Kapur barus

From Wikipedia, the free encyclopedia

Kapur barus
Remove ads

Kapur barus atau kamfor[3] ialah sejenis pepejal lutsinar atau keputihan berlilin dan mudah terbakar yang beraroma kuat.[4] Ia merupakan terpenoid dengan formula kimia C10H16O.

Fakta Segera Nama, Pengecam ...
Thumb
Kiub kapur barus

Bahan ini banyak ditemukan dalam kayu spesies Cinnamomum camphora iaitu sejenis pokok malar hijau yang didapati di Timur Jauh, dan spesies balak Dryobalanops daripada keluarga yang berlainan di sekitar Asia Tenggara, terutama D. aromatica. Ia turut didapati dalam pokok lain dalam keluarga Lauraceae terutamanya Ocotea usambarensis. Minyak daun rosmari (Rosmarinus officinalis) pula mengandungi 10 hingga 20% kamfor[5] berbanding dengan tumbuhan Heterotheca yang hanya mengandungi sekitar 5% kamfor.[6] Ia juga boleh diperolehi secara sintetik daripada minyak turpentin.

Remove ads

Sejarah

Penamaan

Nama "kapur barus" terdiri daripada dua komponen iaitu "kapur" dan "barus". Perkataan kapur berakar daripada Proto Melayu-Polinesia *kapuR yang bermaksud kapur kalsium karbonat.[7] Istilah camphor dalam Inggeris pula datang daripada Latin camfora, daripada Arab كافور (kafur), yang diserap sendiri daripada bahasa Melayu kapur, melalui Sanskrit कर्पूरम् (karpūram).[8] Perkataan camphor tersebut diserapkan kembali ke dalam bahasa Melayu menjadi "kamfor" dan "kampor".

"Barus" pula merupakan nama sebuah pelabuhan lama yang kini terletak di kota moden Sibolga di pantai barat pulau Sumatera.[9] Pelabuhan tersebut terkenal dengan perdagangan bahan ini yang diekstrakkan daripada pokok Dryobalanops aromatica yang begitu banyak di rantau ini. Kapur barus yang diperoleh dari pelabuhan tersebut dipakai dalam pembuatan setanggi, minyak wangi dan bahan pengharum.

Remove ads

Kegunaan

Fizikal

Sifatnya yang mudah merewap membolehkan ia digunakan dalam pelbagai cara; antaranya sebagai bahan pemplastikan untuk nitroselulosa yang merupakan bahan mentah dalam pembuatan bunga api dan senjata api. Ia dipercayai dapat meracun serangga maka ia digunakan sebagai bahan penghalau,[10] malah ia digunakan sebagai pilihan kepada ubat gegat. Wasap yang terhasil daripada pepejal kapur barus turut menghasilkan suatu salutan anti-karat lalu ia digunakan dalam peti alatan untuk memelihara logam alatan.[11]

Perubatan tradisional

Kapur barus telah digunakan secara turun-temurun dalam perubatan tradisional di mana tempat asalnya, seperti di Sumatera pada masa silam bagi merawat kekejangan, bengkak dan keradangan.[12] Ia juga digunakan dalam perubatan Cina secara berkurun-kurun untuk pelbagai tujuan dan kegunaan.[13] Kapur barus juga digunakan melalui aerosol, biasanya melalui penyedutan stim, kadangkala dalam bentuk batang penyedut hidung berjenama untuk menghalang batuk dan melegakan kesesakan saluran pernafasan atas akibat selsema biasa.[14] Walau bagaimanapun, keberkesanan klinikal rawatan-rawatan ini kini dicabar.[15]

Selain manusia, kapur barus mempunyai penggunaan terhad dalam perubatan veterinar sebagai perangsang pernafasan untuk kuda.[16]

Remove ads

Keracunan

Penggunaan kapur barus di kulit boleh menyebabkan alahan dalam sesetengah orang; sekiranya ditelan, krim atau ubat kapur barus adalah beracun.[17] Dalam dos ditelan yang tinggi, kapur barus menyebabkan simptom seperti ketidakselesaan, disorientasi, kelesuan, muntah, kejang abdomen dan sawan.[18] Dos maut bagi dewasa (ditelan) ialah berjulat 50–500 mg/kg. Secara amnya, dua gram kapur barus ditelan menyebabkan keracunan teruk dan mungkin membawa maut.[19]

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Remove ads