Dayang Nurfaizah

Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia

Dayang Nurfaizah
Remove ads

Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty (lahir 20 Julai 1981) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia yang berasal dari Kuching, Sarawak, beliau dikenali dengan kelunakan vokalnya yang bernada tinggi dan kebolehan luar biasanya menyanyikan lagu-lagu Melayu asli dan R&B. Beliau telah dipetik oleh media tempatan sebagai "Ratu R&B" negara.[1]

Fakta Segera Maklumat latar belakang, Nama lahir ...

Dayang mula membuat persembahan di pelbagai pertandingan nyanyian di usia belasan tahun, dan mula meraih perhatian sebagai pemenang pertandingan nyanyian Golden Teen Search pada tahun 1997. Beliau menandatangani kontrak rakaman bersama Delima Records dan muncul bersama album sulungnya yang mengambil namanya sebagai judul album (1999), yang memuatkan single "Hakikat Cinta". Beliau kemudian menandatangani kontrak dengan Broadway Entertainment pada tahun 2000 dan muncul bersama album Seandainya Masih Ada Cinta, yang memuatkan lagu bertajuk sama, yang memenangi Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-9.

Beliau menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, DN & AD Entertainment yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Di bawah labelnya, beliau muncul dengan album Dayang Sayang Kamu (2004), yang menerima ulasan positif daripada pengkritik muzik. Pada tahun 2006, beliau menyertai One in a Million, pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh 8TV. Dayang akhirnya menjadi salah satu daripada empat finalis dalam pertandingan itu yang ditentukan oleh sistem undian teks pesanan ringkas sebanyak 50%. Antara anugerah yang diterimanya termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Remove ads

Kehidupan dan kerjaya

Dayang Nurfaizah dilahirkan pada 20 Julai 1981 di Kuching, Sarawak. Bakat besar yang dimiliki oleh Dayang mula dikesan sejak kecil lagi bila mana beliau telah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian sejak dari sekolah rendah. Di zaman persekolahannya, beliau dikenali sebagai penyanyi undangan pada setiap majlis sekolah diadakan sehingga namanya begitu terkenal. Dengan kebolehan luar biasa menyanyikan lagu-lagu asli Melayu serta lagu bergenre R&B, Dayang mula mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di negeri kelahirannya sendiri antaranya memenangi Bintang Asli Remaja 1996 dan ke peringkat akhir dalam pertandingan Bintang Remaja Sarawak 1996 dan akhirnya muncul juara dalam edisi 1997. Bertitik tolak daripada itu, beliau memberanikan diri untuk meninggalkan kampung halamannya di Kuching dan menyertai pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Golden Teen Search di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur.[2] Penyertaannya dalam pertandingan bakat nyanyian lagu-lagu Bahasa Inggeris ini ternyata mengakui kehebatan Dayang hingga berjaya meraih gelaran juara ketika beliau baru berusia 17 tahun.

19982000: Penampilan sulung dan album pertama

Selepas memenangi Golden Teen Search, nama beliau mula meniti di bibir peminat dan berjaya menambat hati maestro muzik terkenal, Adnan Abu Hassan (Allahyarham) untuk menerbitkan album studio sulung beliau di bawah naungan Delima Records milik Adnan.[3][4] Album sulung Dayang yang mengambil namanya sebagai tajuk album telah dikeluarkan pada 7 Mei 1999.[5][6] Album ini berkonsepkan pop dengan majoriti lagu dalam album ini dicipta oleh Adnan, yang mengenal pasti kekuatan Dayang menerusi pop Melayu dan tanda dagangnya dalam muzik R&B.[7] Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Hakikat Cinta" yang memperkenalkan Dayang kepada peminat. Lagu ini berjaya memanjat anak tangga carta muzik biarpun wajah dan namanya masih tidak begitu dikenali dengan meluas.[8][9][10] Single keduanya, "Rindu", yang bernada rancak bagaimanapun tidak berjaya menyambung hayat populariti Dayang apabila lagu itu jarang diputar dan ditambah pula dengan masalah pengedaran album oleh Delima Records. Syarikat itu tidak berjaya mencetak dan mengedar album terbitannya hingga terpaksa ditutup biarpun baru setahun jagung penubuhannya. Berikutan itu, kerjaya seni Dayang mula tidak mempernampakkan sinarnya.

Atas kepercayaan dan keyakinan Adnan bahawa Dayang mampu pergi dengan lebih jauh, beliau akhirnya ditampilkan dalam projek khas sebuah album berjudul Jelita Hebat yang diterbitkan pada September 1999.[11] Menerusi album ini, Dayang bekerjasama dengan penyanyi tersohor Ziana Zain untuk berduet dalam lagu ciptaan penggubah lagu-lagu R&B iaitu Azalea yang berjudul "Pusaka Rimba".[12][13][14] Gandingan hebat antara Dayang dan Ziana membuahkan hasil apabila lagu ini dicalonkan dalam kategori Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-7 pada tahun 2000. Dayang turut disenaraikan sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ketika berlangsungnya malam penganugerahan, Dayang dipanggil untuk membuat persembahan solo menerusi sebuah lagi lagu ciptaan Azalea yang pernah dimuatkan dalam album sulungnya berjudul "Kembalilah Sayang". Persembahan beliau yang menjadi titik mula kerjaya seni Dayang.[15] Penyanyi wanita Indonesia, Krisdayanti mengakui terpaku menonton nyanyian secara langsung Dayang yang disifatkan sebagai menakjubkan dan penuh jiwa.[16] Lagu ini mula berkumandang di stesen radio sebagai keluaran siaran radio ekoran ketiadaan album sulung beliau di pasaran.[17] Dayang, bagaimanapun, tewas dalam kategori Artis Baru Terbaik di tangan penyanyi irama latin Shawn Baharin yang memenangi kategori tersebut.[18]

2001–2003: Seandainya Masih Ada Cinta, Di Sini Bermula dan Hembusan Asmara

Dayang menyertai syarikat rakaman Broadway Entertainment di bawah kelolaan penerbit Boon Tan daripada kontrak yang terbengkalai dengan Delima Records. Broadway bernaung edarannya di bawah EMI Music Malaysia ketika itu namun menerbitkan 100% album solo kedua Dayang.[19][20] Album keduanya yang pada awalnya bertajuk Ikatan Kita sempena single pengenalan pada hujung tahun 2000 itu, dikeluarkan pada 8 Februari 2001 dengan judul rasmi Seandainya Masih Ada Cinta (SMAC). Nama Dayang mula meledak dengan lagu bertajuk sama yang menjuarai hampir kesemua carta muzik kebangsaan dan serantau.[21][22][23][24] Lagu ciptaan Ajai dan Syed EnV ini turut disiarkan di stesen radio di Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Lagu ini akhirnya menjadi lagu pengenalan beliau dan meraih banyak anugerah hebat seperti di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan memenangi anugerah Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-9 pada tahun 2002 serta meraih kedudukan keempat dalam senarai 100 Terhangat di stesen radio Era.

Susulan daripada kejayaan SMAC,[25] album tersebut berjaya terjual sebanyak 65,000 unit serta mengeluarkan keseluruhan 6 single dan paling diingati ialah lagu pop "Bahagia" juga ciptaan Ajai dan Syed EnV yang mara ke peringkat akhir AJL ke-16 serta lagu R&B seperti "Sekali Lagi" dan "Sedingin Mana Cintamu" yang juga mendominasi carta-carta muzik.[26] Dalam masa setahun, Dayang meraih kedudukan selesa sebagai penyanyi wanita terkenal di Malaysia hinggakan pernah dikatakan hanya satu langkah di belakang Siti Nurhaliza apabila Siti sendiri mengakui Dayang ialah pesaing terdekatnya ketika itu. Persaingan antara Siti dan Dayang dapat dilihat daripada pertandingan-pertandingan di majlis-majlis anugerah yang mana silih berganti diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut.[27][28] Dayang tewas kepada Siti dalam merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita (AIM) dan Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001.

Pada masa yang sama, Dayang menjadi salah seorang peserta Bintang Penghibur HMI 2001. Peserta lain termasuk Syura, Shawn Baharin dan Fazley Yaakob.[29] Beliau dinobatkan sebagai juara pertadingan itu.[30][31]

Ekoran populariti yang begitu hebat ketika menjengah tahun 2002, Broadway mengambil keputusan untuk menerbitkan semula album sulung Dayang selepas syarikat itu mendapat kesuluruhan hak cipta penyiaran lagu-lagu dalam album tersebut. Album bungkusan semula, Di Sini Bermula dikeluarkan pada 3 Februari 2002 dengan lagu bertajuk sama dikeluarkan sebagai single.[32][33][34][35] Ternyata album itu berjaya terjual 10,000 unit dalam tempoh sebulan pertama. Dayang dan Boon Tan mula bersiap untuk menerbitkan album ketiga beliau dengan pengumpulan material namun album itu mengambil tempoh lama untuk diterbitkan memaksa Broadway mengeluarkan sebuah single promosi. "Rindu Bayangan", lagu asal nyanyian kumpulan Carefree, dinyanyikan secara duet oleh Dayang bersama abang kandungnya, Dino. Lagu ini menjadi popular dan sering diputarkan di radio-radio hingga dicalonkan di Anugerah Era 2002 untuk kategori Duo/Kumpulan Pilihan.

Beliau ialah antara artis yang menyumbangkan suaranya untuk sebuah lagu tema promosi untuk kempen Kempen Membaca Kebangsaan 2002 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, yang bertajuk "Membaca Gaya Wawasan". Selain Dayang, artis lain yang terlibat ialah Amy Mastura, Fazley, Maya Karin, Afdlin Shauki, Syafinaz Selamat, Jeslina Hashim dan Siti Nurhaliza.[36]

Pada 20 Disember 2002, album keempat Dayang, Hembusan Asmara dikeluarkan. Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia terjual sebanyak 8,000 unit dan dikenang sebagai album gelap dalam sejarah industri muzik Malaysia. Selepas single pertama yang berentak jazz berjudul "Hanyalah Kasihmu" gagal di radio, Broadway mempertaruhkan lagu "Pintaku Yang Terakhir" ciptaan Efendi dan balada "Hembusan Asmara" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kedua-dua lagu tersebut meledak di stesen-stesen radio namun Dayang tidak dapat sepenuhnya mempromosikan albumnya itu.[37][38]

Biarpun album tersebut terjual dengan baik tetapi Dayang tidak sepenuhnya terlibat dalam mempromosikan lagu-lagu dalam album tersebut sebaliknya hanya bergantung kepada promosi di radio.[39][40][41] Single daripada album tersebut seperti "Jangan Datang Lagi" dan "Bahaya" (menampilkan Mizz Nina) bagaimanapun secara tidak langsung memperkenalkan arah muzik Dayang ke pasaran yang lebih urban sekaligus menyaksikan Dayang bersiap sedia untuk merakamkan album studio keempatnya secara bebas ekoran beliau tidak dapat memilih untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman biarpun banyak yang hadir menawarkan kontrak yang lumayan. Album Hembusan Asmara dicalonkan dalam dua kategori termasuk Album Pop Terbaik di AIM 2003. Pada penghujung 2003, Broadway menerbitkan album kompilasi The Best of Dayang Nurfaizah yang memuatkan lagu-lagu popular penyanyi itu sepanjang bernaung sekaligus memperkenalkan lagu "Mana Mungkin" yang mendominasi carta pada penghujung tahun itu.[42][43][44][45]

20042006: Kesuraman kerjaya, "Dayang Sayang Kamu" dan One in a Million

Pada 20 hingga 22 Februari 2004, Dayang berpeluang membuat konsert khas selama tiga hari berturut-turut di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bersama penyanyi Adibah Noor. IB memilih kedua-dua penyanyi itu menjayakan Konsert Putera Puteri yang mempersembahkan karya hasil ciptaan Jimmy Boyle, P. Ramlee, Pak Lomak, Yusoff B, Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Ahmad C.B. dan Abu Kassim. Konsert tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan karya penggubah-penggubah terbabit malah ia turut memberi peluang kepada penggubah semasa antaranya Ruslan Mohd. Imam, Danny Francisco dan Ayub Ibrahim menyusun kembali lagu-lagu yang dipilih. Konsert yang menampilkan lagu-lagu popular di era komposer terbabit bukan sekadar mengembalikan nostalgia silam, sebaliknya bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda. Antara lagu yang diperdengarkan dengan iringan 68 anggota pemuzik orkestra ialah "Putera-Puteri, "Kweek Mambo", "Jauh-Jauh", "Ibu", "Malamku Bermimpi", "Seri Mersing", "Seri Dewi Malam", "Senjakala" dan "Cincin Belah Rotan".[46][47] Biarpun rakaman konsert ini tidak dapat disiarkan, namun ia menjadi titik mula kepada inisiatif Dayang untuk menerbitkan sebuah album khas yang memuatkan lagu-lagu klasik seperti yang dijelmakan dalam album Kasih pada tahun 2005.[48][49]

Kemudian, Dayang diberi penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan "Negaraku", pada majlis pembukaan Asian X Games VI yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada 19 Februari.[50]

Biarpun tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman dan terikat dengan kes mahkamah, Dayang tetap meneruskan niatnya untuk merakamkan album solo keempat.[51][52] Beliau terpaksa mengeluarkan duitnya sendiri untuk proses rakaman album terbarunya. "Kau Pergi Jua" (nyanyian asal Adam Ahmad) dan "Biar Akhirnya Di Sini" ciptaan Afdlin Shauki merupakan dua lagu pertama yang dirakamkan oleh Dayang. Menerusi lagu ciptaan Afdlin itu, Dayang menjemput pemain biola tersohor Indonesia iaitu Henry Lamiri untuk mengiringinya. Apabila album itu sudah siap, Dayang mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempatnya itu nanti. Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B, tetapu beliau turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya memandangkan sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan. Namun selepas setahun disiapkan dengan bajet yang tinggi, album tersebut tidak dapat dipasarkan ekoran kes saman yang belum selesai. Akhirnya Dayang menjual sendiri album berjudul Dayang Sayang Kamu tersebut secara 'bawah tanah' di mana-mana persembahan tertutupnya.[53][54] Lagu berbahasa Inggeris berjudul "Need A Break/Seketika" mula meraih sokongan pendengar bandar sementara lagu "Erti Hidup yang dijadikan modul dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula meniti bibir peminat. Dayang sendiri mencetak dan mengedarkan CD kepada peminat-peminat hingga berjaya terjual 5000 unit pada sebulan pertama jualan pada Ogos 2004. Dayang juga mempromosikan lagu "Dayang Sayang Kamu" dengan persembahan perdana di Anugerah Era 2004 dengan berduet bersama penyanyi Adam. Akhirnya album tersebut diterbitkan dan diedarkan pada September 2004 di bawah label DNAD Entertainment, syarikat rakaman milik Dayang sendiri.

Album Dayang Sayang Kamu menjadi penyambung hayat buat Dayang biarpun diancam dengan penerbitan album Buat Kamu oleh Broadway yang merupakan album bungkusan semula Hembusan Asmara sebulan sebelum edaran Dayang Sayang Kamu.[55][56][57] Broadway juga menerbitkan album kompilasi The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah sebelum itu yang menampilkan single "Melerai Prasangka" yang menerima putaran di radio. Lagu "Erti Hidup" berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-19[58] dan akhirnya memenangi kategori Etnik Kreatif dan menaikkan semula nama Dayang dan memperkenalkan bakat Afdlin sebagai penggubah. Dayang kemudian bernaung di bawah syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Ketua Bahagian Melayu NSR, Iman Wan berkata NSR telah mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli semula semua kontrak Dayang dengan syarikat-syarikat yang disamannya. Jumlah pembelian kontrak itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Beliau ialah salah seorang daripada beberapa artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta Akademi Fantasia, AC Mizal, Erra Fazira, Alleycats, Jaclyn Victor dan Anita Sarawak.[59]

Thumb
Dayang mengadakan persembahan pada 2005.

Pada 16 September 2005, secara rasminya NSR menjadi pengedar rasmi Dayang Sayang Kamu dan seiring itu album bungkusan semula yang mana memuatkan lagu "Kasih Maafkan" mendapat perhatian peminat. Bersama Iman Wan yang mengelola NSR ketika itu, Dayang bekerjasama menerbitkan album khas lagu-lagu klasik berjudul Kasih pada 25 Oktober 2005 selepas kejayaan konsert Putera Puteri di IB dan populariti lagu "Kau Pergi Jua" dan single pengenalan lagu dodoi berjudul "Suriram".[60][61] Kehebatan Dayang dalam mengalunkan lagu-lagu klasik menyaksikan album tersebut dicalonkan di Anugerah Industri Muzik ke-13 untuk kategori Album Pop Terbaik dan album ini juga memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik. Lagu "Kasih" berjaya meletakkan nama Dayang ke kedudukan yang lebih selesa apabila lagu keroncong yang dijazzkan itu meraih populariti berganda di radio dan televisyen.

Dayang mula melihat persaingan berlaku di kalangan penyanyi wanita di Malaysia di saat Siti Nurhaliza mendominasi sebehagian besar pasaran, dengan nama-nama seperti Misha Omar dan Jaclyn Victor sudahpun mengukuhkan nama mereka sebaris dengan Dayang. Dayang juga berdepan dengan lambakan peserta TV realiti yang memasuki pasaran dan menjadi demam baru industri. Menyedari peluang meneroka pasaran baru makin terbatas, akhirnya Dayang memberanikan diri menyertai program realiti anjuran stesen 8TV iaitu One in a Million (OIAM) yang menyaksikan penyanyi amatur dan profesional merebut hadiah bernilai RM1 juta berserta kontrak rakaman Monkey Bone Records.[62] Penyertaan Dayang menimbulkan polemik tersendiri di kalangan pemerhati seni kerana kedudukan Dayang sebagai penyanyi yang sudah kukuh sedangkan beberapa peserta lain ialah penyanyi profesional yang gagal di pasaran.[63][64] Di samping itu, keberanian Dayang menyertai program yang 100% bersandarkan undian peminat juga menimbulkan konflik tersendiri.[65][66][67] Namun Dayang tekad dengan keputusannya dan akhirnya berjaya mara ke peringkat Top 4 sebelum tersingkir seminggu sebelum malam konsert akhir.[68][69][70][71] Biarpun tewas kepada peserta lain yang kini popular seperti Alif Satar dan Faizal Tahir, Dayang positif kerana setidak-tidaknya beliau telah berjaya meneroka pasaran baru.[72][73] Perkara pertama yang dilakukan Dayang apabila tersingkir daripada saingan OIAM ialah mengukuhkan pasaran Singapuranya dengan berkolaborasi dengan penyanyi negara Kota Singa seperti Imran Ajmain dan kumpulan Bhumiband.[74]

Berikut ialah senarai persembahan Dayang dalam 'One in a Million:

2007–2010: Pasca-One in a Million dan 20 07

Pada tahun 2007, bersama Iman Wan, Dayang menerbitkan album solo keenamnya yang berjudul 20 07. Dikeluarkan pada 21 Julai 2007, album berkonsepkan pop ini menampilkan lagu-lagu hits seperti "Ingin Ku Miliki", "Hilang" dan "Tiga" yang mana kesemuanya menyaksikan kolaborasi bersama penggubah Audi Mok.[75] Ketika album ini dipasarkan, Dayang mengambil keputusan untuk menyertai program TV pencarian bakat, Ikon Malaysia yang mana pemenangnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan Ikon Asean.[76] Sekali lagi Dayang dikritik kerana berani memperjudikan kedudukannya sebagai penyanyi profesional apabila terpaksa bersaing dengan penyanyi lain seperti Jaclyn Victor dan Mawi. Akhirnya tuah sekali lagi tidak memihak kepada Dayang apabila sekadar meraih hadiah Naib Johan Ikon Malaysia 2007 apabila tewas kepada Jaclyn.[77][78] Album 20 07 telah dicalonkan dalam 4 kategori di Anugerah Industri Muzik ke-15 menerusi kategori vokal, album pop, susunan muzik dan juga kulit album. Biarpun tewas namun album tersebut masih menjadi bukti keutuhan Dayang dalam industri.[79]

Meraikan sedekad pembabitan beliau dalam Industri, Dayang mengadakan konsert mini yang dirakamkan di dalam sebuah album yang diberi judul Live!. Ia memuatkan rakaman persembahan secara langsung beliau di Planet Hollywood pada tahun 2008. Sewaktu ia dipasarkan pada 18 April 2009, Dayang terlibat dalam projek Global One Music yang menyaksikan beliau tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam sebuah album yang menggabungkan hampir 36 penyanyi dari seluruh dunia.[80][81][82] Dayang berkolaborasi bersama penyanyi rap Singapura dan bekas ahli kumpulan Ahli Fiqir, Daly merakamkan lagu berjudul "Lately/Tanpamu" dalam dua versi – bahasa Melayu dan Inggeris.[83] Dayang meraih kejayaan manis apabila album Live berjaya meraih anugerah Album Pop Terbaik menewaskan dua album Siti Nurhaliza. Dayang sebelum ini sudah 4 kali dicalonkan dalam kategori tersebut.[84]

Pada 11 April 2010, Dayang menjadi salah seorang mentor dalam Mentor musim keempat dengan membimbing pesertanya, Adi Johar dan dinobatkan sebagai naib juara.[85][86] Pada Disember, Dayang mengumumkan bahawa beliau akan menguruskan sendiri kerjayanya kerana beliau dan pengurusnya, Shaliza Kader Sultan yang menjadi pengurusnya sejak 2001, akan membawa haluan masing-masing.[87]

2011–2014: Sayang & Cahaya dan penglibatan dalam konsert

Pada tahun 2011, Dayang bersama penyanyi veteran Roy diberi kepercayaan untuk menyanyikan semula lagu daripada filem lakonan dan arahan seniman veteran, Jins Shamsuddin pada konsert Imbauan 3 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 28 Februari dan 1 Mac.[88][89][90]

Dayang kemudian melancarkan album studio ketujuhnya berjudul Sayang & Cahaya pada 2 Mei.[91][92] Ia merupakan album kedua yang diterbitkan sendiri oleh syarikat milik Dayang, DN & AD manakala ia tidak lagi dipasarkan oleh NSR sebaliknya Dayang menyerahkan hak edaran kepada Universal Music. Sebelum itu Dayang berkolaborasi bersama Alibi Music menghasilkan dua buah single pengenalan iaitu "Sayang" dan "Ku Temu Cahaya".[93][94][95] Lagu "Sayang" menyaksikan Dayang berduet bersama penyanyi Indonesia, Marcell. Lagu tersebut berjaya mara ke pencalonan Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Duo/Kolaborasi Terbaik. Di samping single terbaru berjudul "Saat Itu", Dayang juga berkolaborasi bersama penyanyi veteran Ramli Sarip dalam lagu "Musafir Rindu" dalam album penyanyi tersebut dan juga bersama penyanyi Indonesia, Harvey Malaiholo dalam lagu rakaman semula "Gerimis Mengundang" untuk projek filem usahasama Malaysia-Indonesia.[96]

Pada 24 Februari 2012, Dayang merupakan antara artis yang mengadakan konsert bagi memperingati Sudirman dengan iringan 40 pemuzik daripada Orkestra RTM. Konsert yang diberi nama Sudirman... Abadi di Hati mengetengahkan lagu-lagu terkenal beliau seperti "Hilang Berganti", "Hujan", "Kehadiranku" dan "Jali Jali". Selain Dayang, konsert ini turut dijayakan oleh Adibah Noor, Jaclyn Victor, Alyah, Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril Pilus dan Rey (Bintang RTM).[97][98][99] Kemudian, beliau bersama-sama dengan Jamal Abdillah dan Ramli Sarip serta kumpulan pop rock Indonesia, Wali Band membuat persembahan pada konsert berhibur dan beramal bagi membantu badan kebajikan di Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 Februari 2012.[100]

Pada tahun 2013, Dayang bersama-sama dengan beberapa artis lain termasuk Jimmy Palikat, Adira, Ally AXL, Amir Ukays dan Ifa Raziah memeriahkan Konsert Karnival Pelancongan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi ke-13 (LIMA 13) di Langkawi, Kedah.[101] Pada 29 Mac 2014, Dayang berkongsi pentas dengan penyanyi Indonesia, Marcell dalam konsert Pesona Cinta di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Persembahan selama 2 jam ini menyaksikan mereka akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular dan lagu terbaru.[102][103]

2015–kini: Kesinambungan kejayaan

Dayang kembali menjadi salah seorang mentor dalam Mentor Legend dengan membimbing pesertanya, Azmil Karim dan dinobatkan sebagai juara.[104][105]

Dari 20 sehingga 22 November 2015, Dayang menjadi sebahagian daripada pementasan semula Malam Terang Bulan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Dianjurkan oleh Khazanah Nasional untuk kali kedua, orkestra konsert yang berlangsung tiga hari dengan penceritaan ialah bagaimana lagu cinta menjadi lagu kebangsaan Malaya. Beliau mempersembahkan lagu Jauh-Jauh dan Tanah Pusaka.[106][107] Beliau menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem Langit Cinta, yang juga bertajuk sama ciptaan Nurzaidi Abd Rahman. Dilancarkan pada Disember 2015, sebuah muzik video juga telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini.[108][109][110][111]

Dayang merakamkan lagu bertajuk "Lelaki Teragung" hasil nukilan komposer baharu, Natasya dan Iman Imran.[112] Dayang berkongsi bahawa bapanya menjadi sumber inspirasi dalam kehidupannya.[113] Lagu ini merupakan antara 12 lagu yang bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL. Beliau menyanyikan lagu itu sebagai tanda penghargaan untuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.[114] "Lelaki Teragung" muncul sebagai Juara Lagu ke-31 (AJL 31), menewaskan 11 lagu lain di pentas akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi serta baucar bernilai RM10,000.[115]

Beliau diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017 yang bertajuk "Bangkit Bersama".[116] Dayang muncul sebagai artis jemputan untuk acara seni persembahan Universiti Teknologi Petronas (UTP), "Tapestry of Colours 2017", di Dewan Filharmonik Petronas pada 29 Julai. Beliau juga menyertai barisan penyanyi terkenal termasuk Faizal Tahir dan Azlan Rosle, penyanyi Indonesia Cakra Khan, Judika dan Syahrini di Konsert Nova di Stadium Malawati Shah Alam pada 5 Ogos.[117]

Pada Januari 2018, Dayang mengadakan konsert solo pertamanya di Esplanade, Singapura. Konsertnya berjaya menarik perhatian 1,500 penonton.[118][119][120]

Dayang muncul dengan single terbaru, "Sebentar" hasil nukilan Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo. Beliau menjayakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya yang berlangsung pada 21 Julai 2019, iaitu sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.[121][122]

Remove ads

Bakat

Gaya muzik

Dayang dikenali dengan vokalnya yang serak-serak basah,[123] dan mempersembahkan lagu-lagunya yang merangkumi pelbagai genre seperti pop, R&B, soul dan Asli.[49][124]

Tema

Gaya vokal dan kebolehan nyanyian Dayang telah membantu membentuk muzik kontemporari dan popular Malaysia hingga menjadikan beliau antara penyanyi wanita yang cukup berpengaruh di persada hiburan tempatan.[125] Zul Husni Abdul Hamid dari Berita Harian menyifatkan Dayang sebagai "antara penyanyi wanita terbaik yang pernah muncul dalam industri".[126] New Straits Times menggelarkan beliau sebagai 'Beyoncé Borneo' kerana "kecantikan dan keperibadian" yang dimilikinya dan "mencerminkan pilihan muziknya" serupa dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Beyoncé.[127] Kolumnis Harian Metro, Ramlah Zainal pula menyimpulkan bahawa "tiada siapa yang dapat menidakkan kehebatan vokal Ratu R&B tanah air, Dayang Nurfaizah setiap kali beraksi di pentas. Bukan saja memiliki kelebihan vokal yang mantap dan bertenaga, persembahannya juga tidak pernah menghampakan peminatnya".[1]

Remove ads

Kehidupan peribadi

Dayang merupakan seorang yang masih bujang dan belum berkahwin.[125][128] Kehidupan peribadi Dayang banyak diperkatakan di media, terutamanya hubungannya dengan penyanyi dan penerbit rakaman Hael Husaini.[129][130][131]

Beliau ialah seorang yang tidak begitu aktif di media sosial.[132]

Dayang juga meminati K-Pop biarpun beliau bukanlah peminat tegar, namun mengagumi Big Bang dan 2NE1.[133]

Kontroversi

Pada 21 November 2002, 7 hari sebelum album ketiganya diedarkan di pasaran, Dayang menyaman tiga syarikat yang terbabit dengan album keduanya kerana beliau mendakwa telah menandatangani Perjanjian Pengurusan yang berunsur menindas dan merugikannya. Dalam writ saman itu, Dayang juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengeluarkan perintah supaya tiga syarikat berkenaan memulangkan wang termasuk jumlah yang sepatutnya diperolehinya sebanyak RM600,000.[134][135]

Beliau juga menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun dikira atas jumlah RM600,000 atau lebih bermula dari 31 Julai 2002 sehingga penyelesaian penuh kesnya. Dalam saman tersebut, Dayang menamakan defendan pertama syarikat pengurusan, Bintang Seni Sdn. Bhd; defendan kedua syarikat rakaman Broadway Entertainment (M) Sdn. Bhd, dan defendan ketiga syarikat rakaman Lindung Seni Sdn. Bhd. Ramai yang meramalkan kerjaya seni Dayang akan mula merudum kerana tuntutan saman ini dijangka mengambil masa yang panjang malahan album ketiganya juga dicetak tanpa wajah Dayang pada kulit album. Album tersebut disifatkan sebagai album gelap kerana tidak diberikan judul dan hanya dipasarkan dengan nama Dayang pada kulit album berwarna hitam.[136][137]

Menurut Boon Tan, beliau tidak akan menunaikan sebarang tuntutan Dayang malahan kesal kerana beliau berusaha keras menerbitkan album ketiga Dayang yang menjalani proses adunan di Australia. Hal ini menyebabkan Dayang tidak dapat mempromosikan album Hembusan Asmara kerana halangan daripada Broadway. Broadway telah permohonan injunksi oleh sebuah syarikat pengurusan bagi menghalang Dayang membuat persembahan agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya. Bintang Seni memohon supaya Dayang dihalang daripada membuat sebarang persembahan dan mengenakan atau mendapat bayaran daripada persembahan itu agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripada syarikat itu ekoran pada 4 Ogos 2003, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan syarikat itu supaya Dayang merujuk setiap tawaran dan persembahan yang diperoleh oleh beliau kepada syarikat itu.[138][139]

Pada 28 Julai 2005, Dayang mengambil keputusan untuk menggugurkan saman terhadap Broadway dan 2 lagi syarikat setelah kes itu berlarutan selama 3 tahun. Dayang enggan mengulas mengenai perkara itu namun menyatakan ia satu pengalaman yang manis buatnya kerana daripada pengalaman itu, beliau terpaksa melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakan lagi perjalanannya sebagai anak seni. Banyak pengajaran yang Dayang belajar semasa menghasilkan album berjudul DSK antaranya menguruskan bajet serta terpaksa menjual album itu sendiri, memaksa peminat beli album tersebut. Pengalaman itu menurut Dayang tidak dapat dipelajari di mana-mana.

Remove ads

Diskografi

Filemografi

Televisyen

Maklumat lanjut Tahun, Tajuk ...
Remove ads

Anugerah dan pencalonan

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads