Daerah Segamat

daerah di Johor, Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia

Daerah Segamatmap
Remove ads

Segamat merupakan sebuah daerah di negeri Johor, Malaysia. Daerah ini terletak di utara negeri Johor dan mempunyai keluasan 2807 kilometer persegi dengan jumlah penduduk 197,762 orang pada tahun 2020.

Fakta Segera Transkripsi lain, • Cina ...
Thumb
Bandar Segamat
Remove ads

Etimologi

Asal nama Segamat dipercayai berasal daripada sebuah kisah iaitu sekitar kurun ke-16, Sultan Ahmad dan pengikut-pengikutnya telah meninggalkan Melaka kerana diserang oleh Portugis lalu bertapak di Pagoh. Setelah diserang di Pagoh mereka telah berundur dengan tujuan ke Penarikan dan kemudiannya ke hilir Pahang. Di pertengahan jalan, Bendahara duduk bersandar di banir kayu menghadap lubuk yang dihadapannya, Sultan Ahmad dan ayahandanya tidak jauh dari situ, mereka bersama-sama berhenti penat dan berehat selama dua hari.

Sambil duduk, Datuk Bendahara melempar-lempar tangan membuang kebas lalu tercapai olehnya seketul batu lalu ditimang-timangnya. Sambil mukanya berkedut kesal, dirinya berkata "Dahaga rasanya aku, ambilkan air barang seteguk di sungai itu". Sambil berkata ia memandang Selamat Gagah. Selamat Gagah faham bahawa yang dimaksudkan ialah supaya mengambil air sungai itu lalu dicarikannya upih lalu dibuatnya temika. Kemudian diceduknya air hingga penuh lalu diberikan kepada Datuk Bendahara. Sambil tangannya menyambut temika air, batu di tangan dilontar ke lubuk sungai, katanya di dalam hati, "Kalau timbul batu itu, baliklah aku ke Melaka". Mendengarkan kata Datuk Bendahara demikian Sultan Ahmad menoleh kepada Datuk Bendahara, tetapi Sultan tidak mengeluarkan sepatah kata pun.

Air di temika diminum sepuas-puasnya oleh Datuk Bendahara lalu berkata, "Segar amat ku rasa badan ini, sungguh lazat diminum, apakah nama sungai ini Selamat?", Selamat menjawab, "Tidak hamba ketahui, kerana baru sekali ini bersua." Bendahara berkata lagi "Ya, Segar amat, ku rasa seolah-olah tenagaku pulih semula, ya, segar amat sungai ini jika airnya di minum.". Berkata mereka serentak yang meneguknya, "Ya, segar amat". Lalu nama segar amat itu terus berubah menjadi Segamat.[2]

Remove ads

Pentadbiran

Daerah Segamat ditadbir dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Segamat dan Majlis Daerah Labis. Pusat pentadbirannya terletak di Bandar Segamat. Daerah ini terbahagi kepada 11 mukim, enam bandar dan sebuah pekan.

Thumb
Peta daerah Segamat

Mukim

  1. Bekok
  2. Buloh Kasap
  3. Chaah
  4. Gemas
  5. Gemereh
  6. Jabi
  7. Jementah
  8. Labis
  9. Pogoh
  10. Sermin
  11. Sungai Segamat

Bandar dan pekan

  1. Bandar Batu Anam
  2. Bandar Bekok
  3. Bandar Buloh Kasap
  4. Bandar Jementah
  5. Bandar Labis
  6. Bandar Segamat
  7. Pekan Gemas Bahru
Remove ads

Geografi

Daerah Segamat terletak di utara negeri Johor bersempadan dengan Negeri Sembilan iaitu daerah Tampin dan Jempol di barat, daerahRompin, Pahang di utara, daerah Mersing di timur dan daerah Muar,Tangkak, Batu Pahat serta Kluang di selatan.

Iklim

Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[3] Purata suhu ialah 26.84 °C (80.3 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27.6 °C (81.7 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.1 °C (79.0 °F).[3] Purata kerpasan di Segamat adalah 2286.8 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 330.4 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 110.6 milimeter.[3]

Maklumat lanjut Data iklim untuk Segamat (1990-2019), Bulan ...

Demografi

Maklumat lanjut Tahun, Pend. ...
Maklumat lanjut Pecahan etnik di Segamat - Bancian 2020 ...

Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Segamat ialah seramai 179,762 orang dengan kepadatan penduduk 69 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana. Lebih separuh penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 57 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih lima peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[4]

Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 109:100. Terdapat 65,038 tempat kediaman dengan sebanyak 52,855 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 138 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 39 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 19 ribu orang merupakan warga tua.

Maklumat lanjut Kewarganegaraan, Kaum ...

Agama

Maklumat lanjut Agama di Segamat - Bancian 2020 ...

Majoriti penduduk di daerah Segamat beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[4]

Maklumat lanjut Agama, Jumlah ...
Remove ads

Ekonomi

Pertanian merupakan penyumbang utama terhadap ekonomi Segamat, menyumbang sejumlah 61.8% daripada jumlah pekerjaan pada tahun 1991. Penyumbang ekonomi kedua ialah sektor pengeluaran, iaitu sejumlah 13.1% daripada jumlah tenaga kerja pada tahun 1995. Ia disusuli sektor perkhidmatan kerajaan, iaitu sejumlah 12.2% daripada jumlah tenaga kerja pada tahun yang sama.

Pendidikan

Pendidikan tinggi

Daerah Segamat memiliki dua institusi pengajian tinggi (IPT) utama: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Johor yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) Kampus Johor (dahulunya dikenali sebagai TAR UC dan KTAR) yang terletak kira-kira 14 kilometer dari pusat bandar.

Segamat juga mempunyai dua cawangan Kolej Komuniti iaitu di Bandar Putra IOI, kira-kira 7 kilometer dari pusat bandar,[5] dan Batu Anam, kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar.

Pendidikan rendah dan menengah

Sehingga November 2025, terdapat kira-kira 85 sekolah rendah dan 26 sekolah menengah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.[6]

Antara sekolah rendah yang utama ialah SK Kampong Jawa, SK Bukit Hampar, SK Bandar Putra, dan SK Canossian Convent. Bagi sekolah menengah pula, antaranya ialah SMK Dato' Bentara Dalam, SMK Agama Segamat, SMK Seri Kenangan Batu Anam, SMK Bekok, Sekolah Menengah Seg Hwa, Sekolah Tinggi Segamat, dan SMK Canossian Convent.

Sebuah Sekolah Berasrama Penuh, SM Sains Segamat dibuka pada 2024. Terdapat perancangan untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di dalam kawasan DUN Kemelah.[7]

Remove ads

Pengangkutan

Thumb
Bangunan baharu stesen keretapi Segamat

Jalan raya

Segamat mempunyai jaringan jalan raya persekutuan dan negeri yang cukup baik. Laluan Persekutuan LP 1 adalah jalan raya utara-selatan utama, yang turut dihubungkan ke lebuh raya kebangsaan utama, Lebuhraya Utara-Selatan Lebuhraya Utara–Selatan Jajaran Selatan (jajaran selatan), melalui EXIT 227 (Persimpangan Simpang Ampat) dan EXIT 243 (Persimpangan Yong Peng Selatan); kedua-duanya terletak di luar Daerah Segamat.

Laluan Persekutuan LP 23 menghubungkan Segamat dengan bandar-bandar utama di kawasan barat daya seperti Tangkak, Bandar Melaka, Muar dan Batu Pahat. Ia juga dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan Lebuhraya Utara–Selatan Jajaran Selatan melalui EXIT 235 Persimpangan Tangkak. Sementara itu, Lebuhraya Tun Razak laluan LP 12 menghubungkan Segamat dengan Kuantan serta negeri-negeri pantai timur.

Selain itu, terdapat beberapa jalan raya negeri utama di Segamat, antaranya:-

Bas

Terminal Bersepadu Segamat (dahulunya dikenali sebagai Terminal Pengangkutan Awam) merupakan hab bagi jaringan bas tempatan dan antara bandar bagi daerah ini. Hal ini termasuklah perkhidmatan bas percuma Muafakat Johor, serta perkhidmatan ekspres yang disediakan oleh syarikat persendirian seperti KKKL, MARA Liner, dan Sanwa Express.

Keretapi

Perkhidmatan keretapi utama di Semenanjung Malaysia, Keretapi Tanah Melayu (KTM), tersedia di daerah ini melalui stesen Segamat, Labis, dan Bekok. Selepas pelancaran perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke Johor berikutan penyudahan projek landasan berkembar elektrik (EDTP) Gemas-Johor Bahru pada Disember 2025,[8] stesen Batu Anam dan Tenang menjadi tidak aktif, manakala stesen Genuang dikhaskan untuk keretapi barang.

Pelabuhan

Pelabuhan Darat Segamat terletak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar.[9]

Remove ads

Tempat menarik

Thumb
Dataran Segamat
  • Dataran Segamat - Dataran Segamat telah dibina pada tahun 1996 sebagai tempat utama berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Johor. Terdapat sebuah menara jam dan replika durian yang menjadi identiti Segamat. Kawasan ini dahulunya dikenali sebagai Padang Besar Segamat. Pada tahun 2005, ia diubah suai apabila Segamat dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Johor. Pengubahsuaian tersebut melibatkan pembinaan sebuah menara bendera sebagai tarikan dan mercu tanda utama daerah ini.
Thumb
Tugu Kemahkotaan Johor di Taman Bunga Batu Hampar
  • Jambatan Keretapi Besi (Lama) - Dibina pada awal abad ke-20, jambatan ini dibuka serentak dengan perkhidmatan keretapi negeri Johor pada 1909.[10] Berikutan pembinaan EDTP Gemas-Johor Bahru, ia tidak lagi digunakan, membolehkannya dinaik taraf dan diubah suai kepada kawasan pelancongan.
  • Taman Bunga Batu Hampar (Rock Garden) – Taman Bunga Batu Hampar adalah taman rekreasi utama di tengah bandar Segamat. Kawasan ini juga menempatkan kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat, Rumah VIP, dan Istana Hinggap khas untuk kerabat diraja Johor. Ramai yang menganggapnya sebagai tempat yang paling cantik dan sesuai untuk beriadah di daerah Segamat.
  • Istana Hinggap - Sebuah istana persinggahan untuk kerabat diraja Johor apabila mencemar duli ke daerah Segamat terutamanya aktiviti Kembara Mahkota Johor. Ia terletak di atas Bukit Hampar Segamat, bertentangan dengan Padang Batu Hampar serta tidak jauh dari Sekolah Tinggi Segamat.
  • Makam Bendahara Tepok – Makam Bendahara terakhir Kesultanan Melayu Melaka ini terletak di Kampung Lubuk Batu, kira-kira 2 kilometer dari pusat bandar Segamat melalui jalan raya persekutuan dan bertentangan dengan Masjid Makam Lubuk Batu. Terdapat juga mercu tanda berhampiran yang melambangkan sejarah dan asal usul Segamat.
  • Taman Eko Rimba Sungai Bantang - Kawasan ini mula dibangunkan pada tahun 1989 dan terletak di dalam Hutan Simpan Labis, sebuah kawasan pamah dipterokarpa,[11] serta berada di Kompartmen 17 seluas 210.93 hektar dan Kompartmen 18 seluas 156.28 hektar. Jarak antara taman ini dengan pusat bandar ialah lebih kurang 63 kilometer atau 8 kilometer dari pekan Bekok. Antara tarikan utama di sini termasuklah air terjun, tapak perkhemahan, dan laluan merentas hutan.
  • Taman Rekreasi Sungai Segamat - Kawasan ini menjadi tempat istirehat, memancing, berjoging pada waktu petang. Ia terletak di tebing Sungai Segamat dan sentiasa menjadi lokasi aktiviti Sukaneka.
  • Bazaar Karat - Pada waktu malam, Segamat terkenal dengan Bazaar Karat iaitu sebuah kawasan di sepanjang jalan berhampiran Dataran yang penuh dengan bermacam-macam jenis gerai jualan. Ia dibuka pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad sehingga 1 pagi. Bazar ini menjadi tumpuan utama penduduk Segamat untuk bersiar-siar pada waktu malam.
  • Jambatan Putus, Buloh Kasap - Jambatan ini dibina oleh tentera British untuk pembinaan Jalan Persekutuan. Namun, mereka menghancurkan sebahagian jambatan ini untuk menghalang kemaraan tentera Jepun daripada menuju ke Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua. Jambatan Buloh Kasap yang baru telah dibina betul-betul di sebelah jambatan ini.
  • Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis - Kolam Air Panas terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Labis 35 kilometer dari pusat bandar. Terdapat 4 kolam besar yang mengalirkan air panas semula jadi daripada punca yang terletak di tengah-tengah kolam-kolam tersebut. Kemudahan lain termasuklah kolam terbuka dan berbumbung, unit jakuzi, dan gimnasium terbuka.[12]
  • Hutan Eko Takah Merluh, Kampung Tenang - Air terjun semulajadi yang terletak lebih kurang 12 kilometer dari bandar Labis atau 40 kilometer dari pusat bandar. Pengujung perlu melalui kawasan Kampung Tenang dan melalui dusun-dusun tradisional yang di usahakan oleh penduduk kampung untuk sampai ke situ.
  • Pusat Latihan Rekreasi Felcra Tebing Tinggi - Pusat ini merupakan satu institusi latihan untuk pelbagai aktiviti mencabar seperti berbasikal, merentas hutan, dan banyak lagi.
  • Hutan Lipur Jeram Tinggi, Jementah - Tempat perkelahan ini terletak jauh di pedalaman berhampiran Kampung Ulu Jementah, kira-kira 34 kilometer dari pusat bandar. Ia adalah salah satu laluan ke Gunung Mahligai dan berhampiran sempadan daerah Segamat-Tangkak. Kawasan ini sesuai untuk aktiviti merentas hutan, berenang, dan pendakian.
  • Taman Awam Tasik Segamat - Taman ini terletak di pusat bandar berhampiran Sungai Segamat. Ia esuai untuk aktiviti rekreasi dan memancing pada waktu petang.
Remove ads

Kesenian dan kebudayaan

Segamat adalah sebuah daerah yang terkenal dengan tarian Zapin dan Kuda Kepang yang menjadi tarikan popular kepada pelancong yang datang dari luar mahupun dalam negara. Tarian Zapin dan Kuda Kepang sering dipersembahkan sewaktu majlis keramaian.

Segamat juga adalah daerah yang menghasilkan kraftangan yang diperbuat daripada hasil hutan dan dianyam dengan tangan untuk mengekalkan tradisi melayu. Antara contoh barang-barang tersebut ialah tudung saji, raga, dan pasu.

Tokoh

Berikut merupakan tokoh yang dilahirkan di daerah Segamat:

Akademik

Keusahawanan

Politik

Sukan

Hiburan

Remove ads

Rujukan

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads