Kelantan
negeri Malaysia di Semenanjung Melayu From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Kelantan (Jawi: کلنتن دار النعيم, sebutan tempatan: Klate, i/klɑːˈtɛ/) atau nama penuhnya Kelantan Darul Naim merupakan sebuah kesultanan dan negeri Malaysia. Kelantan terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, dan berpusat di ibu negeri, Kota Bharu dan bandar diraja Kubang Kerian yang terletak di utara negeri. Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi, perkampungan nelayan dan barisan pantai. Kelantan juga menempatkan beberapa penemuan arkeologi paling purba di Malaysia, termasuklah beberapa penempatan orang asli prasejarah. Kelantan turut dikenali dengan beberapa gelarannya yang tersendiri, iaitu Negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Serambi Mekah.
Kebudayaan masyarakat Kelantan secara relatifnya agak berbeza dengan kebudayaan Melayu lain di Semenanjung Malaysia, kesan daripada keterasingan dan sebahagian besar gaya hidupnya yang luar bandar. Hal ini dapat dilihat dalam masakan, kesenian dan keunikan bahasa Melayu Kelantan yang tidak mudah difahami dalam bahasa Melayu piawai.
Kelantan berkeluasan 15,040 kilometer persegi dan bersempadan dengan wilayah Narathiwat, Thailand di utara, negeri Terengganu di tenggara, Perak di barat dan Pahang di selatan. Di kawasan timur lautnya pula merupakan Laut China Selatan. Kelantan mempunyai hutan hujan tropika yang pelbagai dan beriklim khatulistiwa. Banjaran gunung di negeri ini tergolong dalam Banjaran Titiwangsa, yang merupakan sebahagian daripada Perbukitan Tanah Seri yang merentangi selatan Myanmar, selatan Thailand dan Semenanjung Malaysia. Di banjaran ini juga terletaknya titik tertinggi negeri ini, iaitu Gunung Yong Belar yang berketinggian 2,181 meter.
Remove ads
Asal usul nama اصل اصول نام
Terdapat beberapa teori asal usul nama Kelantan. Perkataan "Kelantan" dipercayai berasal daripada perkataan "koli thana" atau "kolam tanah", di mana perkataan "koli" mungkin berasal dari nama sebuah bandar di utara India yang dipercayai merupakan tempat lahir ibu Buddha. Nama Kelantan mungkin dibentuk daripada gabungan perkataan "koli" atau sebahagian bentuk dialeknya, "kolam, kolam" dengan perkataan "thana" yang merujuk kepada tanah dalam Bahasa Melayu, lalu membentuk nama "kolamtanah" atau "kolantam" dan terus berubah kepada Kalantan atau Kelantan mengikut pertuturan masyarakat.[8]
Satu teori lain yang berdasarkan cerita rakyat turut mengatakan bahawa perkataan "Kelantan" berasal daripada perkataan "gelam hutan" yang diubah suai, iaitu perkataan Melayu untuk pokok gelam (Melaleuca leucadendra). Teori lain mendakwa bahawa nama Kelantan juga dipercayai berasal daripada perkataan Melayu iaitu "kilatan".[9]
Terdapat pelbagai variasi nama Kelantan dalam kalangan masyarakat luar Alam Melayu. Sebuah kawasan di tenggara Pan Pan dan Wan-Tan yang dipercayai merupakan Kelantan pada masa kini, disebut sebagai Ko-lo atau Ko-lo Fu-sha-lo dalam Sejarah Tang dan Ensiklopedia Ma Tuan-lin. Beberapa penulis China juga mencatatkan tentang sebuah pelabuhan di Semenanjung Tanah Melayu yang bernama Ku-lo yang kerap dikunjungi pedagang China sewaktu awal dinasti Song. Pada abad ke-7, penulis China ada mencatatkan sebuah negeri yang dipanggil Ho-lo-tan atau Kou-lo-tan yang terletak di selatan Chih Tu.[8] Pengembara dari Eropah seperti De Eredia pula menyebut Kelantan sebagai Calantan Rio, Calantan, Calantam atau Calantao dalam peta-peta mereka.
Gelaran Darul Naim yang diberikan kepada Negeri Kelantan bermaksud "Negeri/Kediaman yang menyenangkan". Perkataan "Darul" berasal daripada perkataan Arab iaitu "دار" yang bermaksud rumah atau kediaman dalam bahasa Melayu. Perkataan "Naim" jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu bermakna menyenangkan. Selain itu, negeri Kelantan juga dikenali dengan nama panggilan Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah.[10]
Remove ads
Sejarah سجاره
Sejarah awal سجاره اول

Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan bukti Kelantan sebagai petempatan manusia di zaman prasejarah.[11][12] Sejarah Dinasti Sui dari China telah merekodkan sebuah kerajaan bernama Chih Tu pada tahun 607, yang kemungkinan besar merupakan antara kerajaan tertua di Kelantan dan dipercayai ditubuhkan seawal tahun 100 SM. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Khmer, Champa dan Siam.[13][14] Pada tahun 1225, Kelantan dipercayai berada di bawah taklukan Palembang yang berpusat di Sumatera. Penulis Cina, Zhao Rukuo juga merekodkan bahawa Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang berada di bawah naungan Palembang. Kakawin Nagarakretagama yang dikarang pada tahun 1365 juga menyatakan bahawa Kelantan pernah ditakluk Majapahit. Pada abad ke-15, pencatat sejarah Cina merekodkan bahawa Kelantan diperintah oleh seorang maharaja. Kira-kira pada tahun 1411, seorang raja beragama Islam yang bernama Raja Kumar telah menghantar satu rombongan persahabatan ke China.[8]
Kesultanan Melayu Kelantan کلنتن کسلطانن ملايو
Pada 1499, Kelantan telah menjadi wilayah naungan Kesultanan Melaka.[15] Setelah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil, kebanyakannya membayar cukai dan ufti kepada Patani. Menjelang abad ke-17, sebahagian besar ketua tempatan di Kelantan telah berada di bawah pengaruh kerajaan Patani. Legenda Cik Siti Wan Kembang dikatakan telah memerintah Kelantan dari abad ke-16 hingga ke-17. Kelantan telah menjalinkan hubungan politik dengan Patani semasa pemerintahan ratu Patani, Ratu Biru pada tahun 1619 untuk kepentingan perdagangan dan ketenteraan bersama. Pada tahun 1651, Ratu Kuning, ratu terakhir Patani telah dijatuhkan oleh Raja Kelantan, Raja Sakti I. Baginda kemudiannya melantik anakanda baginda, Raja Bakal sebagai pemerintah Patani, sekaligus memulakan era pemerintahan Kelantan di Patani.
Sekitar tahun 1760, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, Long Sulaiman berjaya menyatukan wilayah Kelantan yang terpecah dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Muda Kelantan oleh ayahanda mertuanya Ku Tanang Wangsa, pemangku raja Terengganu. Long Yunus kemudiannya digantikan oleh menantunya, Tengku Muhammad yang ditabalkan oleh Sultan Mansur Terengganu pada tahun 1795. Pertabalan Tengku Muhammad dari Terengganu ini ditentang oleh putera-putera Long Yunus, lalu mencetuskan perang antara Terengganu dengan Long Muhammad, putera sulung Long Yunus. Pihak Terengganu telah dikalahkan pada tahun 1800.

Pada tahun 1800, Long Muhammad mengisytiharkan dirinya sebagai sultan pertama Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I. Pada 1812, baginda membebaskan Kelantan dari pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan sepanjang abad ke-19. Setelah kemangkatan Sultan Muhammad I yang tidak mempunyai sebarang putera, kekanda baginda, Long Zainal telah menggantikan baginda sebagai pemerintah Kelantan pada 1835. Perpecahan dalam kerabat diraja mula tercetus setelah tuntutan kuasa oleh Long Senik Mulut Merah, anakanda saudara baginda. Siam kemudiannya memerintahkan Long Senik Mulut Merah untuk berkongsi kekuasaan dengan ayahanda saudaranya, Long Zainal. Akhirnya, Long Senik Mulut Merah berjaya mengatasi dan menurunkan bapa saudaranya dari takhta dan menaiki takhta pada tahun 1837 sebagai Sultan Muhammad II. Baginda memanfaatkan pakatan longgarnya dengan Siam untuk membentuk negeri Kelantan moden, berpusat di kubu barunya di tebing timur sungai Kelantan, yang menjadi Kota Bharu pada tahun 1844.
Penjajahan British ڤنجاجهن
Pengaruh British mula memasuki sistem pentadbiran Kelantan pada tahun 1903, apabila kerajaan Siam telah melantik Walter Armstrong Graham sebagai penasihat kerajaan Siam ke Kelantan. Beberapa tahun berikutnya iaitu pada tahun 1909, kerajaan Siam telah menyerahkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Empayar British melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Kelantan kemudiannya menjadi sebuah negeri naungan British dan merupakan salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Melalui perjanjian ini, Kelantan juga dikehendaki untuk menerima para penasihat British yang ditugaskan untuk menasihati Sultan dalam seluruh hal ehwal pentadbiran negeri kecuali bagi hal yang melibatkan agama Islam dan adat resam Melayu. Kelantan mula menerima penasihat British pada tahun 1910 dengan James Scott Mason sebagai penasihat pertamanya.[16]
Kedatangan tentera Jepun کداتڠن تنترا جڤون
Semasa Perang Dunia Kedua, Kelantan merupakan tempat pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang ditakluk oleh Jepun. Tentera Jepun mula mendarat di pesisir Pantai Padang Pak Amat pada tengah malam 8 Disember 1941. Pertempuran darat mula tercetus antara tentera India British dan tentera Jepun di Kota Bharu. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan bersama-sama dengan Terengganu, Kedah dan Perlis telah diserahkan semula kepada kerajaan Thailand oleh Jepun sebagai tanda penghargaan Jepun kepada sokongan yang diberikan Thailand kepada mereka dalam perang. Kelantan mula ditadbir sebagai sebuah wilayah baharu di Thailand bermula pada 18 Oktober 1943, dan diletakkan di bawah pentadbiran seorang Pesuruhjaya Tentera Thai.
Pentadbiran Thailand di Kelantan berakhir selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada Ogos 1945. Pada September 1945, kawalan pentadbiran British dikembalikan semula di negeri-negeri Melayu termasuk Kelantan melalui Pentadbiran Tentera British. Selepas kejatuhan Jepun, keamanan Kelantan diancam pula dengan kekacauan yang dilakukan tentera Parti Komunis Malaya (PKM) di seluruh Tanah Melayu, sehingga menyebabkan perintah darurat di seluruh Semenanjung. Di Kelantan, kegiatan dan serangan komunis kebanyakannya tertumpu di kawasan pedalaman Ulu Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai, antaranya termasuklah pertempuran di Sungai Semur yang mengorbankan 17 askar Tanah Melayu.
Pada 1 April 1946, Kelantan bersama-sama dengan negeri-negeri Melayu yang lain telah dimasukkan ke dalam Malayan Union, sebuah kesatuan yang dibentuk oleh British bagi menggabungkan kesemua Negeri Semenanjung Tanah Melayu di bawah satu kerajaan untuk memudahkan urusan pentadbiran mereka. Masyarakat Melayu di seluruh Semenanjung mula menentang gagasan British ini kerana struktur pentadbiran Malayan Union yang menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan hak kuasa Sultan yang terhad kepada hal ehwal agama Islam sahaja. Para sultan juga menentang tindakan Harold MacMichael yang mengugut dan memaksa para sultan untuk menandatangani perjanjian ini. Usaha penentangan dalam kalangan masyarakat Melayu Kelantan kebanyakannya dipelopori oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) dan Persatuan Melayu Kelantan (PMK). Pada 15 Disember 1945, hampir 30 ribu orang penduduk berhimpun di Kota Bharu dan melakukan demonstrasi penentangan sebaik sahaja Harold MacMichael tiba untuk mengambil tandatangan Sultan Kelantan. Penentangan orang Melayu dan para Sultan berjaya setelah British memansuhkan Malayan Union pada 1 Februari 1948 dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.[17]
Persekutuan ڤرسکوتوان
Kelantan menjadi sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk untuk menggantikan kesatuan Malayan Union pada 1 Februari 1948. Bersama-sama dengan negeri lain, Kelantan melalui Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Remove ads
Pentadbiran ڤنتدبيرن
Sultan merupakan ketua perlembagaan dan ketua agama Islam negeri. Di bawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dimiliki oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan[18]. Dewan Undangan Negeri ini terdiri daripada 45 orang ahli yang dilantik melalui pilihan raya negeri yang diadakan setiap lima tahun dari setiap 45 kawasan negeri. Pilihan raya negeri secara kebiasaannya diadakan bersama-sama dengan pilihan raya persekutuan. Beberapa ahli Dewan dari pihak kerajaan akan dipilih untuk membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).[19]
EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan organisasi yang melaksanakan dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan Negeri. Menteri Besar Kelantan sekarang ialah Ahmad Yakob dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Latar belakang politik لاتر بلاکڠ ڤوليتيک
Kelantan telah diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak 1990. Ia kini merupakan salah satu daripada tiga negeri Malaysia yang diperintah oleh PAS selepas pilihan raya 2018, diikuti dengan Terengganu dan Kedah. Hampir kesemua ahli PAS adalah Melayu Islam, begitu juga kira-kira 95% penduduk Kelantan.
Negeri Kelantan hampir sinonim dengan PAS, kerana Kelantan telah berada di bawah pemerintahan PAS selama dua tempoh yang panjang. Tempoh pertama pemerintahan PAS di Kelantan bermula dua tahun selepas merdeka, iaitu pada 1959, dan berlangsung selama 18 tahun (1959–1977). Pada November 1977, darurat di Kelantan telah diisytiharkan oleh kerajaan persekutuan berikutan krisis politik dan kekacauan awam. Pilihan raya kemudiannya diadakan tidak lama selepas darurat yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional.
Gabungan Barisan Nasional memerintah negeri Kelantan dalam jangka masa hanya kira-kira 12 tahun (1978-1990). Pada pilihan raya umum 1990, PAS kembali dengan kemenangan besar, memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 13 kerusi Parlimen. Kemenangan itu dicapai melalui gabungan pimpinan PAS, yang dinamakan sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada pilihan raya umum berikutnya pada 1995, PAS menang sekali lagi, walaupun dengan majoriti yang berkurangan. PAS menang besar pada tahun 1999, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemarahan orang Melayu terhadap layanan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan pegawai kerajaan negara yang lain pada ketika itu. Bagaimanapun, PAS hampir-hampir kehilangan kawalan ke atas Kelantan, mengekalkannya dengan hanya majoriti satu kerusi, pada tahun 2004, apabila Barisan Nasional, di bawah kepimpinan baharu Abdullah Ahmad Badawi selepas persaraan Mahathir Mohamad, menang secara besar-besaran di peringkat nasional dan negeri. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum Malaysia 2008, PAS memperoleh semula majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Bahagian Pentadbiran بهاݢين ڤنتدبيرن

Berbeza dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, Kelantan hanya satu-satunya negeri di Malaysia yang menggunakan terma jajahan sebagai pecahan pentadbiran peringkat keduanya. Kelantan dibahagikan kepada 10 jajahan dan satu jajahan kecil, kesemuanya diketuai oleh seorang ketua jajahan. Setiap jajahan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa daerah yang diketuai oleh penggawa. Setiap daerah dibahagikan lagi kepada beberapa mukim yang diketuai penghulu.[20] Pentadbiran negeri Kelantan juga terdiri daripada 12 kerajaan tempatan, di mana setiap jajahan diwakili sebuah kerajaan tempatan, kecuali Kota Bharu dan Kuala Krai yang mempunyai dua kerajaan tempatan. Hanya sebuah kerajaan tempatan di Kelantan yang mencapai taraf majlis perbandaran, dan kesemua yang lain bertaraf majlis daerah. Bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuklah Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.
Remove ads
Geografi ݢيوݢرافي


Kelantan terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Narathiwat, Thailand di utara, negeri Terengganu di timur, negeri Pahang di selatan dan negeri Perak di barat. Kelantan merupakan sebuah negeri dalam wilayah geo-budaya peradaban Melayu timur laut. Kelantan kaya dengan sumber asli tempatan dan berkeluasan 15,099 kilometer persegi, menjadikannya negeri keenam terbesar di Malaysia. Kedudukan geografi Kelantan agak terpisah dari negeri-negeri Semenanjung yang lain kerana kedudukan Banjaran Titiwangsa yang mengelilingi negeri ini dari selatan ke utara.
Bentuk muka bumi negeri Kelantan terdiri dari pelbagai ciri yang tersendiri, dengan daratan berketinggian rendah dan rata di bahagian utara, dan daratan berbukit-bukau dan bergunung-ganang yang mula meninggi ke bahagian selatan negeri. Titik tertinggi negeri Kelantan terletak di puncak Gunung Yong Belar yang berketinggian 2,181 meter dan terletak di sempadan hujung barat daya negeri. Garisan sempadan negeri ini sebahagian besarnya terbentuk secara semulajadi dan mengikut ciri-ciri alam di sekitarnya, di mana lerengan gunung Banjaran Titiwangsa membentuk sempadan barat negeri, Banjaran Tahan membentuk sempadan selatan negeri manakala di sempadan timur dibentuk oleh lerengan gunung dalam Banjaran Pantai Timur. Kawasan sempadan negeri Kelantan dengan negara Thailand pula mengikut aliran Sungai Golok yang mengalir sepanjang 103 kilometer di kawasan utara negeri.
Kawasan pesisir pantai negeri Kelantan mempunyai jumlah panjang sejauh 180 kilometer, terdiri kawasan lembah sungai dan subur, menempatkan muara Sungai Kelantan, sungai utama negeri ini. Sungai Kelantan mempunyai jumlah panjang sebanyak 248 kilometer, berasal dari pertemuan antara Sungai Lebir dan Sungai Galas di Kuala Krai dan mengalir terus ke utara, menghala ke Laut China Selatan. Kawasan penempatan penduduk negeri ini sebahagian besarnya tertumpu di kawasan tebing Sungai Kelantan dan sungai utama lain negeri ini sejak dahulu lagi, kesan daripada kesuburan tanah di kawasan lembah ini yang sesuai bagi aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat. Namun, kedudukan penempatan penduduk yang tertumpu di pinggir sungai ini juga sering dilanda banjir akibat daratan tanah yang rendah dan limpahan air sungai.
Iklim اقليم
Negeri Kelantan mengalami iklim tropika, dengan suhu harian dalam anggaran 21 ke 32 °C dan hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu. Kebiasaannya, hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau selama beberapa bulan. Bulan-bulan yang mengalami hujan yang paling kerap ialah bulan November, Disember dan Januari, iaitu sepanjang musim tengkujuh.
Remove ads
Demografi penduduk ديموݢرافي ڤندودوق
Menurut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, negeri Kelantan mempunyai jumlah penduduk seramai 1,792,501 orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak dua peratus.[22] Pada tahun 2023, jumlah penduduk negeri Kelantan dianggarkan meningkat kepada 1.86 juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.5 peratus.[23] Kelantan mempunyai kadar kepadatan penduduk keempat terendah di Semenanjung Malaysia, iaitu anggaran 119 orang perkilometer persegi. Pada tahun 2021, Kelantan merekodkan kadar kelahiran kasar kedua tertinggi di Malaysia selepas Terengganu, iaitu anggaran 19 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk. Kadar kematian kasar di Kelantan pula direkodkan sebanyak 7.7 kematian bagi setiap 1,000 penduduk. Dari segi struktur umur, penduduk berumur 15-64 tahun merupakan golongan majoriti di Kelantan, merangkumi 64.4 peratus penduduk pada tahun 2023. Sebanyak 28.8 peratus penduduk berumur kurang 15 tahun manakala penduduk berumur lebih 64 tahun pula merangkumi 6.8 peratus penduduk. Umur penengah penduduk Kelantan ialah 25 tahun.[23]
Kelantan juga merekodkan peratusan penduduk berwarganegara Malaysia yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 98 peratus dari jumlah penduduk. Hanya dua peratus penduduk merupakan warganegara asing yang majoritinya merupakan tenaga buruh dari beberapa negara sekitar. Jajahan Kota Bharu merekodkan jumlah penduduk tertinggi di Kelantan, iaitu lebih 550 ribu orang atau 31 peratus penduduk Kelantan mendiami jajahan itu. Jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah penduduk kedua tertinggi iaitu seramai 230 ribu orang diikuti Jajahan Tumpat dengan penduduk seramai 179 ribu orang.
Pecahan etnik
Pecahan etnik di Kelantan (2025)
Lain-lain (1.0%)
Bukan warganegara (2.0%)
Rujukan:Jabatan Perangkaan Malaysia[24]
Masyarakat berbangsa Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam kalangan penduduk Kelantan, iaitu merangkumi 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk. Kelantan juga merupakan antara negeri yang mempunyai peratusan penduduk berbangsa Melayu tertinggi di Malaysia. Masyarakat Melayu di negeri ini tergolong dalam kumpulan sub-etnik Melayu Kelantan yang mempunyai ciri khasnya yang tersendiri namun berkait rapat dengan Melayu Terengganu dan Melayu Thailand. Sub-etnik Melayu Kelantan ini juga tersebar ke negeri Terengganu khususnya di daerah Besut dan utara Setiu. Masyarakat Melayu negeri ini tergolong dalam kumpulan Bumiputera, yang turut merangkumi masyarakat Orang Asli serta penduduk asal Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2024, masyarakat Orang Asli di Kelantan direkodkan seramai 19,308 orang, majoritinya merupakan orang Temiar, Bateq, Jahai dan Mendriq. Penempatan orang Asli di negeri ini sebahagian besarnya tertumpu di kawasan pedalaman dan pergunungan di sekitar jajahan Gua Musang dan Jeli.[25] Terdapat juga kira-kira 7 ribu orang Bumiputera asal Sabah dan Sarawak yang tinggal di negeri ini.[24] Di kawasan berdekatan sempadan Thailand, terdapat kelompok penduduk minoriti berketurunan Siam yang kebanyakannya tinggal berdekatan dengan wat.
Penduduk negeri Kelantan juga terdiri daripada masyarakat bukan Bumiputera yang membentuk golongan minoriti yang lebih kecil. Mereka majoritinya terkenal dengan gaya hidup, budaya dan bahasa seharian mereka yang telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu Kelantan kesan daripada pergaulan antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini. Sebahagian besar antara mereka merupakan masyarakat berbangsa Cina, yang merupakan kelompok kedua terbesar dalam jumlah populasi negeri ini, iaitu merangkumi 2.5 peratus dari jumlah penduduk. Majoriti antara mereka merupakan orang Hokkien dan tertumpu di kawasan bandar. Masyarakat berbangsa India pula terdiri daripada kelompok yang lebih kecil, iaitu kira-kira hanya 4,000 orang atau 0.3 peratus dari jumlah populasi negeri.
Agama
Sebahagian besar penduduk negeri Kelantan beragama Islam, iaitu meliputi hampir 96 peratus dari jumlah populasi penduduk. Majoriti antara mereka berbangsa Melayu, di mana menurut Perlembagaan Malaysia, seorang Melayu itu haruslah beragama Islam. Penganut Islam juga merupakan majoriti dalam kalangan penduduk Bumiputera selain Melayu dan bukan warganegara, serta merupakan kelompok minoriti signifikan dalam kalangan bangsa lain. Agama Islam berfahaman Ahli Sunah Waljamaah merupakan agama rasmi negeri Kelantan, namun agama lain bebas diamalkan dalam kalangan penduduk.
Antara agama lain yang dianuti penduduk Kelantan termasuklah agama Buddha yang dianuti 2.8 peratus penduduk, majoritinya merupakan penduduk berbangsa Cina atau berketurunan Siam. Agama Kristian pula dianuti sekitar 0.4 peratus penduduk diikuti agama Hindu yang dianuti 0.2 peratus penduduk, majoritinya terdiri daripada masyarakat berbangsa India. Terdapat juga beberapa kelompok agama yang lebih kecil di negeri ini seperti agama Sikh, Taoisme, Konfusianisme dan agama rakyat China. Hampir satu peratus penduduk merupakan ateis atau tidak beragama, kebanyakannya merupakan masyarakat Orang Asli.[24]
Bahasa
Sama seperti negeri Malaysia yang lain, Bahasa Melayu Malaysia merupakan bahasa rasmi di negeri Kelantan, digunakan secara meluas dalam urusan kerajaan dan pendidikan di sekolah. Majoriti penduduk Kelantan bertutur dan berkomunikasi sesama masyarakat dalam Bahasa Melayu Kelantan, satu dialek Bahasa Melayu yang mempunyai ciri khas yang tersendiri dan sangat berbeza dari bentuk piawai Bahasa Melayu. Bahasa Melayu Kelantan juga menjadi identiti khas bagi penduduk negeri Kelantan, menjadi penghubung kepada semua penduduk Kelantan walaupun berbeza kaum dan bangsa. Dari segi tulisan, Tulisan Rumi merupakan tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan, namun tulisan Jawi juga boleh digunakan dan sangat digalakkan penggunaannya. Di negeri Kelantan, penggunaan tulisan Jawi sangat meluas, bukan sahaja diterapkan pengajarannya di sekolah, penggunaan tulisan Jawi turut diwajibkan di setiap premis perniagaan, dan penggunaan yang luas dalam papan tanda jalan raya dan urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Terdapat juga beberapa bahasa lain yang dituturkan penduduk di negeri Kelantan. Bahasa Cina masih digunakan oleh segelintir masyarakat berbangsa Cina, walaupun majoritinya menggunakan Bahasa Melayu Kelantan dalam pergaulan harian. Terdapat juga beberapa kelompok kecil penutur Bahasa Tamil dalam kalangan penduduk berbangsa India. Dalam kelompok masyarakat Orang Asli, bahasa-bahasa etnik Orang Asli seperti Bahasa Temiar, Bateq, Jahai dan Mendriq masih dituturkan sesama kelompok dan keluarga mereka. Terdapat juga penutur Bahasa Thai Selatan khususnya berdialek Tak Bai dalam kalangan penduduk berketurunan Siam yang tinggal berdekatan sempadan Thailand.
Remove ads
Ekonomi dan budaya ايکونومي دان بودايا
Ekonomi ايکونومي
Kelantan mempunyai ekonomi agraria yang kebanyakannya didominasi oleh penanaman padi, getah dan tembakau. Kegiatan memancing di garis pantainya sepanjang 96 kilometer juga merupakan antara kegiatan ekonomi penting di negeri ini, terutamanya dalam kalangan nelayan yang tinggal di pesisir pantai. Sektor ekonomi Kelantan juga disokong oleh perkembangan industri kotej yang memanfaatkan kemahiran tradisional dalam penghasilan produk kraftangan seperti cantingan batik, tenunan songket dan ukiran kayu. Di bahagian selatan negeri, aktiviti pembalakan sangat aktif memandangkan kawasan hutan yang luas dan dipenuhi dengan pelbagai khazanah yang penting dalam industri perkayuan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor pelancongan negeri Kelantan juga semakin berkembang, dengan keindahan pantai dan kepelbagaian budayanya yang menjadi tarikan pelancong.
Kelantan mempunyai kadar keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita sebanyak RM7,985 pada tahun 2006.[26] Pada tahun 2017, kadar KDNK per kapita negeri Kelantan mencecah RM13,953, signifikannya agak rendah berbanding negeri lain di Malaysia.[27]
Budaya بودايا
Seni kebudayaan negeri Kelantan kebanyakannya dipengaruhi unsur kebudayaan Melayu, juga dengan campuran pengaruh Siam kerana faktor kedudukan dan hubungan sejarahnya dengan wilayah-wilayah Melayu di selatan Thailand. Antara warisan seni persembahan Kelantan yang terkenal termasuklah Dikir barat, Main Puteri, Mak Yong, tarian Menora, tarian Asyik, tarian Zapin Salor dan Wayang kulit Kelantan. Seni persembahan Mak Yong yang telah diiktiraf oleh UNESCO pada tahun 2005, dipercayai telah berusia lebih 200 tahun dan mula berkembang di kerajaan Pattani sebelum tersebar ke Kelantan.[28] Bentuk teater purba ini dicipta oleh masyarakat Melayu Malaysia menggabungkan lakonan, muzik vokal dan instrumental, gerak isyarat dan pakaian rumit. Khususnya di kampung-kampung di mana tradisi itu berasal, Mak Yong dilakukan terutamanya sebagai hiburan atau untuk tujuan ritual yang berkaitan dengan amalan penyembuhan.[29][30] Dikir barat pula merupakan sebuah persembahan yang melibatkan nyanyian, muzik, tarian serta berbalas kata atau pantun, kebiasaannya dipersembahkan sebagai hiburan dalam majlis keramaian atau dijadikan pertandingan. Tarian Asyik pula pada asalnya hanya dipersembah di hadapan Raja dan majlis keramaian di istana-istana Kelantan dan Pattani, namun kini tarian ini sering dipersembah dalam majlis keramaian dalam kalangan masyarakat.[31] Berbeza dengan tarian Kelantan lain yang dipengaruhi budaya Siam, tarian Zapin Salor merupakan satu jenis tarian Zapin khas negeri Kelantan yang berasaskan kesenian Arab-Parsi, dikatakan telah dibawa masuk oleh pedagang dan pendakwah Arab ke Kampung Salor, Pasir Mas sekitar tahun 1900.[32] Selain dari seni persembahan, Kelantan juga terkenal dengan beberapa permainan tradisional seperti gasing, wau bulan dan kertok.
Kelantan juga kaya dengan makanan tradisional dan berlainan dengan makanan Melayu di negeri lain. Di antara makanan tradisional Kelantan yang berkhasiat dikenali sebagai budu. Budu salah satu makanan yang paling popular di negeri Kelantan. Kini, masyarakat semakin mengenali dan mengetahui khasiat budu. Di samping itu, nasi kerabu juga popular di negeri Kelantan. Hanya masyarakat Kelantan dapat menghasilkan nasi kerabu yang sedap. Terdapat pelbagai makanan lain yang enak di negeri Kelantan antaranya nasi dagang, nasi berlauk, nasi tumpang, nasi kapit, nasi air, laksam, kuih akok, kuih talam, ayam percik dan ketupat sotong.[33][34]
Bahasa بهاس
Penduduk di Kelantan kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu Kelantan. Bahasa ini merupakan loghat daripada bahasa Melayu piawai. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu Terengganu tetapi digunakan sehingga di Pulau Perhentian dan bahagian utara daerah Besut Terengganu.
Tarikan utama تاريقن اوتام
- Pasar Besar Siti Khadijah - Nama ini berasal dari Khadija binti Khuwaylid, isteri Nabi Muhammad yang merupakan ahli perniagaan pada masa itu.[35]
- Taman Negara - Terletak di Wilayah Gua Musang, Kelantan, berhampiran sempadan Pahang dan Terengganu. Ia terletak di dalam hutan rizab Bukit Hantu dan Lebir.[36]
- Wat Machimmaram Sitting Buddha - Salah satu sitting buddha yang terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Kampung Jubakar Darat,Tumpat
- Wat Photivihan Sleeping Buddha atau Kuil Photivihan - Kuil ini adalah salah satu daripada 25 kuil yang terdapat di Tumpat, dan merupakan salah satu yang paling popular di negara ini.[37]
- Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra - Seni bina masjid ini amat unik kerana menggabungkan seni bina Cina dan Islam dan menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di Beijing, China.[38]
- Pantai Irama Bachok - Terletak di dalam Daerah Bachok dan merupakan tempat kunjungan utama penduduk Daerah Bachok dan juga penduduk Negeri Kelantan khususnya.[39]
- Gunung Stong - Gunung Stong setinggi 1,433 meter terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Bharu dan digambarkan sebagai lokasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia kerana mengalir di kawasan itu adalah air terjun Jelawang setinggi 303 meter yang didakwa sebagai tertinggi di Asia Tenggara.[40]
- Masjid Muhammadi - Salah satu lambang kemegahan di dalam bandar ini yang mempunyai ciri-ciri gerbang yang anggun dan warna keemasan. Nama Masjid Al- Muhammadi sebagai satu penghormatan Almarhum Sultan Muhammad ke IV di atas sumbangan dan jasa terhadap negeri ini.[41]
- Masjid Al-Ismaili - Masjid yang terletak di Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Baru. Masjid Al-Ismaili merupakan cetusan idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan ianya merupakan hadiah abadi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V kepada Ayahanda baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra [42]
- Pantai Bisikan Bayu - Juga dikenali sebagai Pantai Dalam Rhu, angin lembut di pantai menghasilkan bunyi yang tenang, kata penduduk setempat, berbunyi seperti bisikan yang menenangkan.[43]
- Kraftangan Desa dan Muzium Kraftangan - Juga dikenali sebagai "Balai Getam Guri", ia menempatkan banyak contoh halus ketukangan Kelantan seperti sulaman tradisional, tenunan songket, percetakan batik, kerja perak dan ukiran kayu.[44]
- Pantai Cahaya Bulan - Merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941.[45]
- Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah - masjid ini terletak di Mukim Pulau Gajah, Pengkalan Chepa. Menariknya, masjid ini mempunyai Kombinasi hiasan dan binaan masjid yang dipertontonkan dibawa khas dari pelbagai negara. Antaranya, pintu utama masjid ini diimport dari Yaman, dua tiang yang berwarna hijau di mimbar masjid pula dari Maghribi, set geduk dari Indonesia, lampu gantung dari India dan paip yang unik untuk berwuduk pula diimport dari Turki.[46]
Remove ads
Penduduk terkenal ڤندودوق ترکنل
Lihat juga ليهت جوݢ
Rujukan روجوعن
Pautan luar ڤاءوتن لوار
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads