Daging babi
daging dari babi From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Remove ads
Daging babi (Jawi: داݢيڠ بابي) atau daging khinzir (Jawi: داݢيڠ خنزير) merupakan daging yang diperoleh daripada babi bela jinak (Sus scrofa domesticus) dan merupakan jenis daging yang paling banyak digunakan di dunia[1] dengan bukti sejarah penternakan babi seawal 5000 SM. Daging khinzir dimakan apabila baru masak atau diawet. Produk dagingnya diawet untuk memanjangkan jangka hayat penyimpanannya; antara produk yang dihasilkan melalui proses ini misalnya ham, daging salai, gammon, bakon dan sosej.

Daging ini adalah daging yang paling laris di Asia Timur dan Tenggara, malah juga didapati di dunia Barat, khususnya di Eropah Tengah. Ia sangat dihargai dalam masakan Asia kerana kandungan lemak dan teksturnya yang enak. Penggunaan daging babi diharamkan dalam hukum pemakanan Islam dan Yahudi sebagai pantang larang yang paling kuat atas beberapa sebab-musabab tertentu. Penjualan daging babi dihadkan di Israel dan diharamkan di sesetengah negara majoriti penganut Islam.
Remove ads
Pola penggunaan
Daging khinzir adalah daging yang paling banyak dimakan di dunia, membentuk kira-kira 38% pengeluaran daging sedunia. Lain tempat lainlah tahap penggunaannya. Ia haram dimakan di Timur Tengah dan kebanyakan dunia Islam disebabkan hukum pemakanan halal dan kosher Yahudi, namun ia banyak dimakan di Asia Timur dan Tenggara, Eropah, Afrika Sub-Sahara, Amerika dan Oseania. Oleh itu, terdapat banyak resipi daging ini yang ada di seluruh dunia. Jamón adalah resipi Sepanyol terkenal yang diperbuat daripada kaki depan babi. Feijoada pula, iaitu hidangan kebangsaan Brazil (juga disajikan di Portugal), secara tradisinya disiapkan dengan telinga, ekor dan kaki babi.[2]
Menurut Perkhidmatan Pertanian Asing Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (United States Department of Agriculture, USDA) hampir 100 juta tan metrik daging babi telah digunakan di seluruh dunia pada tahun 2006 (data awal). Peningkatan pembangunan dan pakai pendapatan telah menyebabkan peningkatan pesat dalam daging babi penggunaan di China, di mana penggunaan pada tahun 2006 adalah 20% lebih tinggi daripada penggunaan pada tahun 2002, dan satu lagi peningkatan 5% dijangka pada tahun 2007.[3] Dalam 2015 dicatatkan sejumlah 109,905 juta metrik ton daging babi yang telah digunakan di seluruh dunia.:18 Setakat tahun 2017, separuh dunia daging babi telah digunakan di China.[4]
Penggunaan daging babi sedunia
Penggunaan di Asia
Daging babi laris di seluruh rantau Asia Timur dan Pasifik, lebih-lebih lagi babi panggang dalam masakan Kepulauan Pasifik. Ia digunakan dengan pelbagai kaedah dan amat dihargai dalam masakan Cina.[7] Kini China merupakan pengguna daging babi terbesar yang mencakupi lebih separuh daripada penggunaan daging babi sedunia.[8] Di China, daging babi diutamakan daripada daging lembu atas sebab ekonomi dan estetik, yang mana babi senang disuap dan tidak digunakan untuk kerja. Warna daging dan lemak babi dianggap lebih menyelerakan manakala rasa dan baunya dikatakan lebih manis dan bersih, bahkan senang dihadam.[9] Dalam adat kampung, daging babi dikongsikan untuk menyambut keraian serta mengikat tali persaudaraan. Di China, betapa pentingnya daging babi hinggakan negara menyimpan sebah "rizab daging babi strategik".[10] Daging rebus merah (hong shao rou), hidangan khas Wilayah Hunan, digemari Mao Zedong.[11] Lain-lain hidangan daging babi Cina yang popular termasuk masam manis, bakkwa, dan charsiu. Di Filipina, hasil daripada 300 tahun penjajahan, babi panggang golek lechon adalah hidangan kebangsaan.
Remove ads
Produk
Daging babi boleh dimasak daripada yang segar-segar atau diawet. Antara produk daging awet termasuk ham dan bakon. Bangkainya boleh dipotong di mana-mana bahagian untuk digunakan dengan pelbagai cara.
Daging segar
Sebahagian besar bangkai boleh digunakan untuk menghasilkan daging segar, lebih-lebih lagi daging babi menetek iaitu seluruh bangkai anak babi dua hingga enam minggu dipanggang. Babi panggang flæskesteg merupakan hidangan kegemaran Denmark sempena Krismas.[12]
Daging proses
Daging babi paling umumnya digunakan sebagai ramuan sosej. Kebanyakan sosej Eropah tradisional diperbuat daripada babi, seperti chorizo, fuet, Cumberland dan salami. Kebanyakan jenama hot dog dan sosej sarapan Amerika diperbuat daripada daging khinzir. Pemprosesan daging kepada sosej dan produk-produk lain di Perancis dikenali dengan nama charcuterie.
Ham dan bakon diperbuat daripada daging babi segar melalui pengawetan dengan garam (pengasinan) atau pengasapan. Bahu dan paha babi paling umum diawet sebegini untuk Picnic shoulder, manakala bakon yang berjalur-jalur dan bundar datang dari bahagian rusuk (bundar dari loin dan berjalur-jalur dari perut).[13]
Daging tin Spam diperbuat daripada bahu babi dan ham cincang.
Remove ads
Khasiat
Kandungan mioglobinnya lebih rendah daripada daging lembu tetapi lebih tinggi daripada ayam. Daging babi dikira daging merah oleh USDA.[14] Daging babi amat tinggi kandungan tiamina (vitamin B1).[15][16][17][18] Daging babi yang dibuang lemaknya lebih pejal daripada daging kebanyakan ternakan lain, tetapi tinggi kandungan kolesterol dan lemak tepunya.
Larangan keagamaan
Islam
Daging babi diharamkan dalam hukum pemakanan Islam. Kebanyakan negara di seluruh dunia Islam menyekat ketat pengimportan dan pengunaan produk daging babi. Misalnya Iran,[19] Mauritania,[20] Oman,[21] Qatar,[22] Arab Saudi,[23] Kuwait, Libya, Pakistan[24] dan Maldives. Tetapi di negara-negara majoriti Muslim lain yang ramai kaum minoriti bukan Muslim seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Lubnan, Iraq, Tunisia, Turki, Mesir, Maghribi, Bahrain, Jordan, Albania, Azerbaijan, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (kecuali Emiriah Sharjah), daging babi terdapat di hotel, restoran dan pasar raya di mana ia disediakan untuk penduduk bukan Islam yang ramai.[25]
Pengharaman daging khinzir termaktub dalam kitab Al-Quran mengikut surah 2:173, 5:3, 5:60, 6:145 dan 16:115.[26][27][28][29][30]
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- —Surah al-Baqarah, Ayat 173
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- —Surah al-Ma'idah,Ayat 3
Yahudi
Daging babi merupakan contoh umum makanan tidak kosher. Larangannya berasaskan kitab Imamat bab 11 dan kitab Ulangan bab 14:
Kamu boleh makan binatang darat apa sahaja yang berkuku belah dan yang memamah biak. Tetapi kamu tidak boleh makan unta, landak batu, atau arnab. Binatang ini mesti dianggap haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah. Jangan makan khinzir. Khinzir mesti dianggap haram kerana walaupun berkuku belah, tetapi tidak memamah biak. Jangan makan binatang-binatang itu, dan jangan sentuh bangkainya; binatang-binatang itu haram.
- —Imamat 11:2–4, 7–8
Jangan makan khinzir. Binatang itu haram, kerana walaupun ia berkuku belah tetapi binatang itu tidak memamah biak. Jangan makan binatang seperti itu, dan jangan sentuh bangkainya
- —Ulangan 14:8
Seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat Taurat tadi, daging babi tidak kosher kerana golongan Yahudi tidak dibenarkan menggunakan haiwan yang tidak memenuhi syarat-syarat tertentu iaitu mengenai kuku belah dan memamah biak. Khinzir yang bukan ruminan tidak memamah biak seperti lembu dan kambing.
Di Israel, penternakan babi dihadkan kepada tempat tertentu oleh undang-undang.[31][32] Sesetengah undang-undang berkenaan babi dipintasi terang-terangan.[33] Pengeluaran babi telah meningkat dari kira-kira 50,000 ekor babi disembelih pada 1960[31] kepada 180,000 pada 2010.[34] Penggunaan daging babi per kapita negara berkenaan ialah 2.7 pada 2009.[35] Biarpun pemasaran daging babi dilarang di kawasan-kawasan yang lebih warak,[32] namun produk babi terdapat di tempat-tempat lain menerusi kedai daging dan pasar raya bukan kosher yang khusus kepada imigran dari Rusia.[36] Dalam bahasa Ibrani daging babi diberi nama halus "daging putih".[36]
Kristian
Sesetengah mazhab Kristian mengelak daripada memakan daging khinzir. Larangannya berdasarkan Kitab Imamat bab 11, Kitab Ulangan bab 14, dan Kitab Yesaya bab 65 dan 66. Antara taifahnya yang diketahui mengharamkan pemakanan daging ini adalah:
- Ortodoks Habsyah
- Hebrew Roots
- Yahudi Messianik
- Advent Hari Ketujuh
- Gereja Bersatu Tuhan
Sebaliknya, ramai ahli Gereja Ortodoks Macedonia mengangkat penggunaan daging babi sebagai tradisi penting yang melambangkan kelestarian jati diri Kristian nenek moyang sewaktu pemerintahan Uthmaniyah.[37]
Remove ads
Penyakit daging babi

Daging babi diketahui membawa penyakit seperti cacing pita dan pigbel, maka boleh membahayakan pengguna jika tidak dimasak dengan baik, sungguhpun daging babi mentah umum dimakan di sesetengah negara Eropah.[38]
Daging khinzir yang kurang masak atau tidak diawet boleh membawa kuman patogen ataupun dicemari semula setelah lama terbiar selepas dimasak. Misalnya, agensi Perkhidmatan Keselamatan dan Penyiasatan Makanan Amerika Syarikat (Food Safety and Investigation Service, FSIS) mengesan Listeria monocytogenes dalam 460 paun sosej babi repui masak penuh jenama Polidori namun tiada seorang pun yang jatuh sakit daripada termakannya.[39] Sebelum ini FSIS menyatakan bahawa listeria dan kuman-kuman lain mesti "dihapuskan dengan pengendalian yang betul dan memasak secara menyeluruh dengan suhu dalaman 160 °F (71 °C)," dan kuman-kuman lain seperti E. coli, Salmonella, dan Staphylococcus aureus boleh didapati dalam daging-daging babi, ayam dan sebagainya yang kurang masak.[40] FSIS selaku anggota USDA kini mengesyorkan agar daging babi kisar dimasak pada suhu 160 °F (71 °C) dan potongan penuh pula 145 °F (63 °C) disusuli rehat tiga minit.[41]
Babi hidup boleh membawa pelbagai jenis helmint (parasit nyata) seperti cacing gelang, cacing peniti, dan cacing kerawit. Antara yang umum sekali ialah cacing pita Taenia solium yang boleh berpindah ke dalam usus manusia setelah memakan daging yang kurang masak, walau bagaimanapun perlu ditekankan daging-daging lain seperti daging lembu juga dapat membawa penyakit.
Remove ads
Galeri
- Babi masam manis, hidangan Cina yang popular di Barat
- Tonkatsu, kutlet babi goreng Jepun bersalut serbuk roti
- Khao mu krop mu daeng, babi merah garing Thai
- Sosej Kielbasa babi, Poland
- Schäufele (jenis Franken), bahu babi Jerman Selatan
- Filet de Porc à la Bordelaise, loin lembut babi Perancis
- Feijoada, daging babi tipikal Portugis dengan kekacang, turut dianggap sebagai hidangan kebangsaan rakyat Brazil
- Chicharrón, kulit babi goreng Sepanyol yang tersebar ke seluruh dunia Hispanik
- Bakon pecah Amerika Syarikat
- Lechón dipanggang di bandaraya Cadiz, Filipina
- Vindaloo (sejenis kari berempah) khinzir dari india
- Kari babi dari Nepal
- Babi panggang sebagai hidangan utama meraikan Krismas di Serbia
Remove ads
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads