From Wikipedia, the free encyclopedia
Jeram (Jawi: جرم; juga dikenali sebagai cegar, chegar, giam, lata, riam, olak dan wong) ialah bahagian daripada sungai yang memiliki arus sungai yang deras, sama seperti air terjun,[1] tetapi yang membezakanya ialah kedalamannya, di mana jeram lebih cetek atau rendah berbanding dengan air terjun.[2] Jeram merupakan salah-satu ciri hidrologi antara arus (bahagian aliran sungai yang lancar) dan air terjun. Jeram dicirikan oleh sungai menjadikan ia lebih cetek atau rendah dengan beberapa batu-batuan sungai yang besar-besar dan sentiasa terdedah dengan air sungai.[3]
Sehingga kini, terdapat 584 buah jeram yang direkodkan serata Malaysia, di pangkalan data GeoNames.[4]
Jeram terbentuk apabila struktur batu-batuan sungai yang dalam keadaan condong dan berselang-seli antara batuan yang lembut dan keras.[5] Pergerakan air terjun seakan-akan terlihat seperti bertingkat-tingkat kerana 'sekatan' kecil pada aliran sungai tersebut, yang disebabkan oleh perubahan mengejut gradien.[6]
Aktiviti perakitan (water rafting), juga dikenali sebagai aktiviti meredah jeram dan rakit redah jeram merupakan sukan lasak yang boleh dilakukan di jeram.[7]
Dalam peta yang diterbitkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), singkatan rasmi bagi jeram ialah "J.". Terjemahan rasmi dalam Bahasa Inggeris pula ialah rapids.[8][9][10] Penaaman sebuah nama tempat, petempatan dan lokalti yang menggunakan nama jeram telah digunakan secara meluas di Malaysia, seperti contoh Kampung Jeram, sebuah kampung di Perak, Mukim Jeram di tiga buah negeri iaitu di Daerah Kubang Pasu, Kedah, Jajahan Pasir Puteh, Kelantan serta Daerah Kuala Selangor, Selangor.[8] Terdapat 211 buah entri identiti geografi (seperti sungai, bukit, petempatan dan sebagainya) yang didaftarkan dalam Gazetir Kebangsaan Malaysia yang menggunakan perkataan "jeram",[11] 476 buah rekod yang didaftarkan dalam GeoNames,[12] dan 559 buah rekod dalam Pelayan Nama GEOnet, National Geospatial-Intelligence Agency.[13]
Penamaan jeram yang lain yang terdapat di Malaysia adalah seperti giam, riam dan wong di negeri Sarawak, Malaysia,[14] dengan contoh penggunaan iaitu, Wong Gerogo Kubal di Bahagian Kapit,[15] Riam Long Duan di sungai Batang Trusan, dekat Long Duan, Daerah Limbang,[16] dan Giam Nyilong di pedalaman Bahagian Kapit.[17] Penggunaan chegar (sebelum tahun 1972) atau cegar hanya terhad digunakan di negeri Kelantan, Pahang dan Perak sahaja.[9] Sebagai contoh penggunaan ialah, Cegar Landak, di Sungai Aring, dalam kawasan pentadbiran Mukim Relai, Jajahan Gua Musang,[18] Cegar Aguh di Sungai Tembeling, hanya timur laut dari Kuala Tahan, Daerah Jerantut,[19] dan Chegar Jemerang Baras di Sungai Perak, selatan Pulau Banding, di kawasan Mukim Temengor, Daerah Hulu Perak.[20] Pengguaan olak hanya direkodkan untuk satu sahaja iaitu, Olak Lintang yang terdapat di Sungai Panchor, Mukim Jenagur, Daerah Hulu Terengganu.[10][21] Perkataan lata pula berkongsi maksud dengan air terjun, yang digunakan secara meluas di negeri-negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.[10][22]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.