Pakma
genus tumbuhan From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Pakma, padma, patma atau kerubut ialah sejenis tumbuhan berbunga dalam genus parasit Rafflesia keluarga Rafflesiaceae.[2][3] Spesies-spesiesnya berbunga besar daripada kudup yang muncul terus dari tanah atau berpangkal pada pokok perumah; salah satu spesies genus ini mempunyai bunga yang terbesar di dunia. Genus ini memuatkan kira-kira 28 spesies (termasuk empat spesies yang belum selesai dicirikan sesuai yang dikenal pada 1997 oleh Willem Meijer dalam monograf terbaru genus itu), semua spesies dalam genus ini ditemui di Asia Tenggara.
Ia julung kali diberi perhatian oleh orang Barat melalui penemuan oleh pakar bedah dan alamiah Perancis, Louis Auguste Deschamps di Jawa antara 1791 dan 1794; namun, catatan dan gambarannya dirampas oleh tentera laut British pada 1803 dan tidak diterbitkan kepada ahli-ahli sains Barat sampai tahun 1861.[2]
Remove ads
Penamaan
Nama-nama padma (Jawi: ڤدما), pakma (Jawi: ڤقما) dan patma (Jawi: ڤتما) diserap daripada perkataan पद्म padma dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud "teratai";[4][5] nama patma diberikan melalui bahasa Jawa[6] yang juga dipakai di Sarawak.[7] Nama pakma dikenali umum di Malaysia dan pernah dipakai khusus kepada spesies Rafflesia patma di Perak[6] dan R. hasseltii di pulau Sumatera,[8][4] nama padma dipakai di Indonesia.[di mana?][perlu rujukan]
Nama kerubut (Jawi: كروبوت) adalah nama setempat dicatatkan dalam surat yang ditulis oleh Joseph Arnold mengenai sekuntum bunga yang ditemui beliau bersama seorang penjawat Melayu di hutan hujan Bengkulu, Sumatera pada tahun 1818; spesies bunga ini kini diberi nama botani R. arnoldii.[8][9] Masyarakat asli Bengkulu memanggil bunga ini sekedai daripada ibeun sekedai kerana bentuk bunganya seperti bekas tepak sirih bujur (ibeun) dalam bahasa Rejang.[10]
Ia mempunyai banyak nama tempatan lain termasuk bunga akar, kukuanga, yak-yak, wusak tumbuakar, kemubut, sikinlili, ambai-ambai, ambun-ambun, pelimun dan petimun.[7][11] Bunga kubis, bunga akar dan bunga tumbuakar pula dipakai khusus untuk menyebut spesies R. tuanku-halimii.[12] Tumbuhan ini turut disebut bunga bangkai namun nama tersebut turut merujuk kepada spesies Amorphophallus titanum.
Taksonomi
Genus Rafflesia dinamakan Joseph Arnold semasa menulis tentang bunga di hutan hujan Bengkulu sempena Stamford Raffles, pendiri jajahan di Singapura yang mengetuai ekspedisi British pertama ke hutan tersebut.[8]
Remove ads
Botani
Pakma ialah tumbuhan yang aneh. Bunganya yang kembang mengeluarkan bau yang teramat busuk, dan tumbuhan ini juga agak berat. Tidak seperti tumbuhan lain, ia tidak mempunyai daun untuk memproses karbon dioksida dan cahaya matahari bagi menghasilkan gula dan oksigen. Ia juga tidak mempunyai akar untuk menyerap air dan mineral dari tanah untuk diproses sebagai protein. Apa yang ada cumalah tisu-tisu yang kelihatan seperti tiub-tiub halus yang panjang memasuki tumbuhan perumah. Hal ini menunjukkan ciri bunga pakma sebagai sejenis parasit yang tidak perlu menghasilkan nutrisinya sendiri tetapi hanya perlu menyerap nutrisi tersebut daripada perumahnya yang juga merupakan tumbuh-tumbuhan lain.[13]
Selalunya apa yang dilihat kelihatan seperti bunga yang besar. Bunga ini merupakan organ seks yang kadangkala dilihat di tempat paling atas sesuatu tumbuhan yang melingkar atau biasanya terdapat pada mana-mana permukaan tanah yang agak lembap. Warna yang merah kecoklatan bagi kelopaknya, ditaburi dengan bintik-bintik putih menghasilkan bau yang amat tidak menyenangkan, hampir sama dengan bau yang dikeluarkan daging atau bangkai yang reput.
Sesetengah percaya[siapa?] bahawa bau busuk ini menarik perhatian lalat dan serangga lain, dan membantu dalam menyebarkan benih raflesia. Agar benih ini dapat tumbuh dan membesar, ditemukan bahawa lingkaran tumbuhan perumah mesti dirosakkan dengan apa cara sekalipun bagi membolehkan tiub-tiub raflesia itu dapat memasukkan benihnya ke dalam tumbuhan perumah.[perlu rujukan]
Kerosakan pada tumbuhan perumah boleh dihasilkan dengan cara dipijak oleh haiwan. Benih-benih akan melekat pada tapak kaki haiwan yang berlalu dan dipindahkan ke tempat lain di mana benih ini akan mencari tumbuhan perumah yang boleh dijadikan tempat tinggal. Walau bagaimanapun, hal ini tidak boleh dibuktikan. Didapati bahawa tumbuhan ini selalunya dijumpai di kawasan yang berlaku banyak aktiviti dan kurang di kawasan lain.[perlu rujukan]
Remove ads
Spesies



Spesies diterima
Setakat Jun 2022[kemas kini], pangkalan data Plants of the World Online menerima spesies-spesies berikut:[3]
- Rafflesia arnoldii R.Br. – pakma raksasa, kerubut – Sumatera, Borneo
- Rafflesia aurantia Barcelona, Co & Balete – Filipina (Luzon)
- Rafflesia azlanii Latiff & M.Wong – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia baletei Barcelona & Cajano – Filipina (Luzon)
- Rafflesia banaoana Malabrigo – Filipina (Luzon); dijadikan sinonim bagi R. leonardi oleh sumber lain[14]
- Rafflesia bengkuluensis Susatya, Arianto & Mat-Salleh – Sumatera
- Rafflesia borneensis Koord. – Borneo (timur laut Kalimantan)
- Rafflesia camarinensis F.B.Valenz., Jaucian-Adan, Agoo & Madulid – Filipina
- Rafflesia cantleyi Solms – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia ciliata Koord. – Borneo (timur laut Kalimantan)
- Rafflesia consueloae Galindo, Ong & Fernando – Filipina (Luzon)
- Rafflesia gadutensis Meijer – Sumatera
- Rafflesia hasseltii Suringar – ambai-ambai, kerubut – Sumatera
- Rafflesia horsfieldii R.Br. – Jawa Barat
- Rafflesia keithii Meijer – Borneo
- Rafflesia kemumu Susatya, Hidayati & Riki – Sumatera
- Rafflesia kerrii Meijer – Thailand, Semenanjung Malaysia
- Rafflesia lagascae Blanco – Filipina (Luzon)
- Rafflesia lawangensis Mat-Salleh, Mahyuni & Susatya – Sumatera
- Rafflesia leonardi Barcelona & Pelser – Filipina (Luzon)
- Rafflesia lobata Galang & Madulid – Filipina (Panay)
- Rafflesia manillana Teschem. – Filipina (Samar)
- Rafflesia meijeri Wiriad. & Sari – Sumatera Utara
- Rafflesia micropylora Meijer – Sumatera
- Rafflesia mira Fernando & Ong – Filipina (Mindanao)
- Rafflesia mixta Barcelona, Manting, Arbolonio, R.B.Caball. & Pelser – Filipina (Mindanao)
- Rafflesia parvimaculata Sofiyanti, K.Mat-Salleh, Khairil, Zuhailah, Mohd.Ros. & Burs – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia philippensis Blanco – Filipina (Luzon)
- Rafflesia pricei Meijer – Borneo
- Rafflesia rochussenii Teijsm & Binn. – Jawa, Sumatera
- Rafflesia schadenbergiana Göpp. ex Hieron – Filipina (Mindanao)
- Rafflesia sharifah-hapsahiae J.H.Adam, R.Mohamed, Aizat-Juhari & K.L.Wan – bunga pecah belah – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia speciosa Barcelona & Fernando – Filipina (Panay)
- Rafflesia su-meiae M.Wong, Nais & F.Gan – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia tengku-adlinii Mat-Salleh & Latiff – Borneo (Sabah)
- Rafflesia tiomanensis Siti-Munirah, Salamah & Razelan – Pulau Tioman, Semenanjung Malaysia
- Rafflesia tuan-mudae Becc. – Borneo (Sarawak)
- Rafflesia tuanku-halimii J.H.Adam, Aizat-Juhari, Azilah & K.L.Wan – tumbuakar, bunga akar – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia tunku-azizahiae J.H.Adam, Aizat-Juhari & K.L.Wan – Semenanjung Malaysia
- Rafflesia verrucosa Balete, Pelser, Nickrent & Barcelona – Filipina (Mindanao)
- Rafflesia witkampii Koord. – Borneo (timur Kalimantan)
- Rafflesia zollingeriana Koord. – timur Jawa
Remove ads
Taburan
Raflesia boleh ditemukan di sepanjang kawasan Semenanjung Melayu.[15][16]
Semenanjung Melayu
Di Malaysia, bunganya boleh ditemukan di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu. Di Perak, tiga spesies bunga ini ditemukan di Taman Negeri Royal Belum dan hutan simpan Gerik iaitu Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii. Rafflesia azlanii dinamakan sempena Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.[15] Sementara itu, dua spesies dengan perumah Tetrastigma dapat ditemukan di tiga tempat di Kelantan. Spesies Rafflesia cantleyi dapat ditemukan di Ulu Sat dan Chabang Tongkat, sedangkan Rafflesia kerrii ditemukan di Lojing.[17]
Tambahan lagi, dua tempat di Pahang di mana bunga ini boleh ditemukan ialah hutan simpan Lembah Benum dan Lata Jarum.[18][19] Di Terengganu, bunga spesies Rafflesia cantleyi dapat ditemukan di Kuala Berang. Bunga yang ditemukan di sini tergantung pada akar pokok perumahnya bermeter-meter dari permukaan tanah, tidak macam bunga biasa yang ditemukan pada akar di tanah.[20]
Kawasan bunga ini dijadikan tarikan pelancong untuk pendaki dan peminat kerencaman biologi, dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang tempatan.[17][18][19][20]
Di Thailand, bunga pakma boleh ditemukan di Taman Negara Khao Sok di mana bunganya dikira dan dipantau oleh renjer taman.[16]
Borneo
Spesies-spesies yang tumbuh asli di pulau Borneo termasuk Rafflesia arnoldii, R. cantleyi, R. hasseltii, R. keithii, R. kerrii, R. pricei, R. tengku-adlinii dan R. tuan-mudae. R. arnoldii yang gah selaku bunga tunggal terbesar di dunia.[21]
Malaysia
R. keithii ialah spesies yang endemik di Sabah dan banyak ditemukan di sekitar kawasan Poring, Ranau, Sabah; ia spesies yang terbesar daripada ketiga-tiga spesies yang ditemukan di wilayah Malaysia. Bunganya berukuran sekitar 60 cm ke 80 cm. Disebabkan ukuran, bunganya sering ditemukan tumbuh atas tanah pada batang atau akar bawah tanah pokok Tetrastigma lanceolarium.[22][23]
Filipina
Terdapat satu spesies bunga pakma ditemukan di pulau Mindanao iaitu Rafflesia schadenbergiana yang dinamakan sempena pakar alamiah Alexander Schadenberg yang julung kali menemukan spesies itu di kaki Gunung Apo pada 1882. Dengan bunga hampir semeter, ia mirip ukuran seorang budak sedang duduk. Di Mindanao, spesies itu terlihat di Davao del Sur, selatan Cotabato dan Gunung Kitanglad di Bukidnon.[24] R. mira dan R. magnifica adalah dua nama untuk satu spesies tunggal. Kededuanya ditemukan di Gunung Candalaga di Maragusan, Lembah Compostela.
Spesies ketiga di Mindanao ialah R. mixta yang setakat ini hanya ditemukan di bandar Mainit, Surigao del Norte. Ia menunjukkan gabungan tiga ciri raflesia Filipina, iaitu bentuk dan ukuran proses mengerucut pada R. schadenbergiana, ukuran bunga dan bintil tenda bunga yang tersebar jarang R. spesiosa, dan kesamaan menyeluruh ukuran bunga, bau yang lemah, gegendang dan morfologi ramentum R. mira.[25] Spesies keempat pula Rafflesia verrucosa yang ditemukan hanya di Gunung Kampalili di wilayah Davao Oriental.[26]
Remove ads
Ekologi

Spesies Rafflesia dikatakan holoparasit bagi akaran genus Tetrastigma iaitu pepanjat dari keluarga anggur, Vitaceae. Mereka dengan itu menjadi hiperparasit lantaran Tetrastigma sendiri adalah parasit berstruktur bagi pokok yang mereka panjat untuk mendapatkan cahaya. Rafflesia muncul sebagai "spesies-spesifik", dengan setiap spesies Rafflesia sejadinya hanya tumbuh pada satu ke tiga spesies Tetrastigma. Daripada 57 spesies dikenal Tetrastigma, hanya sepuluh diketahui menjadi pokok perumah. Daripada genap 30 spesies Rafflesia pula, pokok tumpangnya hanya diketahui dari sekitar setengah spesiesnya.
Spesies tertentu Tetrastigma digemari dalam kalangan Rafflesia: T. tuberculatum adalah pokok perumah bagi sekurang-kurangnya 15 spesies, dan hanya dua spesies Filipina diketahui tidak menjangkitinya. Kededua T. papillosum dan T. diepenhorstii pula memperumahkan sekurang-kurangnya dua spesies. Bunganya boleh bertunas pada tempat berlainan; R. cantleyi berbunga pada pepanjat sekitar dua meter dari tanah,[27] sedangkan R. zollingeriana sering bertunas pada akar dan muncul dari tanah.
Nisbah jantinanya boleh jadi pencong. Bagi R. lobata, terdapat sekurang-kurangnya sembilan bunga jantan untuk setiap bunga betina.[28] Kekadang, terdapat bunga dengan kededua jantina pada satu-satu kedudukan untuk memastikan pendebungaan dan pembiakan seks berlaku. Ini pun belum berpada: bunga betina apapun masih boleh mengeluarkan buah dan menjadi agamospermus.[27] Perbungaan selalunya tetap dan tapak itu akan terus berbunga untuk berdekad-dekad.[29]
Bagi Rafflesia arnoldii, bunganya dilawati oleh lalat Drosophila colorata, Chrysomya megacephala dan Sarcophaga haemorrhoidalis. Semut hitam genus Euprenolepis memakan kudup yang berkembang dan boleh memusnahkannya.[30] Mamalia yang diketahui memakan bunganya adalah tupai kekes (Tupaia javanica) dan landak Sunda (Hystrix javanica). Mamalia yang dicatatkan merosakkan kudup atau bunganya, selalunya dengan memijak atau menghancurkannya pula adalah babi hutan (Sus scrofa), kucing batu (Felis bengalensis), rusa Jawa (Cervus timorensis), kijang (Muntiacus muntjak) dan banting (Bos javanicus).[27]
Remove ads
Lihat juga
- Pakma tikus, tumbuhan genus Rhizanthes
- Bunga bangkai
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
