Hari Wesak
Perayaan Buddha di Asia Tenggara From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Hari Wesak, Waisak atau Vesak[1] merupakan hari terpenting diraikan penganut agama Buddha memperingati hidup pengasas ajaran mereka iaitu Siddharta Gautama Buddha dalam peringkat-peringkat penting beliau iaitu kelahirannya di Lumbini, pencapaian kecerahan agung selepas sekian lama bertapa dan kemangkatannya di Kusinara.[2] Perayaan ini disambut luas serata Asia Selatan, Tenggara dan Timur[3] antara bulan April hingga selewat-lewat bulan Jun, tetapi khususnya pada bulan Mei.[4]

Remove ads
Peristilahan
Nama-nama Wesak, Waisak (Jawi: ويسک) atau Vesak (Jawi: ۏيسک) diberikan sempena tempoh Vaiśakha (Sanskrit: वैशाख) yang jatuh antara bulan-bulan April dan Mei dalam takwim qamari yang pernah digunakan di India suatu ketika dahulu,[2] bahkan masih dikekalkan sebutan sedemikian dalam aliran Mahayana. Kata Sangsakerta वैशाख malah terserap dalam banyak batu bersurat Melayu Kuno seperti Kedukan Bukit bertarikh 682 Masihi.[5] Nama Vesak rasmi digunakan di Singapura.[1] Perkataan Sangsakerta Vaiśakha juga turut dipinjamkan kepada bahasa-bahasa berikut:
- Bahasa Cina: 衛塞節 / 卫塞节 Wèisāi jié
- Tamil: விசாகத் திருநாள் Vicākat Tirunāḷ
- Bahasa Thai: วิสาขบูชา Wisakhabucha[6]
Ia juga mempunyai beberapa nama setempat:
- Bahasa Cina: 佛誕 / 佛诞 Fódàn
- Jepun: 花祭りHana-matsuri
- Korea: 부처님오신날 Bucheonim Oshinal
- Bahasa Tibet: ས་ག་ཟླ་བ་དུས་ཆེན sa ga zla ba dus chen[penjelasan lebih lanjut diperlukan]
- Vietnam: Phật Đản atau Ngày hội hoa phật
Remove ads
Sambutan

Lazimnya, penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil atau vihara Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha; mereka mengibarkan panji agama yang melambangkan ajaran pegangan mereka serta mengalunkan nyanyian mengukuhkan Tiga Permata yang menjadi tiang rukun anutan mereka yakni Buddha, Dhamma dan Sangha.[4] Para pengunjung mempersembahkan pemberian ringkas seperti bunga, lilin dan colok dan di kaki patung-patung Guru Agung mereka; barangan bunga yang cepat layu sepertimana cepat terbakarnya lilin dan colok melambangkan pendeknya usia hayat manusia yang mesti diingati.[4]
Para sami membaca kitab Sutra. Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami.
Tradisi mengikut negara
Perayaan Hari Waisak di Indonesia dilangsungkan secara peringkat nasional di kompleks Candi Borobudur di Jawa Tengah ditandakan dengan acara-acara berikut:[7]
- Pengambilan air berkat dari mata air (umbul) Jumprit di Kabupaten Temanggung dan penyalaan obor menggunakan sumber api abadi Mrapen, Kabupaten Grobogan.
- Ritual "Pindapatta", suatu ritual pemberian dana makanan kepada para sami biksu oleh masyarakat (umat) untuk memberikan kesempatan kepada masyarakat untuk melakukan kebajikan.
- Samadhi pada detik-detik puncak bulan purnama (yang ditentukan perhitungan falak) sehingga puncak purnama dapat terjadi pada siang hari.
Di Malaysia, umat Buddha memulakan sambutan mereka di fajar hari di mana mereka berpusu-pusu mengunjungi kuil untuk bertafakur mengucapkan mantera astasila sambil menyumbangkan makanan kepada para sami sambil ada yang giat bersembahyang.
Di Singapura, terdapat beberapa tempat yang menjadi tumpuan perayaan Wesak, iaitu kuil Kong Meng San Phor Kark See di Bishan dengan upacara penebusan dosa "Tiga Langkah Satu Sembah" (Cina Ringkas: 三步一拜; pinyin: sānbù yibài) unik dilakukan para pengikut[8][9] serta Kuil Gigi Buddha di Kreta Ayer.[9]
Remove ads
Pentarikhan
Pada zaman dahulu, banyak tarikh yang ditetapkan mengikut cara tradisi dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penyambutan ini diseragamkan secara rasmi hasil suatu perjumpaan para anggota Persaudaraan Buddha Sedunia di Sailan British (kini Sri Lanka moden) tahun 1950 dengan restu Maharaja Gyanendra dari Nepal:[4][10]
Sidang Persaudaraan Buddha Sedunia ini merakamkan perhargaan yang sepenuhnya kepada tindakan mulia yang telah diambil oleh Duli Yang Teramat Mulia Maharaja Nepal dalam mengisytiharkan hari bulan purnama Wesak sebagai satu hari cuti umum di Nepal. Pada masa yang sama, persidangan ini dengan ikhlasnya meminta semua ketua kerajaan yang negaranya yang mempunyai penduduk agama Buddha sama ada ramai atau sedikit agar mengambil langkah mengumumkan hari bulan purnama di dalam bulan Mei sebagai Hari Cuti Umum memperingati Buddha yang diakui umum sebagai salah seorang penyumbang bakti yang terbesar kepada umat manusia.[10][4]
Pada 2000, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan penyambutan Hari Wesak seluruh ibupejabat dan pejabat badan tersebut.[11]
Penghitungan hari
Perayaan Wesak moden jatuh dengan munculnya bulan purnama. Sekiranya dua purnama yang dicerapkan bakal muncul pada tempoh yang sama, maka pihak sangha akan merayakan pada salah satu daripadanya: ada yang merayakan Wesak pada purnama pertama (termasuk Sri Lanka, Cambodia dan Malaysia) dan ada yang merayakan Wesak pada purnama kedua.[12]
Tarikh-tarikh yang dihitung untuk perayaan hari ini sejak 2001 sehingga kini (dalam kurun ke-26 antara 2500–2599 dalam takwim Buddha) adalah seperti berikut:
Remove ads
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
