangan dan pemerhatian
Aziz sering dipetik berdasarkan pengetahuan beliau dalam bidang undang-undang, namun beliau juga dikenali kerana sering mengutarakan pandangan peribadinya dalam pelbagai isu,[18] termasuk kenyataan-kenyataan yang kerap menimbulkan pertentangan dengan gerakan dan pemimpin agama.[19] Menjelang PRU14, beliau secara terbuka menyatakan bahawa PAS tidak seharusnya bermimpi untuk membentuk kerajaan.[20] Pada tahun 2015, beliau turut mengulas bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris patut disiasat atas tuduhan hasutan, susulan kenyataan di media sosial oleh Tunku Mahkota berkenaan hak Johor untuk berpisah dari Malaysia.[21]
Namun, tiada kenyataan yang lebih kontroversi berbanding ucapannya pada tahun 2011, apabila beliau mengulas tindakan Sultan Selangor yang mempertahankan serbuan pegawai agama Islam ke atas sebuah gereja Methodist. Kenyataan itu menyebabkan beliau digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang di UIAM, namun kemudiannya beliau dilantik semula selepas berlaku bantahan besar-besaran oleh para pelajar. Namun begitu, beliau akhirnya memilih untuk meletakkan jawatan dari UIAM.[22]
Pandangan beliau yang lantang juga sering menyebabkan beliau berhadapan dengan tindakan undang-undang, termasuk siasatan berhubung perhimpunan haram pada tahun 2014[23] serta siasatan di bawah Akta Hasutan.[24] Kenyataannya mengenai hak untuk mengkritik institusi diraja kekal sebagai antara kenyataan paling kontroversi pernah beliau buat.[25]
Penggantungan kerja
Pada 20 Oktober 2011, Aziz telah diberikan surat tunjuk sebab oleh UIAM dan digantung tugas[26] bagi membolehkan siasatan dijalankan, seperti yang diumumkan oleh Rektor UIAM, Zaleha Kamaruddin. Beliau turut menjelaskan bahawa penggantungan tersebut bukanlah tanpa gaji, dan hak Aziz untuk terus dikaitkan dengan fakulti tidak dinafikan walaupun terdapat khabar angin yang mengatakan sebaliknya. Sepanjang tempoh penggantungannya, beberapa ahli politik turut mendesak agar beliau meletakkan jawatan, termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, yang kemudiannya membawa kepada saman oleh Aziz terhadap Ahli Parlimen tersebut serta akhbar Melayu, Utusan Malaysia.[27]
Isu utama yang dibangkitkan oleh Aziz ialah kenyataannya bahawa di bawah Akta Hasutan 1948, perlembagaan negara memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk mengkritik institusi diraja, dan hak itu tidak boleh dinafikan.[28]
Siasatan hasutan
Semasa mengajar di UNISEL, Aziz disiasat atas dakwaan hasutan susulan laporan dari portal berita dalam talian bertajuk Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari dan Only God, not Sultan, has absolute powers.[29] Akibat daripada kenyataan tersebut, hampir 100 laporan polis telah dibuat terhadap Aziz, dan beliau kemudiannya disiasat oleh pihak polis. Aziz memilih untuk berdiam diri semasa siasatan dijalankan.[30]
Undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak (yang didakwa)
Isu ini didakwa timbul daripada arus bawah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-14, yang mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Saarani Mohamad, merujuk ketika beliau membuat kenyataan kepada media bahawa Menteri Besar ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, akan berdepan dengan undi tidak percaya yang diketuai oleh ahli EXCO negeri, Aziz Bari.[31] Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, sebagai tindak balas kepada kenyataan media awal tersebut, telah membuat laporan polis berdasarkan Kanun Keseksaan Malaysia di Balai Polis Dang Wangi.[32] Tindak balas lain termasuklah dari rakan sesama EXCO negeri, A. Sivanesan, yang mendakwa bahawa UMNO sekadar "bermimpi di siang hari".[33] Dengan hanya tinggal satu hari sebelum tamatnya mesyuarat ke-4 bagi sesi ke-14 DUN, Aziz menafikan dakwaan itu dengan menyatakan bahawa beliau tidak mungkin berjaya, sambil menyebut bahawa beliau hanya mendapat sokongan 18 undi daripada partinya, manakala yang didakwa lima undi tambahan dari UMNO masih tidak mencukupi tujuh undi lagi.[31] Cakap-cakap mengenai undi tidak percaya ini pertama kali timbul pada pertengahan Ogos apabila Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri, Abdul Yunus Jamahri, secara terbuka menyatakan bahawa ia hanyalah spekulasi pihak pembangkang.[34]
Remove ads
Keputusan pilihan raya
Remove ads
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads