Sultan Ali Iskandar Shah
Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang & Singapura From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah[1][2] (1824 – 20 Jun 1877) ialah Sultan Johor ke-18 dan Sultan Johor terakhir daripada Wangsa Bendahara Johor sebelum Johor diperintah oleh Wangsa Temenggung Johor.[3] Pada usia yang sangat muda, baginda dilantik sebagai Sultan Johor oleh keluarga dan pengikutnya untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah yang mangkat pada tahun 1835. Walau bagaimanapun, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali, Temenggung Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan British. Semasa tahun-tahun awal pemerintahan baginda, Johor dikuasai oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah ke atas Johor hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa orang Melayu. Pada bulan September 1840, satu perisytiharan dikeluarkan oleh British untuk mengiktiraf baginda sebagai pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah yang sah, tetapi perisytiharan tersebut bukan pengiktirafan sebagai "Sultan Johor".[4]
Pada 10 Mac 1855, Sultan Ali Iskandar Shah memeterai Perjanjian Setia 1855 dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan disaksikan oleh British di Singapura. Dalam perjanjian ini, baginda bersetuju untuk melepaskan haknya terhadap Johor (kecuali Kesang) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[5] Sebagai balasan, baginda diiktiraf secara rasmi sebagai "Sultan Johor" oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan British dan baginda diberikan elaun bulanan oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Selepas penyerahan Johor, Sultan Ali Iskandar Shah diberikan Kesang (tanah di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang) sebagai kawasan peribadinya sehingga kemangkatannya pada 20 Jun 1877. Baginda juga dikenali sebagai "Sultan Muar" dan "Sultan Kesang".[6]
Remove ads
Keluarga
Baginda dikurniakan 10 orang anak yang terdiri daripada 5 orang putera dan 5 orang puteri. Berikut adalah senarai anak baginda:
- Tengku Alam Shah
- Tengku Mahmud Putra
- Tengku Mansur Putra
- Tengku ‘Abdu’llah
- Tengku Sulong
- Tengku Sembuk
- Tengku Cik Fatimah
- Tengku Mariam
- Tengku Sharifah
- Tengku Busu Zainab
Sultan Johor (1835-1855)
Tahun-tahun awal
Pada tahun 1840, Johor mula menerima peneroka Cina (kebanyakannya datang dari Swatow dan Chaozhou). Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang mentadbir negeri Johor mengenakan cukai ke atas peneroka ini sebagai sumber pendapatan baginda.[7] Walau bagaimanapun, tidak seperti Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Sultan Ali Iskandar Shah tidak melibatkan diri di dalam hal ehwal negeri Johor tetapi pada masa yang sama baginda mengadu tidak menerima elaun yang mencukupi daripada British.[8]
Dalam pada itu, kesetiaan orang-orang Melayu di Johor kepada pemerintah mula berpecah-belah antara sokongan kepada Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[9] Walau bagaimanapun, perpecahan kesetiaan ini tidak menyebabkan sebarang persengketaan besar.[10] Pada masa yang sama, seorang pedagang British, William Henry Macleod Read menjaga cap mohor Sultan Ali Iskandar Shah sebagai balasan untuk melangsaikan hutang baginda. Read adalah penyokong kuat tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah untuk pengiktirafan sebagai Sultan Johor yang sah serta berhak ke atas hasil negeri Johor dan dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai wakil baginda.[11] Disebabkan tekanan ekonomi dan politik pedagang tersebut, Gabenor British telah mempertimbangkan untuk memberi pengiktirafan tersebut tetapi telah mendapat tentangan hebat daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan puteranya, Tun Abu Bakar.[12]
Pada awal tahun 1850-an, Johor telah berada di bawah kekuasaan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah telah disingkirkan secara paksa oleh pengikut-pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[13]
Penyerahan Johor
Beberapa rundingan antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berlangsung di mana British telah menjadi orang tengah. Rundingan ini berlaku selepas Sultan Ali Iskandar Shah menimbulkan persoalan mengenai hak Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk menerima kesemua hasil negeri Johor.[14] Pada mulanya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim bercadang untuk membahagikan hasil negeri Johor kepada dua bahagian untuk diberikan satu bahagian kepada Sultan Ali Iskandar Shah tetapi dengan syarat iaitu Sultan Ali Iskandar Shah perlu menyerahkan haknya ke atas Johor. Namun, syarat Temenggung Tun Daeng Ibrahim tersebut tidak diterima oleh Sultan Ali Iskandar Shah. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mendapatkan campur tangan daripada British. Antara pegawai British yang terlibat ialah Gabenor Negeri-negeri Selat, Colonel William John Butterworth dan penggantinya, Edmund Augustus Blundell yang menjadi orang tengah.[15]
Pihak British lebih cenderung untuk menyokong Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengambil alih Johor daripada Sultan Ali Iskandar Shah. Tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah berkenaan haknya ke atas kedaulatan Johor telah disangkal oleh British. Temenggung Tun Daeng Ibrahim pula telah membangkitkan kenyataan bahawa walaupun ayahanda Sultan Ali Iskandar Shah, Sultan Hussein Muhammad Shah telah diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh British pada tahun 1819, baginda tidak pernah mengambil sebarang tindakan untuk menuntut haknya ke atas kedaulatan Johor selepas ayahanda Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Temenggung Tun Abdul Rahman mangkat pada tahun 1825. Temenggung Tun Daeng Ibrahim juga menyatakan bahawa Johor dan Singapura sebenarnya berada di bawah tanggungjawab ayahandanya, Temenggung Tun Abdul Rahman dan keadaan ini sama seperti Pahang yang berada di bawah tanggungjawab Bendahara. Dokumen-dokumen lain pula menunjukkan bahawa sekiranya Johor berada di bawah kuasa Sultan, de jure kedaulatan tersebut sepatutnya berada di bawah Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan bukan Sultan Ali Iskandar Shah. [16]
Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Sultan Ali Iskandar Shah menyerahkan cadangan mereka kepada Gabenor British pada bulan April 1854. Temenggung Tun Daeng Ibrahim bersetuju dengan permintaan Sultan Ali Iskandar Shah untuk pengiktirafan secara simbolik sebagai Sultan Johor tetapi Temenggung Tun Daeng Ibrahim berkeras mahu mengekalkan kuasa penuhnya ke atas Johor. Sebaliknya, Sultan Ali Iskandar Shah telah menyatakan hasratnya untuk memerintah Kesang yang terletak di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang dengan alasan bahawa sebahagian nenek moyangnya dimakamkan di Kesang. British telah memujuk Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk menerima permintaan Sultan Ali Iskandar Shah. Akhirnya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah bersetuju dengan permintaan tersebut.[17]
Satu perjanjian telah ditandatangani pada 10 Mac 1855 di mana Sultan Ali Iskandar Shah secara rasmi menyerahkan haknya ke atas kedaulatan Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim kecuali Kesang. Sebagai balasan, Sultan Ali Iskandar Shah diiktiraf sebagai "Sultan Johor" oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan British. Baginda juga menerima wang pampasan berjumlah $5,000 dan elaun bulanan sebanyak $500 daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[18] [12]
Remove ads
Sultan Johor (1855-1877)
Sultan Ali Iskandar Shah mewakilkan pentadbiran Kesang kepada Temenggung Paduka Tuan Muar dan banyak menghabiskan masa di Melaka. Kesang tidak banyak penduduk pada tahun 1855 dan hanya ada 800 penduduk tanpa sebarang struktur kerajaan. Pada tahun 1860, Sultan Ali Iskandar Shah dilaporkan meminjam $53,600 daripada seorang ceti, Kavana Chana Shellapah. Baginda menandatangani satu perjanjian dengan Shellapah untuk menggunakan sebahagian daripada elaun bulanan baginda untuk membayar pinjaman tersebut. Walau bagaimanapun, baginda tidak dapat membayar pinjaman tersebut mengikut jadual. Ini menyebabkan Shellapah marah dan menulis surat kepada kerajaan British pada tahun 1866. Setelah dipaksa membayar pinjamannya mengikut jadual, Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan haknya untuk berdagang di Kesang kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai cagaran sekiranya baginda tidak dapat menjelaskan pinjaman mengikut jadual.[19]
Hubungan Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tetap tegang. Pada tahun 1860, Sultan Ali Iskandar Shah memerintahkan pengikutnya iaitu seorang Bugis bernama Suliwatang dan ketua-ketua dari daerah Rembau dan Sungai Ujong untuk menetap di Kesang dan bersiap sedia untuk menyerang Johor.[20] Hubungan buruk di antara Sultan Ali Iskandar Shah and Temenggung Tun Daeng Ibrahim berterusan sehingga putera Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Tun Abu Bakar menggantikan ayahandanya yang mangkat pada tahun 1862. Tidak lama selepas Tun Abu Bakar menjadi Temenggung Johor, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar surat kepada Sultan Ali Iskandar Shah untuk menegaskan kedaulatan Johor ke atas Segamat. Pertikaian yang berterusan berkenaan kedaulatan Segamat membawa kepada peperangan antara pengikut Temenggung Tun Abu Bakar dan Sultan Ali Iskandar Shah. Sebelas tahun kemudian iaitu pada tahun 1873, usaha Suliwatang untuk mengutip cukai daripada penduduk di muara Sungai Kesang menyebabkan lebih banyak konflik dengan pengikut Temenggung Tun Abu Bakar yang mula menggunakan gelaran Maharaja pada tahun 1868.[21]
Semasa pemerintahan Sultan Ali Iskandar Shah, tidak banyak aktiviti ekonomi di Kesang. Walau bagaimanapun, baginda mewakilkan tugas mengutip cukai kepada Suliwatang dan wakilnya. Pada tahun 1868, Sultan Ali Iskandar Shah melantik Babu Ramasamy, seorang guru berketurunan Tamil untuk mengutip cukai di Kesang. Pada tahun 1872, seorang pelombong berbangsa Eropah telah diberikan hak melombong secara eksklusif di Kesang selama lima tahun oleh Sultan Ali Iskandar Shah. Tiga tahun kemudian, seorang rakyat Amerika telah diberikan konsesi untuk membeli tanah seluas 45 batu persegi di Kesang oleh Sultan Ali Iskandar Shah.[22]
Remove ads
Mangkat
Sultan Ali Iskandar Shah menghabiskan masa tuanya di Umbai, Melaka dan menyara hidupnya dengan elaun bulanan yang diberikan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris.[23] Baginda mendirikan sebuah istana dan tinggal bersama isteri ketiga baginda iaitu Cik' Sembuk binti Mokmin yang merupakan orang kebanyakan sehingga baginda mangkat pada 20 Jun 1877 dan dimakamkan di Masjid Umbai, Melaka yang terletak di Laluan Persekutuan 5.[24][25]
Sebelum baginda mangkat, Sultan Ali Iskandar Shah telah mewasiatkan Kesang kepada puteranya dengan Cik Sembuk, Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun. Keputusan baginda menerima tentangan daripada sebahagian orang Melayu di Singapura yang berpendapat bahawa Tengku Alam Shah yang sepatutnya menerima Kesang memandangkan Tengku Alam Shah merupakan putera sulung baginda dengan Daeng Siti, puteri seorang pembesar Bugis.[26]
Apabila Sultan Ali Iskandar Shah mangkat, hak penjagaan Kesang telah diletakkan di bawah kekuasaan Tengku Abdul Jalil, abang kepada Sultan Ali Iskandar Shah. Tengku Abdul Jalil telah menyerahkan hak penjagaan Kesang kepada Maharaja Abu Bakar selepas kerajaan British mengadakan pemilihan di mana Temenggung Paduka Tuan Muar dan ketua-ketua masyarakat di Kesang telah memilih Maharaja Abu Bakar untuk memimpin mereka. Gebenor British telah menyerahkan pentadbiran Kesang kepada Maharaja Abu Bakar. Ini menyebabkan Tengku Alam Shah dan pengikutnya tidak berpuas hati.[27] Tuntutan berterusan Tengku Alam Shah ke atas Kesang telah menyebabkan Perang Saudara Jementah pada 25 Oktober 1879 tetapi baginda tewas dalam perang tersebut.[28]
Remove ads
Keturunan
Walaupun Sultan Ali Iskandar Shah telah hilang haknya ke atas Johor, namun sehingga hari ini, keturunan baginda masih wujud dan tinggal di negara Singapura, Malaysia, dan Indonesia. Antara waris baginda yang diketahui adalah:
- Ketua Waris Pemangku Adat Sultan Hussein Muhammad Shah, Y.M. Tengku Muhammad Shawal bin Y.M. Tengku Abdul Aziz bin Y.M. Tengku Hussain bin Y.M. Tengku Ali bin Y.A.M. Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah.[29][30][31]
- Raja Permaisuri Agong Malaysia ke-4, Y.M.M. Tengku Ampuan Intan Zaharah binti Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar bin Tengku Osman.
- Y.M. Tengku Zayn Nayef Tayeb bin Y.M. Tengku Fauzi bin Y.M. Tun Tengku Ahmad bin Y.A.M. Tengku Saleh bin Y.A.M. Tengku Hussain bin Y.A.M. Tengku Ali bin Y.A.M. Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah.
Remove ads
Nota kaki
Lihat juga
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads