Anjing pengutip Labrador
baka anjing From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Anjing pengutip Labrador,[a] atau juga dikenali sebagai hanya labrador atau lab, ialah satu baka gundog pengutip British. Ia dikembangkan di United Kingdom daripada anjing air St. John's yang diimport dari Koloni Newfoundland (kini provinsi di Kanada) dan dinamai sempena rantau Labrador di koloni itu. Ia merupakan antara baka yang paling banyak dibela di beberapa buah negara, khususnya di dunia Barat.
Anjing Labrador kerap ramah, bertenaga, dan suka bermain.[1] Ia dibiakbakakan sebagai anjing sukan dan anjing pemburu tetapi dibela secara meluas sebagai anjing teman. Walaupun senang hati sebagai pendamping, anjing ini adalah cerdas dan memerlukan kedua-dua rangsangan fizikal dan mental. Ia juga boleh dilatih sebagai anjing pandu atau anjing pembantu atau untuk kerja penyelamatan atau terapi.[2]
Pada tahun 1830-an, Earl Home Ke-10 dan anak-anak saudara beliau, Duke Buccleuch Ke-5 dan Lord John Scott,[3] mengimport leluhur bagi baka ini dari Newfoundland ke Eropah untuk kegunaan sebagai gundog. Seorang penyokong awal bagi anjing nelayan Newfoundland ini ialah Earl Malmesbury Ke-2, yang membiakbakakan anjing ini kerana kepakarannya dalam pemburuan unggas air.[3]
Semasa tahun 1880-an, Earl Malmesbury Ke-3, Duke Buccleuch Ke-6, dan Earl Home Ke-12 berkolaborasi untuk mengembangkan dan mengasaskan baka anjing pengutip Labrador. Dua ekor anjing jantan, Buccleuch Avon dan Buccleuch Ned, yang diberikan oleh Malmesbury kepada Buccleuch, dikawankan dengan anjing betina yang membawa darah daripada yang pada asalnya diimport oleh Duke Ke-5 dan Earl Home Ke-10. Anak-anak anjing ini merupakan leluhur bagi semua anjing Labrador moden.[4]
Remove ads
Sejarah

Baka labrador bertarikh kembali sekurang-kurangnya ke tahun 1830-an, semasa anjing air St. John's yang dibiakbakakan oleh peneroka Eropah di Newfoundland mula diperkenalkan ke Britain daripada kapal yang berdagang antara Kanada dengan Poole di Dorset. Ini kemudian dibiakbakakan dengan anjing pemburu British untuk menghasilkan yang dikenali sebagai anjing pengutip Labrador. Penaung awalnya termasuk Earl Malmesbury, Duke Buccleuch, Earl Home, dan Sir John Scott. Para penulis awal telah mengelirukan labrador dengan anjing Newfoundland yang jauh lebih besar dan anjing kecil Newfoundland, dengan Charles St. John yang malah merujuk anjing kecil Newfoundland sebagai anjing Newfoundland. Kolonel Peter Hawker memerihalkan labrador pertama sebagai anjing yang tidak lebih besar daripada anjing penuding Inggeris, lebih kerap berwarna hitam daripada berwarna lain, dengan kepala dan hidung panjang, dada dalam, kaki halus, dan lapis bulu pendek dan licin, dan tidak mengangkat ekornya setinggi yang dilakukan oleh anjing Newfoundland.[5] Hawker membezakan anjing Newfoundland daripada kedua-dua "labrador betul" dan baka St. John's bagi anjing-anjing ini[5][6] dalam edisi kelima buku beliau Instructions to Young Sportsmen, yang diterbitkan pada tahun 1846.[6]
Menjelang tahun 1870, nama Labrador Retriever ("anjing pengutip Labrador") telah menjadi lazim di England.[7] Labrador hati (yang kini biasanya dipanggil coklat) muncul pada lewat tahun 1800-an dengan anak anjing berwarna hati yang didokumenkan di kenel-kenel Buccleuch pada tahun 1892;[8] Labrador kuning pertama yang direkodkan lahir pada tahun 1899 (Ben of Hyde, kenel-kenel Mejar C.J. Radclyffe).[9] Baka ini diiktiraf oleh The Kennel Club pada tahun 1903.[10] Pendaftaran pertama American Kennel Club (AKC) adalah pada tahun 1917.[11]
Remove ads
Ciri



Terdapat kepelbagaian besar sesama labrador. Ciri-ciri berikut adalah tipikal bagi susur galur baka ini yang dibiakbakakan untuk pertunjukan pengakuran (bangku) di Amerika Syarikat dan berdasarkan piawaian American Kennel Club.[1] Perbezaan ketara antara piawaian United Kingdom dengan piawaian Amerika Syarikat dicatatkan.
- Saiz: Labrador ialah baka sederhana besar. Ia patut sama panjang dari kelasa ke pangkal ekor dengan panjang dari lantai ke paras kelasa. Piawaian AKC menyertakan berat unggul untuk jantan 25–36 kg (55–80 lb) dan untuk betina 25–32 kg (55–70 lb).[1] Garis panduan untuk ketinggian berbeza-beza antara AKC, yang memberikan 55–62 sentimeter (21.5–24.5 in) untuk jantan dan 55–60 sentimeter (21.5–23.5 in) untuk betina,[1] The Kennel Club yang menasihatkan bahawa jantan patut setinggi 56–57 sentimeter (22–22.5 in) dengan betina yang setinggi 55–56 sentimeter (21.5–22 in),[12] dengan FCI yang memetik julat 56–57 sentimeter (22–22.5 in) untuk jantan dengan betina yang unggul dalam lingkungan 54–56 sentimeter (21.5–22 in).[13]
- Lapis bulu: Lapis bulu anjing pengutip Labrador patut pendek dan padat, tetapi tidak mirip dawai. Lapis bulunya kalis air, oleh itu, anjing ini tidak menjadi sejuk apabila memasuki air pada musim sejuk. Ini bermakna bahawa anjing ini secara semula jadi mempunyai lapis bulu sedikit kering dan berminyak. Warna yang boleh diterima merupakan hitam, kuning, dan coklat.[1]
- Kepala: Kepalanya patut lebar dengan kening sedikit jelas. Matanya patut baik dan ekspresif. Warna mata betul merupakan perang dan hazel. Pengalas di sekeliling mata patut berwarna hitam. Telinganya patut tergantung dekat-dekat dengan kepala dan terletak lebih tinggi sedikit daripada paras mata.
- Rahang: Rahangnya patut kuat dan berkuasa. Muncungnya patut sederhana panjang dan tidak terlalu menirus. Rahangnya patut tergantung sedikit dan melengkung dengan anggun ke arah belakang.
- Tubuh: Tubuhnya patut mempunyai binaan berkuasa dan berotot.
Ekornya dan lapis bulunya ditetapkan sebagai "ciri distingtif [atau pembeza]" bagi labrador oleh The Kennel Club dan AKC.[1][12] AKC menambahkan bahawa "perangai sebenar anjing pengutip Labrador ialah ciri penanda baka ini sama seperti ekor 'berang-berang' [padanya]."[1]
Warna

Labrador didaftarkan dalam tiga warna: Hitam padu, kuning (apa-apa cahaya warna daripada putih krim hingga merah rubah), dan coklat (perang sederhana hingga gelap; pada asalnya dipanggil "hati").[14]
Anak anjing daripada semua warna dapat lahir dalam perinduk sama. Warna lapis bulu ditentukan terutamanya oleh tiga gen, yang dipanggil MC1R, Agouti, dan CBD103. Jika seekor anjing membawa alel jenis liar pada ketiga-tiga lokus, anjing itu akan mempunyai lapis bulu kuning. Jika seekor anjing mengalami mutasi kehilangan fungsi pada MC1R, ia juga akan mempunyai lapis bulu kuning, tanpa mengira genotip pada dua lokus lain. Anjing yang membawa alel jenis liar untuk MC1R dan Agouti, bersama-sama dengan alel hitam CBD103, akan mempunyai lapis bulu hitam.[15][b]
Menurut sebuah kajian tahun 2011, 13 ekor daripada 245 ekor labrador yang dikaji adalah heterozigot untuk mutasi M264V yang bertanggungjawab atas topeng melanisme dan satu seekor adalah homozigot. Dalam baka ini, trait ini tidak dapat ditentukan hanya dengan penampilan.[16]

Susur galur pertunjukan dan susur galur padang

Sebagai hasil daripada pembiakbakaan khusus, terdapat perbezaan ketara antara susur galur baka padang dan ujian dengan susur galur baka pertunjukan bagi labrador. Di Amerika Syarikat, susur galur baka padang kadang-kadang dirujuk secara silap sebagai susur galur "Amerika" dan susur galur baka pertunjukan sebagai "Inggeris". Malah, kedua-dua jenis padang dan jenis pertunjukan dibiakbakakan di kedua-dua negara dan semua anjing pengutip Labrador diturunkan daripada susur galur British.[17]
Remove ads
Kesihatan
Anjing pengutip Labrador mempunyai kecenderungan terhadap hepatitis kronik.[18] Sebuah kajian United Kingdom mendapati nisbah kemungkinan 4.14.[19] Sesetengah kajian melaporkan kecenderungan untuk anjing pengutip Labrador betina.[18] Sebab untuk kecenderungan ini tidak diketahui. Idea yang dicadangkan termasuk bahawa ini keadaan keturunan[20] atau keadaan persekitaran.[21] Anjing pengutip Labrador juga menunjukkan kecenderungan terhadap penyakit hati hempedu lain, termasuk: hepatitis reaktif, hiperplasia nodul, dan penyakit pundi hempedu.[19]
Sebuah kajian United Kingdom mendapati bahawa purata jangka hayat baka ini ialah 13.1 tahun.[22] Sebuah kajian bersama oleh Royal Veterinary College dan Universiti Sydney berkesimpulan bahawa anjing pengutip Labrador berwarna coklat mempunyai purata jangka hayat lebih pendek berbanding dengan warna lain anjing pengutip Labrador (sebanyak kira-kira 10%) dan lebih berkemungkinan untuk menghidap sesetengah masalah kesihatan.[23] Sebuah kajian Itali tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 11 tahun untuk baka ini berbanding dengan 10 tahun secara keseluruhan.[24] Sebuah kajian Sweden tahun 2005 tentang rekod insurans mendapati bahawa 25% daripada jumlah anjing pengutip Labrador mati menjelang usia 10 tahun, yang lebih rendah daripada kadar keseluruhan pada 35% daripada jumlah anjing yang mati menjelang usia 10 tahun.[25]
Anjing pengutip Labrador agak terdedah kepada displasia pinggul dan displasia siku,[26] terutamanya pada anjing lebih besar.[27] Penyakit mata mungkin termasuk atrofi retina progresif, katarak, distrofi kornea[26] dan displasia retina.[28] Ia dapat mengalami rebah cetusan senaman, yang menyebabkan hipertermia, kelemahan, rebah, dan kekeliruan selepas senaman singkat,[29] atau kegemukan, yang dalam sesetengah kes mungkin sebahagiannya disebabkan oleh ketiadaan sebahagian atau semua gen proopiomelanokortin.[30][31]
Anjing pengutip Labrador ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat degenerasi rod-kon progresif. Suatu mutasi resesif autosom pada gen PRCD bertanggungjawab atas keadaan ini pada baka ini.[32]
Remove ads
Kegunaan

Anjing pengutip Labrador telah terbukti mempunyai kadar kejayaan tinggi dalam menjadi anjing pandu. Sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2006 menguji kesesuaian empat baka berlainan (anjing pengutip Labrador, anjing pengutip keemasan, kacukan anjing pengutip Labrador/anjing pengutip keemasan, dan anjing gembala Jerman) sebagai anjing pandu. Dalam uji kaji ini, anjing gembala Jerman mempunyai peluang paling tinggi untuk tidak menyelesaikannya. Anjing pengutip Labrador dan kacukan anjing pengutip Labrador/anjing pengutip keemasan mempunyai kadar kejayaan paling tinggi. Walau bagaimanapun, anjing gembala Jerman dan anjing pengutip keemasan mempunyai kadar kejayaan lebih tinggi selepas menjalani latihan lebih lama daripada latihan diwajibkan untuk anjing pengutip Labrador.[33][34]
Anjing pengutip Labrador ialah gundog yang dibiakbakakan untuk mengutip di darat dan di dalam air.[35] Sebagai anjing yang dibiakbakakan secara khas untuk pengutipan di dalam air, labrador telah mengembangkan pelbagai trait untuk pekerjaan ini. Untuk pengutipan, anjing pengutipan Labrador mempunyai mulut lembut, trait yang membolehkannya membawa buruan dan unggas air tanpa merosakkannya.[36] Untuk renangan pula, labrador dibantu oleh kaki renang penuh, ekor mirip berang-berang, dan lapis bulu kalis air.[37]
Kecerdasan tinggi, inisiatif, dan hala tuju diri pada labrador dalam peranan kerja dicontohi oleh anjing seperti Endal, yang dilatih untuk, jika perlu, meletakkan manusianya yang menggunakan kerusi roda dalam kedudukan pemulihan, menyelimutinya, dan mengaktifkan telefon kecemasan.[38] Sebilangan labrador juga telah diajar untuk membantu pemiliknya dengan mengeluarkan wang dan kad kredit daripada ATM dengan latihan terdahulu.[39]
Baka ini digunakan dalam penyelamatan air/penyelamatan nyawa. Ini berterusan dalam peranan itu kini, bersama-sama dengan anjing Leonberg, anjing Newfoundland, dan anjing pengutip keemasan; ia digunakan di Sekolah Anjing Penyelamat Itali.[40]
Dalam peperangan
Labrador telah digunakan sebagai anjing perang.
- Perang Dunia Ke-2: Labrador digunakan untuk tugas seperti pengesanan bom dan pengendalian situasi berbahaya.[41]
- Perang Vietnam: Labrador berkhidmat sebagai anjing penjejak yang menyedarkan pengendali tentang penembak hendap, belantik, dan persembunyian senjata. Pelatihannya membolehkannya menentukan lokasi musuh tercedera, kakitangan hilang, atau kedudukan musuh.[42]:278[43]
- Kegunaan ketenteraan moden: Labrador terus berkhidmat dalam peranan seperti pengesanan bom dan operasi pencarian dan penyelamatan. Perilaku tenangnya dan kebolehsuaiannya menjadikannya sesuai untuk pelbagai tugas ketenteraan.
Remove ads
Demografi
Labrador ialah anjing yang luar biasa popular. Setakat tahun 2006, ia dianggap secara meluas sebagai baka paling popular di dunia[perlu rujukan] dan ia merupakan anjing paling popular dari segi pemilikan di Kanada, di New Zealand,[44] dan di United Kingdom.[45] Pada tahun 2006, di United Kingdom dan di Amerika Syarikat, terdapat lebih dua kali lebih banyak labrador berdaftar berbanding dengan baka paling popular seterusnya.[46][47] Jika perbandingan terbatas kepada baka anjing dengan saiz serupa, maka terdapat kira-kira 3–5 kali lebih banyak labrador yang didaftarkan di kedua-dua negara berbanding dengan baka paling popular seterusnya, anjing gembala Jerman dan anjing pengutip keemasan.[46][47]
Ia merupakan baka anjing pembantu paling popular di Amerika Syarikat, di Australia, dan di banyak negara lain,[48] serta digunakan secara meluas oleh pihak polis dan badan rasmi lain untuk pengesanan dan kebolehan kerjanya. Hampir-hampir 60%–70% daripada semua anjing pandu di Amerika Syarikat merupakan labrador.[perlu rujukan]
Pada tahun 2022, anjing pengutip Labrador ialah baka kedua paling popular di Amerika Syarikat.[49] Pada tahun 2020, labrador ialah baka anjing berdaftar paling popular di New Zealand.[50]
Tujuh daripada tiga belas ekor "gundog cemerlang" yang dilantik dalam tempoh 2000–2005 oleh Australian National Kennel Council dalam 'dewan kemasyhuran'-nya merupakan labrador.[51]
Remove ads
Anjing pengutip Labrador terkenal

Anjing pengutip Labrador terkenal dalam pelbagai kategori termasuk:
Anjing pembantu
- Endal, seekor anjing khidmat[38] di Britain. Antara penghormatan lain, "anjing paling berpingat di dunia" (termasuk "Dog of the Millennium" dan Pingat Emas PDSA untuk Keberanian dan Bakti Haiwan kepada Tugas), anjing pertama yang menaiki Mata London dan anjing pertama yang diketahui mengerjakan kad ATM 'chip and pin'. Menjelang kematian Endal pada Mac 2009, ia dan pemiliknya/pengendalinya Allen Parton telah difilemkan sebanyak hampir 350 kali oleh kru dari beberapa buah negara dan sebuah sebuah filem setahun dalam kehidupan Endal dalam pembikinan.
- Sully, berkhidmat dengan bekas Presiden Amerika Syarikat George H. W. Bush semasa enam bulan terakhir kehidupannya; terkenal kerana peranan beliau semasa pengebumian presiden. Suatu bentuk penyakit Parkinson melumpuhkan bekas presiden itu ke atas kerusi roda atau skuter bermotor dalam tahun-tahun terakhir kehidupan beliau. Antara perkhidmatan yang dapat dilaksanakan oleh Sully untuk Bush merupakan pengutipan barang terjatuh, pembukaan dan penutupan pintu, penolakan butang kecemasan, dan penyokongan beliau semasa berdiri.[52]
Anjing polis, ketenteraan, penyelamatan, dan penghidu
- Frida (12 April 2009 – 15 November 2022)[53] ialah seekor anjing pengutip Labrador kuning yang bekerja sebagai anjing pencarian dan penyelamatan untuk Tentera Laut Mexico (SEMAR). Ia dikerahkan untuk membantu usaha penyelamatan selepas bencana alam.
- Zanjeer ("Chain", atau "Shackles"), seekor anjing penghidu yang mengesan senjata dan amunisi yang digunakan dalam letupan bersiri Mumbai 1993. Semasa khidmatnya, ia membantu untuk menemukan 57 buah bom buatan tempatan, 175 buah bom petrol, 11 buah persenjataan gred ketenteraan, 242 buah grenad, dan 600 buah peledak. Sumbangan terbesarnya kepada angkatan polis dan bandar raya ialah pengesanan 3,329 kg RDX. Ia juga membantu untuk mengesan 18 buah raifal Jenis 56 dan lima buah pistol 9mm.
- Lucky dan Flo, anjing pengutip Labrador hitam kembar, yang merupakan anjing pengesan barang palsu, yang menjadi terkenal pada tahun 2007 kerana "menghidu hampir 2 juta keping DVD palsu" dalam peminjaman enam bulan ke Malaysia pada tahun 2007.[54] Ikutan pengesanan di Malaysia yang membawa kepada 6 penahanan dengan nilai berbilang juta dolar, mereka menjadi anjing pertama yang dianugerahi "anugerah perkhidmatan cemerlang" Malaysia[55] dan pencetak rompak perisian dinyatakan pernah meletakkan kontrak £30,000 untuk nyawa mereka berdua.[56][57]
- Sarbi, seekor anjing penghidu bahan letupan pasukan operasi khas Australia yang meluangkan hampir 14 bulan hilang sewaktu bertugas (MIA) di Afghanistan sebelum ditemukan semula dengan selamat dan baik pada tahun 2009.[58][59]
- Jake, seekor anjing Labrador hitam Amerika Syarikat yang berkhidmat sebagai seekor anjing pencarian dan penyelamatan ikutan serangan 11 September 2001 dan Hurikan Katrina.[60]
- Salty dan Roselle, dianugerahi Pingat Dickin kerana keberanian menonjol atau bakti kepada tugas semasa berkhidmat dalam konflik ketenteraan. Mereka membawa pemilik buta mereka menuruni lebih daripada 70 larian tangga untuk melepaskan diri daripada World Trade Center yang rosak pada 11 September 2001.[61]
- Sadie, dianugerahi Pingat Dickin kerana keberanian menonjol atau bakti kepada tugas semasa berkhidmat dalam konflik ketenteraan. Ia mengesan alat letupan, yang kemudian dimatikan, semasa berkhidmat di Kabul, Afghanistan pada November 2005; ia berkhidmat dengan Royal Gloucestershire, Berkshire and Wiltshire Regiment.[62]
- Sasha, dianugerahi Pingat Dickin kerana keberanian menonjol atau bakti kepada tugas semasa berkhidmat dalam konflik ketenteraan. Ia mengesan 15 buah alat letupan reka ganti, mortar, periuk api, dan senjata semasa berkhidmat di Afghanistan dengan Kor Veterinar Tentera Darat Diraja British. Pada Julai 2008, Sasha dan pengendalinya terkorban dalam serbuan Taliban akibat grenad dorongan roket.[63][64]
Anjing peliharaan
- Anjing pengutip Labrador milik bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton, Buddy dan Seamus.[65]
- Anjing pengutip Labrador milik Presiden Rusia Vladimir Putin, "Konni".[66]
- Marley, "Anjing Paling Teruk di Dunia", yang ditampilkan dalam buku autobiografi karya wartawan John Grogan Marley & Me, yang diadaptasi menjadi sebuah filem drama komedi tahun 2008 dengan nama sama.
- Anjing pengutip Labrador milik penyanyi Kanada Celine Dion, Charlie dan Bear. Charlie dan Bear ditampilkan dalam banyak majalah dengan penyanyi itu dan keluarga beliau, lalu menjadi anjing peliharaan selebriti atas nama sendiri.[67]
Remove ads
Catatan
- Jawi: انجيڠ ڤڠوتيڤ لابرادور; bahasa Inggeris: Labrador retriever
- "Penghasilan pigmen kuning melawan hitam pada anjing dikawal oleh tiga gen: MC1R, Agouti, dan CBD103. Anjing yang membawa alel jenis liar untuk ketiga-tiga gen mempunyai lapis bulu kuning yang terhasil daripada antagonisme Agouti bagi pengisyaratan MC1R di dalam melanosit (great dane kuning, atas). Anjing yang membawa mutasi kehilangan fungsi pada MC1R mempunyai lapis bulu kuning tanpa mengira genotipnya pada Agouti atau CBD103 (anjing pengutip Labrador kuning, tengah). Anjing yang membawa alel jenis liar untuk MC1R dan Agouti bersama-sama dengan alel hitam dominan bagi CBD103 (KB) mempunyai lapis bulu hitam yang terhasil daripada interaksi antara defensin β dengan MC1R (anjing pengutip berbulu keriting hitam, bawah." — Candille, Kaelin, et al. (2007)[15]
Remove ads
Rujukan
Sumber
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads