Wilayah Yala
provinsi di Thailand From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Yala (Thai: ยะลา) atau Jala (Tulisan Jawi: جالا; Reman: Nibong) merupakan sebuah wilayah (changwat) Thailand yang terletak di bahagian paling selatan negara tersebut. Wilayah-wilayah yang berdekatan (dari hala barat laut ikut jam) ialah Songkhla, Patani dan Narathiwat. Yala bersempadan dengan Negeri Perak dan Kedah, Malaysia di bahagian selatan.
Remove ads
Geografi
Rencana ini perlu dikembangkan untuk memenuhi kriteria sebagai rencana Wikipedia. Bantulah untuk mengembangkan rencana ini. Jika tidak dikembangkan, rencana ini akan dihapus. |
Wilayah ini terletak di Semenanjung Tanah Melayu.
Sejarah
Pada asalnya, Yala adalah sebahagian daripada negeri Reman yang meliputi wilayah-wilayah yang terletak di dalam wilayah Yala (Jalor), jajahan Jeli, Hutan Simpan Royal Belum, Pulau Banding, Tasik Temenggor, Gerik, Air Banun, Pengkalan Hulu/Kroh, Lenggong, Kota Tampan dan Durian Pipit pada hari ini. Negeri Reman terbentang luas dari kawasan hulu sungai Patani dan Sungai Tanjung Mas hingga ke Lenggong dan Kota Tampan di negeri Perak menjadikannya antara negeri terbesar dalam negara persekutuan Patani.
Ibu negeri Reman ialah Kotabaru yang terletak di lokasi bandar lama Yala pada masa sekarang. Ibu negeri Reman yang terakhir selepas diasak oleh Thai dan Perak ialah Kroh yang merupakan bandar Pengkalan Hulu di Perak pada hari ini.
Reman sebelum menjadi negeri merdeka adalah asalnya sebahagian daripada kerajaan negeri Patani lebih tepat lagi hulu negeri Patani yang berada di bawah ancaman bangsa Thai melalui kerajaan Sukhothai dan kemudian Ayutthaya, selain kerajaan bangsa Melayu yang bernaung di bawah bangsa Thai iaitu kerajaan Ligor/Negara Seri Dharmaraja.
Setelah Persekutuan Patani berjaya menyerang dan menghanguskan istana Ayutthaya di bandar Ayutthaya, kerajaan bangsa Thai Ayutthaya beransur jatuh pada tahun 1767 apabila takhta Ayutthaya dirampas oleh jeneral Zheng Zhao yang berbangsa Cina.
Jeneral Zheng Zhao memilih nama Taksin dan memerintah sebagai raja Taksin. Baginda memindahkan pusat pemerintahan Thai dari Ayutthaya ke sebuah kawasan majoriti bangsa Khmer dan Mon di tebing belah barat Sungai Chao Phraya berdekatan Bangkok dan menamakan ibu negeri baharu sebagai Thonburi serta kerajaannya sebagai kerajaan Thonburi.
Semasa kejatuhan Ayutthaya dan pemerintahan raja Taksin, negara persekutuan Patani termasuk negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Bedelong dan Singgora kekal merdeka. Namun begitu setelah 15 tahun, kerajaan Thonburi di bawah raja Cina Taksin digulingkan oleh jeneral Thong Duan yang berbangsa Thai.
Jeneral Thong Duan merampas takhta dan menggunakan nama sebagai raja Rama I. Raja Rama I membina istana baharu di tebing timur Sungai Chao Phraya bertentangan dengan istana raja Taksin kemudian menamakan kerajaannya sebagai kerajaan Rattanakosin dan membunuh raja Taksin.
Setelah Raja Rama I menaiki takhta di Bangkok, kerajaan persekutuan Patani termasuk Kelantan, Terengganu, Bedelong dan Singgora kembali diancam oleh Thai sewaktu pemerintahan Raja Rama I.
Selepas raja Rama I mangkat, anaknya putera Itsarasunthon menaiki takhta Rattanakosin sebagai raja Rama II. Ketika inilah sebagai usaha dan muslihat Thai Rattanakosin untuk melemahkan Patani, Hulu Patani telah dipecahkan daripada Patani dan waris terdekat kesultanan Patani dan Kelantan iaitu ditabalkan sebagai Sultan kerajaan Reman. Penubuhan kesultanan Reman ini disokong oleh raja Rama II dan Sultan Kelantan iaitu Long Muhammad yang menggunakan gelaran Sultan Muhammad I juga dikenali sebagai Marhum Mandul.
Kesultanan Reman merupakan sebuah entiti politik Melayu berpengaruh yang muncul pada awal abad ke-19 sebagai salah satu negeri pewaris selepas pemecahan Kesultanan Patani oleh kerajaan Thai Rattanakosin. Terletak secara strategik di kawasan yang kini menjadi sempadan antara selatan Thailand moden dan utara Malaysia, kerajaan ini merangkumi wilayah yang kini termasuk Yala (Thailand) serta Hulu Perak dan Jeli (Malaysia). Reman ditubuhkan sekitar tahun 1810 di bawah kepimpinan Tuan Tok Nik Tok Leh, seorang bangsawan tempatan yang menjadi Raja Reman pertama. Walaupun secara nominal Reman mengakui kekuasaan Siam, ia menikmati autonomi yang besar serta mempunyai sistem pentadbiran, perundangan, dan adat resam tersendiri yang berteraskan tradisi Melayu-Islam.
Sepanjang abad ke-19, Reman mengekalkan status separa autonomi ini dengan menghantar ufti kepada Siam sambil mengekalkan pemerintahan tempatan. Namun, kedudukannya yang terletak di antara Siam di utara dan Kesultanan Perak di selatan meletakkannya dalam kedudukan yang sangat rapuh. Bahagian selatan Reman, khususnya di kawasan seperti Kroh dan Klian Intan, kaya dengan bijih timah dan menjadi rebutan antara Reman dan Perak. Ketegangan antara kedua-dua negeri ini akhirnya mencetuskan konflik bersenjata pada tahun 1826 yang melibatkan perebutan sempadan, dan menarik perhatian British yang sedang mengukuhkan pengaruh mereka di Semenanjung Melayu serta menyokong kepentingan Perak.
Menjelang akhir abad ke-19, kekuatan politik Reman semakin melemah. Di bawah pemerintahan Tuan Jagung (juga dikenali dalam beberapa sumber sebagai Tengku Abdul Kandis), Reman semakin ditekan oleh dasar pemusatan kuasa Siam serta konflik wilayah dengan Perak. Menurut naratif tempatan, Tuan Jagung telah berkahwin dengan Raja Perempuan Che Ning, permaisuri Reman terakhir. Mereka dikurniakan beberapa orang anak, termasuk Tuan Menang (anak lelaki sulung) dan Tuan Lebeh Long Raya (anak lelaki bongsu).
Dikatakan bahawa pada tahun 1892, Tuan Menang telah dijatuhi hukuman mati oleh pihak berkuasa Siam (Chau Khun, Gabenor) atas dakwaan melakukan tindakan kekerasan. Sama ada hukuman itu adalah satu perbicaraan rasmi atau sekadar tindakan politik masih tidak jelas, namun menurut versi tempatan, pembunuhan ini melemahkan kesinambungan warisan diraja Reman. Sementara itu, Tuan Lebeh Long Raya pula dikatakan telah mengetuai atau terlibat dalam gerakan menentang kekuasaan Siam. Beliau kemudiannya dipanggil ke Songkhla dan seterusnya ke Bangkok untuk tujuan rundingan atau perbicaraan. Terdapat dakwaan bahawa beliau telah meninggal dunia dalam perjalanan atau dibunuh secara rahsia oleh pihak Siam. Kehilangan kedua-dua putera ini menyebabkan Tuan Jagung tidak mempunyai pewaris lelaki yang sah, sekaligus memberi ruang kepada Siam untuk membubarkan institusi diraja Reman secara rasmi pada tahun 1902.
Penghapusan pemerintahan Reman dilakukan bukan melalui penaklukan ketenteraan yang dramatik, tetapi melalui penyerapan pentadbiran yang sistematik. Reman disusun semula di bawah sistem “monthon” Siam, dan bahagian utaranya dimasukkan ke dalam Wilayah Yala. Namun, bahagian selatan yang bersempadan dengan Perak terus menjadi kawasan pertikaian antara Siam dan British.
Akhirnya, pembubaran penuh Kerajaan Reman berlaku apabila Perjanjian Inggeris–Siam dimeterai pada tahun 1909. Dalam perjanjian ini, Siam bersetuju untuk menyerahkan tuntutannya ke atas beberapa negeri Melayu — iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu — kepada British. Bersama-sama dengan negeri-negeri tersebut, wilayah selatan Reman, termasuk Kroh dan Pengkalan Hulu, turut diserahkan kepada British dan dimasukkan secara rasmi ke dalam negeri Perak. Maka, Kerajaan Reman pun terbahagi secara kekal — bahagian utaranya diserap ke dalam Thailand, manakala bahagian selatannya menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu British (Malaysia).
Hari ini, warisan Kerajaan Reman masih hidup secara samar dalam nama-nama tempat, makam-makam diraja yang dilupakan, dan sejarah lisan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi dalam kalangan masyarakat tempatan di Thailand dan Malaysia. Kejatuhannya bukanlah hasil satu peperangan besar, tetapi merupakan proses penghakisan kedaulatan secara perlahan akibat campur tangan asing, diplomasi kolonial, dan dasar pemusatan kuasa oleh kuasa-kuasa besar serantau. Ia menjadi contoh yang nyata bagaimana kerajaan-kerajaan kecil di Asia Tenggara secara beransur-ansur lenyap di tengah arus perluasan kuasa dari luar dan dari dalam.
Pada 1909, Thai menakluki Patani akibat perjanjian yang dimeterai dengan Empayar British. Narathiwat dan Yala ditadbirkan secara berasingan. Di Yala, terdapat sebuah pergerakan pemisah Patani yang kembali aktif pada 2004 setelah lama berdiam diri.
Remove ads
Demografi
Yala merupakan satu daripada empat wilayah Thai yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam; lebih kurang 68.9% ialah Muslim.
Simbol
Lambang wilayah Yala memaparkan seorang pelombong bijih timah dengan alat-alat pertukangannya seperti pengumpil, cangkul dan bakul. Yala pada asalnya merupakan sebuah bandar yang giat dalam perlombongan bijih timah dan tungsten.
Simbol-simbol wilayah yang lain termasuk pokok gapis (Saraca declinata) dan pokok bunga tanjung (Mimusops elengi).
Kawasan pentadbiran
Yala terbahagi kepada 7 kawasan pentadbiran (Amphoe) dan satu kawasan kecil (King Amphoe) yang dibahagikan lagi kepada 56 daerah swapraja (tambon) dan 341 buah kampung
Remove ads
Kekecohan
Sejak awal tahun 2004, beberapa insiden kerusuhan dan kekecohan telah melanda selatan Thailand, terutama sekali di wilayah-wilayah Yala, Narathiwat, dan Pattani. Kawasan-kawasan ini didiami oleh majoriti penduduk Melayu Islam dan aktiviti gerakan pemisah telah aktif sejak tahun 80-an. Penduduk-penduduk di sini tidak berasa senang dengan reaksi keras kerajaan pusat terhadap aktiviti gerakan pemisah tersebut. Kebanyakan mereka juga tidak berpuas hati dengan beberapa polisi kerajaan pusat yang memperlakukan mereka dengan cara berbeza daripada kaum etnik Thai.[perlu rujukan]
Pada 26 Oktober 2004, 78 orang telah meninggal dunia akibat kesesakan nafas setelah kesemuanya dimasukkan ke dalam trak polis akibat ditangkap atas tuduhan rusuhan di daerah tersebut dan sekelilingnya. Kejadian ini dikenali sebagai peristiwa berdarah Tak Bai yang berlaku di kawasan Tabal yang asalnya merupakan wilayah jajahan Tumpat, Kelantan.[perlu rujukan]
Pada 7 November 2004, Menteri Pertahanan Thai telah mengatakan bahawa lebih kurang 700 orang telah tercedera atau terkorban akibat kekacauan yang berlaku di selatan Thailand sejak Januari 2004.[perlu rujukan]
Remove ads
Pautan luar
- Laman Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu
- Laman Kebudayaan Islam Selatan Diarkibkan 2007-09-29 di Wayback Machine
- (Inggeris) "700 casualties since January" - artikel berita daripada Xinhua
- (Inggeris) "78 killed following riot" - artikel berita daripada MSNBC Diarkibkan 2011-11-03 di Wayback Machine
Remove ads
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
