Terengganu

negeri Malaysia di Semenanjung Melayu From Wikipedia, the free encyclopedia

Terengganumap
Remove ads

Terengganu (Jawi: ترڠݢانو دار الإيمان, sebutan tempatan: Tranung, Kelantan-Pattani: Ganu) atau nama penuhnya Terengganu Darul Iman ialah sebuah kesultanan dan negeri di Malaysia. Bandar pesisir pantai Kuala Terengganu, yang terletak di muara Sungai Terengganu, merupakan ibu negeri, bandar diraja juga bandar terbesar di Terengganu. Antara bandar dan pekan utama lain termasuklah Jerteh, Kuala Dungun, Chukai, Kuala Berang, Marang dan Permaisuri. Dengan keluasan 13,035 kilometer persegi dan populasi lebih 1.2 juta orang pada tahun 2023, Terengganu merupakan negeri ketujuh terbesar dan ke-10 paling berpenduduk di Malaysia. Terengganu, bersama-sama dengan Kelantan, Putrajaya dan Perlis, merupakan antara negeri yang paling homogen di Malaysia, di mana hampir 95% penduduknya berbangsa Melayu, dengan dialek, budaya, sejarah dan tradisinya yang tersendiri.

Fakta Segera TranungGanu (mfa), Transkripsi lain ...

Terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia, Terengganu bersempadan dengan negeri Kelantan di utara, Pahang di barat dan selatan, serta Laut China Selatan di timur. Terengganu secara geografinya terbahagi kepada kawasan pedalaman kurang berpenduduk dan bergunung-ganang (dikenali sebagai Tanah Tinggi Terengganu dengan puncak tertingginya ialah Gunung Lawit yang berketinggian 1,519 meter) yang merangkumi kawasan dari sempadan Kelantan ke daerah Kemaman, dan sebahagian besar kawasannya yang terdiri daripada daratan pantai rata yang menempatkan majoriti penduduk negeri ini. Terengganu terkenal dengan garis pantainya yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dan antara yang terbersih di Malaysia.[4] Banyak pulau terkenal di Malaysia yang terletak di negeri ini seperti Pulau Perhentian, Kapas, Redang, dan juga Pulau Bidong yang pernah menempatkan ribuan pelarian Vietnam sekitar tahun 1970-an.

Remove ads

Etimologi

Terdapat beberapa teori berbeza mengenai asal usul nama Terengganu. Satu teori mengaitkan asal nama Terengganu dengan perkataan "terang ganu" yang bermaksud 'pelangi cerah' dalam Bahasa Melayu.[5] Satu lagi kisah yang dikatakan asalnya diceritakan oleh Sultan Omar, Sultan Terengganu kesembilan, yang mengisahkan tentang sekumpulan pemburu dari Pahang yang mengembara dan memburu di kawasan yang kini merupakan selatan Terengganu. Salah seorang pemburu itu ternampak sebuah taring besar terbaring di atas tanah. Pemburu yang lain bertanyakan kepadanya, apakah haiwan yang memiliki taring seperti itu. Pemburu itu yang tidak mengetahui mana-mana haiwan yang memiliki taring itu, hanya menjawab 'taring anu' yang bermaksud taring sesuatu. Mereka kemudiannya kembali ke Pahang dengan hasil buruan, bulu dan kayu cendana yang banyak, lantas menarik perhatian penduduk lain. Mereka bertanyakan kepada pemburu itu, di manakah tempat mereka mendapatkan hasil yang banyak itu. Pemburu itu kemudiannya menjawab tanah taring anu, yang kemudiannya berubah menjadi Terengganu.[5] Terengganu pernah disebut sebagai Trangkanu (Thai: ตรังกานู) oleh Siam semasa di bawah pentadbiran mereka. Orang Terengganu pula selalunya menyebut Terengganu sebagai Tranung atau Ganu dengan huruf G sering dititikberatkan.[6]

Remove ads

Sejarah

Thumb
Batu Bersurat Terengganu. Mengandungi inskripsi bertulisan Jawi yang berkisarkan undang-undang tempatan berasaskan Syariah.

Zaman Prasejarah

Penempatan manusia mungkin telah wujud di Terengganu seawal 16 ribu tahun yang lalu sewaktu zaman Paleolitik, dibuktikan dengan penemuan rangka manusia di Gua Bewah, Hulu Terengganu pada 2009. Rangka yang digelar sebagai Orang Bewah (Bewah Man) itu telah dianalisis sebagai rangka manusia moden tertua pernah dijumpai di Malaysia, 5,000 tahun lebih tua daripada rangka yang ditemui di Perak.[7]

Zaman Hindu-Buddha

Kedudukan Terengganu di tepi Laut China Selatan memastikan keberadaannya di laluan perdagangan sejak zaman dahulu. Dalam atlas kedua Ptolemy iaitu Geografi, Terengganu dirujuk sebagai sama ada Perimula, Kole Polis atau Tharra. Laporan bertulis terawal yang menyebut nama Terengganu ialah daripada rekod para pedagang dan pelaut China pada awal abad ke-6. Sewaktu awal zaman Hindu-Buddha, Terengganu dikenali sebagai Tan-Tan yang berpusat di lokasi yang kini disebut sebagai Kuala Telemung. Ia merupakan sebuah kerajaan kuno kecil yang berada di bawah pengaruh Langkasuka, sebuah kerajaan yang berpusat di Kedah atau Patani pada abad pertama. Pada abad ketujuh, dinasti Langkasuka yang pernah memerintah Terengganu digantikan dengan kerajaan baharu Srivijaya. Di bawah pengaruh Srivijaya, Terengganu telah berdagang secara meluas dengan kerajaan lain di Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Campa, Empayar Khmer, Majapahit dan China.

Permulaan era moden

Terengganu merupakan negeri Melayu pertama yang menerima Islam, dibuktikan dengan Batu Bersurat Terengganu bertulisan Arab yang ditemui di Kuala Berang. Tarikh tertulis yang tidak lengkap akibat kerosakan pada batu itu boleh dibaca sebagai beberapa tarikh dalam jangka masa sekitar tahun 702 hingga 789 H (1303 hingga 1387 M).[8] Terengganu telah menjadi negeri naungan Melaka, namun kuasa autonominya mula berkembang dengan munculnya Kesultanan Johor-Riau. Pada tahun 1710, kerajaan Ayutthaya telah menakluk Terengganu. Namun ketika Johor bersedia untuk menangkis serangan ke atas wilayah lindungannya, tentera Ayutthaya melencong untuk melawan serangan Vietnam di Kemboja.[9] Di akhir dinasti Johor-Melaka pada tahun 1699, Terengganu menjadi pembekal utama lada kepada pedagang China dan perahu, walaupun kerajaan ini hanya mempunyai 500 askar dan tiada armada. Selepas dikalahkan dalam perang saudara Johor pada 1718, Sultan Abdul Jalil IV dari Johor telah berpindah ke Terengganu. Baginda menubuhkan sebuah kerajaan saingan dan menganugerahkan gelaran penting kepada pemimpin tempatan, menarik Terengganu ke barisan hadapan politik Melayu.[10]

Thumb
Peta Mao Kun daripada Wubei Zhi yang berasal daripada peta penunjuk arah Zheng He abad ke-15 menampilkan Terengganu (丁架路) di bahagian atas kiri.

Terengganu muncul sebagai sebuah kesultanan bebas pada 1724. Sultan pertama ialah Tun Zainal Abidin, adinda kepada bekas sultan Johor, dan Johor berpengaruh kuat dalam politik Terengganu sepanjang abad ke-18. Namun, dalam Tuhfat al-Nafis, penulisnya, Raja Ali Haji menyatakan bahawa pada tahun 1725, Tun Zainal Abidin ditabal sebagai sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua, di bawah pemerintahan sultan Johor, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tradisi lisan pula menyatakan bahawa Tun Zainal Abidin telah ditabal sebagai sultan oleh Ratu Patani.[11]

Pelayar Scotland, Alexander Hamilton terkenal dengan beberapa rekod lawatannya ke Terengganu pada tahun 1719 dan 1720.[12]

Pada tahun 1741, Sultan Sulaiman menabalkan Sultan Mansur sebagai pemerintah Terengganu. Pemerintahan baginda dari 1741 hingga 1793 tampil dengan usaha baginda membentuk pakatan Melayu yang kuat bagi melawan pengaruh Bugis yang semakin meningkat. Baginda meluaskan kuasanya ke atas Kelantan yang sedang berpecah dan melemah pada 1764, dengan kemuncaknya ketika putera baginda dikahwinkan dengan puteri Kelantan. Sumber Eropah pada waktu itu memuji pentadbiran baginda yang terurus, dan baginda juga sangat dihormati oleh rakyatnya.[13]

Pada abad ke-19, di bawah pemerintahan Sultan Omar, Terengganu telah menjadi negeri naungan kerajaan Rattanakosin, dan menghantar ufti yang digelar bunga mas setiap tahun. Baginda dikenali sebagai seorang sultan yang taat, yang menggalakkan perdagangan dan kestabilan kerajaan. Terengganu terus makmur, dan sebahagian besarnya ditinggalkan sendirian oleh penguasa di Bangkok, tidak seperti Kelantan dan Patani.[14] Tempoh ini juga menyaksikan kewujudan kerajaan Besut Darul Iman, wilayah naungan Terengganu.

Era moden

Termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam 1909 menyaksikan kekuasaan dan pemerintahan ke atas Terengganu telah beralih dari Siam ke Britain. Seorang Penasihat British kepada Sultan telah dilantik pada 1919, dan Terengganu kemudiannya menjadi salah satu Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Perjanjian itu kemudiannya telah mencetuskan pelbagai pemberontakan pada 1922 dan 1925 sebelum mencapai kemuncak pada Mei 1928, di mana tercetusnya Pemberontakan Tani yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Pemberontakan ini kemudiannya berjaya dihalang oleh British.[15]

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Jepun telah menduduki Terengganu dan menyerahkan kedaulatannya kepada Thailand, bersama-sama dengan Kelantan, Kedah dan Perlis. Setelah kekalahan Jepun, British menubuhkan semula kawalannya di negeri-negeri Melayu termasuklah Terengganu. Terengganu menjadi ahli dalam Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada 1947. Persekutuan itu kemudiannya berjaya mendapatkan kemerdekaan pada tahun 1957, dengan Terengganu merupakan salah satu negerinya. Pada tahun 1963, Terengganu menjadi salah satu ahli dalam persekutuan baharu, Malaysia yang dibentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Setelah berdekad di bawah pentadbiran Barisan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mula mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 1999, menjadikan Terengganu negeri kedua di Malaysia diperintah oleh Parti Islam (yang pertama ialah Kelantan). Barisan Nasional kembali mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2004, dan terus memerintah sehingga tahun 2018. Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya kembali semula memerintah Terengganu sehingga kini.

Remove ads

Geografi

Thumb
Pemandangan Tasik Kenyir

Terengganu terletak di timur Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kelantan di utara, Pahang di selatan dan Laut China Selatan di timur. Negeri ini mempunyai jumlah keluasan kira-kira 13,035 km2 (5,033 bt2), menjadikannya negeri ketujuh terbesar di Malaysia. Ciri-ciri topografinya berkisarkan dari daratan berparas rendah di timur dan secara beransur-ansur menjadi lebih berbukit dan bergunung-ganang ke arah barat. Sempadan barat negeri ini dipadankan dengan Banjaran Pantai Timur yang turut menempatkan titik tertinggi negeri ini, iaitu Gunung Lawit yang berketinggian 1,519 meter. Banjaran ini menjadi kawasan tadahan air utama bagi sistem perairan negeri, di mana ia juga menempatkan Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Malaysia dan berfungsi sebagai takungan air utama negeri. Sungai Terengganu merupakan sungai utama di negeri ini, yang berasal dari kawasan pedalaman Hulu Terengganu, membentuk Tasik Kenyir di tengahnya lalu mengalir ke Kuala Terengganu dan bertemu dengan Laut China Selatan. Antara sungai lain yang berperanan penting di negeri ini termasuklah Sungai Kemaman dan Sungai Dungun di selatan negeri, Sungai Marang di tengah serta Sungai Setiu dan Sungai Besut di utara.

Terengganu dianggarkan mempunyai jumlah panjang garis pantai sebanyak 443 kilometer, menempatkan beberapa pantai yang menjadi tarikan pelancongan negeri ini. Antara pantai terkenal di negeri ini termasuklah Pantai Batu Rakit, Pantai Penarik, Pantai Rhu Sepuluh, Pantai Batu Buruk, Pantai Kemasik, Pantai Teluk Mak Nik, Pantai Penunjuk Kijal dan Pantai Kelulut. Di kawasan perairan negeri ini pula terletaknya 31 pulau, di mana beberapa daripadanya menjadi pusat peranginan terkenal dalam negara seperti Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang.

Kerajaan

Perlembagaan negeri

Perlembagaan negeri Terengganu mula berkuat kuasa pada 1911 dan digelar sebagai "Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu". Perlembagaan ini digubal sewaktu pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Perlembagaan ini mengandungi 53 fasal yang menggariskan pemerintahan, perundangan dan aspek keagamaan Terengganu.

Sultan Terengganu

Thumb
Istana Syarqiyyah, istana utama Sultan Terengganu.

Sultan merupakan pemerintah berpelembagaan dan ketua negeri bagi negeri Terengganu. Perlembagaan negeri ini menyatakan bahawa Sultan ialah pemerintah yang memiliki segala kuasa pemerintahan dan merupakan ketua kepada semua pangkat dalam kerajaan dan wilayah Terengganu, ketua agama Islam dan sumber kepada segala gelaran dan anugerah kehormat dalam negeri ini. Baginda juga memegang kuasa eksekutif negeri ini. Sultan terkini yang memerintah Terengganu ialah Sultan Mizan Zainal Abidin yang bertakhta sejak 1998. Istana Syarqiyyah merupakan istana utama Sultan Terengganu yang terletak di Bukit Chendering, Kuala Terengganu. Antara istana lain termasuklah Istana Maziah, Istana Badariah dan Istana Nur Nadhirah.

Perundangan dan eksekutif

Thumb
Bangunan Wisma Darul Iman yang merupakan lokasi persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Badan perundangan utama bagi negeri Terengganu ialah Dewan Undangan Negeri manakala kuasa eksekutif dipegang oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kedua-dua badan tersebut diketuai oleh Sultan sebagai ketua utama. Dewan Undangan Negeri Terengganu merupakan sebuah badan unikameral yang terdiri daripada 32 orang ahli. Setiap ahli dewan ini dipilih dari setiap kawasannya dalam pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Dewan ini mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang negeri. Kesemua 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang terkini dianggotai oleh ahli Perikatan Nasional, menjadikannya satu-satunya negeri satu parti di Malaysia.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula dianggotai 11 orang yang terdiri daripada ahli Dewan Undangan Negeri dalam kalangan parti yang memegang majoriti Dewan. Majlis ini diketuai oleh Menteri Besar yang juga merupakan ketua kerajaan negeri. Menteri Besar dilantik oleh Sultan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat majoriti kepercayaan ahli Dewan. Menteri Besar Terengganu yang terkini ialah Ahmad Samsuri Mokhtar dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Maklumat lanjut Gabungan, Ketua parti/gabungan ...

Undang-undang Syariah telah dilaksanakan di negeri Terengganu, di mana orang Islam sahaja tertakluk di bawah undang-undang ini. Pada tahun 2002, kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang membenarkan hukuman rotan, potong tangan, rejam dan salib. Namun, enakmen ini tidak dikuatkuasakan kerana had yang ditetapkan dalam Akta 355.[16]

Pecahan pentadbiran

Terengganu dibahagikan kepada lapan daerah, 99 mukim dan tujuh pihak berkuasa tempatan. Setiap daerah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan yang tersendiri, kecuali daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang ditadbir satu pihak berkuasa tempatan yang sama. Pihak berkuasa tempatan di Terengganu terdiri daripada sebuah majlis bandaraya, dua majlis perbandaran dan empat majlis daerah.[17][18]


Maklumat lanjut Daerah di Terengganu, Daerah ...
Remove ads

Demografi

Maklumat lanjut Tahun, Pend. ...

Menurut bancian penduduk Malaysia pada tahun 2020, negeri Terengganu mempunyai penduduk seramai 1,149,440 orang, dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.3 peratus dari tahun 2010.[2] Pada tahun 2023, dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.9 peratus, jumlah penduduk Terengganu dianggarkan meningkat kepada 1,209,400 orang.[20] Terengganu mempunyai kadar kepadatan penduduk keempat terendah di Malaysia dan kedua terendah di Semenanjung, dengan hanya 89 orang perkilometer persegi. Pada tahun 2021, Terengganu telah mencatatkan kadar kelahiran kasar paling tinggi di Malaysia, iaitu 22.5 per 1000 penduduk. Kadar kematian kasar negeri ini pula dicatatkan sebanyak 7.2 per 1000 penduduk. Kadar struktur umur penduduk Terengganu yang direkodkan pada tahun 2023 pula menunjukkan bahawa populasi negeri ini majoritinya merupakan golongan muda dan dewasa, di mana kumpulan penduduk berumur 0-14 tahun mencatatkan 28.1% dari jumlah penduduk, penduduk berumur 15-64 tahun mencatatkan 66%, manakala penduduk berumur lebih 64 tahun mencatatkan 5.9%.[20]

Daerah Kuala Terengganu, yang menempatkan ibu negeri Terengganu, merekodkan populasi tertinggi antara daerah dalam negeri ini dengan jumlah penduduk lebih 229 ribu orang. Daerah Kemaman merekodkan jumlah penduduk kedua tertinggi iaitu seramai 215 ribu orang. Daerah yang merekodkan jumlah penduduk paling rendah ialah Setiu yang merekodkan jumlah penduduk seramai 59 ribu orang.[21]

Pecahan etnik

Taburan Etnik di Terengganu (2020)[21]

  Melayu (94.9%)
  Cina (2.0%)
  Bumiputera lain (0.4%)
  India (0.2%)
  Lain-lain (0.2%)
  Bukan warganegara (2.3%)

Pada tahun 2020, Terengganu mencatatkan peratusan kewarganegaraan kedua tertinggi di Malaysia selepas Kelantan, dengan peratusan 97.7%. Penduduk berbangsa Melayu membentuk kumpulan terbesar dalam keseluruhan populasi negeri Terengganu, mencatatkan 95% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Terengganu merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai peratusan penduduk berbangsa Melayu tertinggi. Mereka terdiri daripada beberapa sub-etnik, majoritinya merupakan Orang Melayu Terengganu yang populasinya tersebar hingga ke Pahang, dan terdapat juga kelompok orang Melayu Kelantan yang menjadi majoriti di daerah Besut dan utara Setiu. Masyarakat Melayu negeri ini tergolong dalam kumpulan Bumiputera, yang turut meliputi masyarakat Orang Asli dan Bumiputera asal Sabah dan Sarawak yang mendiami negeri ini. Pada tahun 2024, masyarakat orang Asli di negeri ini direkodkan berjumlah 1,061 orang, dengan sebahagian besar antara mereka merupakan orang Semaq Beri, Jakun dan Bateq.[22] Masyarakat Bumiputera asal Sabah di negeri ini direkodkan seramai 2,767 orang, manakala asal Sarawak pula seramai 1,210 orang.[21]

Penduduk Terengganu juga terdiri daripada masyarakat bukan Bumiputera yang membentuk kelompok lebih kecil, di mana sebahagian besar antara mereka berbangsa Cina dan India. Penduduk berbangsa Cina di negeri ini direkodkan seramai 23 ribu orang atau 2% daripada jumlah penduduk. Mereka terdiri daripada dua kelompok utama iaitu Hokkien dan Teochew, serta kelompok yang lebih kecil iaitu Hainan dan Kantonis.[23] Penduduk berbangsa India membentuk kelompok yang lebih kecil, dengan rekod seramai 2,100 orang atau hanya 0.2% daripada jumlah penduduk. Sebahagian besar antara mereka merupakan orang Tamil.[2]

Maklumat lanjut Kumpulan etnik, Populasi ...

Agama

Maklumat lanjut Agama di Terengganu (2020) ...

Menurut bancian tahun 2020, sebahagian besar penduduk Terengganu beragama Islam, yang membentuk 97 peratus dari jumlah populasi. Majoriti penganut agama Islam di negeri ini merupakan masyarakat berbangsa Melayu, di mana menurut Perlembagaan Malaysia, antara ciri utama seseorang Melayu itu ialah perlu menganut agama Islam. Agama Islam juga merupakan agama rasmi negeri Terengganu dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dan bermazhab Syafii. Walaupun Islam merupakan agama rasmi, agama lain turut dibenarkan untuk diamalkan oleh penduduk.

Antara agama lain yang diamalkan oleh penduduk Terengganu termasuklah agama Buddha yang dianuti 2% penduduk, majoritinya merupakan masyarakat berbangsa Cina. Seramai 0.3% penduduk menganut agama Kristian, yang dianuti sebahagian penduduk Bumiputera selain Melayu. Agama Hindu pula dianuti 0.2% penduduk, majoritinya merupakan orang India. Beberapa kelompok yang lebih kecil terdiri daripada penganut Konfusianisme, Taoisme, agama rakyat Cina dan Sikhisme.[24]

Bahasa

Thumb
Papan tanda jalan raya bertulisan Rumi dan Jawi di Kuala Terengganu.

Bahasa rasmi negeri Terengganu ialah Bahasa Melayu Malaysia, yang merupakan satu bentuk kepiawaian Bahasa Melayu. Tulisan Latin (Rumi) merupakan tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan, namun penggunaan tulisan Jawi turut dibenarkan. Terengganu merupakan antara negeri yang menggunakan tulisan Jawi secara meluas, bukan sahaja dalam pengajaran di sekolah, malah turut digunakan dalam urusan dan pejabat kerajaan, papan tanda jalan raya dan di setiap premis perniagaan. Segelintir masyarakat juga berkebolehan atau mempunyai kemahiran asas dalam berbahasa Inggeris, di mana bahasa itu turut diajarkan dalam kurikulum pembelajaran di setiap sekolah.

Rakyat negeri Terengganu secara umumnya bertutur menggunakan dialek Bahasa Melayu Terengganu, yang berbeza daripada Bahasa Melayu Piawai. Namun, majoriti penduduk di daerah Besut dan sebahagian Setiu menggunakan Bahasa Melayu Kelantan kerana lokasinya yang berdekatan dengan sempadan negeri Kelantan. Penduduk di daerah Hulu Terengganu juga mempunyai dialek yang tersendiri yang sedikit berbeza dengan dialek Melayu Terengganu yang umum. Beberapa bahasa orang Asli dituturkan dalam kalangan masyarakat orang Asli negeri ini, seperti Bahasa Jakun, Bateq dan Semaq Beri yang kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman Terengganu.

Penduduk berbangsa Cina di negeri ini pula majoritinya merupakan orang Hoklo, yang bertutur dalam Bahasa Hokkien sebagai bahasa utama mereka, di samping Bahasa Mandarin yang digunakan secara meluas dalam kalangan mereka. Bahasa Tamil pula digunakan dalam kalangan penduduk minoriti berketurunan India. Terdapat juga kewujudan sebilangan kecil penutur Bahasa Cam dalam kalangan komuniti kecil orang Cam yang tinggal di Dungun.

Remove ads

Kemudahan

Thumb
Lebuhraya Pantai Timur di Chukai, Kemaman.

Seperti negeri-negeri lain di Pantai Timur, kemudahan dan prasarana di Terengganu masih kurang membangun berbanding negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung. Namun, pelbagai inisiatif dan peruntukan telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini. Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM 1.836 bilion kepada pembangunan negeri Terengganu di bawah Belanjawan 2025, Beberapa badan berkanun di negeri juga dibiayai oleh kerajaan negeri, antaranya termasuklah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Yayasan Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.

Keseluruhan Semenanjung Malaysia termasuklah Terengganu, mempunyai bekalan elektrik dengan kadar hampir 100 peratus. Perkhidmatan bekalan elektrik di negeri ini berada di bawah tanggungjawab syarikat utiliti nasional, iaitu Tenaga Nasional. Terdapat dua stesen janakuasa utama di Terengganu, iaitu Empangan Kenyir dan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu, kedua-duanya terletak di Hulu Terengganu. Stesen Janakuasa Sultan Ismail yang pernah menjadi stesen janaelektrik kitar padu terbesar di dunia, telah ditutup pada tahun 2020.[25]

Pengangkutan

Thumb
Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang terletak di Gong Badak, Kuala Nerus.
Thumb
Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)

Sehingga tahun 2022, Terengganu mempunyai jaringan jalan raya sepanjang lebih 22 ribu kilometer, terdiri daripada jalan persekutuan sepanjang 1,286 kilometer, jalan negeri sepanjang 20,833 kilometer dan lebuh raya bertol sepanjang 184 kilometer.[26] Antara laluan darat utama di Terengganu ialah Lebuh Raya Pantai Timur yang menghubungkan negeri ini dengan bandar dan pekan utama di negeri Pahang dan negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung. Satu lagi laluan penting, Laluan Persekutuan 3 yang terbentang di pesisir timur negeri ini menghubungkan bandar dan pekan penting di setiap daerah serta menjadi laluan masuk ke negeri ini dari Pahang dan Kelantan.

Beberapa khidmat pengangkutan awam turut tersedia di Terengganu, iaitu perkhidmatan bas dan jaringan kereta api yang sedang dibina. Terdapat perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini yang dikenali sebagai myBas Terengganu, dikendalikan oleh MARA Liner di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat. Perkhidmatan bas ini terdiri daripada tujuh laluan utama dan satu laluan perantara, menghubungkan beberapa lokasi di sekitar Terengganu.[27] Terminal Bas Kuala Terengganu (MBKT) merupakan hab pengangkutan awam di negeri ini, menyediakan perkhidmatan bas tempatan dan perkhidmatan bas antara negeri. Setiap daerah di negeri ini turut mempunyai stesen bas tersendiri, kebiasaannya terletak di ibu daerah. Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina pula akan menjadi satu-satunya laluan kereta api di Terengganu, menghubungkan negeri ini dengan negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang. Laluan kereta api yang dibina untuk membawa penumpang dan kargo ini menyediakan enam stesen penumpang di seluruh negeri ini.

Terdapat tiga lapangan terbang yang terletak di Terengganu, di mana dua daripadanya terbuka kepada orang awam. Lapangan Terbang Sultan Mahmud terletak di Gong Badak, Kuala Nerus merupakan lapangan terbang utama negeri dan menjadi pintu masuk utama melalui udara ke negeri ini. Lapangan terbang awam yang lain ialah Lapangan Terbang Redang yang terletak di Pulau Redang. Lapangan Terbang Kerteh yang terletak di pekan Kerteh, Kemaman merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Terengganu namun tidak dibuka kepada orang awam. Lapangan terbang ini dimiliki dan dikendalikan oleh Petronas, dibina untuk mengangkut para pekerjanya ke platform minyaknya yang terletak 100-200 kilometer di luar pesisir Laut China Selatan.

Terengganu juga dilengkapi dengan tujuh pelabuhan yang dibina di pesisir pantainya, dengan satu daripadanya merupakan antara pelabuhan utama di Malaysia, iaitu Pelabuhan Kemaman. Pelabuhan ini terletak di Chukai dan dibina bagi menguruskan import dan eksport bahan seperti bijih besi, timah dan minyak. Pelabuhan Kerteh pula menjadi hab penting dalam industri minyak dan gas kerana lokasinya yang berdekatan dengan kilang penapisan minyak Petronas di Kerteh. Di Setiu, terdapat sebuah pelabuhan yang mengendalikan produk silika dari kilang pemprosesan silika yang berdekatan.[28] Pelabuhan Kuala Besut di Besut pula menyediakan perkhidmatan bot bagi menghubungkan Pulau Perhentian dengan tanah besar Terengganu.

Pendidikan

Thumb
Sebuah sekolah rendah di Marang.
Thumb
Sebuah bangunan fakulti di Universiti Malaysia Terengganu.

Institusi pendidikan di negeri Terengganu berada di bawah seliaan dua kementerian persekutuan, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Walaubagaimanapun, negeri Terengganu mempunyai Jabatan Pendidikan Negeri yang tersendiri sama seperti negeri Malaysia yang lain bagi menguruskan hal ehwal pendidikan di negeri ini. Setiap daerah di negeri ini turut mempunyai Jabatan Pendidikan Daerah yang menyelaraskan hal pendidikan dan persekolahan dalam satu daerah. Sistem pendidikan di Terengganu sama seperti negeri lain di Malaysia, bermula dengan pendidikan tadika seawal empat atau lima tahun, diikuti oleh pendidikan rendah selama enam tahun, dan seterusnya pendidikan menengah selama lima tahun. Pada tahun 2020, terdapat sebanyak 504 buah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Terengganu, terdiri daripada 352 sekolah rendah dan 152 sekolah menengah. Sekolah dalam peringkat pendidikan rendah terdiri daripada dua jenis sekolah, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Pendidikan peringkat menengah pula terdiri daripada sekolah menengah kebangsaan, sekolah menengah jenis kebangsaan, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah teknik dan Maktab Rendah Sains MARA. Semasa tahun akhir pendidikan menengah, para pelajar perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Terdapat juga 14 buah sekolah swasta di Terengganu, empat daripadanya merupakan sekolah rendah dan 10 sekolah menengah. Pendidikan agama turut disediakan kepada penduduk beragama Islam di negeri ini, di mana terdapat sekolah yang berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri. Sekolah agama ini terdiri daripada sekolah rendah agama, sekolah agama rakyat atau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang kebiasaannya beroperasi selepas waktu persekolahan sekolah kebangsaan, dan juga sekolah menengah agama di peringkat menengah.

Terdapat beberapa institusi pendidikan tinggi di Terengganu, yang terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Antara universiti awam utama di Terengganu ialah Universiti Sultan Zainal Abidin yang terletak di Gong Badak dan Universiti Malaysia Terengganu di utara Kuala Terengganu. Terdapat juga tiga cawangan Universiti Teknologi MARA di Terengganu, iaitu di Kuala Terengganu, Dungun dan Bukit Besi. Terengganu turut menempatkan beberapa kampus universiti dan kolej swasta, antaranya termasuklah Kolej Universiti TATI di Kemaman, UCSI kampus Terengganu di Marang, Institut Teknologi Petroleum Petronas di Batu Rakit dan Kolej Teknologi Bestari di Setiu. Selain universiti dan kolej, terdapat juga beberapa institut pendidikan guru (IPG) dan politeknik di Terengganu, antaranya ialah IPG Kampus Sultan Mizan, IPG Kampus Dato' Razali Ismail, Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Besut dan Politeknik Hulu Terengganu. Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai kolej matrikulasi. Pada tahun 2024, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebuah kolej matrikulasi di Terengganu.[29]

Penjagaan kesihatan

Thumb
Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, merupakan hospital utama di negeri Terengganu.

Sektor kesihatan negeri Terengganu berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Sistem penjagaan kesihatan negeri ini disediakan oleh 10 hospital di negeri ini, terdiri daripada enam hospital kerajaan dan empat hospital swasta. Hampir semua daerah di negeri Terengganu mempunyai sebuah hospital kerajaannya yang tersendiri, kecuali daerah Marang dan Kuala Nerus. Antara enam hospital kerajaan tersebut, dua daripadanya merupakan hospital pakar, iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Kemaman, manakala yang lain merupakan hospital daerah biasa iaitu Hospital Besut, Hospital Setiu, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Dungun. Selain daripada hospital, sistem kesihatan negeri Terengganu juga dilengkapi dengan 52 klinik kesihatan, 124 klinik desa dan 14 klinik komuniti yang terdapat di setiap daerah.[21]

Remove ads

Ekonomi

Pada tahun 2023, kadar keluaran negara kasar (KDNK) bagi negeri Terengganu direkodkan mencecah RM38.2 bilion, rekod keempat terendah antara negeri-negeri di Malaysia. Kadar pertumbuhan ekonomi juga dicatatkan sebanyak 2.3%, yang menunjukkan penurunan berbanding kadar pertumbuhan 6% yang direkodkan pada tahun 2022. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri ini, yang merangkumi 52% daripada jumlah keseluruhan nilai KDNK negeri. Sektor pembuatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan 36.9% kepada nilai KDNK negeri, diikuti dengan sektor pertanian, pembinaan dan perlombongan.[30]

Pada tahun 2023, sektor perkhidmatan di negeri Terengganu merekodkan penambahan nilai sebanyak RM19.9 bilion berbanding RM19.3 bilion pada tahun 2022, dengan peningkatan sebanyak RM0.6 bilion. Perkembangan sektor ini sebahagian besarnya didorong oleh industri pelancongan negeri, di mana jumlah pelawat domestik yang berkunjung ke Terengganu telah meningkat kepada 11.8 juta orang pada tahun 2023. Industri utama lain negeri ini termasuklah industri penerokaan minyak dan gas yang dilaksanakan di kawasan perairannya. Terdapat beberapa kompleks petrokimia besar berdekatan dengan Paka dan Kerteh, yang melibatkan pelbagai usaha sama antara syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas dengan syarikat multinasional negara asing.

Kegiatan pertanian turut menjadi antara industri penting dalam perkembangan ekonomi Terengganu. Sebahagian penduduk mengusahakan tanaman buah-buahan seperti pisang, durian, tembikai, rambutan dan beberapa sayuran yang lain. Seperti negeri lain, terdapat juga perusahaan tanaman kelapa sawit yang sebahagian besarnya diusahakan di bawah projek FELDA. Sebilangan penduduk turut bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada kegiatan perikanan, terutamanya penduduk di kawasan pesisir laut dan lembah sungai di sekitar negeri.

Remove ads

Kebudayaan

Thumb
Persembahan tarian Ulek Mayang.
Thumb
Keropok lekor, merupakan salah satu makanan terkenal di Terengganu.

Kebudayaan dan kesenian negeri Terengganu sebahagian besarnya didominasi oleh pengaruh kebudayaan masyarakat Melayu, disebabkan oleh majoriti masyarakatnya yang berbangsa Melayu dan kurangnya penduduk berbangsa lain seperti Cina dan India. Terengganu, bersama-sama dengan Kelantan digelar sebagai tempat lahirnya tamadun Melayu di Semenanjung Malaysia. Kegiatan tradisional seperti pertandingan layang-layang, pertandingan gasing serta seni dan kraf tradisional seperti songket masih hidup dan diusahakan penduduk negeri ini. Terdapat beberapa jenis teater tradisional Melayu yang terkenal di negeri ini, antaranya termasuklah Rodat, Teater Nur Sakti dan Tarian Pulai. Tarian Ulek Mayang dahulunya sering diadakan di tepi pantai sewaktu pesta pantai yang kebiasaannya diadakan pada hujung tahun, bertujuan untuk mengubati penyakit, namun tarian ini sekarang hanya sekadar persembahan budaya semata-mata. Terengganu juga merupakan antara negeri yang menggunakan gamelan sebagai sebahagian daripada teater tradisionalnya, di mana asalnya dibawa dari Pahang dan dimainkan hanya ketika istiadat diraja. Gamelan Terengganu juga mempunyai ciri dan identiti yang berbeza dengan gamelan Sunda dan Jawa.

Terengganu juga kaya dengan makanan tradisional yang berlainan dengan makanan tradisional Melayu di negeri lain. Antara makanan tradisional masyarakat Melayu Terengganu yang terkenal termasuklah keropok lekor, yang diperbuat daripada gabungan doh (tepung sagu) dan ikan yang ditumbuk, kebiasaannya tenggiri dan sardin. Terengganu juga terkenal dengan nasi dagang, yang merupakan satu hidangan terdiri daripada nasi yang dikukus di dalam santan, kari ikan dan bahan tambahan seperti jeruk timun dan lobak. Budu, iaitu sambal ikan bilis yang masin dan pedas juga merupakan salah satu makanan yang terkenal dalam kalangan penduduk. Budu diperbuat daripada ikan bilis yang diperam dengan garam, dan kebiasaannya dihidangkan bersama dengan hirisan bawang dan cili. Laksam merupakan variasi laksa paling terkenal dalam kalangan penduduk Terengganu, diperbuat daripada tepung beras yang dihiris tebal dan lembut. Laksam dihidangkan dalam mangkuk santan segar yang dicampur dengan daging ikan rebus (kebiasaannya ikan kembung), timun, cili, bawang dan kacang panjang yang dihiris halus. Antara variasi laksa lain yang terkenal di negeri ini termasuklah kerabu laksa dan laksa kuah merah.

Antara kuih tradisional terkenal di Terengganu ialah satar, iaitu sejenis otak-otak atau kek ikan yang dibalut dengan daun pisang dan dipanggang. Satar diperbuat daripada gabungan ikan dan kelapa parut, dengan sedikit rempah. Antara kuih tradisional lain yang terkenal dalam kalangan rakyat Terengganu ialah agar-agar kering, akok berlauk, apam hitam manis, apit-apit, asam gumpal, kuih tahi itik, akok, nganang, bronok sagu, sagong, bingka nyior, belebab ubi, nekbat, tok aji serban, ketupat sotong, bekang, roti paung, kuih tepung kapur, apam dewa, apam berkuah dan beluda.

Cuti dan perayaan

Penduduk negeri Terengganu menikmati cuti dan merayakan beberapa perayaan berbilang kaum, terdiri daripada hari kelepasan am yang diwartakan di peringkat persekutuan dan hari kelepasan negeri yang diwartakan di peringkat negeri. Hari kelepasan am bagi negeri ini terdiri daripada tiga perayaan terbesar di Malaysia, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Antara hari kelepasan am lain termasuklah Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos, dan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September, kedua-duanya disambut bagi memperingati kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan persekutuan Malaysia. Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang disambut pada minggu kedua bulan Jun dan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei juga merupakan cuti umum bagi seluruh negara.

Hari kelepasan khas bagi negeri Terengganu pula terdiri daripada hari keputeraan dan pertabalan Sultan, serta perayaan beberapa kaum dan etnik. Hari Ulang Tahun Pertabalan Sultan Terengganu disambut sebagai cuti umum pada 4 Mac setiap tahun bagi memperingati pertabalan Sultan Mizan Zainal Abidin. Hari keputeraan baginda Sultan juga disambut pada 27 April setiap tahun. Kebanyakan hari kelepasan negeri Terengganu bersempena dengan perayaan umat Islam, sejajar dengan majoriti penduduknya yang beragama Islam. Antara hari perayaan Islam sampingan yang disambut sebagai cuti umum di Terengganu termasuklah Hari Israk Mikraj, Hari Nuzul Quran, Hari Arafah, Awal Muharam dan Maulidur Rasul. Namun begitu, terdapat juga perayaan kaum lain yang disambut sebagai cuti sampingan di negeri ini, iaitu Hari Wesak yang dirayakan oleh penganut Buddhisme.

Tarikan utama

  • Masjid Kristal - Masjid ini dibina daripada kaca dan keluli, masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca Al-Quran elektronik.[31]
  • Pantai Batu Buruk - Kawasan pantai seluas 100 meter dan sejauh 50 meter dari darat yang ditandakan dibuka untuk aktiviti riadah pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 4 petang hingga 7 malam.[32]
  • Bukit Puteri - Destinasi bersejarah terkenal di negeri ini dan menjadi tumpuan pelancong apabila mereka singgah di Pasar Besar Kedai Payang.[33]
  • Jambatan Angkat Kuala Terengganu
Remove ads

Penduduk terkenal

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads