Yan (negeri)

Negeri kuno di utara China (abad ke-11 SM – 222 SM) From Wikipedia, the free encyclopedia

Yan (negeri)
Remove ads

Yan (Cina tradisional: ; pinyin: Yān; sebutan Cina Kuno: *ʔˤe[n]) merupakan sebuah negeri purba Cina pada zaman Dinasti Zhou.[1][2] Ibu kotanya ialah Ji (kemudiannya dikenali sebagai Yanjing dan kini Beijing). Pada zaman Negara-Negara Berperang, istana turut dipindahkan pada masa-masa tertentu ke sebuah lagi ibu kota di Xiadu.[3][4]

Fakta Segera 燕, Status ...
Fakta Segera Bahasa Cina, Hanyu Pinyin ...

Sejarah Yan bermula pada zaman Zhou Barat pada awal alaf pertama SM. Selepas kuasa raja Zhou merosot semasa zaman Musim Bunga dan Luruh pada abad ke-8 SM, Yan terus bertahan dan menjadi salah satu negeri terkuat di China. Pada zaman Negara-Negara Berperang dari abad ke-5 hingga abad ke-3 SM, Yan merupakan antara negeri terakhir yang ditakluki oleh tentera Qin Shihuang. Yan tumbang pada 222 SM, setahun sebelum pengisytiharan Empayar Qin. Yan mengalami tempoh singkat kemerdekaan selepas kejatuhan dinasti Qin pada 207 SM, namun akhirnya diserap oleh dinasti Han yang muncul sebagai pemenang.

Pada kemuncak kekuasaannya, Yan meluas dari Sungai Kuning hingga ke Sungai Yalu dan dari pergunungan Shanxi hingga ke Semenanjung Liaodong. Sebagai negeri yang terletak paling utara antara semua negeri Cina pada zaman tersebut, Yan sering berhadapan dengan pencerobohan oleh puak nomad steppe dan oleh itu, mereka membina tembok-tembok besar.

Remove ads

Sejarah

Menurut Catatan Sejarah Agung karya Sima Qian, Raja Wu dari Zhou telah menggulingkan Raja Zhou dari Shang dalam Pertempuran Muye (kira-kira 1046 SM) dan menganugerahkan gelaran kepada para bangsawan dalam kawasannya, termasuk para pemerintah Yan.[5]

Pada abad ke-11 SM, ibu kota Yan berpusat di kawasan yang kini merupakan Pekan Liulihe, Daerah Fangshan, Beijing, tempat sebuah penempatan berdinding besar serta lebih 200 makam bangsawan telah ditemui.[6] Antara artifak paling penting dari Tapak Liulihe ialah sebuah ding gangsa dengan inskripsi yang menceritakan perjalanan anak sulung Duke Yan, yang menghantar persembahan kepada Raja Zhou di wilayah yang kini merupakan Xi'an dan dianugerahkan jawatan di istana raja.

Pada suatu ketika pada abad ke-7 SM, sama ada pada penghujung Zhou Barat atau awal Zhou Timur, Yan telah menyerap Negeri Ji, sebuah kerajaan kecil di sebelah utara, dan memindahkan ibu kotanya ke Ji, yang kini terletak di Daerah Xicheng, Beijing.

Di sebelah selatan, negeri-negeri bersempadan dengan Zhao dan Qi merupakan saingan utama Yan. Sempadan pergunungan di barat antara Zhao dan Yan menjadi kawasan pertembungan ketenteraan kedua-dua pihak. Walaupun begitu, peperangan antara Zhao dan Yan kebiasaannya berlarutan sehingga menemui kebuntuan, sehingga memerlukan campur tangan negeri lain untuk diselesaikan.

Menjelang abad ke-3 SM, Jeneral Qin Kai melancarkan beberapa siri kempen menentang Donghu dan Gojoseon, memperluas sempadan kerajaan hampir seribu kilometer ke timur sehingga ke barat laut Semenanjung Korea. Sebuah Tembok Besar dibina di sempadan utara baharu Yan, dan lima komanderi iaitu Shanggu, Yuyang, Youbeiping, Liaoxi dan Liaodong, kemudiannya ditubuhkan untuk mempertahankan kawasan tersebut daripada Donghu.

Negeri-negeri Dataran Tengah dilihat memandang rendah budaya Yan serta negeri-negeri pinggiran lain seperti Qin. Penemuan arkeologi di negeri Yan telah mendedahkan perhiasan, walaupun berinskripsi tulisan Cina, mempunyai gaya yang hampir dengan suku-suku nomad di utara. Mata wang Yan ditempa dalam bentuk pisau, satu bentuk yang sering dikaitkan dengan kaum nomad. Bentuk mata wang ini mungkin dihasilkan khas untuk perdagangan dengan mereka, menunjukkan betapa pentingnya hubungan komersial dengan masyarakat nomad tersebut.[7]

Tentangan paling kuat datang daripada negeri Qi, salah satu negeri terkuat di China.[8] Krisis penggantian berlaku di Yan pada 325 SM apabila Raja Zikuai secara simbolik melepaskan takhtanya kepada menterinya, Zizhi, untuk membuktikan sifat rendah dirinya; namun menteri itu mengambil kesempatan dan merampas kuasa. Ketika krisis ini berlaku pada 314, SM Qi menyerang dan dalam beberapa bulan sahaja hampir menakluk seluruh negeri itu. Walau bagaimanapun, akibat salah laku pasukan Qi semasa penaklukan, satu pemberontakan akhirnya mengusir mereka dan sempadan Yan dipulihkan. Raja baharu Yan, Raja Zhao dari Yan, kemudian merancang bersama negeri Zhao, Qin, Han dan Wei untuk melancarkan ekspedisi bersama menentang Qi. Dipimpin oleh ahli taktik cemerlang, Yue Yi, ekspedisi itu sangat berjaya dan dalam masa setahun kebanyakan daripada 70 kota berkubu Qi telah jatuh, kecuali Zimu dan Lu. Namun demikian, dengan kematian Raja Zhao dan pengusiran Yue Yi ke Zhao oleh raja baharu, Raja Wei dari Yan, Jeneral Tian Dan berjaya memimpin pasukan Qi untuk menawan semula semua kota tersebut daripada kelima-lima negeri.

Walaupun berperang berterusan, Yan tetap bertahan sepanjang zaman Negara-Negara Berperang. Pada 227 SM, dengan tentera Qin berada di sempadan selepas kejatuhan Zhao, Putera Mahkota Dan menghantar seorang pembunuh bernama Jing Ke untuk membunuh raja Qin (kemudiannya Qin Shi Huang), dengan harapan dapat menamatkan ancaman Qin. Misi tersebut gagal, dan Jing Ke terbunuh di tangan Raja Qin di Xianyang.

Terkejut dan murka dengan tindakan berani sedemikian, raja Qin memerintahkan Wang Jian untuk memusnahkan Yan. Setelah menghancurkan sebahagian besar tentera Yan di Sungai Yi yang membeku, Ji tumbang pada tahun berikutnya dan pemerintahnya, Raja Xi, melarikan diri ke Semenanjung Liaodong.

Pada 222 SM, Liaodong turut jatuh, dan Yan ditakluki sepenuhnya oleh Qin. Yan merupakan negeri ketiga terakhir yang tumbang, dan dengan kehancurannya, nasib dua negeri yang masih bertahan menjadi pasti. Pada 221 SM, Qin menakluk seluruh China, menamatkan zaman Negara-Negara Berperang dan menubuhkan Dinasti Qin.

Tempoh antara pemerintahan selepas Dinasti Qin

Pada 207 SM, Dinasti Qin runtuh dan China kembali berada dalam keadaan perang saudara. Raja Wu Chen dari Zhao akhirnya menghantar Jeneral Han Guang untuk menakluk Yan bagi pihak Zhao, namun setelah berjaya menakluki wilayah itu, Han Guang melantik dirinya sebagai Raja Yan. Han Guang telah menghantar Jeneral Zang Tu untuk membantu Xiang Yu, Raja Chu, dalam peperangannya melawan Qin. Apabila Zang Tu kembali, Han Guang diarahkan menjadi Raja Liaodong. Apabila Han Guang enggan, Zang Tu membunuhnya dan mengisytiharkan dirinya raja bagi kedua-dua Yan dan Liaodong.

Zang Tu menyerahkan Yan kepada Dinasti Han semasa perang antara Han dan Chu untuk mengekalkan gelarannya, tetapi setelah perang berakhir, beliau memberontak. Liu Bang (kemudian Maharaja Gaozu dari Han) menghantar Fan Kuai dan Zhou Bo untuk menumpaskan pemberontakan tersebut, dan mereka berjaya menangkap serta menghukum mati Zang Tu. Anaknya, Zang Yan, melarikan diri ke buangan dalam kalangan Xiongnu.

Lu Wan menjadi Raja Yan yang baharu dan memerintah di sana sepanjang sebahagian besar hayat Liu Bang, sehinggalah maharaja mengetahui bahawa beliau telah menghantar pegawai ke istana pemberontak Chen Xi dan kepada chanyu Xiongnu, Modu. Dipanggil menghadap ke istana, Lu Wan berpura-pura sakit dan kemudian melarikan diri ke Xiongnu, yang memuliakannya sebagai Raja Nomad Timur (Donghu) sehingga kematiannya. Sementara itu, Yan diletakkan di bawah pentadbiran langsung Dinasti Han dan dilayani sebagai sebuah tanah apanaj putera.

Remove ads

Budaya dan masyarakat

Sebelum negeri Qin menyatukan China pada 221 SM, setiap wilayah mempunyai adat serta budaya tersendiri, walaupun semuanya dikuasai oleh golongan atasan yang berkongsi budaya umum yang hampir sama. Dalam Yu Gong, iaitu satu bahagian dalam Kitab Dokumen yang kemungkinan besar disusun pada abad ke-4 SM, pengarangnya menggambarkan China sebagai sebuah negara yang terbahagi kepada sembilan wilayah, masing-masing dengan budaya dan hasil yang tersendiri. Tema utama bahagian ini ialah bahawa kesemua sembilan wilayah ini disatukan menjadi satu negara melalui perjalanan tokoh bijaksana yang menjadi judulnya, Yu Agung, serta melalui penghantaran barang-barang unik setiap wilayah ke ibu kota sebagai upeti. Teks-teks lain turut membincangkan variasi serantau dalam budaya dan persekitaran fizikal.

Remove ads

Catatan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads